BAB 10

Fantasy Completed 4906

Kereta api meluncur laju di atas landasan. Sesekali terasa gegaran kecil yang menggoyangkan tubuh mereka. Keadaan di dalam gerabak agak sunyi ketika itu memandangkan ia baru saja mula beroperasi pada pukul 5.30 pagi.

Claretta sedang teliti membuka balutan 'bandage' pada abdomen kiri Karin. Mujur hanya mereka berempat saja di dalam gerabak tersebut. Kalau tidak pasti panik orang melihat mereka. Mana tidaknya kalau melihat kain 'bandage' tersebut diwarnai merah darah.

"Tahan sikit," ujar Claretta.

Karin hanya mengangguk tanpa bersuara. Kali ini dia membiarkan saja Claretta melakukan kerjanya. Dia tak mampu menyimpan rahsia lagi mengenai bekas tembakannya. Cuma dia masih belum membuka cerita tentang bagaimana dia mendapat luka tersebut.

Claretta perlahan-lahan meletakkan tapak tangan kanannya pada luka tersebut. Lalu terpancarlah aura hijau mengalir keluar dari tangannya, terus meresap ke dalam luka tersebut. Karin hanya diam menahan sakit. Selepas beberapa minit, sakitnya beransur hilang.

Pendarahan mula berhenti. Perlahan-lahan kulitnya bercantum semula. Bekas peluru juga tidak kelihatan lagi, seperti tiada apa yang berlaku. Yang tinggal hanyalah segaris parut kemerahan yang hampir pudar.

Sebaik saja selesai, mereka pun terkulailah di tempat duduk masing-masing. Perbalahan di rumah Damien sejam yang lepas mencuri banyak tenaga mereka. Mei, Malae, dan Claretta masih terngiang-ngiang wajah lawan mereka saat dibunuh. Pertama kali mereka melihat 'pemandangan' tersebut.

Tapi tidak bagi Karin. Menjadi ahli yakuza membuatkan dia sudah lali dengan semua itu. Cuma dia tidak pernah membunuh dengan tangannya sendiri. Selama ini dia hanya memastikan urusan berjalan lancar sahaja.

"Kita nak pergi mana sekarang?" Malae melontarkan soalan yang tidak dapat dijawab. Masing-masing mengunci lidah, diam tak berkata apa-apa.

"Faroe Island," tiba-tiba Claretta bersuara.

Tiga pasang anak mata melirik ke arahnya, sebagai tanda meminta penjelasan lanjut. Kenapa Faroe Island secara tiba-tiba?

"Aku tak tahu kenapa dengan tempat tu. Tapi itu la benda terakhir yang aku dengar daripada Pak Cik Damien," Claretta memberi penjelasan.

Mereka senyap semula. Seperti sedang bermain-main dengan minda sendiri. Bermacam-macam andaian berlegar di kotak fikiran. Adakah tempat itu ada kena mengena dengan The Flow?

"Jauh tu," Mei bersuara. Otaknya ligat berfikir.

Kalau ikutkan peta dunia, mereka perlu melintasi United Kingdom sebelum sampai ke Faroe Island. Mengambil masa berhari-hari jugak untuk sampai. Mujur mereka masih mempunyai simpanan yang cukup.

"Macam ni," tiba-tiba Karin bersuara. Dia lantas mengeluarkan sekeping gambar bersama-sama secebis nota lalu diletakkan di atas tempat duduk. Gambar tersebut dia ambil sebelum mereka meninggalkan rumah Damien sebentar tadi.

"Aku rasa tak semua ahli The Flow yang mati. Gambar ni aku jumpa dekat bahagian belakang album. Tak ada tulis pulak dia pengguna cakra apa tapi aku rasa dia mungkin orang penting jugak dalam The Flow," dia berbahas panjang lebar.

"Lelaki ni... ," Karin menunjuk ke arah seorang lelaki yang memakai kot panjang berwarna coklat muda di dalam gambar tersebut, "...ialah Professor Albert Hall, seorang pensyarah dekat University of Oxford."

Masing-masing khusyuk mendengar. Kenapa sebelum ni Damien tidak pernah menyebut tentang Professor Albert Hall? Atau mungkin ada sebab kenapa identitinya tidak didedahkan?

"Jadi kau rasa kita patut pergi jumpa dia?" Mei seperti dapat membaca apa yang cuba disampaikan oleh Karin.

Karin mengangkat kening, cuba mendapatkan kata sepakat daripada yang lain. Mereka seperti sedang bercongak dengan pemikiran sendiri. Tapi memandangkan keempat-empatnya tiada halatuju, mungkin lebih baik mereka berjumpa dengan Albert Hall.

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience