DENGFENG, CHINA

Fantasy Completed 4906

"Mei, nanti kita pergi sama-sama ya." Ling kelihatan tidak sabar untuk ke pesta di hujung kampung malam ini.

"Okey, jumpa malam ni!" Mei juga begitu.

Sejurus itu, Mei menapak ke kamar Master Yu yang terletak tidak jauh dari tapak latihan. Kebelakangan ini Master Yu tidak sesegar dulu, sehingga tidak dapat menemani mereka berlatih shaolin setiap pagi.
Harapnya bubur dan herba yang dibawa sedikit sebanyak mampu memulihkan semangat Master Yu. Selaku anak angkatnya, Mei agak risau dengan tahap kesihatan orang tua itu.

Pintu kamar diketuk berulang kali sambil memanggil gurunya. Namun tiada jawapan. Sudah tidur barangkali, fikirnya.

Memandangkan pintu kamar sudah terbuka sedikit, Mei mengambil keputusan untuk masuk sahaja. Ketika itulah Mei terlihat Master Yu sedang tekun di meja tulis.

Tanggapannya benar. Walaupun sedang sakit lelah, namun orang tua ini masih rajin menelaah sejak dari muda lagi. Tidak hairanlah ilmunya begitu mendalam sekali.

Dulang diletakkan di atas meja kecil di tepi katil. Kemudian dia menapak menghampiri Master Yu. Dia meletakkan kedua-dua tangannya di atas bahu orang tua itu untuk mengajaknya makan.

Tidak semena-mena orang tua itu rebah ke lantai. Mei terkesima. Tubuhnya jadi kaku, jantungnya berdegup kencang bagai hendak pecah. Mei berlutut lalu menggoncangkan tubuh tua itu, memanggil namanya berkali-kali.

Kelihatan sebilah belati ditusuk tepat ke dada Master Yu. Darah masih mengalir dari salurannya, tidak henti-henti. Mei jadi tidak keruan. Air matanya bertakung, mukanya merah, dan tangannya turut menggeletar.

Bajunya juga sudah dimuntahi darah Master Yu. Tangannya bersalut merah, dan suaranya seperti tersekat di kerongkong. Angkara siapa semua ini?

"Mei... "

Kedengaran suara seseorang dari belakang. Mei menoleh. Terlihat salah seorang rakan seperjuangannya kaku berdiri tanpa berkata apa-apa. Mindanya sedang membuat tafsiran apa yang sedang berlaku. Suaranya juga seperti tersangkut tapi dipaksa keluar.

"Tolong..." Suara Mei menjadi lemah.

Rakannya itu seperti tersentak dari mimpi. Dia kelihatan terkebil-kebil. Setelah digesa beberapa kali, baru dia keluar semula memanggil guru-gurunya yang lain.

***

Beberapa pasang mata kini memerhatikannya. Mei hanya mampu tunduk diam, tidak berkata apa-apa. Dia kehilangan orang yang telah memberikan segala kasih sayang kepadanya sejak lahir seperti anak sendiri.

Tokong shaolin ini telah menjadi rumahnya sejak dia ditinggalkan oleh ibunya sewaktu dia masih bayi lagi. Master Yu menjumpainya di dalam sebuah kotak berserta nota ketika dia baru saja pulang dari melawat rakan baiknya di Beijing.

"Tiada tanda-tanda pecah masuk di sini," ujar seorang polis tempatan yang baru saja selesai melakukan penyiasatan sebentar tadi.

Kini semua anak mata tertumpu pada Mei yang sedang kaku tidak berkata apa-apa. Tangan dan bajunya masih berlumuran darah, sengaja tidak dibersihkan memandangkan dia masih tidak dibenarkan keluar dari kawasan kejadian.

Ketika itulah, suara-suara halus bermain-main di benaknya. Suara-suara yang datang daripada pemikiran setiap orang di dalam bilik itu seperti merempuh-rempuh kepalanya pada masa yang sama.

Ada yang bersimpati terhadapnya, ada juga yang menyangka dia dalang di sebalik pembunuhan Master Yu. Ada juga yang menganggap bahawa pembunuhnya mungkin orang dalam tokong shaolin ini juga.

Tiba-tiba polis itu menunding ke arah belati yang tertusuk pada dada orang tua itu. "Cik, betul ke menurut orang di sini, belati ini milik cik?" Soalnya kepada Mei.

Mei memancing pandangannya ke arah belati tersebut. Benar, itu adalah belati yang dihadiahkan oleh Master Yu sempena hari jadinya. Macam mana dia boleh tidak perasan itu adalah belati miliknya?

Mei mengangguk. Polis itu kelihatan berat hati, namun dia perlu menjalankan tugasnya. "Maaf cik, tapi kami perlu tahan cik buat sementara waktu."

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience