BAB 18

Fantasy Completed 4906

Suara Albert sedang menyanyi-nyanyi di dapur memecah kesepian rumah. Kedengaran bunyi kintang-kintung di dapur mencuri perhatian mereka. Katanya tadi nak buat air saja.

"Professor, nak kami tolong ke?" Suara Mei mencelah dari ruang tamu.

"Eh tak apa, tak apa. Dah nak siap ni," kedengaran nyaring suara Albert dari dapur.

Yang lain hanya mendiamkan diri. Mata masing-masing begitu asyik memerhatikan susun atur rumah tersebut. Ya, nampak sedikit tidak terurus. Buku-buku kelihatan bersepah di atas lantai berhampiran rak buku. Meja agak berhabuk. Langsir juga seperti sudah lama tidak ditukar.

Albert muncul di ruang tamu sambil membawa teko air dan lima cawan di atas dulang. Kedutan di wajahnya dihiasi senyuman lebar hingga menampakkan gigi. Dia meletakkan dulang di atas meja lalu melabuhkan punggungnya di atas sofa.

"Kenapa tak bagi tahu awal-awal nak datang?" Soalnya dengan penuh kegirangan.

Eh orang tua ni, tadi bukan main bersungguh dia menyorok dalam pondok, ni tiba-tiba tanya kenapa tak cakap nak datang pula. Kena sampuk ke apa?

Malae melirikkan mata ke arah Claretta. Dia mengangkat keningnya sebagai bahasa isyarat, 'kau terlebih bagi aura tenang ke dekat dia?'

Claretta yang dapat menangkap pandangan matanya hanya menggeleng halus. 'Itu memang aura dia, aku bagi sikit je.' Siap dengan bahasa isyarat tangan sekali.

"Professor kenal ke kami siapa?" Soal Karin.

Albert ketawa bersungguh-sungguh. Matanya memandang mereka dengan pandangan yang bersinar-sinar.

"Hmm, dari mana nak mula ya?" Dia tertanya-tanya sambil tangannya diletakkan ke dagu. Lalu matanya memandang ke arah Claretta.

"Okey, kita mula dengan kamu," ujarnya sambil menunjuk ke arah gadis itu. Claretta kelihatan terpinga-pinga. Belum sempat dia bersuara, Albert sudah memulakan ceritanya.

"Claretta Abrielle Moretti. Anak bongsu kepada Stefano Moretti dan Regina Moretti. Ibu bapa kamu terbunuh dalam kemalangan jalan raya waktu kamu masih kecil, bersama-sama dengan abang dan kakak kamu. Sejak tu kamu tinggal dengan nenek kamu di Florence. Selepas nenek kamu meninggal, kamu berjumpa dengan Horace De Luca, iaitu bos kamu. Horace ada pengguna Heart Chakra, jadi dia ambil kamu sebagai perintis dan juga mengajar kamu selok belok perniagaan bakeri."

Matanya beralih pula ke arah Malae. "Malae La'akea Jones. Anak tunggal kepada Adam Jones dan Emere Jones. Ayah kamu berasal dari Amerika, datang ke Samoan Island pada mulanya untuk buat kajian tentang masyarakat pulau tersebut. Akhirnya berkahwin dengan mak kamu. Emere ialah salah seorang dari kami. Dia telah melatih kamu menjadi pengguna Root Chakra, sebab dia tahu hari ini akan tiba."

Albert menghirup tehnya. Dia kelihatan begitu tenang sekali. Selepas meletakkan semula cawan di atas piring, hikayatnya bersambung lagi.

"Yu Meilin. Saya tak tahu mengenai asal-usul keluarga kamu. Tapi saya tahu nama kamu telah diberikan oleh Master Yu Bohai, iaitu ayah angkat kamu di Dengfeng. Dah lama saya tak tengok dia berlatih shaolin. Saya pernah pergi ke tokong dia sebelum ni. Tapi masa tu kamu kecil lagi. Saya rasa kamu sendiri tak cam saya waktu tu," ujar Albert sambil ketawa.

Mei turut tersenyum. Pada mulanya mereka agak hairan bagaimana Albert boleh menceritakan semua asal-usul mereka. Apabila memikirkan yang dia sebahagian daripada The Flow, segalanya mula masuk akal.

"Yang terakhir sekali, Miyazaki Karin."

Tiba pula gilirannya. Karin agak gementar dengan apa yang bakal diceritakan oleh Albert. Sejarah hidupnya bukanlah sesuatu yang seronok untuk didengar.

"Saya masih ingat pertama kali saya dukung kamu waktu kamu kecil lagi. Anak tunggal kepada Miyazaki Tadashi dan Miyazaki Akko. Tapi malangnya mereka mati dibunuh oleh pemburu hantu waktu umur kamu 12 tahun. Sejak tu, Uchida Shino yang jaga kamu. Dia dan juga ibu bapa kamu adalah pengguna Third Eye Chakra. Sama seperti kamu sekarang. Saya teringin nak tengok kamu berlawan. Mesti serupa macam Shino."

Ketika itu anak mata Karin dan Albert bertembung. Degupan jantung Karin bertambah kencang. Takut-takut Albert tahu tentang sisi gelapnya yang pernah menjadi ahli yakuza. Mei juga turut merasai debarannya. Matanya memandang mereka bersilih ganti.

"Nak makan steak malam ni?" Serta-merta topiknya bertukar. Segaris senyuman terserlah di wajahnya. Mereka yang lain hanya terpinga-pinga.

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience