"Kau biar betul, Sha!" Iqbal bangun dari sofa yang diduduki. Mundar-mandir memikirkan khabar yang baru disampaikan oleh Nasha.
"I nampak dengan mata kepala i sendiri la. Lepas tu i tanya pekerja kat receptionist tu!"
"Damn... aku kena buat something." bisik Iqbal lalu dia mengeluh lagi.
Kata Nasha, dia melihat Sophia keluar dari sebuah klinik sambil memegang perut. 'Takkanlah... takkan Sophia dah mengandung!' Sedar akan rancangannya yang ingin memecah belahkan rumahtangga Sophia dan Hazim bakal menipis, dia harus berbuat sesuatu.
"Wait wait, jangan cakap you nak apa-apakan Sophia." Nasha naik resah melihat perlakuan Iqbal.
Walaupun tidak menyukai Sophia, dia masih punya perikemanusiaan. Kalau benar Sophia sedang mengandung, terlalu kejam kiranya jika anak tidak berdosa itu menjadi taruhan. Dan yang paling pasti, dia tidak mahu bersubahat.
"I don't care! Ingat aku kesah ke? Ah, aku takkan biarkan! Kalau boleh dengan Sophia sekali aku nak lenyapkan." mata helang Iqbal menakutkan Nasha.
Akibat pengaruh dadah dan alkohol, Iqbal boleh bertukar menjadi sekejam-kejam manusia. Kerana najis dadah juga Iqbal kehilangan pekerjaan.
"Apa you cakap ni? You dah gila ke?! You sedar tak ni?" Nasha cuba menyedarkan Iqbal.
"Memang aku gila!" Iqbal tiba-tiba menyinga.
"This is not what we planned, you cakap nak peras ugut dia je!"
"Aku dah tak kesah lah pasal duit dia!"
"Oh selama ni you saja la perangkap i, suruh buat itu ini, konon dapat duit la sakitkan hati dia la, padahal you nak balas dendam, nak puaskan hati you sorang je! You memang tak berubah kan Bal!" Nasha memberanikan diri bersuara.
"Diam!!! Kau ni sama je macam Sophia membebel je keje! Memang selama ni aku tipu kau, kau ingat aku nakkan kau? Kau cermin sikit diri tu! Lembab, tahu tak?!" Iqbal mencengkam lengan Nasha hinggakan Nasha menjerit kesakitan.
"Sakitlah! You nak pukul i macam you pukul Sophia pulak ke! You memang setan!!!" Nasha makin melawan dan meronta-ronta.
"Diam lah! Kau nak rasa?! Nak nak rasa macam mana gila aku?! Kau jangan nak mengajar aku Nasha!!!" Iqbal mula hilang akal.
Emosi sudah mengawal diri dan tanpa belas kasihan, Nasha menjadi mangsa amarahnya. Pantang betul bila perempuan meninggikan suara terhadapnya. Bagaikan ada syaitan yang terus merasuk dia untuk naik tangan.
.
Sophia masuk ke kereta dengan senyum senang. Terasa segala urusannya hari ini dipermudahkan. Mujur salah satu kontrak modeling jangka masa panjangnya sudah selesai. Tinggal lagi beberapa job dan dapatlah dia tumpukan sepenuh perhatian kepada anak yang sedang dalam kandungan itu.
Pagi tadi waktu bertemu janji dengan Dr. Preema, dia telah membuat ujian ultrasound buat kali pertama. Senyum tak lekang di bibir Sophia. Walaupun baru beberapa cm saiz janinnya, dia bersyukur kerana keadaan baik-baik sahaja.
Malam ini dia bertekad untuk memberitahu Hazim tentang kehamilannya. Kotak hadiah yang baru dibeli dibuka, dan kepingan imej ultrasound diletakkan di dalamnya. Hajatnya ingin membuat kejutan, mana tahu khabar gembira itu bisa mengubat lara hubungan mereka.
Kereta dihidupkan, destinasi yang bakal dituju adalah rumah ibu bapa mertuanya. Lama tidak bertemu umi Hazim. Kali ini dia datang dengan berita baik.
.
Sampainya di rumah, Hazim tercari-cari kelibat isterinya. Tiba-tiba dia dihambat rasa rindu kepada Sophia. Hendak menelefon Sophia, tetapi dia tidak berani.
Dengan satu keluhan berat, Hazim merebahkan diri di atas katil. Tangannya tanpa sedar membelek-belek album gambar di dalam telefon. Gambar selfie Sophia bukan main banyak.
Waktu awal-awal perkahwinan, isterinya suka benar menghantar selfie. Macam-macam gaya Sophia posing, menimbulkan senyum kecil di bibir Hazim. Natijahnya, sekeping gambar Sophia seorang diri dijadikan wallpaper telefon.
Lama gambar itu direnung Hazim. Rindunya dengan gelak tawa Sophia. Rindu ingin memeluk isterinya itu. Tidak mahu lama termenung, Hazim akhirnya bangun untuk mandi dan bersiap sebelum azan maghrib berkumandang.
Usai solat maghrib, Sophia belum juga pulang. Dek kerana rasa tidak sedap hati, Hazim menghantar sekeping mesej bertanyakan keberadaan Sophia.
Dalam dia menunggu kepulangan isterinya, Hazim berjalan memasuki bilik tetamu. Melihatkan gambar dia dan Hana yang masih setia di atas kabinet, dia melabuhkan duduk di tepi katil. Gambar itu ditatap setelah sekian lamanya.
"Ati..." Hazim senyum nipis. Siapa bilang dia tak rindukan Hana? Bingkai gambar diusap, bagaikan menyentuh wajah arwah isterinya.
"Abang dah jumpa orang yang Ati suruh abang cari."
"Sophia nama dia. Cantik. Lemah lembut, sama macam Ati. Dia jaga abang dengan baik sangat. Abang dapat rasa, yang dia betul-betul ikhlas sayangkan abang."
Hazim tekun bercerita, walaupun dia tahu mungkin Hana tidak dapat mendengarnya luahannya pun.
"Tapi abang... abang takut kalau abang sia-siakan Sophia. Abang masih takutkan kesilapan abang yang dulu. Macam yang abang pernah lakukan kat Ati." ada getar dalam suara Hazim.
"Abang tak dapat nak kawal emosi. Abang tertinggikan suara dekat Sophia." bicara Hazim terhenti. Sedar, kebelakangan ini dia banyak membuat Sophia terasa.
"Abang tahu dia mesti terasa. Tapi Ati, abang marah sebab abang sayang. Abang takut apa-apa terjadi dengan Sophia."
.
Hari yang sudah lewat memaksa Sophia untuk solat terus di rumah Hajah Noor sebelum pulang. Mesej dari Hazim sempat dia balas sebelum Maghrib tadi.
"Jaga diri tau, jaga kandungan. Apa-apa yang jadi, Sophia kena sabar. Umi doakan semuanya berjalan lancar, inshaallah." Puan Noor sempat menitip pesan kepada satu-satunya menantu. Dari riak wajah menantunya, dia dapat meneka sesuatu.
"Inshaallah. Terima kasih umi, ayah. Sophia balik dulu ya. Assalamualaikum." ucap Sophia sebelum tangan umi dan ayah dicium.
Puan Noor dan suami melihat dari jauh kereta Sophia meninggalkan perkarangan rumah mereka. Dalam hati berharap agar dipermudahkan segala urusan anak menantunya.
Sophia sedaya upaya merahsiakan tentang masalah antara dia dan Hazim. Dia tahu umi Hazim mungkin dapat menghidu apa yang terjadi. Namun, hal peribadi mereka suami isteri, biarlah jadi rahsia antara mereka berdua.
Sampai di rumah, Sophia membuka pintu utama perlahan-lahan. Berdebar pula hendak bersemuka dengan suaminya. Kelibat Hazim tidak kelihatan di mana-mana di bahagian bawah.
Dengan kotak hadiah di tangan, Sophia gagahkan diri untuk naik ke bahagian atas. Makin lama menapak, makin kuat jantung berdetak. Hatinya berdoa agar Hazim dalam mood baik. Kelihatan pintu bilik tetamu terbuka sedikit.
Dahi Sophia berkerut. Hazim di dalamkah? Pegangan di tangan dikemaskan ketika dia mendengar suara Hazim bercakap-cakap sendiri.
"Abang tak tahu nak buat apa, Ati. Abang buntu."
Hati Sophia terasa berat. Senyuman yang menghiasi bibirnya perlahan-lahan pudar. Bukaan pintu yang kecil membolehkan dia mengintai dari luar.
Seakan retak seribu hatinya apabila terpandang Hazim sedang memegang gambar Atilia Hana. Dia juga melihat Hazim mengesat air mata.
Sophia hanya terdiam di balik pintu. Kotak kejutan tadi dibawa ke belakang badan dengan hampa. Sayu hatinya melihat suaminya teresak kecil.
'Pergilah, Sophia. Ini bukan masa yang sesuai.'
'Mungkin dia masih teringatkan arwah isteri dia.'
'Dia berhak untuk rasa sedih, dia kehilangan wanita yang dia cintai.'
'Mungkin dia dah sedar yang kau tak setanding dengan Hana.'
'Kau tak akan dapat gantikan tempat Hana di hati dia.'
Pelbagai andaian bermain di fikiran Sophia. Tanpa disedari, pandangannya mulai kabur. Hatinya ingin menjerit. Mulut ditekup dan dia pantas berlalu dari situ.
.
Kecewa dan sedih silih berganti. Sophia menangis semahunya di bawah pancuran air. Membiarkan air mata mengalir sederas air yang membasahi tubuhnya yang lemah.Tangisan yang tidak berbunyi, namun cukup untuk menggambarkan hati yang patah seribu.
Lama Sophia berkurung di dalam bilik air. Sehinggakan Hazim mengetuk pintu dari luar, barulah dia terkocoh-kocoh mengesat air mata.
Sophia keluar dari bilik air dengan hanya memakai jubah mandi. Wajahnya sedaya upaya disorok, agar tidak ketahuan baru sudah menangis.
Ketika giliran Hazim meloloskan diri ke dalam tandas, Sophia mendekati beg tangan dan membawa keluar kotak hadiah kecil tadi. Kotak itu disorokkan ke dalam almari baju di sebalik pakaian, agar tidak terlihat.
Air mata yang mahu mengalir lagi disapu laju. Selepas lengkap berpakaian, Sophia turun ke dapur untuk mengelak dari bertembung dengan suaminya.
Share this novel