Jarum jam menunjukkan pukul 10 malam, Sophia baru sahaja sampai ke rumah dari tempat kerja. Belakang tengkuk yang lenguh dipicit sambil sebelah lagi tangan membuka tombol rumah.
Kereta milik suaminya sudah terparkir di hadapan, namun keadaan di dalam rumah gelap gelita. Takkanlah tiada orang pula di rumah.
Langkah Sophia perlahan-lahan masuk ke dalam, tiada kelibat atau suara Hazim menyambutnya. Pintu di belakangnya ditutup rapat, seram sejuk dirasakan. Sophia ingin cepat mencapai suis lampu bagi menerangi seisi rumah, agar kurang rasa takutnya.
Baru sahaja ingin meninggalkan ruang hadapan, tiba-tiba lampu di ruang tamu terpasang terang. Sophia berpaling dan terkejut besar melihat sekujur tubuh yang sedang duduk di sebuah sofa bertentangan dengannya.
“Ya Allah… abang!” Sophia mengurut dada yang bagai nak pecah rasanya. Buat apa pula Hazim dalam gelap tadi?
“Abang tunggu saya balik ke? Kenapa abang duduk dalam gelap ni?” tanya Sophia lagi setelah soalannya tadi tidak berjawab. Malah Hazim mencerlung tajam ke arahnya, tanpa sepatah kata.
“Abang…” Sophia cuba mendekati Hazim. Lelaki itu terlebih dahulu bangun dari duduk dan berjalan ke arahnya.
“Pergi mana? Lewat macam ni baru balik?” suara garau Hazim yang agak lain dari kebiasaan itu menambah ketakutan di hati Sophia.
“S-Saya dekat studio…” terketar-ketar Sophia memandangi Hazim yang makin lama makin merapat.
“Buat apa?! Menggatal dengan jantan tu?!!!” Hazim menengking Sophia sekuatnya hingga terhinjut bahu Sophia.
“A-Apa abang cakap ni? Saya tak faham!”
“Jangan tipu aku!!! Kau jumpa jantan tu kan! Cakap, Sophia!” Hazim menarik rambut panjang Sophia kuat.
“Sakit, bang!” Sophia menjerit kesakitan waktu ditarik suaminya. Bercucuran air matanya melihat Hazim naik baran. Tidak ubah seperti waktu Iqbal mengamuk.
“Kau curang dengan aku, Sophia!!! Perempuan kotor! Kenapa kau tipu aku Sophia? Kenapa!!!” Hazim menghempas tubuh Sophia ke atas sofa lalu menindihnya.
“Kenapa buat aku macam ni! Aku percayakan kau! Aku percayakan kau, Sophia!!!” pukulan demi pukulan hinggap ke atas sekujur tubuh yang lemah itu. Sophia menjerit meminta belas.
“Jangan abang!!! Sophia tak curang! Ampun, abang!” bersungguh-sungguh Sophia menafikan apa yang dikatakan Hazim.
“Jangan!!!” teriak Sophia waktu Hazim cuba mencekiknya.
“JANGAN!!!”
Sophia tersentak dan bangun dari tidur. Wajahnya dibasahi peluh, tercungap-cungap dia mencari nafas. Dia memandang ke kiri dan kanan. Rupa-rupanya dia hanya bermimpi.
Teringat sewaktu Hazim menengking dia tadi di dalam mimpi, dia jadi sebak.
Hazim yang juga terkejut lekas membuka mata. Dilihatnya Sophia sedang teresak-esak sambil menutup muka.
“Sayang. Kenapa ni?” Hazim merangkul bahu Sophia dan cuba memujuk.
Sophia hanya menggeleng dan terus menghamburkan tangisan sambil dipeluk Hazim. Tidak terbayang di akalnya jika mimpi tadi benar-benar berlaku.
“Shh… sayang okey ke ni? Sambung tidur ye?” Hazim yang separuh mamai mengesat pipi Sophia setelah tangisannya semakin reda.
Sophia tidak banyak menjawab lalu tubuhnya direbahkan kembali. Kali ini rapat dalam rangkulan Hazim. Mata dipejam rapat untuk membuang memori buruk tadi.
Hazim mengusap kepala Sophia hingga akhirnya mereka berdua terlena semula.
.
Sophia termenung di hadapan meja solek. Fikirannya masih terbayangkan mimpi malam tadi. Mungkinkah kerana dia terlalu takut memikirkan jika Hazim tahu tentang perkara sebenar, sehingga terbawa-bawa ke dalam tidur?
Hazim yang baru selesai mengemaskan tali leher melihat Sophia mematung di hadapan cermin. Isterinya itu dihampiri dari belakang. Sophia belum mahu membuka mulut tentang malam tadi, dia juga tidak mahu bertanya. Biarlah Sophia lebih tenang dahulu.
“Sophia…” Hazim memanggil, sekali gus mengembalikan Sophia ke alam nyata.
“Abang.” Sophia membiarkan Hazim memeluk pinggangnya dari belakang. Hazim menyentuh dahinya dengan belakang tangan. Tidak panas walau wajahnya sedikit pucat.
“Kalau tak sihat, tak payah la keluar pergi kerja.”
“Saya okey. Sorry bout last night. Mimpi buruk.”
“Mainan tidur je tu. Sayang okey tak ni?”tangan Hazim bermain-main pula di perut Sophia. Risau mahu meninggalkan isterinya sendiri. Hari ini dia bakal ke Singapura untuk menghadiri sebuah conference.
“Okey. Abang pergilah. Lewat pulak flight nanti.” Sophia mencapai tangan suaminya untuk dicium.
"Betul ni? Nanti abang text Nadine suruh temankan sayang, okey?"
“Ok. Dah, pergi. Nanti dah sampai bagitahu." Sophia melihat penampilan Hazim buat kesekian kalinya. Sudah cukup kemas dan tampan seperti biasa.
"Take care. Bye.” Bisik Hazim sebelum mengucup dahi Sophia, seperti selalu. Hazim dihantar ke depan pintu bilik.
“Bye. Love you.” Sophia ketawa kecil melihat Hazim yang sempat kenyit mata ke arahnya.
Sophia berjalan kembali ke dalam bilik dan berhenti di hadapan cermin. Kali ini dia menilik tubuh sendiri dari sisi. Tangannya mengusap perut yang kempis, seperti yang dilakukan Hazim sebentar tadi.
Hatinya berbisik sendiri. Alangkah bahagianya jika ada rezeki dia dan Hazim untuk menimang cahaya mata.
Dalam diam Sophia berdoa agar dikurniakan zuriat yang akan mengukuhkan lagi kasih sayang antara dia dan Hazim.
.
Iqbal bengang melihat gambar mesra Sophia dan Hazim yan dimuatnaik oleh wanita itu di media social. Bukan itu sahaja, Sophia juga meletakkan kapsyen yang buat dia naik menyampah.
'Missing my husband...'
Serta merta dia teringatkan insiden ditampar oleh Sophia bulan lepas. Hingga hari ini, dendamnya belum sudah. Selagi Sophia dan Hazim bahagia, selagi itu dia tidak puas.
Iqbal terperanjat apabila telefonnya dirampas oleh seseorang. Berpaling ke tepi, dia melihat Nasha sedang melakukan sesuatu.
"The hell, Nasha? Kau buat apa?"
"Buat perkara yang you patut buat dari dulu. There you go." setelah selesai tugasnya, telefon Iqbal dicampak kembali. Nasha duduk bersilang kaki menunggu reaksi Iqbal.
Iqbal memeriksa gambar-gambar dia dan Sophia yang dihantar oleh Nasha tadi. Dia diam. Marah juga tidak. Nampaknya Nasha sendiri memulakan langkah.
"Kenapa? Nak ubah fikiran? Dah kesian pulak kat ex you tu?" perli Nasha. Bab Sophia je tiba-tiba si Iqbal ni jadi lembab!
"Aku tengah fikir—"
"Fikir apa lagi? You yang beriya sangat kan plan itu ini. Cakap je lebih!"
Iqbal buat tak dengar bebelan Nasha. Walaubagaimanapun, permainannya baru sahaja bermula.
.
Sophia termenung di ruang tamu setelah makan malam. Entah apa yang tak kena, perasaannya tidak enak. Berdebar-debar sahaja sejak senja tadi.
"Hoi!" Nadine menjerkah dari belakang, hingga terangkat bahu Sophia.
"Nadine, akak boleh mati terkejut macam ni tau!" pipi adiknya dicubit geram.
"Akak tu, dari tadi termenung. Kalau pencuri masuk pun akak tak sedar agaknya! Kenapa ni??" kali ini Nadine pula menarik dagu Sophia menghadapnya.
"Alololo... Rindu suami ke? Tadi petang kan dah berbual panjang. Lusa abang Hazim dah balik." usik Nadine.
"Memang lah rindu. Tapi hati akak ni, lain macam lah. Rasa tak sedap." luah Sophia jujur.
"Kenapa? Apa yang akak fikir?"
Sejujurnya banyak perkara yang bermain di fikiran Sophia. Namun, lebih baik kiranya dia rahsiakan.
"Kalau akak nak tanya pendapat boleh?" Nadine mengangguk beberapa kali.
"Nadine tengok akak dengan abang Hazim macam mana?"
"Okey je. Nadine tengok akak bahagia. Nadine bersyukur kalau akak happy. Abang Hazim jaga akak okey tak?" tanya Nadine kembali. Apa yang dia lihat, mereka berdua saling sayang antara satu sama lain.
"Akak memang bahagia sangat. Abang Hazim jaga akak dengan baik. Cuma akak yang rasa macam akak ni tak layak untuk dia." luah Sophia.
"Kenapa pulak tak layak?"
"Akak sebenarnya tak yakin akak boleh jadi isteri yang baik untuk dia. Kalau dia belum move on lagi dengan isteri dia dulu macam mana?"
Tipulah jika dia tidak pernah cemburu jika Hazim menceritakan tentang arwah Hana. Rasa 'insecure' sering menghantuinya. Bimbang dia tidak setanding dengan Hana.
"Ish, apa pulak cakap macam tu! Kalau dia belum move on takkan lah dia nak kahwin dengan akak. Akak ragu-ragu dengan abang Hazim?"
Sophia melepaskan keluhan kecil. Memang terkadang dia meragui cinta suaminya. Tapi cepat-cepat dia menepis andaian yang bermain-main di minda. Fikirnya mungkin Hazim memerlukan lebih masa.
"Tak tahulah, dik. Akak tak tahu apa perasaan dia. Akak takut kalau dia tak cintakan akak... akak takut kehilangan abang Hazim."
.
Tangan Hazim sedikit menggeletar. Wajahnya diraup lagi. Tidak sanggup dia melihat gambar jijik yang diterimanya beracap kali. Fikiran yang sedikit kacau cuba dikosongkan.
Walau berkali-kali panggilan dibuat ke nombor yang tidak dikenali itu, pemiliknya langsung tidak mengangkat. "Angkatlah bodoh!"
Lain yang ditunggu, lain yang sampai. Kali ini nama Sophia tertera di skrin telefon Hazim. Menarik sedalam-dalamnya nafas, Hazim tekan butang jawab.
"Hello abang..." suara lembut Sophia menyapa. Sambil memicit kepala, Hazim diam menyusun kata.
"Sophia kat mana tu?"
"Kat rumah lah. Abang kat mana?" suara Sophia yang langsung tidak kedengaran seperti ada apa-apa itu membuat Hazim berfikir-fikir. Tak mungkin Sophia menipunya.
"Abang ada kerja. Nanti abang call balik. Sorry." Hazim menutup panggilan sebelum mendengar jawapan Sophia.
Hazim kini buntu. Kepercayaan kepada isteri seakan makin goyah..
Share this novel