32

Romance Completed 48873

Hazim menarik selimut tebal hingga ke paras dada. Selepas subuh tadi matanya kembali berat, hajatnya dapatlah dia sambung tidur sekejap sebelum keluar.

Sophia yang juga ditarik bersama walaubagaimanapun tidak dapat lena. Sambil menongkat kepala, dia asyik melihat suaminya yang sedang nyenyak tidur.

Wajah Hazim diamati sepuasnya. Cuba mencari cebisan-cebisan memori yang mungkin tersisa. Sepanjang tempoh dia tidak sedar, berkali-kali juga dia ada mimpikan seseorang. Namun wajah lelaki dalam mimpinya itu sering kali kabur.

Sedar tak sedar sudah hampir sebulan dia tinggal dengan Hazim. Sepanjang tempoh itu, Hazim menjaganya ibarat menatang minyak yang penuh. Setiap kali sesi rawatan dan terapi, Hazim pasti akan ada bersama.

Segala tugas-tugas di rumah juga banyak diambil alih oleh Hazim. Makan pakai dia semuanya cukup. Sophia terharu melihat pengorbanan masa dan tenaga Hazim. Tidak sekali pun lelaki itu mengeluh.

Tipulah kalau Sophia tak jatuh hati. Walaupun masih bertatih mengenal kembali hati budi Hazim, dia rasa selesa dan dekat bila bersama lelaki itu.

"Sayang... Tak tidur rupanya." tegur Hazim apabila merasakan tangan Sophia bermain-main dengan rambutnya.

Pantas tangan itu dicapai dan dikucup. Hazim perasan Sophia sudah kurang terkejut apabila disentuh, mungkin kerana sudah terbiasa.

"Baby kita dah menendang ke pagi-pagi ni?" tanya dia lagi. Sophia melepaskan tawa kecil.

"Baby pun tidur lagi kot. Saya je yang tak mengantuk."

"Sibuk menilik muka abang, ya?"

"Mana ada."

Sophia membetulkan duduk. Kantoi pula! Lama dia menilik wajah kacak suaminya, sampai dia tak sedar tangannya merayap.

"Are you excited for today?" tanya Hazim.

Hari ini dia akan membawa Sophia untuk keluar window shopping sambil membeli sedikit barang-barang baby. Sudah lama Sophia tidak keluar berjalan-jalan, sekali sekala Hazim teringin membawa isterinya makan angin di luar.

Sophia pantas mengangguk. Cerah mata betul kalau bab shopping. Beberapa hari lepas dia sempat mencari inspirasi untuk menghias bilik bayi di internet. Dia sudah berkira-kira untuk menyusun atur perabot dan kelengkapan si kecil yang bakal lahir itu.

"Awak nak baby perempuan ke lelaki?" tanya Sophia tiba-tiba.

Kata doktor, tidak lama lagi jantina bayi yang dikandung Sophia dapat diketahui.

"Abang tak kisah. Tapi abang teringin anak lelaki. Mesti nanti handsome macam abang." usik Hazim.

"Kalau anak lelaki, saya harap dia caring dan penyayang macam abang." sambut Sophia pula.

Hazim senyum nipis. Biarlah anak yang lahir nanti jauh lebih baik darinya. Akan dia didik anak itu menjadi seorang yang jauh lebih baik berbandingnya.

.

Satu demi satu kedai kelengkapan bayi dikunjungi Sophia dan Hazim. Keperluan seperti botol susu, lampin dan car seat untuk bayi telah dibeli selepas membandingkan antara beberapa harga.

Bukan main cerewet Hazim tatkala memilih barang untuk dibeli, mengalahkan perempuan. Kualiti merupakan keutamaannya, harga belakang cerita. Sophia pula hanya menurut.

Sophia mengambil tempat di sebuah bangku yang kosong setelah keletihan berjalan. Dia ditinggalkan sebentar manakala Hazim meminta diri untuk ke tandas. Tak sabar pula hendak mengisi perut, dia teringin sekali makan di restoran KFC di pusat beli-belah itu.

Sambil meregangkan kaki yang sedikit lenguh, Sophia tidak sedar dirinya dihampiri.

Nasha memandang sekitarnya sebelum mendekati Sophia. Sejak beberapa minit yang lalu, dia asyik mengekori Sophia dan Hazim dari jauh. Setelah berbulan-bulan dia tidak mendengar khabar tentang Sophia, hari ini akhirnya dia sendiri terserempak dengan gadis itu.

Hatinya meronta-ronta ingin menemui Sophia. Keadaan Sophia yang agak berlainan itu membuat dia tertanya-tanyakan apa yang berlaku. Apabila melihat Sophia duduk sendiri, Nasha segera menggunakan peluang keemasan itu untuk menegur.

"Assalamualaikum..."

"Waalaikumusalam." Jawab Sophia sambil berpaling ke sebelahnya. Dia mengengsot sedikit, memberi ruang untuk gadis cantik yang menyapanya ini untuk duduk.

Melihat wajah gadis ini, dia sedikit terganggu. Sophia sedar mereka ada beberapa kali bertembung, namun dia tidak pula mengesyaki apa-apa.

"Sophia. Kau apa khabar?" tanya Nasha berhati-hati.

Keadaan Sophia yang kelihatan baik-baik sahaja itu meyakinkan dia bahawa Sophia sudah sembuh sepenuhnya. Nasha mengambil tempat di sebelah Sophia. Riak wajah Sophia agak terkejut, jadi Nasha cuba untuk berlagak tenang.

"Alhamdulillah, sihat. Awak ni siapa ya?" Sophia menjawab lambat-lambat. Dia masih cuba untuk mengingati wajah Nasha, tetapi gagal.

Nasha pula kelihatan sedikit kaget. Bererti benar desas-desus yang didengarinya, bahawa Sophia menghidap amnesia setelah kemalangan beberapa bulan yang lalu. Sehinggakan Sophia sudah tidak mengenalinya. Barangkali, Sophia juga sudah melupakan tentang Iqbal.

Iqbal. Lelaki jahanam itulah punca Sophia jadi begini. Selagi belum tertangkap, selagi itulah Iqbal berpotensi untuk mengancam nyawa dia dan Sophia. Dendam Iqbal tidak boleh dibawa main.

"Aku Nasha. Kawan sekerja kau dulu. Kau tak ingat aku?" pertanyaan Nasha membuatkan Sophia terdiam sejenak.

"Maaf. Saya tak ingat. Saya­­—"

"Iqbal. Kau ingat Iqbal? Bekas teman lelaki kau?"

Sekali lagi Sophia bungkam. Siapa pula Iqbal? Bekas teman lelaki? Dia tidak ingat langsung tentang Nasha mahupun lelaki yang didakwa bekas teman lelakinya itu.

"Saya tak ingat—"

"Kau betul-betul tak ingat apa jadi sebelum kau accident?" Nasha mengasak lagi Sophia dengan pertanyaan.

"Maaf, saya tak faham." Sophia cuba untuk tidak memaksa diri untuk mengingat apa-apa. Kepalanya mulai sakit.

Apa yang terjadi sebelum dia kemalangan? Menurut apa yang diberitahu Hazim dan keluarganya, dia terlibat dengan kes langgar lari, dan suspek yang melanggarnya masih diburu polis. Apa pula kaitan lelaki bernama Iqbal dengan kemalangan dia?

"Sophia, dengar cakap aku. Kau dalam bahaya, kita berdua dalam bahaya. Selagi si Iqbal tu tak disumbat masuk dalam penjara selagi tu dia akan ganggu kau!" Nasha memberi amaran.

Sophia benar-benar keliru. Tiada kata yang mampu dia tuturkan. Mulut seakan terkunci. Lengannya disentuh Nasha perlahan. Dia hanya setia mendengar.

"Lepas kau putus dengan Iqbal, kau kahwin. Tapi Iqbal masih cari kau. Sampailah kau dah pregnant, dia tetap nak kacau kau. Dia penyebab kau trauma, Sophia. Dia sendiri bagitahu aku yang dia takkan biarkan kau bahagia!"

Sophia rasa tidak senang, dia sudah bangun dan berura-ura untuk pergi dari situ. "Maaf, saya rasa awak salah orang!"

"Sophia! Kau kenal aku! Kita berdua kena aniaya dengan Iqbal. Aku yakin dia punca kau kemalangan, dia memang berdendam dengan kau. Kau ingat kan? Kau ingat apa dia dah buat dekat kau? Sophia, tunggu!" Nasha cuba bangun dan menahan Sophia dari pergi.

Sophia berkeras untuk cuba melepaskan pegangan Nasha terhadapnya. Mendengar kata-kata Nasha tadi, dia jadi mendadak takut. Nama Iqbal yang diulang-ulang itu menambah beban yang bersarang di fikiran, membuat dia gelisah.

"Tolong lepaskan saya, saya tak kenal awak!" berjaya menepis tangan Nasha, Sophia melangkah laju ingin pergi.

"Sophia, aku cuma nak bagi amaran. Kau kena berjaga-jaga. Iqbal pernah cuba nak bunuh kau dengan anak kau! Dia masih bebas kat luar sana!" Nasha tetap membuntuti jejak Sophia.

Keadaan Sophia yang bakal sarat itu nanti menambahkan lagi kebimbangan di hatinya. Dia risau sekiranya kejadian sama berulang lagi.

"Saya tak kenal Iqbal! Saya tak nak dengar, tolong jangan ikut saya!" suara Sophia agak meninggi, hinggakan ada mata-mata yang memandang.

Sophia tidak peduli, fikirannya sudah kacau. Ditambah pula dengan sakit kepala yang menyerang. Matanya bergenang sambil menahan rasa tidak selesa. Dalam keadaan yang dikenali sebagai 'agitation' itu, bila-bila masa sahaja dia boleh bertindak agresif.

Nafas diatur sebaik mungkin. Sophia tercari-cari kelibat suaminya. Di saat dia diserang kesakitan begini, Hazimlah yang selalu menenangkan dia.

"Aku cuma nak kau selamat, Sophia! Mesti ada sesuatu berlaku antara kau dengan Iqbal sebelum kemalangan tu!" langkah Nasha akhirnya terhenti. Sia-sia sahaja, Sophia tidak mahu lagi mendengar biacaranya.

Hanya Sophia dan Iqbal tahu apa yang terjadi. Sekiranya Sophia mampu mengingati tragedi yang menimpanya, itu bakal menguatkan lagi bukti untuk menangkap Iqbal.

Makin laju derap kaki Sophia meninggalkan Nasha. Matanya melilau ke sekeliling. Tercari-cari gerangan Hazim. Pandangan Sophia sedikit berbalam melihat orang ramai di kiri kanannya.

"Abang...!" bisiknya.

Tangan Sophia berpeluh-peluh, dadanya berdegup kencang. Sophia mencari nafas, agar denyut kepalanya beransur hilang. "Ouch!"

"Abang...!" Sophia mengerang kecil. Tubir matanya sudah basah dengan air mata. Ada pengunjung yang lalu lalang yang cuba berhenti untuk mendekatinya, namun nama Sophia sempat dipanggil seseorang.

"Sophia!" kedengaran namanya dipanggil seseorang.

"Sayang?! Kenapa ni?" Hazim meluru mendapatkan Sophia yang sedang teresak kecil di suatu sudut, jauh dari ruang legar kompleks beli-belah itu.

Sophia dibawa Hazin ke dalam pelukan, esakannya sedikit kuat. Hazim bertambah risau. Baru sekejap ditinggalkan, Sophia sudah hilang dari pandangan. Mujur tidak jauh isterinya itu berlegar.

"Shh... It's okay. Abang ada. Kenapa ni, sayang? Bagitahu abang." Hazim mengusap belakang Sophia perlahan. Dia juga bimbang emosi Sophia akan memberi kesan kepada kandungan.

Apabila sudah sedikit reda tangisnya, Sophia meleraikan pelukan. Tangannya yang sejuk ketar selamat di dalam genggaman Hazim.

"Saya nak balik..."

"Tadi sayang cakap nak makan KFC kan? Tak lapar?" Hazim mengesat air mata Sophia dengan tangannya. Kasihan betul melihat keadaan Sophia. Tiba-tiba sahaja mood isterinya itu bertukar 180 darjah.

"Tak nak... Saya nak balik..." Sophia merayu lagi. Seleranya sudah hilang. Dia cuma ingin keluar dari tempat itu.

"Okey, okey. Kita balik. Come on, it's okay. Kita ambik barang dulu, okay? Jom." Hazim mengikut tanpa banyak tanya.

Sebaiknya di rumah nanti dia bertanyakan hal yang sebenar. Segan juga bila ada yang memerhati dia memujuk Sophia.

.

Bunyi jeritan beberapa orang pengunjung wanita menggamit suasana yang sedia ada bising. Kelab malam yang tadinya rancak dengan bunyi muzik bertukar menjadi haru-biru tatkala sekumpulan anggota polis membuat serbuan.

Inspektor Azfar menyembunyikan diri di balik sebuah dinding tatkala beberapa tembakan terarah kepadanya. Ruang sempit yang diterjah tadi jadi kucar-kacir. Beberapa konco-konco Iqbal yang juga bersenjata cuba mempertahankan diri.

"Jangan bergerak!" jerit Inspektor Azfar lantang.

Dua antara orang terdekatnya berjaya mereka gari manakala Iqbal sempat melepaskan beberapa das tembakan sebelum meloloskan diri. Inspektor Azfar mengejar sekuat hati.

"Iqbal, berhenti!!!"

BANG BANG BANG!

Sampai di pintu utama kelab, Iqbal menoleh dan melepaskan lagi berdas-das tembakan rambang. Malangnya, sebutir peluru yang terlepas sempat mengenai sipi  lengan kiri Inspektor Azfar.

Melihat sebuah kereta waja hitam yang sudah sedia menunggunya, Iqbal pantas berlari masuk ke dalamnya. Sepantas kilat kereta itu meninggalkan tempat kejadian.

"Damn!" Inspektor Azfar merengus sambil menahan kuat sebelah lengan yang cedera. Sambil mengerang kecil, dia mengengsot dan bersandar sekejap di dinding.

Tindakan pantas Iqbal mematahkan sekali lagi usaha Inspektor Azfar pada malam itu. Sememangnya Iqbal licik dan mempunyai ramai mata-mata yang melindunginya. Ini kali kedua Iqbal terlepas dari tangan pihak polis.

.

P/s: Maaf buat korang tertunggu-tunggu update. Selamat membaca...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience