Pagi itu Hazim mengejutkan Sophia untuk solat subuh bersama. Sophia hanya menurut tanpa banyak kata. Selesai berjemaah, Hazim sempat mencapai tangan Sophia untuk duduk di sampingnya.
Jemari runcing Sophia dibawa dekatnya dan dicium penuh kasih. Sophia masih diam membisu. Pandangan Hazim tidak dibalas.
"Happy monthsary, sayang." ucap Hazim. Serentak itu anak mata Sophia naik memandangnya.
Sophia tahu hari ini cukup lima bulan mereka bergelar suami isteri. Namun dia menyangkakan Hazim akan lupa pada tarikh keramat ini. Dengan kesibukan mereka berdua disebabkan kerja, masing-masing hanya akan menyambut secara kecil-kecilan.
"Sorry, abang marah-marah awak minggu lepas. Abang—"
"Abang." Sophia mencantas.
"Boleh saya tanya abang sesuatu?"
"Apa dia?"
Sophia tarik nafas dalam sebelum melontarkan soalan. "Abang bahagia ke selama lima bulan ni?"
Ada getar dan pengharapan dalam suaranya. Hatinya membentak dalam diam. Suara-suara asing mula saling berbisik.
'Please lie to me, once.'
'Tolong cakap yang abang bahagia.'
'Please just say it.'
'Katakan abang bahagia, walaupun abang rasa yang sebaliknya. Tolong.'
Dahi Hazim sedikit berkerut, namun jawapan pantas diberikan. "Mestilah abang bahagia. Kenapa awak tanya macam tu?"
"Tak ada apa. Saya nak siapkan breakfast dulu ya." Sophia senyum kekok sebelum bangun dari situ. Sedar akan mungkin jawapan Hazim hanyalah untuk menyedapkan hatinya.
"Sophia." Hazim menarik kembali lengan Sophia. Kali ini jari-jari isterinya digenggam erat biar Sophia tidak dapat mengelak.
"Sayang. Kenapa ni? Kenapa tanya abang soalan tu?" Hazim pandang ke dalam mata Sophia, memaksanya untuk berterus terang. Melalui riak wajahnya, Sophia tidak pandai menyembunyikan kesedihan yang dialami.
"Saya cuma nak kepastian." Takkanlah dia mahu bertanyakan Hazim tentang apa yang dia lihat? Sophia tidak mahu dituduh cemburu buta.
"Kenapa? Awak tak bahagia dengan abang?" ulang Hazim. Kali ini soalan sama berbalik kepada Sophia.
"Saya bahagia sangat. Abang satu-satunya lelaki yang saya cinta. Cuma... hati saya tak pasti kalau abang pun rasa benda yang sama." meluahkan isi hati yang terbuku sejak lama, Sophia dijentik rasa pilu yang teramat. Hazim pula terdiam.
"So, sekarang ni awak ragukan cinta abang pulak?"
"Tak, bukan macam tu maksud saya."
"Habis tu? Bagitahu abang. Apa abang boleh buat untuk buktikan yang abang sayang awak." Hazim tak puas hati.
Kadang kala apa yang diperkatakan Sophia tak tercapai dek akalnya. Seakan Sophia sengaja ingin mencabar emosinya.
"Bagitahu abang, Sophia. Jangan diam." Hazim memandang tepat ke wajah Sophia.
Kalau dulu isterinya ini petah berbicara, kini Sophia hanya membisu dengan riak yang tidak dapat ditafsirnya. Setelah insiden mereka bergaduh besar, Sophia menjadi lebih pendiam.
Sophia akhirnya menggeleng kepala. Takut melihat wajah serius Hazim yang seperti mahu menelannya. Dia tidak mahu lagi bertelagah dengan Hazim. Cukuplah layanan dingin dari suaminya yang beberapa hari yang lepas cukup menyiksa batinnya. Dia cukup penat.
"Abang tak faham apa yang awak nak..." bisik Hazim perlahan.
"Saya tak nak apa-apa. Abang dah jawab soalan saya tadi. Maafkan saya. Abang lupakan jelah apa yang saya cakap." Sophia cuba ukir senyum nipis walaupun payah.
Hati yang bagai disiat-siat, hanya Tuhan yang mengerti. Apa yang dia mahu? Dia juga tak pasti. Bagaikan ada sesuatu yang semakin menjarakkan antara dia dan Hazim. Walaupun jasad mereka saling dekat, namun hati mereka bagaikan begitu jauh.
Hazim mendecit perlahan apabila Sophia sudah menghilang pergi. Wajah diraup kesal. Konflik antara dia dan Sophia ibarat tiada penghujung. Hari ini sepatutnya mereka saling meraikan kasih sayang antara suami isteri, malah sebaliknya yang berlaku.
Selepas bersarapan, Sophia memerhatikan kereta Hazim meninggalkan halaman rumah dari arah balkoni. Dengan rasa sedih yang bersisa, Sophia kembali duduk di katil. Sebuah teks Whatsapp ditaip, untuk dihantar ke Hazim.
'Happy five monthsary, abang. Saya tahu saya bukan seorang isteri yang sempurna. Saya banyak kekurangan. Saya banyak menyusahkan abang.Tapi percayalah, saya sangat bahagia selama menjadi isteri abang. Abang segala-galanya buat saya. Saya cuma harap abang dapat terima saya seadanya. Nanti abang balik, kita makan malam sama-sama ye. I always love you, abang.'
Setitis air mata yang jatuh Sophia kesat perlahan. Butang send ditekan.
.
Nadine merenung wajah monyok Sophia. Mereka bersama-sama membuat panggilan video kepada orang tua mereka yang sedang jauh. Kedua mama dan papa mereka bukan main gembira mendengar cerita bahawa mereka bakal menimang cucu. Namun selepas itu, kakaknya kembali kelihatan sedih.
Sebagai seorang yang bujang dan belum berkahwin, mana mungkin dia dapat memahami kemelut rumahtangga yang dihadapi Sophia. Bagi orang luar sepertinya, dia tidak berhak menghukum siapa yang benar siapa yang salah.
"Kakak sabar ye..." hanya itu pesan Nadine saban hari. Nadine risau sekiranya kandungan Sophia terjejas akibat stress.
"Akak tetap akan pertahankan rumahtangga akak. Itu janji akak dekat baby ni. Akak anggap semua ni ujian Tuhan. Akak kena kuat untuk anak ni." ujar Sophia sambil memegang perutnya yang sudah mulai menampakkan bentuk.
Nadine leka memandang Sophia bercakap-cakap dengan anak yang dikandungnya. Betapa sayangnya Sophia terhadap abang iparnya. Kuatnya kasih seorang wanita terhadap suaminya walaupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan.
"Akak sayangkan abang Hazim?"
Sophia angguk pasti. "Akak sayangkan dia sangat. Macam akak sayangkan baby ni. Dua-dua akak akan jaga sebaik mungkin, ibarat nyawa akak sendiri."
Nadine tersentuh mendengar apa yang diperkatakan Sophia. 'Ya Allah, kau bantulah kakakku yang penyabar ni.'
"Nadine yakin akak boleh lalui semua ni dan suatu hari nanti kebenaran akan berpihak pada akak. Nadine tahu akak kuat. Nadine janji akan sentiasa ada kalau akak perlukan bantuan."
"Thanks, dik." Sophia masih bisa mengukir senyuman walaupun di hatinya tersimpan seribu satu cerita duka.
"Jom, Nadine teman akak beli barang-barang akak tu." Nadine mengajak dengan muka ceria, berharap Sophia dapat melupakan sebentar masalahnya.
Sophia angguk perlahan. Hari ini dia berhajat untuk meninjau barang-barang persiapan untuk trimester pertama. Walaupun masih terlalu awal, Sophia sungguh tidak sabar untuk mencari pakaian bayi yang comel-comel untuk anak yang bakal lahir.
.
Sophia melambai ke arah Nadine yang berlalu masuk ke dalam bangunan. Dia ingin cepat pulang ke rumah kerana agak keletihan. Sejak mengandung, Sophia mudah penat walaupun tidak banyak membuat kerja-kerja berat. Syukur, dia tidak mempunyai alahan terlalu teruk seperti ibu-ibu hamil yang lain.
Sophia mengerling jam di pergelangan tangan, sudah hampir jam 5. Baru dia teringatkan sesuatu. "Aduh, barang makan belum beli!"
Sophia berpatah semula dari jalan yang sepatutnya menuju ke rumah. Dia ingin singgah ke pasaraya terlebih dahulu. Bolehlah dia masakkan lauk istimewa untuk Hazim sempena makan malam mereka nanti. Tanpa dia sedari, sebuah kereta sudah dari tadi mengekori dari belakang.
Lancar sahaja urusan pembelian barang dapur Sophia memandangkan tidak ramai pengunjung dalam pasaraya berdekatan dengan rumahnya itu. Terkocoh-kocoh juga Sophia menjinjit beg plastik di tangan kerana takut terlewat.
Dalam kekalutan dia ingin mengeluarkan kunci kereta dari tas tangan, Sophia terlanggar seseorang dari arah bertentangan. Habis jatuh barangnya. 'BUKK!'
"Maaf—" Sophia lekas mendongak.
"Sophie..." Wajah Iqbal yang begitu dekat dengan Sophia membuatkan wanita itu berundur.
Belum sempat Sophia ingin lari, Iqbal terlebih dahulu menarik lengannya. Sophia meronta-ronta ingin melepaskan diri. "Lepaskan aku!"
"Easy, easy Sophia!" Iqbal memeluk Sophia lebih dekat. Mulut Sophia ditekup pantas sebelum dia sempat menjerit.
Mata Sophia membulat apabila dirasakan ada sesuatu mencucuk di bahagian perutnya. Terus dia berhenti bergerak-gerak. Perasaannya ingin menjerit, namun dia bimbangkan keselamatan diri.
"Kalau kau nak baby kau selamat, ikut cakap aku. Jangan bergerak. Masuk kereta aku." Iqbal yang sedang mengacu sebilah pisau di perut Sophia memberi amaran.
Suasana di parkir kereta yang sunyi itu memudahkan kerjanya. Sophia menurut seperti lembu dicucuk hidung. Dia tidak punya pilihan. Masuk sahaja ke dalam kereta Iqbal, Sophia ditolak ke bahagian penumpang.
Iqbal mengunci kereta sambil pisau masih dituju ke arah Sophia. Terketar-ketar Sophia memandang wajahnya. Peluh sudah merenik di dahi wanita itu. Iqbal menayang barisan gigi yang tersusun. Senyum menganjing yang menambah sakit di hati Sophia.
"Kau nak apa?"
"Nak kau! hehehe!" Iqbal mengacah senjata di tangan hinggakan Sophia kaku. Silap langkah, dia akan menjadi mangsanya.
"Jangan buat aku macam ni, Bal..." Sophia merayu dalam ketakutan. Apabila rayuannya hanya disambut dengan ketawa, air mata mula membasahi pipi.
Takut, bimbang. Dia bingung bagaimana Iqbal boleh tahu akan kehamilannya.
"Relaks. Aku cuma nak sembang."
Sophia menggeleng tanda tidak mahu. Tangisan makin deras. Hanya keselamatan kandungan yang menjadi keutamaan.
"Sophia, Sophia. Kau memang sengaja buat aku macam ni kan? Kau bahagia tengok aku macam ni."
"Baby ni." Iqbal menunjuk-nunjuk perut Sophia dengan pisau yang dipegang.
Makin berderau darah Sophia. Berzikir dia di dalam hati meminta perlindungan yang Esa.
"Mesti kau hairan macam mana aku boleh tahu, kan? Kau tak berahsia dari aku, Sophia. Kau ingat kau boleh lepas?"
"Jangan apa-apakan anak aku, tolong Iqbal! Aku akan ikut cakap kau, aku boleh bagi kau duit. Jangan apa-apakan aku, tolong. Kesiankan aku! Anak ni tak salah." bersungguh-sungguh Sophia merayu.
"Ah!!! Aku tak nak duit kau! Aku sakit hati dengan kau, kau tahu tak! Budak ni sial! Kau memang sial! Arghhh!!!" Iqbal menepuk-nepuk dahi bagai orang hilang akal. Pisau sudah terlepas dari tangannya.
"Jangan, Bal. Jangan..." Makin kuat esakan Sophia dibuatnya.
"Kalau kau kahwin dengan aku, budak ni takkan ada! Kau yang salah! Aku benci kau! Aku benci kau, Sophia!" Iqbal bertindak mencekik leher Sophia. Amarah yang sudah tidak terkawal menyebabkan dia seperti dirasuk syaitan.
"Bodoh punya pompuan! Mati kau! Aku benci kau!"
"Uhukk!!! uhuk!" Sophia menggelupur kesakitan. Makin kuat dia menggelepar, makin kuat cengkaman Iqbal terhadapnya.
Share this novel