Suasana di dalam kafe itu agak lengang memandangkan jam sudah menginjak ke angka 12. Kira-kira empat buah meja yang masih diduduki, termasuk yang berada di suatu sudut kedai.
Setelah meletakkan not kertas bernilai lima puluh ringgit di atas meja, seorang wanita bertubuh genit bangun dari meja, diikuti pula oleh seorang lelaki yang tadi duduk di sebelahnya.
Keluar sahaja dari kedai itu, Iqbal pantas mencengkam keras lengan Sophia Kirana. Gadis itu ditarik menuju ke arah kereta yang diparkir agak jauh dari situ.
"Iqbal! Lepaskan aku lah!" Sophia menyeringai tatkala pegangan Iqbal semakin menyakitkan.
"Kau jangan degil, Sophia!" balas Iqbal tanpa mempedulikan pukulan balas dari Sophia.
Seorang lelaki yang berusia lewat 30-an turut menjadi saksi dari jauh. Hanya memerhati gelagat si lelaki yang menarik pasangannya pergi dari situ. Dari tadi dia terdengar sayup-sayup suara keduanya bertekak.
Pintu kereta pada bahagian penumpang dibuka Iqbal dan tubuh Sophia ditolak masuk dengan kasar.
"Sakitlah bodoh!" adu Sophia.
"Tahu pun sakit! Hati aku ni sakit, pernah ke kau fikir!" pintu kereta dihempas pula. Lalu Iqbal turut serta ke dalam kereta di sebelah bahagian pemandu.
"Kau nak apa hah?!" Sophia menggosok pergelangan tangan yang mulai kemerahan.
"Aku nak duit! Bagi je lah!" balas Iqbal separuh menjerit.
"Kau ingat aku kerja penat-penat untuk kau ke? Berapa banyak dah duit aku habiskan untuk kau!"
"Eh, kau jangan nak melawan eh! Aku ni bakal suami kau! Kau kena dengar cakap aku!"
"Tak nak! Eii lepaskan aku lah Bal!Sapa yang nak kahwin dengan kau?! Jangan mimpi lah!"
"Apa kau cakap? Apa kau cakap Sophia aku tak dengar! Kau ulang sekali lagi?!" kali ini rambut paras bahu Sophia pula ditarik.
"Auww!! Sakitlah gila!" jerit Sophia sewaktu kulit kepalanya terasa sakit.
"Ulang balik apa kau cakap!!"
"Aku tak nak kahwin dengan kau! Gila!!" jerit Sophia betul-betul mengenai wajah Iqbal. Menitik jua air matanya menahan amarah Iqbal.
"Sial punya pompuan! Kau dengar sini eh, kau tu setakat jual muka, jual tubuh, tak payah sombong!! Tak payah kedekut!" Iqbal melepaskan cengkaman pada rambut Sophia dengan kasar.
Suis kereta dihidupkan, lalu kereta Proton Preve itu memecut laju membelah keheningan malam.
"Kau jangan buat hal eh, Sophia. Kau jangan sampai aku naik angin. Baik kau ikut je cakap aku!" omel Iqbal sambil matanya lurus ke arah jalan si hadapan.
"Sampai bila kau nak hidup macam ni?! Kau cakap nak cari kerja! Kahwin konon. Lepas kahwin kau nak bagi aku makan apa?!" balas Sophia, masih mengesat sisa airmata di pipi.
"Berapa kali kau cakap nak berubah! Berubah apa Bal? Berubah apa kalau kau masih nak pukul aku? Masih nak berkasar dengan aku?!" makin lantang suara Sophia, makin marah Iqbal dibuatnya.
"Diam!!!" Kereta dibrek secara mengejut, sehingga Sophia terbangun dari tempat duduk.
Keadaan jalan yang agak sepi membuatkan Sophia naik takut. Harapannya, dapat dia melarikan diri jika Iqbal naik hantu.
"Asal kau cakap lagi pasal ni? Kau memang nak kena kan? Kau memang nak suruh aku naik gila kan Sophia?!"
Kali ini Iqbal merentap pipi mulus Sophia, dicengkam kuat sehingga Sophia menangis kembali. "Sakit, Bal!!!"
"Aku dah cakap! Jangan buat aku marah! Jangan melawan!" Iqbal ibarat kerasukan. Tidak cukup kepala Sophia ditonyoh, ditampar pula pipi gadis itu sehingga kemerahan.
"Jangan!! Jangan Iqbal!!!" rayu Sophia yang tidak berdaya. Walaupun itu bukanlah kali pertama, sakitnya tetap luar biasa.
"Kau akan jadi bini aku! Aku tahu la apa aku nak buat!!! Kau tak payah nak ajar aku!"
Sophia menjerit minta dilepaskan. Tidak kuat lagi mahu bertekak dengan Iqbal. Dia mula runsing sekiranya keadaan semakin memburuk.
Iqbal berhenti memukul Sophia ketika dia seakan kembali waras. Melihat Sophia yang teresak-esak, dia meramas rambut sendiri, "Bodoh!"
"Aku dah cakap, Sophia!! Kau degil!! Kau keluar! Keluar dari kereta aku!" jerit Iqbal. Marahnya masih belum reda, namun dia cuba mengawal diri.
Sophia membetulkan rambut yang kusut masai. Wajah yang comot dengan air mata dibiarkan saja. Belum sempat pun dia ingin mencapai pintu kereta, Iqbal terlebih dahulu meluru keluar.
Setelah pintu dibuka, Iqbal menarik lengan Sophia keluar.
"Iqbal, hantar aku balik please!" rayu Sophia setelah dia sedar keadaan di jalan itu agak sepi.
Hanya sesekali bunyi kenderaan lalu-lalang, tanpa mengerling pun ke arah mereka. Barangkali tidak mahu masuk campur.
"Kau tak dengar cakap aku. Kau balik sendiri!!" Iqbal mencapai tas tangan berwarna merah jambu Sophia, lalu dilempar mengenai tubuh gadis itu.
Tidak cukup dengan habis terkeluar isi beg tersebut, Iqbal sempat mengambil beberapa keping wang kertas dari dompet Sophia.
"Bal, jangan.." Sophia yang hanya mampu merintih melihat perlakuan Iqbal tidak lagi melawan. Dia serik disakiti. Pipinya pun masih pijar.
"Kau bagitahu sesiapa, siap kau!" amaran terakhir diberikan sebelum Iqbal kembali masuk ke dalam kereta dan memecut jauh.
Sophia menangis semahunya. Segala barangan yang terabur di tepi jalan dikutip satu-persatu. Fikirnya Iqbal hanya marah biasa. Belum pernah dia ditinggalkan sampai sebegini rupa.
Telefon bimbit dicapai. Skrin yang sudah retak juga akibat amukan Iqbal itu dipandang sayu. Tempoh hari juga dia menerima nasib yang sama. Hanya gara-gara Iqbal cemburu dengan rakan sekerjanya, telefon itu dibaling.
Menata skrin sambil mengesat air mata yang tidak henti-henti, Sophia buntu ingin meminta tolong pada siapa. Mama dan papanya di luar negara, ingin menghubungi rakan-rakan lain pula dia takut. Bimbang kerana tidak mahu ketahuan kejadian tadi.
Sedang Sophia menahan pedih di bahagian muka, sinar lampu dari sebuah kereta menyilaukan pandangannya. Sebuah Audi berwarna kelabu gelap berhenti di kaki jalan.
Seorang lelaki tinggi lampai keluar dari bahagian pemandu lalu bergegas mendekati Sophia. Sophia cuba menjauh beberapa langkah namun lelaki itu terlebih dahulu memanggil dia.
"Cik! Cik tak apa-apa?" Hazim Ikmal perasan akan Sophia yang cuba tunduk menyembunyikan wajahnya.
Wajah Sophia yang masih basah dan kelihatan lebam-lebam jelas membuktikan bahawa dia baru sahaja dikasari. Dari tadi lagi Hazim sudah tidak sedap hati ketika melihat gadis itu dan seseorang bergaduh.
"Saya tak apa-apa...Encik! Apa ni?" Sophia terkejut apabila Hazim bertindak memegang legannya, menghalang dari dia melarikan diri.
"Cik, mari saya bawak cik pergi klinik." Akhirnya Hazim sedar akan tepi bibir Sophia yang pecah. Sekitar wajahnya juga bengkak.
"Takpe, encik. Jangan. Saya tak apa-apa!" tegas Sophia.
"Jangan macam ni, teruk keadaan awak ni. Awak kena pukul kan? Elok kalau pergi check. Jom, saya hantarkan." Hazim berkeras juga.
"Tak apa encik, saya okey. Sikit je ni. Saya nak balik!."
"Sikit apa macam ni? Meh saya hantarkan pergi klinik, lepas tu kita buat police report!" tekad Hazim, luluh hatinya melihat keadaan Sophia begitu.
"Jangan encik, saya mohon. Please jangan report polis, encik. Tolong saya.."
"Takkan awak nak biar je macam ni? Jangan risau, niat saya baik. Please, at least kita pergi cuci luka awak tu."
"Saya okey je encik. Betul! Luka sikit je!" Sophia masih berdegil, walaupun dia sedar hanya lelaki itu yang boleh menolongnya saat ini.
"Atau awak nak saya call je polis datang sini?" Hazim mengugut.
"Jangan!! Jangan encik!! Please!" rayu Sophia.
"Kalau macam tu awak ikut saya pergi klinik. Please, saya cuma nak tolong awak."
Hazim akhirnya memimpin Sophia masuk ke dalam kereta. Sophia hanya menuruti tanpa membantah lagi. Dia malu, sejujurnya. Apa yang akan dia jelaskan jika ada yang bertanya?
--
Hazim singgah ke klinik 24-jam yang terletak berhampiran apartmennya. Mujur tidak ramai yang ada, cepat sahaja proses rawatan Sophia dilakukan. Hazim hanya menunggu di ruang hadapan bilik doktor. Hendak masuk, pasti dia ditegah oleh Sophia lagi. Sedangkan dia hanya orang asing.
Macam-macam pertanyaan yang bersarang di minda Hazim. Mula dari pergaduhan Sophia di kafe tadi sehingga ke detik ini. Siapakah lelaki kejam yang sanggup meninggalkan Sophia di tepi jalan tadi? Teman lelakinyakah?
Keluar sahaja Sophia dari bilik rawatan, Hazim bergegas mendapatkannya. Sophia tunduk lagi ketika Hazim menghampiri.
"Awak okey?" Hazim bertanya lembut. Dia tahu Sophia masih takut-takut.
"Okey.." suara Sophia berbisik. Lukanya sudah disapu ubat. Dia mahu ke kaunter untuk membayar dan terus pulang.
"Takpe, saya bayarkan." Hazim terlebih dahulu menghalang Sophia dari mengeluarkan wang dari dompet.
"Saya boleh bayar sendiri—" Sophia jadi malu apabila melihat Hazim bersusah-susah. Baru dia teringat dompetnya juga kosong. Jadi dia tidak melawan lagi.
"No. It's okay." Selesai membuat bayaran, Hazim mengiringi Sophia keluar dari situ.
"So, rumah awak dekat mana? Saya hantarkan." tanya Hazim.
"Tak jauh dari sini. Maaf menyusahkan awak." Sophia baru sempat meminta maaf terhadap lelaki yang dikira penyelamatnya malam ini.
"Mari." Hazim mempelawa Sophia masuk ke kereta.
Sepanjang perjalanan, mereka berdua hanya membisu. Hazim belum ingin bertanya, Sophia juga tidak berani membuka cerita. Hanya sesekali dia menjawab apabila Hazim bertanyakan jalan ke rumah.
Sampai sahaja di hadapan sebuah rumah batu yang sederhana besar, Hazim tidak dapat menahan diri dari bersuara.
"Awak betul tak apa-apa?" tanya Hazim.
"Saya okey. Terima kasih encik—"
"Hazim. Just call me Hazim. Awak Sophia kan?" Hazim bertanya untuk kepastian, sedang dia perasan akan nama yang tertera pada kad pengenalan Sophia waktu di klinik tadi.
"Ya, saya. Terima kasih sebab tolong saya. Saya terhutang budi sangat dengan awak. Pasal duit tadi, boleh awak tunggu sini? Saya masuk dalam ambik duit sekejap?—"
"Sophia." Hazim mencapai lengan Sophia yang baru sahaja ingin keluar dari kereta, hinggakan gadis itu berpaling semula.
Seketika mata mereka saling bertentangan. Pegangan Hazim pada Sophia masih belum terlerai. Ralit Hazim memerhatikan wajah sugul Sophia, seakan dia memandang seseorang yang lama dirindui.
Mata bundar Sophia yang jernih itu seakan menghanyutkan Hazim. Perasaan halus itu datang lagi. Namun cuma sebentar, sebelum dia tersedar semula.
Pantas Hazim melarikan tangannya, bimbang Sophia salah erti. Cepat-cepat bayangan lama itu berlalu pergi. Sophia juga terdiam.
"Sorry." Hazim menggaru kepala yang tidak gatal.
"Tak apa." jawab Sophia dalam segan.
"Tak perlu ganti duit tu. Saya ikhlas tolong awak. Cuma, boleh saya tahu apa yang terjadi?"
Sophia membisu sebentar sambil bermain dengan jari-jemarinya. Masih takut sekiranya kejadian ini akan Hazim bawa ke pengetahuan orang lain.
"Jangan risau. It's just between awak dengan saya. Saya janji." seakan faham apa yang bermain di minda gadis itu, Hazim tenang menunggu jawapan Sophia.
"Ianya cuma salah faham antara saya dengan kawan saya." Sophia jawab sepatah.
"Lepas tu dia pukul awak?"
"Salah saya. Sebab saya tinggikan suara dekat dia. Saya yang buat dia marah." Sophia tunduk lagi.
"But still, teruk dia pukul awak. Awak tak boleh biarkan je macam ni, Sophia."
"Saya tak apa-apa. Saya nak masuk dulu, terima kasih sebab tolong saya.." Sophia enggan menerangkan panjang lebar, masih dia teringatkan ugutan Daniel tadi.
"Ok." jawab Hazim sambil satu keluhan dilepaskan.
Sophia lekas membuka kembali pintu kereta dan berlalu masuk ke dalam kawasan pagar. Hazim menghantar pandangan ke arah gadis itu sehingga dia selamat melangkah ke dalam rumah.
Aneh sungguh! Bercampur baur perasaan Hazim kali ini. Melihat keadaan Sophia tadi, dia jadi simpati. Suatu perubahan baru baginya, dia jadi sensitif apabila melihat wanita disakiti.
Share this novel