27

Romance Completed 48873

Satu bulan kemudian...

Hazim setia menunggu di sisi katil. Merenung wajah kosong Sophia kini sudah menjadi rutin hariannya. Hampir setiap hari dia akan menjenguk Sophia. Mengikuti setiap perkembangan Sophia dari semasa ke semasa.

"I miss you..." kata rindu terluah jua dari bibirnya.

Hazim teringat kata-kata Dr. Kamal tadi.
Perkembangan kandungan Sophia yang positif meyakinkannya untuk terus berharap. Dia yakin suatu hari nanti Sophia akan kembali padanya.

Sophia sudah mampu bernafas sendiri, namun tempoh untuk dia kembali sedar masih menjadi persoalan. Hal ini kerana Sophia belum menunjukkan tanda-tanda untuk membuka mata, atau dalam erti kata lain belum memasuki fasa ‘vegetative state’.

Walaupun masih menunggu agar keajaiban berlaku, Hazim harus bersedia sekiranya keadaan berlarutan. Peratus untuk Sophia kembali sedar akan menipis sekiranya tiada perkembangan baru.

Hazim memperkemas tautan di jari-jemari Sophia. Tidak akan dia putus asa menanti Sophia dan anaknya.

“Terima kasih, sudi jadi peneman hidup abang. Maafkan abang atas segala salah silap abang. Abang sentiasa doakan kebaikan untuk sayang. Abang redha dengan sayang selama ni…” bisiknya.

Hazim dapat rasakan mata yang memberat. Dia rindu untuk bercakap-cakap dengan Sophia. Dan rindu itu tidak mampu untuk dia ungkap dengan kata-kata.

Natrah yang berada di luar bilik wad mendengar butir bicara Hazim. Sebelum ingin masuk, dia sempat mendengar luahan hati Hazim.

Hatinya tersentuh, dia juga sedih seperti Hazim. Setiap hari dia tidak henti mendoakan Sophia. Moga ada sinar harapan buat anak dan menantunya.

Bunyi ketukan pada pintu bilik wad menyedarkan Hazim. Natrah sudah sampai untuk menjaga Sophia sementara dia pulang.

"Abang balik dulu. Assalamualaikum."

Hazim sempat berbisik di telinga Sophia dan mengucup dahi isterinya. Perut Sophia yang sudah menampakkan bentuk juga diusap. Lalu dia meminta diri untuk pulang.

"Saya balik dulu ya, mama. Besok saya datang lagi."

"Okey. Hati-hati Ikmal." Kepergian Hazim dihantar dengan pandangan sayu oleh Natrah.

.

Hazim membuka kelopak mata perlahan-lahan. Tiada satu orang pun di sekelilingnya. Hanya kabus putih memenuhi suasana.

Dia bangun dari posisi baring. Sayup-sayup kedengaran namanya dipanggil, Hazim berpaling ke kiri dan kanan. Tercari-cari arah tujuan.

“Abang…”

Hazim dengar jelas suara itu. Suara yang amat dia rindui. Suara yang lama dia tunggu-tunggu.

“Sophia!” sahut Hazim.

Walau berkali-kali dia memanggil nama itu, bayang wajah Sophia tidak muncul juga.

“Abang!” kali ini suara itu makin mendekat.

Hazim menoleh lagi. Kosong.

“Sayang? Sophia?”

Satu tepukan singgah di bahu Hazim.

“Abang!”

“Sophia!” jerit Hazim.

Hazim terbangun dari lena.

"Allahuakhbar..." lencun baju Hazim dibasahi peluh.

Ruang sebelahnya yang kosong diraba-raba. Rupanya dia hanya bermimpikan Sophia.

"Astaghfirullahalazim..." Hazim tunduk meraup wajah dan mengambil nafas panjang.

Jam di tepi katil ditenung. Baru jam 4 pagi tapi matanya sudah terlajak segar. Hazim berkeputusan untuk bangun bagi menunaikan solat.

Setelah siap berwuduk, Hazim lekas menghampar sejadah. Takbir diangkat, lalu dia menunaikan solat tahajjud sebanyak empat rakaat. Setelah itu disambung pula dengan solat sunat taubat dan solat hajat dua rakaat.

Tenang segenap jiwanya usai memberi salam. Sudah lama dia tidak bangun solat malam. Kali terakhir dia tekun mengamalkan solat hajat dan solat sunat adalah sewaktu di sekolah berasrama penuh dahulu.

Namun setelah bertahun-tahun meninggalkan alam persekolahan, amalan itu sudah tidak dititikberatkan lagi. Akibatnya, dia makin lalai dan leka dengan hal keduniaan.

Masih terpahat di ingatan pesan ustaznya dahulu. Solat malam adalah salah satu cara untuk seorang hamba mendekatkan diri kepada Tuhannya, juga sebagai pencegah dosa dan penebus kesalahan.

Hazim tunduk memuhasabah diri. Menyedari begitu banyak dosa yang pernah dia lakukan, tetapi Allah tidak putus-putus melimpahkan rezeki buatnya.

Harta yang banyak, kehidupan yang senang, kesihatan yang baik serta keluarga yang lengkap. Tetapi masih sahaja dia tidak bahagia dan bersyukur.

Dengan serendah-rendah hati, tangan ditadah memohon doa. Di malam yang sunyi dan hening itu, air mata Hazim tumpah lagi.

“Ya Allah, padaMu aku berserah diri. Aku mohon padaMu Ya Allah, ampuni dosa-dosaku. Dosa kedua ibu bapaku, serta dosa isteriku. Berikanlah kesembuhan kepada isteriku. Kembalikanlah dia ke pangkuanku, Ya Allah…” saat ini makin sebak Hazim rasakan. Setiap bait doa dihayati sebaik mungkin.

“Aku bersyukur akan anugerah kurniaanMu Ya Allah. Kau berikanlah kesihatan yang berpanjangan buat isteri dan anakku yang aku cintai. Tiada yang dapat menyembuhkan penyakit kecuali Engkau. Kurniakan kami kekuatan untuk terus bersama, Ya Allah. Berikan aku petunjuk, untuk menjadi suami yang terbaik buatnya. Tiada Tuhan melainkan Engkau, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan kekuasaan-Mu. Amin. Ya Rabbal Alamin…”

Selesai mengaminkan doa, Hazim duduk berteleku disejadah. Sedang dia beristighfar sendiri, telefonnya berbunyi.

Hazim bangkit untuk mencapai telefon. Nama pemanggil dilihat sebentar. Lalu butang hijau ditekan.

"Waalaikumusalam, mama. Ada apa mama?"

"Ikmal, Sophia dah sedar!" suara ibu mertuanya kedengaran di hujung talian.

.

Setelah solat subuh, Hazim tidak sabar-sabar ingin bersiap. Biarpun teruja dengan berita yang diterima awal pagi tadi, hatinya berdebar-debar.

Jiwanya resah ingin berjumpa dengan Sophia. Hazim melihat penampilan di cermin buat kali terakhir. Rambut dibetulkan sedikit sebelum bergerak keluar.

Dengan perasaan gementar, Hazim memandu ke hospital untuk bertemu cinta hati.

Sampai di hadapan bilik Sophia, Natrah sudah menunggu Hazim. Bapa mertuanya juga sudah ada di situ.

"Ikmal..."

"Mama, papa. Macam mana keadaan Sophia?" tanya Hazim.

Kedua-duanya hanya senyum nipis ke arah Hazim.

"Sophia okey. Kami belum sempat bercakap lama dengan dia lepas doktor datang check up. Ikmal, masuk lah dulu, jumpa dia." pelawa Natrah.

Hazim angguk perlahan. Pantas dia meminta izin untuk masuk ke dalam bilik wad. Ketukan diberi, lalu Hazim melangkah masuk dengan berhati-hati.

Hazim melihat Sophia sedang bersandar di katil sambil mata terpejam. Mahu sahaja dia meluru untuk memeluk isterinya, tetapi Hazim masih menahan diri.

"Assalamulaikum..." Hazim menyapa lembut.

Mata Sophia terbuka perlahan-lahan. Mulutnya sempat menjawab salam. Tetapi dia melihat wajah lelaki di hadapannya itu dengan perasaan aneh.

"Sayang." Hazim melempar pandangan berkaca ke arah Sophia.

Berkerut dahi Sophia cuba mencerna apa yang didengar. Dia cuba mengelak sewaktu Hazim sudah mendekatinya.

"A-awak siapa?"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience