Hazim menunggu Sophia di luar bilik air. Bila telinga dia didekatkan ke muka pintu, hanya bunyi paip air kedengaran. Sejak pulang petang tadi, Sophia masih tidak ingin bercakap dengannya. Segala pertanyaannya hanya dijawab pendek-pendek.
"Abang siapkan makan malam dulu, nanti sayang dah siap sayang turun tau." pesan Hazim sebelum meninggalkan bilik.
Hajat untuk makan di luar juga terbantut kerana mood Sophia yang tiba-tiba berubah. Sepatah pun Sophia tidak memberitahu apa sebabnya. Tidak mahu menambah gangguan emosi isterinya, Hazim juga tidak lagi bertanya.
Sophia mengunyah coleslaw dengan perlahan. Seleranya siang tadi hilang entah ke mana. Tidak mahu membiarkan perutnya kosong, dia cuba juga menelan beberapa suap kentang putar pula.
"Sayang...sayang nak makan benda lain?" Sophia tersentak ketika jarinya disentuh Hazim.
Sophia menggeleng kepala perlahan. Tersedar dari tadi dia banyak termenung. Pasti suaminya itu runsing. Cepat-cepat dia habiskan baki makanan di pinggan.
"Dah kenyang?" tanya Hazim lagi. Masih cuba untuk merungkai perkara yang asyik difikirkan Sophia hingga makannya pun tak lalu.
"Saya nak makan ubat." angguk Sophia. Air masak diteguk sedikit.
"Are you okay?"
"Okey. Pening sikit je." Sophia menarik nafas tenang. Wajah dimaniskan sedikit agar tidak membuat Hazim risau.
"Sayang boleh cerita dekat abang. I need to know what happened." pandangan mata ditumpukan pada Sophia, meminta penjelasan.
"Saya okey." jawab Sophia pantas.
"Betul ni? Sayang ada marahkan abang? Abang ada buat salah ke?" Hazim mencuba lagi. Dia tahu isterinya sedang merahsiakan sesuatu.
"Tak... saya tak marahkan abang pun. Ramai sangat orang dekat mall tadi. Saya tak selesa." Sophia beralasan.
"Okey, then. Kalau ada masalah, bagitahu abang. Lepas ni sayang rehat kat rumah je, ya?"
Sophia angguk kecil. Dia tidak mahu membebankan Hazim. Terlalu mendadak apa yang terjadi siang tadi. Dia masih memerlukan waktu untuk berfikir dengan tenang. Siapa Nasha? Benarkah mereka pernah bersahabat? Dan siapa pula Iqbal yang dimaksudkan Nasha?
'Maaf abang, fikiran saya tengah kusut...'
.
Jam di tangan dikerling beberapa saat, masih belum terlewat. Nadine atur langkah laju mendekati restoran yang dijanjikan. Kakaknya, Sophia yang dari kejauhan sudah menunggu.
"Kakak." Nadine menyapa setibanya di meja yang diduduki Sophia. Kakaknya itu nampak jauh termenung. Pasti ada hal penting. Dengan siapa lagi Sophia mahu berkongsi kalau bukan dia.
"Nadine. Duduk lah." Sophia tersedar dari lamunan. Hatinya tidak sabar mahu bertemu Nadine hari ini, sampaikan dia tidak memberitahu Hazim pun untuk keluar. Habislah kalau suaminya membebel nanti.
"Ada apa ni, akak nak jumpa Nadine? Abang Hazim tahu ke akak keluar ni?" Nadine ibarat boleh membaca apa di fikiran Sophia.
"Akak saja nak ajak Nadine minum. Bosan lah kat rumah tu." Soalan kedua Nadine tidak dijawab, harap adiknya itu tidak perasan. Bukan sekadar makan tengah hari, dia juga datang dengan tujuan.
"Kalau bosan, call je Nadine. Tak payah akak susah-susah keluar. Nadine boleh pergi rumah akak."
"Takpe lah, lama akak tak borak dengan Nadine. Nadine busy eh?"
"Eh, tak adanya busy. Akak ada apa nak cerita dekat Nadine ke? Ada problem?"
"Muka akak nampak macam akak ada masalah ke?" semalam Hazim juga menegur yang sama.
"Hmm... mungkin. Sebab macam tak happy je? You know you can always tell me..."
"Kita order dulu ye?" Sophia mengangkat tangan untuk memanggil pelayan. Perhatian Nadine kembali ke arahnya setelah membuat pesanan.
"Akak nak tanya something ni..." Bicara diatur berhati-hati bagi menyampaikan hajat. Sophia berkira-kira untuk memberitahu tentang kejadian beberapa hari lepas.
"Tanya je."
"Apa cerita dengan orang yang langgar akak tu? Ada apa-apa berita?"
Nadine membetulkan duduk. Ayat dirangka-rangka agar tidak terbocor rahsia. Setahunya Sophia jarang bertanyakan tentang kemalangan yang menimpanya. Hanya Hazim dan ahli keluarga lain yang banyak berbincang tentang hal itu. Mungkin kerana masih trauma. Kali ini mahu tak mahu, dia harus menjawab.
"Pasal kemalangan tu... masih dalam siasatan polis, kak. Dengar cerita dah banyak kali suspek terlepas dari serbuan. Licik betul dia tu." Nadine cuba mengawal riak muka supaya tak terlihat janggal.
"Nadine kenal ke orang tu?"
Nadine terdiam sejenak. Kalau dia berterus terang, pasti makin banyak persoalan yang akan dibangkitkan oleh kakaknya itu. Dia tidak mahu memori buruk tentang Iqbal kembali menganggu hidup Sophia. Cukuplah apa yang terjadi.
"Tak sure la akak. Kenapa akak tanya?"
"Akak cuma nak tahu. Apa motif dia. Kenapa dia lari sampai macam tu sekali?" Sophia tunduk bermain dengan jari.
Dia pernah juga terfikir penyebab kemalangan itu berlaku ke atasnya. Tebaknya mungkin orang yang melanggar itu tidak sengaja. Tetapi sehingga kini, pelanggar tidak menyerah diri, malah lari ketika cuba ditahan polis.
Setelah kehadiran Nasha tempoh hari pula, fikirannya jadi tak tenteram. Kata-kata Nasha menambah rasa ingin tahu dalam dirinya. Betulkah Iqbal penyebab dia kecelakaan? Kalau benar, mengapa dia tidak tahu menahu? Apa yang cuba disembunyikan oleh orang di sekelilingnya?
"Akak jangan risau ya. Kami semua akan dapatkan keadilan untuk kakak. Sebab kemalangan tu, nyawa akak dengan baby hampir-hampir melayang tau. Nadine yakin tak lama nanti dia akan ditangkap polis."
Sophia angguk. Tidak jadi dia ingin menyoal lebih panjang. Lagi pun kesihatannya belum begitu baik. Sakit kepala kerap menyerang di kala dia dihambat resah dan stress. Sophia tidak mahu itu menjejaskan kandungannya pula nanti.
.
"Abang Hazim kat mana tu?" suara Nadine kedengaran di hujung talian tatkala Hazim memasang fon telinga.
"Abang on the way balik rumah. Kenapa ni Nadine?" bukan selalu dia menerima panggilan dari adik iparnya itu, pasti kali ini ada hal mustahak.
"Tadi kakak ajak Nadine jumpa. Abang tahu ke?" tanya Nadine buat kepastian.
Dahi Hazim sedikit berkerut. Sophia tidak memberi tahunya pun tentang itu. Selalunya dia akan meminta izin dahulu jika ingin keluar sendiri.
"Tak tahu. Kenapa dia jumpa Nadine? Dia ada beritahu apa-apa?"
"Dia tanya Nadine pasal accident tu. Dia nak tahu siapa yang langgar dia. Abang rasa akak dah ingat apa yang jadi ke?"
Soalan Nadine membuatkan Hazim berfikir sebentar. Memang dia curiga dengan sikap Sophia yang sedikit berlainan kebelakangan ini, tetapi demi menjaga perasaan isterinya itu dia malas mahu bertanya.
"Dua hari lepas dia agitate. Masa keluar dengan abang cari barang baby. Bila abang tanya, dia cuma cakap yang dia tak selesa di tempat orang ramai. Tapi abang tak sedap hati jugak. Apa lagi Nadine yang cakap dengan dia?"
"Nadine cakap yang kemalangan tu masih dalam siasatan. Takutlah nak sebut nama Iqbal, kalau tiba-tiba dia mengamuk karang Nadine jugak yang susah. Abang Hazim rasa betul ke tindakan kita untuk rahsiakan pasal Iqbal ni?"
Sesungguhnya Hazim tidak punya jawapan untuk soalan itu. Dia lebih suka kiranya Sophia melupakan terus tentang Iqbal. Mungkin juga kerana dia masih cemburu, dan tidak dapat memaafkan Iqbal atas apa yang terjadi kepada isterinya. Kerana itu soal Iqbal tidak pernah dia timbulkan di hadapan Sophia.
"Nanti dah sampai masanya, kita bagitahu dia." jawab Hazim pendek.
.
Sophia keluar dari kereta yang diparkir di hadapan sebuah kedai serbaneka 7-eleven. Sudah jam 5 lebih, dia masih berada di luar. Kalaulah Hazim tahu dia masih belum pulang waktu begini, habislah diomelnya nanti.
Buat pertama kali dia keluar sendirian tanpa ditemani suami, Sophia teruja untuk memandu sendiri. Lagipun sudah lama keretanya yang baru dibeli Hazim tersadai di rumah. Apa salahnya kalau dihidupkan balik, bukannya dia lupa terus cara memandu.
Pintu 7-eleven ditolak, lalu Sophia menuju ke arah peti sejuk beku. Rambang matanya melihat deretan aiskrim berjenama Magnum yang pelbagai perisa. Teringin pula hendak menyejukkan tekak di kala cuaca panas begini.
Peti dibuka, tangan Sophia lekas ingin mencapai ais krim berperisa dark chocolate. Tangannya terhenti apabila ada sebelah lagi tangan lain yang juga ingin mengambil aiskrim yang sama.
Sophia lantas mendongak. Seorang lelaki tinggi dan bertopi sedang berdiri dekat dengannya. Tangan lelaki itu beralih pula pada aiskrim berperisa white chocolate. Diambilnya satu dan dihulurkan pada Sophia.
“Try this one. Mesti awak suka.” Lelaki itu bersuara sambil memandang wajah Sophia.
Sophia yang tadinya masih sedikit terkejut, menyambut huluran lelaki itu tanpa banyak kata. Wajah jejaka tak dikenali ini sepertinya pernah dia lihat, tapi entah di mana. Puas dia fikirkan.
“Actually, I boleh belanja you.” Melihat Sophia yang masih terdiam, lelaki itu mengambil kembali aiskrim dari tangan Sophia.
Seketika tangan mereka tersentuh, Sophia agak tersentak. Perasan akan riak Sophia yang berubah, lelaki itu memohon maaf.
“Ops, sorry.”
Selesai ke kaunter dan membayar, aiskrim tadi diberikan kembali kepada Sophia. Senyum senang dia melihat reaksi Sophia yang teragak-agak.
“Encik, tak payah susah-susah.” Sophia ingin menolak pada mulanya. Aneh apabila tiba-tiba ada orang asing yang tampil membelanja dia aiskrim.
“It’s okay. Rasalah. You’ll love it.” Bisik pemuda itu sebelum meloloskan diri dari situ.
"Thanks!" Sophia sempat mengucapkan terima kasih. Hanya kenyitan mata yang dibalas lelaki itu.
Masih keliru dengan apa yang terjadi, Sophia akhirnya juga beransur keluar dari situ. Pantas sahaja gerangan lelaki tadi menghilang dari pandangan.
"Siapa tadi tu?" Sophia tertanya sendiri. Melalui senyuman lelaki tadi, sepertinya mereka saling mengenali.
Aiskrim perisa coklat putih di tangan dibelek sebelum dikoyakkan plastiknya. Sedap atau tak, belakang kira. Rezeki jangan ditolak!
.
Iqbal menanggalkan topi hitam yang dipakai. Mukanya ditelek di hadapan cermin dalam kereta. Rambutnya sudah dicukur botak. Jambang juga mulai menumbuh di sekitar wajah. Mungkin kerana itu Sophia tidak mengenalinya tadi. Ah, lagipun wanita itu hilang ingatan.
Senyum sinis diukir Iqbal tatkala melihat penampilan diri yang agak berbeza. Sejak menjadi buruan polis, dia terpaksa menyamar dan menggunakan identiti palsu bagi mengelak dari dicam.
"Good to see you again, sweetie. Sophia, Sophia... Panjang betul umur kau." bisik Iqbal sambil membuka plastik aiskrim yang baru dibeli.
Matanya beralih pula pada kelibat Sophia yang berjalan sendiri dari kejauhan. Tak sia-sia pencariannya dari minggu lepas. Menjejaki kembali bekas kekasih yang suatu masa dahulu pernah menjadi miliknya.
Berharap aiskrim white chocolate yang pernah menjadi kegemaran Sophia itu sedikit sebanyak mengembalikan memori wanita itu tentangnya. Ya, dia masih ingat perkara-perkara yang disukai Sophia.
Iqbal melirik lagi ke arah Sophia yang sedang memasuki kereta. Tidak banyak yang berubah. Wajah yang hampir membuat dia gila itu masih menawan seperti dulu.
Perut Sophia yang memboyot itu menandakan tak lama lagi dia bakal bersalin. Rencana Iqbal beberapa bulan yang lepas ternyata gagal teruk. Buktinya Sophia kelihatan tak terkesan langsung, malah dia pula yang hidup bagaikan pelarian.
"Kau akan ingat aku tak lama lagi, Sophia... Perhitungan kita belum habis lagi."
Share this novel