3

Romance Completed 48873

"Helloooo!! Assalamualaikum??" Nadine Irina melaungkan salam dari luar bilik.

"Waalaikumusalam!" Dengar sahaja suara lunak itu, Sophia segera muncul dari balik wardrobe miliknya.

"Sister!!!" jerit Nadine sambil merebahkan diri ke atas tilam empuk Sophia.

"Datang pun minah saleh ni!" tak sah kiranya mereka tidak ada girls talk setiap kali Nadine pulang ke Malaysia.

Menjadi satu-satunya adik perempuan Sophia, Nadine lah tempat dia berkongsi cerita.

Nadine sengih sambil menongkat kepala. "Buat apa tu? Mai la lepak kejap." rungutnya.

"Yelah. Akak tengah siapkan baju untuk kerja esok." selesai menggantung pakaian yang disediakan, Sophia menyertai Nadine di atas katil.

"Apa cerita? Status Whatsapp sendu-sendu je minggu lepas?" Nadine lantas membuka topik.

Sophia mengeluh perlahan, namun masih kedengaran oleh Nadine.

"Hah, kenapa? Mengeluh pulak?" tumpuannya dialihkan kepada Sophia. Ada perubahan di wajah kakaknya itu.

"Iqbal..." jawab Sophia sepatah.

"Hah, mana boyf-"

"We broke up." kata-kata Nadine laju dicantas oleh Sophia.

"Hey, why broke up pulak? Bukan ke last month dia ajak kakak kahwin?" sampuk Nadine.

"Nadine, kalau akak cerita ni Nadine janji jangan bagitahu sesiapa tau? Even papa dengan mama." Sophia memegang tangan Nadine bersungguh-sungguh, tidak betah sekiranya dia memendam cerita itu sendiri.

"Okey... Kenapa? Dia buat apa kat akak?" Nadine mulai risau, sudah lah dia memang kurang gemar akan Iqbal.

"Minggu lepas, kita orang break up sebab akak dah tak tahan. Dia asyik berkasar dengan akak. Dia tinggalkan kakak tepi jalan lepas kami gaduh besar." Sophia berterus terang.

"Whatt?? Apa lagi dia buat kat kakak? .... Dia pukul akak?" tebak Nadine.

Sophia angguk lemah. Malunya dirasakan apabila menceritakan tentang apa yang berlaku. Dengan adik sendiri pun sudah malu, apa lagi kalau mama dan papanya tahu.

"Sial lah jantan tu! Nadine dah agak dah dia perangai macam tu! Akak pun tahu kan, Nadine tak pernah suka dia?! Eh, jap. Mana dia pukul akak? Ada sakit mana-mana tak?" laju tangan Nadine membelek-belek wajah cantik Sophia.

"No. Nasib baik lebam semua cepat surut.. Akak okey, Nadine jangan risau."

"Gila ke tak risau? Kenapa tak bagitahu? Kenapa rahsiakan dari papa mama? Bagitahu je lah, akak. Kita kena repot polis orang macam tu! Biar padan muka dia!" Nadine merengus-rengus tanda tidak puas hati.

"Jangan, Nadine. Please.. Akak tak nak mama papa risau. Akak dah okey. Lagi pun... Ada orang tolong akak hari tu..." nada suara Sophia berbeza kali ini.

Terus dia teringatkan jejaka yang menjadi penyelamatnya tempoh hari. Malah, dia selalu memikirkan tentang lelaki itu.

"Oii, siapa?" Nadine melambaikan tangan di hadapan wajah Sophia. Termenung pula minah ni!

"Hazim.." spontan nama itu terkeluar dari mulutnya.

"Hazim mana pulak ni?" Nadine garu kepala.

"Nama dia Hazim. Orang yang tolong akak masa malam kejadian tu. Dia yang tumpangkan akak dan bawa akak pergi klinik. Dia baik sangat."

"Keesokkan harinya pulak, Iqbal datang rumah. Dia mengamuk, marah-marah sebab akak mintak putus. Akak takut dia buat perkara bukan-bukan. Nasib baik waktu tu Hazim datang sebab nak pulangkan dompet akak yang terjatuh dalam kereta dia. Dia selamatkan akak sekali lagi." Sophia menceritakan tanpa disuruh.

Nadine hairan melihat perubahan mood Sophia ketika itu. Tiba-tiba sahaja bercerita tentang lelaki bernama Hazim itu dengan nada lemah lembut.

"Okey. Baguslah kalau macam tu. Tapi kenapa akak macam suka semacam ni?" tanya Nadine.

"Suka? Mana ada. Biasa je." Sophia pantas menafikan.

"Handsome ke Hazim tu?" Nadine sudah dapat menghidu sesuatu.

"Boleh tahan la.." jawab Sophia tersipu-sipu.

"Hmm... Dah agak. Kalau dia dah berpunya macam mana? Entah-entah laki orang!" usik Nadine.

"Ish! Akak tak suka dia pun lah." Sophia tarik muncung.

"Siapa yang cakap akak suka dia? Haa? Kantoi!!!"

"Dah lah! Malas la macam ni!" Sophia sudah menyerah diusik sebegitu. Betul ke dia sukakan Hazim?

"Jangan mudah sangat percaya lelaki, kak." pesan Nadine.

"Bagus jugak akak dah putus dengan Iqbal tak guna tu. Lepas ni kalau dia kacau akak lagi, Nadine tumbuk muka dia!" Nadine mengacah-acah dengan menayangkan penumbuknya.

"Amboi! Garang!"

"Yelah! Muka je handsome. Perangai macam hape." bebel Nadine lagi.

Sophia teringat akan pesan Hazim ketika kali terakhir mereka berjumpa. Dia disuruh untuk menghubungi Hazim jika Iqbal datang mengganggu lagi.

Nombor Hazim masih ada disimpan, namun tiada sebab untuk dia hubungi lelaki itu. Iqbal juga sudah berhenti mengacau dia. Sophia sempat sembunyi senyum agar tidak terlihat oleh Nadine.

'Hazim... Hazim.. Baiknya hati dia..'

.

Iqbal memerhati dari jauh Sophia yang sedang disolek oleh salah seorang make up artist. Sengaja dia merenung sehinggakan Sophia rasa tidak selesa.

Sophia jeling tajam tatkala matanya dan mata Iqbal saling bertentangan. Mahu apa lagi lelaki itu memandang dia dengan pandangan itu. Sepertinya Iqbal ada merancang sesuatu tanpa pengetahuannya.

"Rough night again? Nampak sangat muka you ni, Bal." make up artist berbangsa cina itu menegur Iqbal.

"Shut up Jennie, just do it fast." balas Iqbal dingin.

Tidak ada masa dia untuk berbual lanjut. Dia tahu wajahnya ketika itu serupa mayat hidup. Malam tadi dia ada ambil 'barang' baru. Memang layan habis sehinggakan dia lewat ke tempat kerja hari ini.

"Rileks la! Eh, you tak tegur Sophia pun?" soal Jennie lagi sambil dia merias bahagian bawah mata Iqbal.

Lelaki itu hanya diam, malas untuk menjawab. Lagi pula photoshoot dia dan Sophia hari ini berasingan, memang tak ada kesempatan untuk dia mendekati Sophia. Namun dia sudah punya rancangan yang akan dilunaskan kemudian.

.

Sophia melangkah laju ke arah kereta Axia putih miliknya. Takut-takut jika terserempak dengan Iqbal. Sedang kakinya menghayun pantas, terasa seperti ada yang mengekorinya dari belakang.

Langkah Sophia perlahan, tangan sudah mengenggam penumbuk. Dengan beraninya Sophia menoleh ke belakang. Kelibat Iqbal yang sedang berjalan selamba ke arahnya dipandang cemas.
"Shit.."

Iqbal senyum sinis melihat wajah Sophia ketakutan. Sophia berlari anak sambil membuka kunci kereta. Lalu sepantas kilat dia meloloskan diri ke dalam kereta.

Susuk Iqbal yang turut mendapatkan Proton Preve milik lelaki itu dikerling sebentar. Lega apabila Iqbal tidak mendekatinya. Lelaki itu cuma bersandar pada kereta sambil berpeluk tubuh.

Sophia menghidupkan suis kereta untuk segera pergi dari situ. Pandangan Iqbal terhadapnya semacam pelik. Setelah keluar dari petak parkir, Iqbal masih melihat dari jauh.

"Kau nak apa hah, pandang-pandang macam tu!" Sophia membebel sendiri.

Saat melewati kereta Iqbal, Sophia melihat dia mengeluarkan telefon bimbit dari koceknya. Sophia tertanya-tanya akan apa yang bakal berlaku. Hatinya merasa tidak sedap!

"Shit. Shit. Shit." tidak henti-henti Sophia menyumpah-ranah sambil memandu. Lega apabila berjaya menghadapi situasi yang membuatnya panik itu.

Lamunan Sophia terhenti apabila telefon bimbitnya berbunyi tanda notifikasi masuk. Hatinya berdebar-debar. Tangan sudah mencapai Iphone dari dalam beg tangan.

Pesanan Whatsapp dari Iqbal dibuka. Sophia terkejut besar.

'Hujung minggu ni family aku akan masuk meminang kau.'

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience