13

Romance Completed 48873

Setelah seminggu lebih bercuti, Hazim dan Sophia mula masuk kerja seperti biasa. Walaupun selepas kahwin, Hazim tidak melarang Sophia untuk kerja. Memandangkan dia tahu Sophia amat sayangkan kerjayanya sebagai model.

Jika tidak mempunyai tugas, Sophia akan menghabiskan masa di rumah untuk mengemas apa yang patut.

Persiapan Hazim ke tempat kerja hari ini dibuat sepenuhnya oleh Sophia. Segala rutin harian Hazim seperti menyediakan pakaian ke pejabat dan memasak kini diambil alih oleh si isteri.

"Abang pergi dulu. Bye." Hazim dihantar ke muka pintu oleh Sophia.

"Bye. Hati-hati." tangan Hazim dicium. Sebelum melangkah keluar, Hazim menghadiahkan satu ciuman ke dahinya. Apa lagi, berbunga hati si isteri.

Sesi photoshoot hari ini akan diadakan di bangunan utama agensi model yang diwakilinya.

Masuk sahaja ke bangunan itu, tidak henti-henti ucapan tahniah diterima Sophia. Ramai juga bertanyakan tentang pengalaman bulan madunya. Nasha yang juga disitu buat-buat tidak nampak kehadiran Sophia.

Perang dingin antara mereka berdua berlanjutan sejak kes di Twitter tempoh hari. Masing-masing tidak bertegur sapa.

Waktu selesai kerja-kerja penggambaran, Iqbal muncul di set untuk menjemput Nasha. Peluang digunakan untuk bertemu dengan Sophia. Rindu untuk melihat wajah bekas kekasihnya itu.

Sophia bergegas untuk pulang setelah dia nampak Iqbal dari jauh. Lelaki itu senyum ke arahnya, bagai tiada apa-apa yang berlaku. Namun, Sophia sudah serik. Pasti ada sahaja taktik Iqbal untuk mendekati dia. Lelaki itu tidak pernah serik.

"You nak gi mana?" Nasha sempat menarik lengan Iqbal. Dia nampak bagaimana Iqbal asyik melihat Sophia dari tadi.

"Kejap. Kejap je okay?" Iqbal meleraikan pegangan Nasha lalu mengorak langkah mendekati Sophia. Nasha mendecit perlahan.

"Sophia!" Sekejap sahaja Iqbal sudah beberapa langkah dari belakang Sophia. Makin laju Sophia berjalan, makin laju juga dia mengekori.

"Kau nak apa?!"

"Garangnya! Aku nak ucap congratulations je pun."

"Thanks." bukannya dia tak tahu, Iqbal sengaja mahu menyindirnya. Baik dia cepat-cepat beredar sebelum dia sakit hati.

"Eh, Sophia!" Iqbal tidak puas hati ketika Sophia ingin cepat berlalu. Tangan Sophia cuba dicapai. Sophia naik marah.

"Iqbal!!" langkah Sophia berhenti. Pandangan tajam dihala ke arah Iqbal.

"Aku nak bagi amaran kat kau! Kalau kau tak layan aku terus macam ni, tahulah aku apa nak buat."

"Aku dah jadi bini orang lah, Bal. Jangan merepek boleh tak!"

"Rahsia kau masih selamat dalam tangan aku, Sophia. Kau jangan lupa pulak."

"Rahsia apa?! Aku tak ada rahsia la!" Sophia menyambung langkah yang terhenti.

"We'll see. Kau ingat, kau bagus sangat ke? Aku ada lagi tau video-video lama kita."

"Kau ugut aku?" Sophia berfikir berkali-kali video yang dimaksudkan Iqbal.

"Warning je. Pergi dulu. Selamat berbahagia, Sophia." Iqbal sempat ingin mencuit dagu Sophia tetapi terlebih dahulu ditepis.

Ugutan Iqbal sedikit sebanyak mengganggu fikiran Sophia. Video apa yang Iqbal simpan? Dia betul-betul bingung, dalam waktu yang sama dia juga takut.

.

Setelah makan malam, Hazim ingin menyambung sedikit kerja yang dibawa balik dari pejabat. Sophia pula ingin mengemaskan rumah. Hatinya tergerak untuk memasuki satu bilik yang dijadikan tempat menyimpan barang-barang.

Suaminya pernah berpesan bahawa barang-barang di bilik itu kebanyakkannya milik arwah Hana. Sekali-sekala bilik itu dihuni oleh tetamu. Baru hari ini Sophia berani untuk menjejakkan kaki masuk ke sini. Sejujurnya, dia teringin mengenali wanita yang pernah bertakhta di hati suaminya itu.

Ada sebuah katil kosong, dan set almari yang sederhana besar. Di tepi katil pula ada sebuah meja kecil, dan beberapa buah bingkai gambar. Sophia memulai kerja-kerja membersih. Selepas menyapu lantai, Sophia mengemaskan pula almari yang berisi hanya beberapa helai baju.

"Mesti baju Kak Hana..." tebaknya.

Saiz baju itu sedikit pendek darinya, mungkin tubuh bekas isteri Hazim itu sedikit rendah. Sophia beralih pula ke arah meja kecil tadi. Bingkai gambar Hazim dan Hana direnung lama.

'Cantik rupanya arwah isteri abang Hazim.' pujinya dalam hati.

Sebagai isteri baharu Hazim, mana mungkin dia tidak cemburu. Hazim dan Hana kelihatan serasi dan amat bahagia. Bingkai itu dilap penuh cermat, biarlah gambar itu disimpan sebagai kenangan. Arwah Hana pernah menjadi sebahagian dari hidup suaminya, dan dia tidak akan pernah menafikan hal itu.

"Sayang..." suara Hazim membuatkan Sophia berpaling. Lelaki itu sudah berjalan ke arahnya.

"Buat apa tu?" tanya Hazim. Dia tertanya-tanya akan reaksi Sophia yang sedang memegang gambar bekas isterinya.

"Saya kemas-kemas bilik ni, tengok-tengok gambar. Cantik sangat Kak Hana..." puji Sophia.

Air muka Hana yang manis itu ditatap, tidak hairan jika suaminya terlalu sayangkan wanita itu. Pasti hati Hana selembut wajah orangnya.

Hazim sekadar mengangguk. Dia mengambil tempat di sebelah Sophia. Sophia menghulurkan bingkai gambar di tangannya kepada Hazim.

Gambar sewaktu mereka bercuti di Bali. Hana kelihatan gembira sambil dipeluk Hazim. Gambar itulah yang sering menjadi pengubat rindu Hazim pada Hana.

"Kalau saya tanya, abang jangan marah tau?"

"Tanyalah. I'll tell you everything." Hazim menyusun kembali gambar itu di tempat asal.

"Betul? Abang percayakan saya?"

"Tak ada sebab untuk abang tak percayakan awak."

"Kenapa abang cakap abang lukakan hati Kak Hana? Apa yang abang dah buat?"

Hazim menarik nafas dalam sebelum membuka cerita. Ibarat membuka kembali lembaran hidup yang disembunyikan sekian lama. Biarlah kali ini dia jujur dengan Sophia.

"Abang rahsiakan hubungan kami dari pengetahuan orang lain. Abang layan dia macam perempuan simpanan. Meanwhile, orang ingat abang berhubungan dengan perempuan lain. Sebab ayah nak jodohkan abang dengan Mona."

Sakitnya. Itu yang dirasakan Sophia jika dia berada di tempat Hana.

"Apa reaksi Kak Hana bila dia tahu abang kena kahwin dengan orang lain?"

"Dia terluka. Hana terlalu setia dengan abang, walaupun terluka dia tak pernah tinggalkan abang. Abang yang pengecut. Bila dia ajak kahwin, abang marah dan tolak mentah-mentah."

Ibarat tersekat nafasnya apabila teringat kembali silap yang lepas. "Abang berdosa, abang menyesal. Hana cuma nak sebuah ikatan yang halal. "

"Maksud abang—" Sophia mula dapat mengagak sesuatu.

"Kami pernah bersekedudukan, hampir lima tahun." terpejam mata Hazim mengakui khilafnya.

Sophia nampak terpempan, namun pantas dia menggengam tangan suaminya. Baginya, pengakuan Hazim itu sudah cukup memberi erti bahawa dia sudah menyesal akan perbuatan yang lalu. Dia tidak berhak untuk menghukum dan menilai.

"Abang ni jahil. Abang tak layak jadi pembimbing. Terlalu banyak dosa-dosa abang yang lepas..." air mata Hazim gugur tanpa ditahan-tahan.

"Semua orang pernah buat dosa, kita ni manusia biasa bang. Allah tu Maha Pengampun. Kita boleh sama-sama belajar. Saya takkan tinggal abang. Walau apa pun jadi, saya akan ada di sisi abang." hangat takung mata Sophia tatkala mengucapkan janji itu. Pipi suaminya disapu lembut.

Hazim membawa wajah Sophia mendekat, syukur tak putus-putus diucapkan di dalam hati. Sejuk hatinya apabila Sophia sudi menerima masa silamnya. Sophia menyapu air mata yang membasahi pipinya. Jarinya dan jari Sophia kemudiannya bertaut.

"Janji, jangan tinggalkan abang?" Hazim merenung mata Sophia dalam-dalam.

"Saya janji." Sophia memperkemaskan tautan jari mereka.

"Abang tak nak ada rahsia pun antara kita. Abang nak sayang jujur. Kalau ada masalah, bagitahu abang. Boleh?"

"Okey. Abang jangan risau."

"Of course abang risau. Sophia kan ramai peminat." Hazim menjeling manja ke arah Sophia, sehinggakan meletus tawa kecil dari bibir gadis itu.

"Tapi Sophia milik abang sorang je. Selama-lamanya. Ingat tu!"

Hazim membawa Sophia erat ke dalam rangkulan. Sumpah dia tidak mahu kehilangan Sophia.

"I love you, abang..."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience