Noor menghampiri Natrah dan mereka saling berpelukan. Malu ingin bersemuka dengan Natrah setelah apa yang terjadi. Natrah memberi sepenuh kepercayaan kepada Hazim untuk menjaga Sophia, tetapi lain pula yang terjadi.
"Nat, maafkan Azim. Maafkan kami."
"Jangan macam ni Noor. Semua yang jadi adalah ketentuan Allah. Tak ada siapa-siapa yang salah dalam hal ni. Kita sama-sama doakan Sophia ye?" Natrah yang sentiasa tenang menasihati.
Dia redha dengan apa yang berlaku. Sudah pasti hatinya cukup sedih mengenangkan keadaan Sophia. Namun siapalah dia untuk melawan ketentuan Tuhan. Natrah tetap yakin bahawa Sophia kuat menempuhi waktu sukar begini.
Melihat ibu dan ibu mertuanya saling berbicara, Hazim yang menunduk bertambah kesal dengan diri sendiri. Bahunya ditepuk seseorang.
"Sabar..." perlahan suara Rashed memujuk Hazim. Melihat Hazim selemah itu, dia terpanggil untuk menegur.
"I'm a failed husband aren't i..."
"'Allah tidak akan membebankan seseorang hamba itu melainkan dengan apa yang terdaya olehnya." ujar Rashed.
Hazim kenal ayat itu. Surah Al-Baqarah, ayat 286. Tapi kuatkah dia untuk menghadapi ujian ini?
"Banyakkan berdoa. I know you can go through this. Belajar dari kesilapan." tenang sahaja Rashed berpesan.
Walaupun dia lebih selesa tidak masuk campur urusan peribadi Hazim, namun dia rasa terpanggil untuk menasihati.
Hazim tunduk mengamati kata-kata Rashed. Penuh dengan maksud tersirat. Dia akui banyak membuat silap. Tetapi untuk belajar dari kesilapan itu, bukan mudah untuk dia lakukan.
.
Dua hari kemudian...
Hazim melangkah masuk ke dalam wad yang menempatkan isterinya. Berkat usaha Dr. Kamal dan pakar neurologi hospital itu, pembedahan telah berjaya dilakukan. Setelah dua hari baru keadaan Sophia agak stabil dan ahli keluarga dibenarkan melawat.
Sunyi sepi keadaan di dalam bilik itu, hanya bunyi mesin penyokong pernafasan yang kedengaran.
Hazim perlahan-lahan mengambil tempat di sisi katil. Melihat keadaan Sophia pertama kali setelah dia dimasukkan ke hospital, hatinya kembali sebak.
Sekujur tubuh Sophia yang bersambung dengan wayar-wayar itu membuat Hazim mengucap sendiri. Mengharap agar Tuhan meringankan kesakitan yang dialami si isteri.
Kata doktor walaupun pembedahan berjalan lancar, Sophia masih lagi dalam keadaan koma.
“Abang datang ni, sayang.”
Tiada jawapan. Selalunya, wajah manis itu akan tersenyum ke arahnya setiap kali dipanggil ‘sayang’.
“Abang datang nak jumpa sayang dengan baby…” air mata Hazim mengalir lagi.
Tangan Sophia dibawa untuk dikucup. Sebelah tangan lagi Hazim letakkan di atas perut Sophia yang sedikit berisi. Makin laju tangisannya. ‘Abang harap abang tahu lebih awal.’
“Abang dah tahu sayang pregnant. Abang happy sangat. Sayang bangun cepat ye. Kita belum sambut lagi monthsary kita. Sayang dah janji nak dinner dengan abang kan...” Tersekat-sekat suara Hazim berbisik.
Baru dia mengerti kenapa dia begitu alah apabila didekati oleh Sophia dahulu. Rupa-rupanya Sophia sudah berbadan dua. Sudahnya, Sophia terasa setiap kali ditolak.
Sophia hanya mahu bermanja dengannya. Sepatutnya dia lebih bersabar dan memahami. Sayangnya, Hazim terlalu sibuk memikirkan perasaan diri.
“Bangun cepat ya, sayang. Abang minta maaf. Abang tak jaga sayang dengan baik. Abang mungkir janji abang. Sayang jangan tinggalkan abang ya. Abang mohon. Abang janji takkan marah-marah lagi.” Dahi Sophia dicium penuh sayang.
Sejak semalam Hazim tidak henti-henti berdoa. Kalau Tuhan ingin menghukumnya pun, biarlah semua sakit hanya dia yang rasa. Dia tidak sanggup lagi kehilangan isteri buat kali kedua.
"Abang akan tunggu sayang." ingin sekali dia menarik Sophia ke dalam pelukan.
"Sayang daddy..." Hazim teresak hiba sambil dia mengusap perut Sophia di balik selimut.
"Cepat kejut mummy tau. Daddy rindukan mummy."
.
Hazim mendekati Dr. Kamal yang sedang serius berdiskusi dengan seorang lelaki tinggi lampai berjaket biru gelap.
"Encik Hazim, ini Inspektor Azfar. Inspektor, ini dia Encik Hazim, suami Puan Sophia." Dr. Kamal memperkenalkan Hazim dengan Inspektor Azfar.
"Selamat pagi Encik Hazim, saya Azfar. Inspektor yang in charge kes Puan Sophia." Inspektor itu menghulurkan tangan untuk berjabat.
Mereka mula membicarakan tentang kondisi Sophia. Seterusnya perbualan terarah kepada penemuan Dr. Kamal hasil pemeriksaan terhadap Sophia.
"Menurut pemeriksaan kami, ada beberapa kesan kecederaan lain pada tubuh Puan Sophia. Ada kesan cekik di leher dan beberapa kesan lebam di sekitar lengan dan pipi dia. Kami syak Puan Sophia mungkin dipukul sebelum kemalangan." terang Dr. Kamal.
Berkerut dahi Hazim cuba mencerna apa yang didengar, penumbuk dikepal keras. Matanya bergenang sambil membayangkan siapa yang sanggup melukai isterinya sampai tahap itu. Kalau dia dapat tangkap, memang akan dia kerjakan!
“Kemalangan Puan Sophia juga kami klasifikasikan sebagai kes langgar lari. Pihak kami sedang berusaha untuk menjejaki suspek.” ujar Inspektor Azfar pula.
Hazim hanya angguk dan akur. Kemalangan isterinya dipercayai berunsurkan jenayah. Belum reda sedihnya, kini marah pula bersarang di hati.
Setelah Dr. Kamal meminta diri, Hazim telah ditemubual lanjut mengenai aktiviti Sophia sepanjang hari sebelum kemalangan. Baru dia sedar, tidak banyak interaksi antara mereka sebelum kejadian.
Hanya pagi itu mereka sempat berbual. Itu pun sebelum perbualan berakhir dengan situasi yang agak tegang.
Bunyi derap kaki seseorang menghentikan sebentar dua mata yang sedang berbincang. Nadine muncul dan Inspektor Azfar sempat mengangguk mempersilakan Nadine untuk duduk.
“Cik Nadine merupakan orang terakhir yang berjumpa dengan Puan Sophia sebelum kemalangan.”
Nadine mengangguk kecil. Rasa kesal masih terbuku di hati, namun dia akan memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak polis.
“Encik Hazim atau Cik Nadine ada kenal sesiapa yang memusuhi Puan Sophia?” tanya Inspektor Azfar.
Hazim dan Nadine saling berpandangan. Barangkali mereka berkongsi fikiran tentang orang yang dimaksudkan.
“Bekas kekasih isteri saya. Dia ada beberapa kali ganggu isteri saya.”
“Iqbal. Kami pernah buat laporan polis sebab kakak saya selalu jadi mangsa ugutan dia. Dia tu memang hati busuk! Saya yakin ni semua kerja dia, inspektor!” suara Nadine meninggi. Hatinya kuat mengatakan bahawa Iqbal terlibat dalam hal ini.
“Sabar cik. Pihak polis akan cuba kumpulkan dahulu maklumat-maklumat berkaitan. Kami juga akan dapatkan rakaman cctv dari tempat kejadian. Mungkin kita oleh temukan beberapa petunjuk tentang suspek. Sementara tu, ada beberapa lagi perkara yang saya perlu tanyakan pada Encik Hazim dan Cik Nadine.” Inspektor terus mencatatkan butir-butir penting kes ke dalam buku notanya.
.
"Nadine. Boleh abang Hazim nak cakap sikit?"
Nadine mengalihkan pandangannya. Dia masih geram terhadap abang iparnya sorang ini. Mahu saja dia angkat kaki dari situ, tetapi takut dibilang kurang ajar pula.
"Apa dia?"
"Bagitahu abang apa yang jadi. Abang tahu banyak perkara yang abang terlepas. Boleh Nadine ceritakan kat abang?"
"Baru sekarang abang nak ambil tahu?"
Hazim sedia menadah telinga.
"Abang sepatutnya kenal kak Sophia macam mana. Dia trauma. Abang sendiri jadi saksi macam mana teruk Iqbal sakitkan hati akak. She needs help bang, even though she didn't ask for it. Apa guna abang sebagai suami dia kalau abang tak dapat faham dia."
Hazim angguk faham. Kata-kata Nadine ditelan walaupun pahit.
"Abang terlalu alpa, abang pentingkan diri sendiri. It was my fault."
"Kalaulah abang tahu betapa sayang dan cintanya Kak Sophia dekat abang..."
Nadine menahan rasa sebak yang bertandang. Terbayang waktu Sophia menceritakan betapa kasihnya dia terhadap suami dan anak yang dikandung.
"Nadine nak pergi jenguk kakak." Nadine cepat-cepat melangkah dari situ.
"Nadine, tunggu!"
Share this novel