Sophia terbangun apabila terasa ada gegaran di sebelah telinganya. Tangannya laju mencapai telefon bimbit yang berada di bawah bantal. Penggera yang ditetapkan pada jam 9 pagi dimatikan.
Sisi katil yang kosong diraba-raba. Waktu begini, suaminya sudah pasti sampai ke pejabat. Rindu pula untuk mendengar ucapan pagi dari Hazim. Subuh tadi mereka sempat berjemaah walaupun masing-masing tidak banyak bercakap. Dia masih ingin merajuk dengan Hazim.
Sophia mengeluh sambil memandang siling. Sakit di kepalanya sudah berkurangan, lalu digagahkan diri untuk bangun dari katil. Belum sempat pun dia berdiri, telefon bimbit di tepi katil berbunyi.
Nama suaminya muncul di skrin, Sophia teragak-agak mahu mengangkatnya. Setelah deringan kedua, barulah dia menekan butang hijau.
“Assalamualaikum.” suara Hazim menyapa di hujung talian.
“Waalaikumusalam.”
“Sayang dah bangun? Abang ada buatkan roti bakar tadi. Makanlah.”
“Tengoklah dulu. Belum lapar.” Bohong Sophia.
“Jangan skip sarapan please.”
“Yelah.” Jawabnya pendek.
“Sayang marahkan abang lagi?”
“Marah sebab awak berahsia dengan saya. Awak tak perlu nak layan saya kalau awak terpaksa.”
“Apa sayang cakap ni? Mana ada abang terpaksa? Pasal semalam tu…abang minta maaf. Kita boleh bincang. We can take it slow. Abang tak nak bebankan fikiran sayang.”
“Atau awak memang plan tak nak cerita langsung dekat saya?”
“Sophia…”
Sophia lantas meletakkan panggilan. Baru sahaja ingin menenangkan fikiran, telefonnya berdering lagi. Kali ini nama pemanggil yang berbeza pula.
Sophia memicit kepala yang tidak sakit. Mesej dari lelaki itu semalam tidak direspon. Kerana cerita-cerita yang didedahkan oleh lelaki itulah, dia dan Hazim gaduh besar.
“Apa lagi dia ni nak…”
.
“Mana dia nak bawak aku ni?” gumam Sophia sendiri. Seingatnya, dia belum pernah melalui jalan ini. Tetapi perasaannya seakan memberitahu bahawa dia pernah ke sini.
Keretanya sedang mengekori rapat kereta Iqbal di hadapan. Janji Iqbal, dia mahu berjumpa dan berbincang buat kali terakhir. Sophia menurut sahaja memandangkan Iqbal tak henti-henti merayu. Dia juga buntu dan tak habis fikir.
Waktu kereta milik Iqbal sudah berhenti di Kawasan yang agak lengang, Sophia juga ikut sama.
Iqbal keluar dari kereta yang dinaikinya, lalu dia berjalan laju ke arah kereta Sophia. Kalaulah Sophia ingat, di tempat ini juga dia pernah meninggalkan wanita itu setelah mereka bertengkar. Di tepi jalan yang sepi inilah Sophia menangis hanya kerana kedegilannya untuk meminjamkan Iqbal wang.
Seperti yang telah dirancang, kali ini dia akan membawa Sophia lari sebelum menyiksanya sepuas hati. Amarahnya sudah tak dapat dibendung lagi hinggakan dia sanggup bertindak luar kewarasan. Hari demi hari dia impikan rumahtangga Sophia bergolak, namun sehingga hari ini tidak banyak yang berubah. Iqbal sudah tidak tahan lagi.
'Sophia... kau masih naif dan bodoh macam dulu.' getus hatinya
“You cakap nak bincang—” Sophia yang baru sahaja keluar dari kereta terlebih dahulu ditarik lalu dicekup mulutnya dengan sehelai sapu tangan.
Dengan kekuatan yang tersisa, Sophia tewas setelah beberapa saat bergelut. Cecair klorofom yang digunakan menyebabkan Sophia tak sedarkan diri beberapa saat kemudian. Tubuh yang sarat itu lalu diheret pula masuk ke dalam kereta milik Iqbal.
.
“Ye ke Nadine?”
“Betul, bang. Memang mama ada dekat rumah sepanjang hari semalam. Tak ada pula dia keluar.” kata Nadine lagi.
Terkejut Hazim apabila Nadine memberitahunya bahawa Puan Natrah tidak menemani Sophia untuk ke klinik semalam. Berarti isterinya memang keluar bersendirian tanpa pengetahuannya. Dan dia buntu memikirkan, pasti ada sesuatu yang berlaku sampaikan sikap Sophia tiba-tiba berubah.
“Abang Hazim, ada apa-apa yang jadi ke? Kenapa dengan kakak?”
“Nadine ada kenal mana-mana kawan akak yang bernama James?” tanya Hazim pula. Dia teringat nama yang disebut oleh Sophia kelmarin.
“Eh, tak ada pulak. Kenapa ni bang? Nadine tak sedap hati lah. Cuba abang cerita terus terang.” Bagaikan dapat menghidu ada perkara yang terjadi, Nadine bertanya langsung.
“Abang perasan waktu balik kerja semalam, kakak macam bad mood. Tiba-tiba akak bangkitkan soal arwah Hana. Katanya lelaki bernama James tu dah ceritakan semua perkara dekat dia. Sebab tu kami gaduh semalam. Sekarang akak tak jawab-jawab call abang. Abang risau. Abang ingat dia ada dengan Nadine.” adu Hazim dalam nada kebimbangan.
Selalunya kalau isterinya merajuk, Nadine yang jadi tempat mengadu.
“Ya Allah… ada apa pulak kali ni! Kejap, bagi Nadine pula yang call dia.” Nadine segera mematikan panggilan. Hazim terus menanti dalam resah.
.
Sophia memerhati sekeliling dalam ketakutan setelah sedar dari pengsan. Suasana di sekelilingnya sunyi sepi dan gelap. Sesekali dia mendengar bunyi cengkerik dan cicak. Tiada seorang pun kelibat manusia di situ. Hatinya mula berdebar-debar.
“Tolong!!! Tolong!!!” jerit Sophia kuat waktu dirasakan kedua belah tangan diikat kemas dari belakang. Puas dia cuba meleraikan ikatan, hinggakan peluh mulai merenik di dahi. Hendak bangun juga tidak mampu kerana kakinya juga dirantai kemas.
“Tolong!!!” jeritan Sophia terhenti apabila bunyi tapak kaki kedengaran menghampirinya.
Pintu bilik dibuka kasar. Gerangan seorang lelaki bertopi dan berjaket hitam berjalan memasuki bilik. Suis lampu dibuka, maka terlihatlah wajah Iqbal yang sedang tersenyum sinis. Di belakangnya pula ada dua orang lagi yang juga berpakaian serba gelap.
“Kau!” tersekat-sekat suara Sophia menahan ketakutan. Baru dia teringat bagaimana dia boleh sampai ke sini.
“Sophia.” Bisik Iqbal sebelum mencangkung menghadap Sophia yang terbaring di lantai. Direnung wajah yang sedang ketakutan itu dengan senyuman meleret. Tidak ada sedikit pun rasa kasihan dalam dirinya.
“Kenapa kau buat aku macam ni?! Lepaskan aku!” jerit Sophia.
“Diamlah, bodoh!”Iqbal menyinga sehinggakan Sophia terdiam.
“Kenapa aku buat macam ni? Sebab dendam aku belum selesai, Sophia.” Iqbal cuba menyentuh wajah Sophia namun Sophia cepat-cepat mengalih pandangan.
“Dendam apa, hah!” tanpa sedar, airmata Sophia mengalir. Baru beberapa hari lepas, Iqbal dan dia mesra berkawan. Hari ini, tiba-tiba Iqbal ada menyimpan dendam terhadapnya. Dendam apa?
“Oh lupa… kau hilang ingatan kan? Hahaha! Kenapalah kau tak mati je hari tu, Sophia…”
Dahi Sophia berkerut menahan marah. Apa yang dimaksudkan Iqbal? Melihat wajah Sophia yang jelas kebingungan, Iqbal jadi geram pula.
“Kenapa kau tak ingat aku Sophia?! Kenapa!!! Aku yang langgar kau!” Iqbal menggoncang bahu Sophia dengan kuat. Makin kencang tangisan Sophia.
“James…” Sophia menggeleng kepala tidak percaya. Langgar? Maksud dia kejadian langgar lari yang hamper mengorbankan nyawa itu kah?
“Aku lah, Iqbal! Iqbal James. Orang yang kau pernah tinggal dulu!” sambung Iqbal lagi.
Sophia pejam mata menahan sakit kepala yang mulai datang. Serentak itu juga kepalanya ditunjal Iqbal. Nafasnya mulai kencang setelah sakit menyerang lagi.
“Hoi, pompuan! Kau betul-betul tak ingat ke kau memang tak nak ingat?!”
“Sakittt…!” adu Sophia. Berpusing-pusing kepalanya. Sakit, dan takut bercampur menjadi satu. Tangannya yang disimpul tali menggeletar.
“Sakit!!! Tolong! Tolong!” Sophia terus merayu. Pandangannya mulai kabur dengan air mata.
“Diam!!! Kau bising lagi sekali, kau dengan anak kau ni takkan selamat!” ugut Iqbal sambil mencengkam pipi Sophia.
“Jangan… jangan apa-apakan aku!” rayu Sophia dalam lemah. Dia paling risaukan anak yang sedang dikandungnya.
“Tolong! Lepaskan aku! Sakit!”
“Diam, Sophia!” Iqbal menengking, dan tanpa sedar dia tertampar wanita itu.
Sophia sempat menjerit sebelum perlahan-lahan dunianya gelap. Melihat Sophia yang makin lama makin lelah, Iqbal mengundur diri. Wajahnya diraup kesal. Akhirnya wanita itu kembali tak sedarkan diri.
“Arghh!!!” Iqbal menjerit memarahi diri sendiri.
“Maaf, Sophia. Maafkan aku…”bisiknya.
.
Hazim mundar-mandir di tengah ruang tamu, dikelilingi oleh ahli keluarga yang lain. Walaupun hari sudah bertukar malam, belum sampai 24jam untuk melaporkan kehilangan Sophia. Hatinya tidak putus-putus berdoa agar si isteri selamat pulang ke pangkuannya.
Sejak pergaduhan pagi tadi, Sophia langsung tidak dapat dihubungi. Hazim kesal kerana kali terakhir mereka berbicara, emosi Sophia dalam keadaan tidak stabil. Lagi-lagi apabila isterinya sedang sarat mengandung dan kesihatannya juga seakan tidak baik.
“Hazim keluar dulu, mama papa, ayah umi.” Hazim mencapai kunci kereta dan bergegas ingin keluar. Tak betah melihat wajah-wajah yang sedang kerisauan. Dia mahu keluar mencari Sophia.
“Azim nak pergi mana?” Puan Noor bertanya. Bimbang kalau Hazim mahu keluar sendiri.
“Azim nak cari Sophia.” Meluru Hazim keluar dari rumah. Suara-suara yang memanggilnya ibarat masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.
“Hazim, tunggu!” suara bapa mertua akhirnya membuatkan langkah kaki Hazim berhenti.
Dengan sesal yang menggunung, dia tunduk memandang lantai. Kecewa dan malu dengan diri sendiri. Dia memang tak pandai menjaga bini. Hendak bersemuka dengan papa Sophia pun dia tak berani kala ini.
“Biar papa dengan ayah kamu ikut sekali…” bahu Hazim ditepuk papa Sophia perlahan.
Mengerti akan kerisauan yang melanda hati si menantu, dia tampil memberikan sokongan.
.
Iqbal merenung dekat wajah Sophia. Lebam pipi Sophia setelah menerima pukulannya tadi.
“Maaf, sayang. Maafkan aku sebab pukul kau…!” Iqbal berbisik perlahan.
Sekejap dia marah, sekejap dia kasihankan Sophia. Akibat barang terlarang, Iqbal jadi hilang pertimbangan. Dari awal lagi dia terjebak dengan dadah, Sophia lah yang menjadi mangsa barannya.
Satu tepukan di bahu kiri Iqbal membuat dia berpaling. Jackie, salah seorang anak buahnya kelihatan bimbang.
“Apa kita mau buat dengan perempuan ni, Bal?” entah mengapa dia setuju untuk ikut serta dalam misi bodoh ciptaan Iqbal ini.
Iqbal kembali memandang Sophia. Dia punya satu idea.
“Kasi tutup dia punya mulut. Esok kita jadikan dia tebusan. Her husband is a millionaire.” Ujar Iqbal dengan senyum sinisnya.
Jemput baca dan komen. Thank you my readers :)
Share this novel
bila plk update sis..xsabar nk tg yg seterusnye..