Masa begitu pantas berlalu. Fida sudah bijak menangani hal-hal peribadi dan keluarganya. Disebabkan ruang kehidupannya hanyalah rumah dan tadika nya sahaja, ujian hidup sebagai seorang ibu tunggal tidak lah begitu dirasakan.
Selalu dia dengar cerita-cerita orang bahawa lelaki-lelaki miang gemar menjadikan janda sebagai sasaran mereka. Kononnya kesian, kononnya mahu membantu. Padahal lebih kepada ingin mengambil kesempatan.
“Kak Fida.” Syima datang menegur di ruang pejabatnya pada suatu petang.
“Ya, Syim. Ada apa?” jawab Fida bersahaja. Matanya masih tertumpu kepada skrin komputernya. Dia sedang menyiapkan kunci kira-kira Future Star.
“Akak tak nak kahwin lagi ker?” soal Syima tiba-tiba.
“Hish, kamu ni. Tak ada soalan lain nak tanya?” mulutnya tersenyum senget saja mendengar soalan anak buahnya itu.
“Akak tak ada boyfriend ker?” Syima masih lagi bertanya tajuk yang sama. Kali ini ditarik kerusi dan dia duduk mengadap Fida. “Kak Fida kan cantik. Mesti ramai yang mengejar kan?”
“Kamu ada nampak sesiapa yang mengejar akak ker?” malas betul dia nak layan gadis muda di hadapannya itu.
“Alaa… kat sini memang lah tak ada. Kat luar mana saya tahu.”
“Akak duduk terperuk dalam tadika ni seharian. Balik dari tadika, terus balik rumah. Tak dan lah akak nak jumpa-jumpa orang.”
“Kalau macam tu, saya ada seorang sepupu. Bujang lagi. Tapi umurnya dah 34 tahun. Saya bagi nombor akak kat dia, nak?” cadangan Syima betul-betul mengejutkan Fida.
“Kamu jangan nak merepek eh! Tak kuasa akak nak layan-layan lelaki sekarang ni. Banyak lagi benda yang akak boleh buat.”
“Alaa akak ni. Saya cadangkan saja. Manalah tau, boleh jadi sepupu ipar.” Usik Syima sambil tersengih-sengih.
“Tak payah nak ipar-ipar sangat lah. Akak happy sekarang ni. Hidup akak amaaaaann jer. Sampailah kamu datang kacau.” Jawab Fida berseloroh dengan orang kepercayaannya itu. Sengaja ditekankan pada perkataan ‘aman’.
“Yer lah… saya cadangkan saja. Kalau Kak Fida tak nak lelaki bujang, apa kata akak cari single father di kalangan waris kita. Kita kana da rekod. Senang je nak cari. Rasa-rasanya ayah Syasya tu single father.” Syima segera bangun mendapatkan fail maklumat murid.
“Haih! Kamu jangan nak macam-macam yer. Bujang ker, duda ker, akak tak minat. Dah, dah. Pi keluar. Pening akak nak kira akaun ni. Banyak sangat cakapnya.” Fida membuat gaya seolah-olah menghalau. Tapi dia tau, gadis itu sekadar mahu mengusik.
Secara kebetulan, semasa Fida mahu berangkat pulang petang itu dia terserempak dengan Shamsudin ayah kepada Syasya. Teringat pula usikkan Syima sekejap tadi. Sedang dia memakaikan tali pinggang keledar Sufi dan Sofea di atas tempat duduk kanak-kanak, tiba-tiba Syima datang menghampiri.
“Kak Fida. Cepatlah!” kata Syima ringkas.
“Cepat apa?” soal Fida. Hairan dengan permintaan Syima.
“Pergi lah tegur bapa Syasya tu. Tinggi handsome je saya tengok. Sesuai dengan Kak Fida.” Saran Syima lagi. Sekali ini Fida mula membangkang.
“Kamu ni. Merepek teruk sangat ni. Sudah! Akak nak balik. Tak kuasa nak tegur-tegur orang.” Balas Fida kepada Syima.
“Tak baik tau. Sebagai owner Future Star, akak mestilah beramah mesra dengan waris-waris murid akak. Mereka kan pelanggan akak. Cepatlah Kak Fida. Dia dah nak balik dah tu.” Kejan Syima lagi. Tiba-tiba, muncul suara lelaki dari jauh menegur mereka.
“Cikgu Fida, Cikgu Syima, terima kasih ya.” Syamsudin berkata dari jauh. “Syasya, lambai kat cikgu. Cakap jumpa lagi esok.” Aranya kepada anaknya pula.
“Bye-bye, Cikgu Fida. Bye-bye Cikgu Syima.” Laung Syasya dari dalam kereta.
“Bye-bye Syasya.” Balas Fida dan Syima serentak. “Duduk diam-diam yer dalam kereta.” Pesan Fida lagi sambil melambai-lambai tangannya kepada anak kecil itu. Lambaian itu disambut oleh kedua-dua anak dan ayah.
“Tu kak Fida tengah lambai Syasya ker Syamsudin?” sakat Syima.
“Ya Allah! Mengarut sungguh kamu ni ya.” Dia mencubit pinggang Syima sekuat hati. Kemudian Fida ketawa kuat melihat Syima yang dah terkiat-kiat badannya.
“Aduh… sakitnya akak cubit saya.”
“Rasakan. Merepek lagi. Dah lah. Akak nak balik ni. Kamu jangan lupa ya. Seperti biasa, pastikan semua pintu tingkap dikunci. Cabut semua plug kecuali water dispenser dan fridge.” Pesan Fida kepada Syima. Hampir setiap hari Syima adalah orang terakhir yang akan keluar dari tadika itu. Sudah masak benar apa yang perlu dibuatnya.
“Roger, boss!” ucap Syima sambil mengangkat tabik hormat. Fida tertawa kecil melihat lagak Syima. ‘Ada-ada sajalah budak Syima ni.’ Fikirnya sendirian.
“Sufi, Sofia, lambai kat Cikgu Syima.”
“Bye-bye Cikgu Syima. Jumpa lagi esok.” Ujar mereka berdua serentak.
Share this novel