~ 2 ~

Family Completed 8882

“Abang, bila abang akan bergerak semula ke Kuching?” soal Tasya kepada Harris. Harris yang sedang berehat di hadapan televisyen mengangkat matanya memandang Tasya yang sudah berdiri di sebelahnya sambil memegang sekoleh air.

“Hari Selasa minggu depan. Kenapa sayang tanya?” jawab Harris sambil mencapai air minuman yang di bawa oleh Tasya kepadanya. Setelah Tasya duduk di sebelahnya, terus sahaja dirangkul pinggang isterinya itu. Disebabkan tugas Harris yang selalu memerlukannya ke luar kawasan, dia sangat menghargai saat-saatnya dapat bersama-sama keluarganya di rumah.

“Hujung minggu nanti kita ke Johor, nak tak? Tasya nak cari handbag baru.” Jawab Tasya. Tasya tidak bekerja. Jadi apa sahaja keperluan dan kehendaknya akan terus diminta daripada Harris. Dia tahu suaminya akan belikan apa sahaja permintaannya. Harris terlalu sayangkan Tasya. Tasya sedar akan hal itu.

Harris bekerja sebagai Jurutera Kimia di salah sebuah kilang terkemuka. Siltron Manufacturer Sdn Bhd merupakan sebuah rangkaian kilang multinasional yang terletak di beberapa lokasi di Asia Tenggara. Di dalam Malaysia sahaja Siltron punyai empat cawangan. Harris sering kali diarahkan untuk keluar bekerja di luar kawasan berhari-hari lamanya. Sebagai ‘ganti rugi’, Harris tidak pernah menolak permintaan isteri dan anak perempuannya, Hanna untuk membeli apa sahaja barangan yang digemari mereka. Walaupun dia jarang ada di rumah, sekurang-kurangnya dia mahu mereka hidup dengan selesa.

“Nak pergi balik hari atau nak bermalam di sana?” soal Harris. Wajah Tasya bersinar-sinar kerana Harris setuju dengan permintaannya.

“Kita stay kat sana yer, bang? Sayang booking hotel sekarang, boleh?” Tasya sudah terlalu teruja. Cepat sahaja tangannya mencapai telefon bimbitnya.

“Okay.” Jawab Harris ringkas. Dia kembali menumpukan penglihatannya ke kaca televisyen. Tasya pula sedang sibuk dengan telefonnya mencari hotel yang terbaik untuk mereka bermalam.

“Hanna mana? Senyap saja.” soal Harris tiba-tiba. Dia mendongak kepada jam di dinding. “Baru 9:30. Dah tidur ke?” soal Harris lagi setelah melihat Tasya yang terlalu asyik dengan telefonnya.

“Dah tidur. Hari ni seharian dia tak tidur siang. Asyik main saja.” Jawab Tasya tanpa memandang pun kepada suaminya. Dia masih sibuk mencari hotel-hotel terbaik untuk bermalam. Tiba-tiba telefon Tasya berdering. Harris ternampak wajah isterinya itu sedikit terkejut. Dia cuba menjeling ke skrin telefon tetapi tak nampak pula siapa yang membuat panggilan.

“Siapa tu?” soal Harris ringkas. Hairan dia melihat reaksi Tasya.

“Kak Tila. Apa yang dia mahu malam-malam macam ni?” ujar Tasya. Tila adalah nama kakaknya. “Hello, Kak Tila. Ada apa?” Tasya mengangkat telefon. Tetapi tidak lama selepas itu, dia bangun dan berjalan menuju ke tangga. “Abang, Tasya naik atas dulu yer. Kak Tila macam nak borak panjang jer.” Kata Tasya kepada suaminya. Belum sempat Harris menjawab, Tasya sudah berlari-lari menaiki anak tangga. Harris membiarkan sahaja dan kembali menonton televisyen.

Lebih kurang jam 11 malam, Harris mematikan suiz televisyen dan mengangkat cawannya ke dapur. Setelah di basuh, Harris memastikan pula pintu belakang rumahnya dikunci dan dapur dalam keadaan kemas sebelum dia menutup lampu. Harris terus memanjat tangga menuju ke biliknya. Sebelum masuk ke biliknya, dia singgah di bilik Hanna.

“Lasaknya anak papa ni tidur.” Ujar Harris perlahan. Dia menarik selimut yang hampir jatuh ke lantai dan menyelimutkan badan anaknya yang sedang tidur. Dia ingin mencium dahi anaknya itu tetapi tiba-tiba dia teringat pesanan ustaz.

“Jangan kita cium anak kita yang sedang tidur lena. Nanti degil perangainya.”

Dibatalkan niatnya untuk mencium. Diusap rambut anaknya perlahan-lahan sambil berkata, “Hanna jadi anak papa yang baik yer…” setiap kali Harris mengusap kepala anaknya, itulah ayat yang akan dia sebut. Mudah-mudahan ia akan menjadi doa mengiringi hidup anaknya.

Setelah menutup pintu bilik Hanna, Harris menuju ke biliknya pula. Pintu biliknya tertutup rapat tetapi tidak berkunci. Apabila dia masuk, kelibat Tasya tidak kelihatan.

“Tasya…” panggil Harris mesra.

“Ya, abang. Tasya kat luar ni. Sekejap ya.” Tasya yang sedang berada di balkoni menjengok sedikit apabila mendengar suaranya di panggil. Harris berlalu masuk ke dalam bilik air. Dari dalam bilik air, dia mendengar suara Tasya yang asyik ketawa tetapi ditahan-tahan. Entah apa yang dibualkan dengan Kak Tila agaknya.

Apabila dia keluar dari bilik air, Tasya sudah pun berada di atas katil.

“Sembang apa lama sangat dengan Kak Tila tu?” soal Harris kepada isterinya. Hairan pula dia. Jarang sangat Kak Tila telefon malam-malam untuk berborak panjang sebegitu. Atau mungkin begitulah mereka apabila dia tidak berada di rumah. Disebabkan dia selalu keluar, jadi dia jarang nampak Tasya dan Tila berborak lama-lama sebegitu.

“Kak Tila tu lah. Dia cerita kisah dia balik kampung jumpa mak hujung minggu lepas. Abang pun tau kan perangai mak tu macam mana. Tambahan pula dengan Kak Tila. Ada sahaja lah yang tak kena dengan mereka berdua tu. Bukannya boleh duduk satu bumbung lama-lama. Gaduh lah.” Jawab Tasya panjang lebar. Tetapi memang sebegitulah sikap ibu mentua dengan kakak iparnya itu. Ada sahaja cerita mereka berselisih faham. Kadang-kadang bendanya kecil saja, tetapi kecoh sekampung.

Apabila Harris pulang ke ibu pejabatnya, waktu bekerja Harris bermula jam 8 pagi dan berakhir pada 5 petang. Tetapi sekiranya dia di luar, waktu kerjanya tidak menentu. Harris akan dipanggil apabila berlakunya masalah-masalah besar di mana-mana kilang syarikatnya. Selagi masalah itu tidak diselesaikan, Harris tidak boleh berhenti. Apabila berlakunya hal-hal seperti kebocoran, mesin tersangkut dan sebagainya, operasi kilang akan terganggu. Harris bertanggungjawab untuk memastikan semua mesin dan peralatan di semua kilang cawangan syarikat itu berada dalam keadaan yang baik dan selamat.

Di awal usia perkahwinannya dengan Tasya, pernah juga dia membawa Tasya bersama-sama ke lokasi tugasannya. Tetapi setiap kali itu lah juga Tasya akan merungut kebosanan menunggu Harris yang pulang tidak mengira waktu. Ada masa Harris pulang lewat malam. Ada juga masa Harris terpaksa bekerja sepanjang malam. Pernah juga berlaku, Harris dipanggil semula ke kilangnya di tengah-tengah malam dan meninggalkan Tasya di hotel keseorangan. Akhirnya Tasya sendiri yang tidak mahu mengikutnya lagi.

“Mama, kenapa mama pack baju banyak-banyak ni? Soal Hanna apabila melihat Tasya sedang menyusun baju-bajunya ke dalam beg.

“Kita nak pergi jalan-jalan. Hanna nak ikut tak?” soal Tasya dengan cerianya.

“Nak ikut! Nak ikut! Kita nak pergi mana? Ada swimming pool tak?” Hanna sangat suka bermain dengan air.

“Mestilah ada. Nanti di sana, mama teman Hanna mandi swimming pool, lepas tu Hanna pula teman mama shopping. Boleh?” makin ceria wajah Hanna mendengar perkataan shopping. Mood mama akan jadi sangat baik semasa shopping. Nanti mama pasti akan belanja dia makan aiskrim.

“Papa ikut sekali tak?” soal Hanna lagi.

“Mestilah papa ikut.” Balas Tasya.

“Yeay! Hanna suka pergi holiday dengan papa. Tapi kalau dengan Uncle…” tiba-tiba tangan Hanna digenggam kemas oleh ibunya.

“Hanna jangan memandai nak buka cerita pasal tu yer!” Tasya memberi amaran keras kepada anaknya. “Kalau mama dengar Hanna cerita kat siapa-siapa, siap Hanna. Mama tinggal Hanna kat bawah jambatan.” Ugutnya lagi. Hanna ketakutan. Dia teringat keadaan seorang wanita tua di bawah jambatan yang ditunjukkan oleh mamanya tidak lama dulu. Dia tidak mahu hidup sebegitu.

Tidak lama selepas itu, terdengar deruan enjin kereta papanya. Hanna berlari turun ke bawah untuk berjumpa papa. Papa jarang ada di rumah. Sesekali apabila papa balik, Hanna akan sentiasa berkepit dengan papa.

“Papa dah balik! Papa dan balik!” Hanna menjerit-jerit di muka pintu.

“Hanna!” laung Harris dari luar. “Assalamualaikum…” selepas Hanna menyalami dan mencium tangannya, Harris terus mencium wajah Hanna. Bukan selalu dia di sambut begitu apabila pulang dari kerja. Sementara dia berada di rumah, dia akan menggunakan sepenuh masa yang ada untuk isteri dan anaknya. Tak pernah sekali pun Harris keluar tanpa membawa mereka bersama.

“Hanna buat apa hari ni? Hanna pergi school tak?” soal Harris menyapa anaknya. Dis suka dengar celoteh Hanna menceritakan itu ini tentang kisah-kisah hariannya.

“Pergi! Hari ni teacher ajar bunyi haiwan.” Jawab Hanna dengan seronok sekali.

“Iya? Kucing bunyi macam mana?” soal Harris seumpama menguji.

“Meaw… meow…” jawab Hanna mengajuk bunyi kucing.

“Okay. Burung?”

“Tweet… tweet…”

“Okay, monyet?”

“Uuu… uuu…” kali ini Hanna siap membuat aksi monyet menggaru-garu badannya. Harris ketawa besar melihat keletah anak kesayangnnya itu.

“Pandailah anak papa ni… Hanna dah makan? Mama mana?” soal Harris apabila Tasya tidak ada di pintu menyambutnya balik dari kerja.

“Tengahari dah makan. Petang ni belum. Mama kat atas tengah packing baju. Papa, kita nak pergi holiday ke? Kita nak holiday kat mana?” soal Hanna kepada papanya. Dia sudah terlalu teruja.

“Iya… kita pergi Johor. Nanti kita boleh lah mandi kolam sama-sama.” Jawab Harris. Hanna semakin teruja.

“Yeay! Hanna suka mandi kolam dengan papa. Nanti papa tengok ya. Hanna dah pandai berenang! Miss Laura ajar.” cerita Hanna kepada papanya. Miss Laura adalah guru kelas renang Hanna. Disebabkan Hanna suka sangat bermain dengan air, Harris rasa dia perlu mengajar Hanna cara-cara untuk berenang dengan betul. Sekurang-kurangnya, anaknya tahu bagaimana untuk bernafas dan bergerak di dalam air.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience