Harris dan Fida duduk bersandar menghadap Laut China Selatan yang luas terbentang di hadapan mereka. Angin bayu bertiup lembut membuai-buai hujung selendang chiffon Fida. Bunyian ombak yang menghempas pantai tanpa henti begitu mengasyikkan. Matanya masih tertumpu kepada anak-anaknya yang asyik bermain di gigi air.
“Honey, fikir apa tu jauh sangat?” tegur Harris di sebelahnya. Fida menarik nafas dalam-dalam, kemudian menghembuskannya dengan perlahan-lahan.
“Hubby, macam mana I nak lupakan peristiwa tu? Setiap kali I teringat, seluruh badan I menggigil. Walaupun sekarang dah hampir setahun kejadian tu berlaku, tapi I masih lagi menggigil.” Luahan hati Fida amat menyentap jantung Harris. Terasa sesak nafasnya seketika.
“To be honest, I never forget about it either. Kita takkan mampu melupakan kejadian seperti itu. Tapi kita akan belajar untuk hidup bersama-sama dengan kenangan itu. We try to make peace with it.” Bicara Harris bagaikan hempedu kepada dirinya sendiri. Bijaknya dia memberi kata-kata semangat kepada Fida, walhal dia sendiri sentiasa dibelenggu rasa bersalah yang teramat sangat. Kerana dia, Tasya telah bertindak kejam terhadap Fida dan akhirnya Sofia yang menjadi mangsa.
Harris merangkul bahu Fida dengan kemas sekali. Fida pula mengusap-usap perutnya dengan perlahan-lahan. Kurang sebulan dari sekarang, bayi barunya akan lahir ke dunia. Mampukah dia kembali hidup dengan tenang? Dia tahu dia perlu kuat demi anak-anaknya. Demi Harris. Sesungguhnya perasaan takutnya terlalu kuat sehingga adakala mengganggu kewajarannya untuk berfikir dan membuat keputusan seharian.
Setelah enam bulan Sofia menjalani rawatan fisioterapi dan sesi kaunseling, fizikal dan mentalnya sudah kembali pulih seperti sedia kala. Malah dia menjadi lebih kuat dan bersemangat berbanding Sofia yang sebelumnya. Dia bertukar menjadi seorang kanak-kanak yang lebih berani, lebih terbuka dan lebih mesra walaupun dengan orang yang tidak dikenalinya. Perubahan drastik diri Sofia sentiasa membuatkan Fida susah hati. Dia sering tertanya-tanya apakah semua ini bagus untuk Sofia? Atau apakah itu tanda-tanda bahawa Sofia memerlukan lebih banyak bantuan dan juga perhatian?
Fida sendiri tidak faham dengan perasaannya itu. Tetapi itulah naluri yang dirasainya selaku seorang ibu kepada Sofia. Trauma yang dirasainya terlalu merasuki kehidupan Fida. Fida juga bimbang seandainya ia bakal memberi kesan terhadap hubungannya dengan anak yang bakal dilahirkan kelak.
Pernah juga Harris mencadangkan agar dia juga turun menghadiri sesi kaunseling. Mungkin dengan cara itu, Fida dapat meluahkan segala isi hatinya yang terpendam yang adakalanya dia sendiri tidak sedar bahawa itulah punca kepada segalah masalah emosi Fida. Tetapi Fida enggan. Dia beranggapan, sekiranya dia memberikan tumpuannya terhadap urusan-urusan hariannya yang lain, lama-kelamaan rasa takutnya itu akan perlahan-lahan hilang.
Tetapi Fida salah. Sehingga sekarang pun Fida masih lagi trauma. Dia sentiasa tercari-cari Sofia. Setiap kali Sofia terlantar tidur, dia akan terus menjadi panik. Apatah lagi jika pulang ke kampung ibu bapa Harris. Fida langsung tidak membenarkan anak-anaknya untuk keluar bermain di luar rumah. Dia sentiasa terintai-intai ke jalan utama kalau-kalau ada mana-mana kenderaan yang mencurigakan.
“Hubby…” Fida memanggil suaminya dengan lembut sekali. Fida berpaling menatap mata Harris sedalam-dalamnya dan kemudian berkata, “I rasa I dah sedia untuk pergi sesi kaunseling yang you suggest tu.”
Harris seakan tidak percaya dengan apa yang dikatakan isterinya itu. Dia benar-benar ingin Fida kembali pulih seperti sediakala, tetapi pada masa yang sama dia tidak mahu memaksa Fida untuk membuat sesuatu diluar keinginannya. Selama setahun ini, Harris sentiasa berdoa agar Allah permudahkan segala urusannya dan kembalikan keceriaan di wajah isteri kesayangannya itu. Sesungguhnya Harris terlalu merindui Fida yang dulu.
Alhamdulillah, akhirnya kini Fida sudahpun bersetuju untuk menjalani sesi kaunseling. Doa Harris semoga dengan kehadiran bayi baru mereka nanti, kehidupan keluarganya akan lebih tenteram dan harmoni. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa dia mencintai isteri dan kesemua anak-anaknya. Suatu masa dahulu, mereka adalah impiannya. Dan sekarang, mereka adalah amanah Allah kepadanya. Tak kan mungkin dia mempersia-siakan mereka. Semoga kasih-sayang mereka berkekalan sehingga ke Jannah.
Share this novel