~ 14 ~

Family Completed 8882

Selesai sarapan, Irwan mengangkat telefonnya untuk menelefon mak ayahnya di kampung. Jam di telefonnya menunjukkan 10:45 pagi. Lewat dia bersarapan hari ini. Begitulah kehidupan bujangnya sekarang. Bukanlah bermakna hidupnya kurang terurus, tetapi dia bebas untuk buat apa sahaja pada bila-bila masa sahaja yang dia mahu. Tiada lagi syarat atau pun peraturan yang termaktub ke atasnya melainkan syarat dan peraturan hidupnya sendiri.

Irwan mendail nombor ibunya dan menunggu untuk wanita itu menjawab. Tetapi setelah sekian lama berdering, tidak pula dijawab. ‘Ke mana pulak mak ni? Pagi-pagi macam ni selalunya dia ada saja kat rumah tu. Apa yang disibukkan sangat tu?’ bisik hati Irwan. Dia mencuba sekali lagi. Deringan tetap berbunyi kali ini, tetapi entah kali yang ke berapa barulah ada jawapan.

“Hello, assalamualaikum.” Asmah menjawab panggilan daripada Irwan. Disamping suara ibunya, Irwan juga terdengar suara anak-anak kecil yang riuh rendah di hujung sana. Hatinya berdebar-debar.

“Waalaikummussalam. Mak ada di mana tu? Riuh sangat tu?” tanya Irwan keras. Dia bagai boleh meneka suara siapa di belakang ibunya itu.

“Mak dengan cucu-cucu mak lah. Engkau ada kat mana tu?” Asmah cuba berlagak selamba. Dia tahu Irwan pasti akan marah kepadanya tetapi hatinya nekad. Ini adalah cucu-cucunya. Dia berhak berjumpa dengan cucu-cucunya.
“Perempuan tu datang cari mak kat kampung ke? Berapa banyak duit yang dia minta dari mak? Mak jangan layan sangat perempuan tu. Halau je dia balik. Perempuan bodoh sombong macam tu memang perlu diajar. Pandai dia gunakan anak-anak dia datang rumah orang nak minta sedekah.” Sembur Irwan tanpa asas. Asmah menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Mak dengan ayah yang datang ke rumah Fida. Dia menantu mak. Sampai akhirat dia tetap menantu mak. Sofia dan Sufi ni pula cucu-cucu mak. Kalau mak tak manjakan diorang, mak nak manjakan siapa lagi?” bentak Asmah. Dia sudah tidak boleh menerima perbuatan anaknya itu lagi.

“Mak tak ingat kah apa yang dia dah buat dekat Wan? Wan terperuk kat tempat ni pun sebab dia juga tau, mak!” berang Irwan mendengar ayat ibunya itu. Dia rasa seolah-olah dirinya telah dikhianati oleh ibu dan ayahnya sendiri.

“Itu hal kamu dengan Fida. Tak ada kaitan dengan mak dan ayah. Engkau minta tukar ke Sarawak tu selepas kau ceraikan dengan Fida. Talak tiga! Takkan kau dah lupa? Lagipun cucu-cucu mak ni tanggungjawab keluarga kita. Sufi ni waris kuat keluarga kita.” Tempelak Asmah membantah kata-kata Irwan. Dia sudah tidak mahu ambil peduli lagi apa yang Irwan fikirkan. Yang salah tetap salah dan dia mesti betulkan keadaan.

“Tapi mak…” Irwan cuba membela diri. Pantas sahaja Asmah memotong kata-kata anaknya.

“Sudah, Wan. Kau dah rosakkan mood bahagia mak pagi-pagi ini. Mak ingat bila kau dah merasa hidup seorang di tempat orang jauh macam ni, kau boleh muhasabah sikit diri engkau tu. Makin bongkak pula mak tengok. Mak letak telefon dulu. Assalamualaikum.” Terus sahaja Asmah mematikan telefonnya dan berjalan masuk semula ke dalam rumah. Apabila Irwan mula marah-marah tadi, Asmah berjalan keluar melalui pintu dapur rumah Fida. Dia tidak mahu Sufi dan Sofia terdengar butir biacara dia dan Irwan. Bimbang hati cucu-cucunya terguris.

Tetapi apa tanpa Asmah sedari, perbualannya didengari Fida yang kebetulan sedang berada di dalam perpustakaan mini bersebelahan dengan dapur. Jelas setiap butir bicara Asmah tadi. Sedikit-sebanyak, Fida berasa bersalah pula dengan ibu mentuanya itu. Disebabkan dia dan anak-anak, Asmah berperang dengan Irwan. Dia terus keluar mendapatkan ibu mentuanya itu di dapur.

“Mak…” panggilnya. Terkejut Asmah melihat Fida yang tiba-tiba berada di situ. Melihat raut wajah Fida, dia tahu Fida telah mendengar perbualannya tadi. “Fida minta maaf, mak.” Ucap Fida dengan wajah yang sugul.

“Apa yang Fida cakap ni? Mak tak salahkan Fida langsung. Mak tahu perangai anak mak tu macam mana. Mak faham benar baran dia tu.” Jawab Asmah menenangkan hati menantunya itu.

“Tapi disebabkan kami anak-beranak, mak pula yang bergaduh dengan Irwan. Hati Fida rasa tak sedap bila jadi macam ni.” Fida berterus-terang sahaja tentang perasannya kepada Asmah.
“Kamu tak payah nak rasa bersalah. Mak ayah ni hidup tak tenang dua tahun ni mengenangkan kamu dan anak-anak. Sekarang bila dah dapat jumpa macam ni, rasa lega sikit hati kami. Esok lusa kalau kami mati pun, kami dah boleh mati dengan tenang.” Jawab Asmah. Kali ini dia bukan lagi berniat untuk memujuk, tetapi lebih kepada meluahkan perasaanya dan suaminya. Anak-anak perlu sedar, kebahagiaan anak-anak adalah kebahagiaan mereka. Kegagalan anak-anak adalah kegagalan mereka juga.

“Mak yang perlu minta maaf daripada kamu sebab anak mak yang dah menganiayai kamu anak-beranak. Mak dengan ayah pun dah buntu dengan Irwan tu. Tak tau macam mana lagi kami nak tegur dia. Mak tahu sejak berpisah, dia langsung tidak memberi nafkah anak-anak kepada kamu, kan?” soal Asmah kepada Fida. Fida hanya tersenyum kelat.

“Mak tak perlu minta maaf. Abang Irwan tu bukannya anak kecil. Dia sendiri sudah boleh fikir mana yang baik dan mana yang buruk. Semua perbuatannya adalah tanggungjawabnya sendiri. Lagipun hidup kami tak ada yang kurang dari segi kewangan. Cuma Sofia lah yang rindu sangat-sangat atuk dan opahnya. Terima kasih, mak kerana masih mahu terima kami lagi.” Ucap Fida ikhlas. Dia lantas memeluk erat tubuh wanita di hadapannya itu. Asmah juga turut merangkul Fida seeratnya. Terasa sungguh kasih sayang mentuanya kepada dirinya.

“Mama, nak air…” tiba-tiba Sufi berlari menerpa Fida di dapur. Kepalanya basah bermandi peluh. Entah apa yang dikerjakan oleh anak itu.

“Ya Allah, basah jeruk cucu opah ni!” tegur Asmah sambil melurut-lurut rambut Sufi yang dibasahi air peluh. “Sufi buat apa sampai peluh macam ni?”
“Sufi lari… lari atas… lari bawah… lari semua…” cerita Sufi bersungguh-sungguh kepada Asmah. Celoteh anak kecil itu menjentik hati kedua-dua wanita itu. Mereka sama-sama ketawa besar.

Untuk minum petang hari itu, Fida menyediakan juadah yang agak istimewa. Dia tidak sabar mahu menyambut kehadiran Taufik. Sebungkus mi sugar siap digoreng. Di dalam peti sejuk, telah disediakan sebekas puding jagung. Lebih kurang jam 5 petang, Taufik menghubungi Fida.

“Hello, Assalamualaikum Fida. Abang dah nak gerak ke rumah Fida. Dalam 10 – 20 minit sampai lah.” Kata Taufik sedikit teruja. Tanpa dia sedari, Adalia sedikit terpana dengan gelaran ‘abang’ yang digunakan oleh Taufik. Dia sedar dia perlu mengajar hatinya untuk sentiasa positif dan sentiasa percaya kepada suaminya itu. Untuk mengelak daripada raut wajahnya dilihat oleh Taufik, dia sengaja memandang ke cermin sisi.

“Dalia…” Taufik sudah masak benar dengan bahasa tubuh isterinya itu. Digenggam tangan Adalia sekemas mungkin. Apabila Adalia memandang kepadanya, dia mengukir senyuman paling manis buat isterinya itu. “Dalia dah sedia?” Adalia hanya mengangguk kecil. “Abang yakin sangat-sangat. Dalia pasti boleh menerima Fida bila Dalia benar-benar kenal dia. She is a good person.”

Taufik memulakan pemanduannya. Sepanjang jalan, mereka kurang berbicara. Bermacam-macam soalan dilontarkan Taufik kepada isterinya, tetapi Adalia lebih selesa mendiamkan diri. Taufik membiarkan saja dahulu Adalia tenggelam dengan perasaannya. Dia tahu apabila isterinya bersua muka dengan Fida nanti, pasti penerimaannya terhadap Fida akan bertukar. Dia amat yakin tentang itu.

“Mama, ada orang datang!” suara Sofia mengejutkan Fida yang sedang berbual-bual dengan mentuanya di dapur.

“Siapa yang datang, Fida?” tanya Asmah.

“Abang Fida semasa di Rumah Impian, mak.” Jawab Fida dengan ceria sekali. Dia bingkas bangun menuju ke pintu utama. Dari jauh dia nampak Taufik sudah pun turun dari keretanya dan bersalaman dengan bapa mentuanya. Berdiri bersebelahan dengan Taufik seorang wanita cantik yang dia tidak kenali. ‘Siapa pula tu? Isteri Abang Taufik ka? Tak tau pula abang dah kahwin.’ Fikir Fida sendirian. Dia terus keluar mandapatkan mereka.

“Selamat datang, abang. Jemput masuk ke rumah Fida.” Dia melemparkan senyuman paling manis kepada tetamu-tetamu sitimewanya hari itu.

“Assalamualaikum, Fida…” tegur Taufik memberi salam kepada tuan rumah.

“Waalaikummussalam…”

“Ini isteri abang, Adalia.” Taufik memperkenalkan isterinya secepat mungkin dia tidak mahu isterinya rasa terpinggir.

“Cantiknya isteri abang…” Fida menyambut salam daripada Adalia. Kemudian dia menarik tubuh wanita itu dan dipeluknya. “Jom masuk ke dalam. Kat luar ni masih panas.” Mereka semua ikut berjalan masuk ke dalam rumah. Di muka pintu, Asmah berdiri melihat saja gelagat mereka semua.

“Mak, inilah abang Fida masa di Rumah Impian dulu. Abang Taufik namanya.” Dia memperkenalkan Taufik kepada mentuanya.

“Makcik.” Taufik menunduk hormat kepada Asmah. Asmah membalasnya sambil tersenyum manis.

“Yang cantik molek ni, isteri abang Taufik. Adalia, kan?” Fida ingat-ingat lupa. Baru sekali mereka bersua. Adalia menghulurkan tangannya kepada Asmah. Mereka bersalaman seketika.

“Jomlah masuk. Sila, sila.” Ucap Fida lagi kepada semua. Hatinya begitu gembira sekali hari ini. Seolahnya semua orang yang dia sayang telah pulang ke pangkuannya kembali. Dia rasa hidupnya bagaikan lengkap.

“Eh, cikgu Taufik.” Sofia yang baru perasan siapa sebenarnya tetamu yang datang ke rumahnya itu menegur. Dia menghulurkan tangannya kepada Taufik. Sufi juga turut mengikut apa yang dibuat oleh Sofia. “Atuk, ini lah guru kelas Sofia yang Sofia ceritaka tu.” Tersengih-sengih Sofia.

“Oh, ini cikgu Sofia?” atuknya membalas. Fida membawa Taufik dan Adalia ruang tamu rumahnya. Manakala Roslan dan Asmah memimpin Sufi dan Sofia untuk terus masuk ke ruang keluarga. Mereka ingin memberi ruang untuk Fida dan tetamunya berbual. Mereka tidak mahu anak-anak kecil itu mengganggu perbualan Fida dan tetamunya.

“Dah lama ker abang kahwin?” soal Fida terlebih dahulu. Tidak sabar mahu tahu segala cerita tentang kisah hidup insan yang banyak berjasa kepadanya sejak kecil.

“Dah 4 tahun dah. Adalia ni dulu pernah kerja di Rumah Impian tau?” jelas Taufik sambil menggenggam jemari Adalia.

“Oh ya kah. Ermm… Fida nak panggil apa ya? Adalia ke Kak Adalia?” bimbang juga kalau-kalau nanti Adalia tersinggung kalau dia memandai-mandai.

“Panggil Dalia jer. Kita sebaya rasanya, kan abang?” jawab Adalia kepada Fida sambil meminta kepastian daripada suaminya.

“Iya. Dalia sama ja umur dengan Fida.” Jawab Taufik.

“Dah lama ker Dalia kerja di sana? Fida tak perasan pula.”

“Masa saya masuk kerja di rumah tu, Fida dah keluar dah. Memang kita tak pernah berjumpa pun.” jelas Adalia lagi.

“Tapi mcam mana abang boleh berjumpa dengan Dalia? Abang balik ke sana ker?” soal Fida sedikit terkejut, dia tidak menyangka langsung Taufik akan kembali ke rumah itu. Kali ini, Adalia tidak mahu menjawab. Biarlah Taufik sendiri yang bercerita, mengapa dia pulang ke Rumah Impian.

“Lima tahun lepas, abang balik sana. Nak cari Fida lah. Tapi masa tu Fida dah berpindah keluar. Abang minta Adalia tolong abang cari maklumat tentang Fida. Tapi apa yang kami dapat tau, Fida dah kahwin. Tetapi tak ada rekod alamat terkini Fida. Cari punya cari, terjatuh cinta pula pada spy abang ni.” ujar Taufik mengusik isteri di sebelahnya.

“Wah… begitu ceritanya. Kiranya Fida lah yang menjodohkan abang dengan Dalia kan? Kira Fida dah tebus la semua jasa abang kat Fida dulu.” Seloroh Fida. Tetapi perkataan ‘jasa’ yang disebutkan Fida tadi tiba-tiba mencetuskan segala memori-memori lama mereka dahulu. “Terima kasih banyak-banyak, abang. Abang banyak berkorban untuk Fida dulu. Fida tak tau apa yang akan jadi kat Fida kalau abang tak ada.” ucap Fida seikhlasnya. Ada titisan air mata yang mula gugur di wajahnya.

“Fida jangan cakap macam tu. Sesiapa pun yang ada di tempat abang waktu tu pasti akan bertindak sama macam yang abang buat. Benda lama, Fida. Tak payah lah kita kenang-kenangkan sangat. Benda dah lepas pun.” Taufik memujuk Fida. Adalia dapat memerhatikan satu pertalian yang ikhlas walaupun tanpa pertalian darah. Mungkin mereka bukan adik-beradik secara biologi, tetapi kehidupan zaman kanak-kanak mereka membuatkan mereka sangat akrab mengalahkan sesetengah adik-beradik yang lain.

“Dah lama kah Fida hidup sendiri ni?” tanya Taufik beralas. Dia tidak mahu menggunakan istilah ibu tunggal apatah lagi janda. Fida mengesat air mata di pipinya. Ada segaris senyuman hambar yang terbit di bibir.

“Baru dua tahun.” Jawabnya ringkas.

“Bercerai hidup atau mati?” Taufik berterusan mengorek rahsia hidup Fida. Dia mahu tahu semuanya. Penat-penat dia membela wanita itu di zaman gadisnya, dia mahu menyelami susah-payah hidup Fida yang sekarang. Taufik rasakan seumpama segala tanggungjawab atas kehidupan Fida tergalas di atas bahunya.

“Bercerai hidup, abang.”

“Bekas suami Fida sekarang ada di mana?”

“Sarawak kalau tak silap. Itu pun Fida terdengar mak bercakap dengandia pagi tadi.”

“Tapi, nafkah anak-anak semua dia masih bagi la kan?” soal Taufik lagi. Fida hanya menggelengkan kepalanya perlahan.

“Itu tak penting, abang. Yang penting, dia dah tak ganggu hidup Fida. Hidup Fida dah amat tenteram dah sekarang ni. Ada duit banyak-banyak pun, kalau bayang dia masih menganggu Fida, nak buat apa? Fida tak tenang hidup macam tu.” Luah hati Fida kepada Taufik.
Fida sejujurnya berpendapat, biarlah dia bersusah-payah menyara hidup anak-anaknya asalkan Irwan tidak lagi mengganggu nya. Kalau dia nak rebut-rebutkan nafkah itu bermakna dia perlu berhubung dengan lelaki itu. Dia sudah muak untuk ada sebarang bentuk hubungan denga lelaki bernama Irwan itu.

“Mentua Fida okay dengan Fida?”

“Yang sebenarnya, abang… ini kali pertama mereka menghubungi Fida kembali setelah dua tahun kami bercerai. Fida bersyukur sangat, abang.” Wajah Fida kembali bersinar walaupun masih bersisa air mata di pipi. “Semalam, anak-anak Fida sudah dapat atuk dan opeh mereka semua. Dan hari ni, Fida berjumpa kembali dengan abang. Siap ada kakak ipar lagi.” Ucap Fida ikhlas sambil memandang ke arah Adalia. Dilemparkan senyuman paling manis kepada isteri Taufik itu. “Fida rasa hidup Fida dah lengkap hari nni, abang. Dah sempurna.”

“Fida, asyik berborak ja tu. Bila nak makannya? Nanti sejuk pula mi goreng ni.” panggilan Asmah dari dapur mengejutkan mereka semua.

“Ya mak. Jom abang, Dalia. Kita makan sikit apa yang ada.” Fida bingkas bangun mempelawa tetamunya ke dapur. Dia terlebih dahulu berjalan ke hadapan meninggalkan sedikit Taufik dan isterinya di belakang. Sebaik sahaja Adalia mahu berjalan mengikut Fida, Taufik menarik tangan Adalia.

“Dalia…” Adalia pusing memandang suaminya. “Dalia okay?” Adalia tersenyum manis.
“Dalia okay. Nanti pulang ke rumah, kita bincang lagi ya. Jom kita pergi makan dulu.” Balas Adalia sambil mengenggam jemari suaminya memberi jaminan kepada kata-katanya tadi.

Mereka semua duduk di meja makan Fida sambil menikmati hidangan yang disediakan Fida tadi. Sambil-sambil makan, sesekali pecah ketawa besar sesama mereka. Taufik memang pandai mengambil hati semua orang. Dia tau sahaja bagaimana mahu membawa diri dengan sesiapa sahaja. Dia mampu berseloroh dengan kedua-dua mentua Fida bagaikan sudah lama mereka saling mengenali.

Suasana menjadi makin riuh-rendah apabila Sufi dan Sofia turut datang meminta makanan. Celoteh mereka yang tak putus-putus mengundang suasana ceria di meja makan ketika itu. Dalam senyap, Fida memanjatkan doa dan kesyukuran atas nikmat yang Allah kurniakan kepadanya waktu itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience