“Assalamualaikum, mak… ayah…” laung Fida setelah dia turun dari keretanya.
“Assalamualaikum atuk… opah…” laung Sufi dan Sofia pula. Fida membawa anak-anaknya menziarah mentuanya di kampung pada satu hujung minggu. Kehadiran mereka memang sudah dimaklumkan kepada mentuanya terlebih dahulu. Dia ingin pastikan Irwan tidak berada di situ waktu itu.
“Waalaikummussalam…” jawab Roslan dan Asmah serentak. Setelah pulang dari pasar, mereka berdua tidak keluar-keluar daripada rumah. Bimbang sekiranya Fida sampai, tiada sesiapa pula yang akan menyambut. “Jemput naik, Fida…” Fida menyalami dan memeluk Asmah dengan kejap sekali. Kemudian, Fida menyalami pula ayah mentuanya.
Sufi dan Sofia berlari-lari keliling laman indah milik opahnya. Pelbagai jenis pokok bunga dan pokok buah-buahan yang ada di situ. Satu persatu disoalnya.
“Atuk, ini pokok apa? Itu pokok apa?” jenuh Roslan melayan cucu-cucunya. Tetapi dia tidak merungut malah dia gembira. Hilang seketika kesunyian rumah usangnya itu. Fida membiarkan saja Sufi dan Sofia berjalan-jalan ditemani bapa mentuanya itu. Dia terus mengekori Asmah masuk ke dalam rumah.
“Mak, ni saya bawakan sambal udang dengan petai buat kita makan sama-sama sekejap lagi.” Dia meletakkan bekas yang dibawanya di atas meja makan.
“Buat susah-susah kamu saja, Fida. Nak masak-masak lagi. Tak penatkah kamu bangun awal-awal nak masak, lepas tu nak bawa kereta jauh-jauh?”
“Tak susah mana pun, mak.” Terus sahaja dibuka tudung saji yang menutup rapat makanan yang dimasak oleh Asmah. “Wah, masak lemak daging salai! Sedapnya. Meriahnya makan tengahari kita hari ni.”
“Mestilah, menantu dan cucu-cucu mak nak datang. Kena lah buat yang special sikit.” Balas Asmah. Besar hatinya malam tadi apabila Fida beritahu ingin datang ke kampung melawat dia dan suami. Terus sahaja mereka merancang juadah istimewa untuk mereka. “Mak masak ayam masak kicap ni untuk Sufi dan Sofia. Makan ke diorang?” soalnya bimbang. Masak lemak itu pastinya terlalu pedas untuk anak-anak kecil itu.
“Makan, mak… kesukaan diorang lah ni.” balas Fida melegakan hati Asmah. Fida mengangkat tangannya melihat waktu. Sudah hampir 12:30 tengahari. “Saya sendukkan nasi, ya mak?” minta Fida. Dia sendiri sudah tak sabar nak merasa air tangan mentuanya itu.
“Boleh, boleh. Sekejap mak panggil ayah dan budak-budak tu. Tak pernah jumpa pokok buah gayanya tu.” Mereka sama-sama tertawa mengenang reaksi Sufi dan Sofia melihat pokok yang besar-besar di sekeliling rumah.
Selesai mereka menjamu selara, Roslan membawa cucu-cucunya berehat di beranda rumah kampungnya. Senorok betul Sufi dan Sofia berlari ke sana ke mari. Sudah lama mereka tidak pulang ke kampung. Sofia sendiri sudah hilang memori tentang rumah tersebut. Mereka berlari keluar masuk dari satu pintu ke satu pintu. Habis segala perosok rumah diterjah.
“Fida, hidup kamu sekarang macam mana?” soal Asmah kepada menantunya secara tiba-tiba.
“Macam mana pula tu, mak?” soal Fida kembali. Dia faham maksud mentuanya tetapi dia sebolehnya tidak mahu berbicara tentang hal itu.
“Yer lah. Kamu seorang diri nak uruskan semua urusan keluarga. Kamu tak ada hati nak berkahwin lagi kah? Kamu kan masih muda.” Sambung Asmah lagi.
“Belum terfikir lagi pasal tu, mak. Saya selesa dengan hidup sekarang. Alhamdulillah, ramai kawan-kawan yang datang membantu bila-bila keadaan terdesak.” Jawab Fida jujur.
“Emak ni bukannya apa, Fida. Kadang-kadang risau hati mak bila kenangkan kamu anak-beranak. Kalau ada ketua keluarga tu, tak adalah nak risau sangat. Kalau jadi apa-apa kat kamu, sakit demam ker… ada suami yang boleh menjaga kamu, yang nak urus kamu. Mak ayah ni dah la duduk jauh.” Luah hati Asmah. Fida hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu berbual panjang-lebar tentang isu ini. Itu bukan keutamaannya.
Lebih kurang jam 6 petang, Fida dan anak-anaknya bertolak balik ke rumah mereka. Asalnya, Fida mahu tunggu sehingga selepas makan malam, tetapi Roslan bimbangkan Fida yang memandu bersendirian dengan anak-anaknya sahaja lewat-lewat malam. Dia yang minta Fida pulang lebih awal.
“Cari lah seorang pengganti, ya Fida. Bukan semua lelaki perangainya macam Irwan tu.” Pesan Asmah sekali lagi semasa mereka berpelukkan tadi. Fida hanya tersenyum hambar.
Sepanjang perjalanan pulang, Fida terkenangkan kata-kata Asmah kepadanya tadi. Bukan niat hatinya untuk menolak jodoh atau sebagainya, tetapi dia tidak berjumpa lagi sesiapa yang dirasakan sesuai untuknya. Malah dia juga tidaklah mencari. Dia selesa dengan hidup sekarang. Tidak ada sesiapa yang dia nak fikirkan, nak runsingkan. Segala yang dia buat sekarang hanyalah untuk dirinya dan anak-anaknya. Malah dia rasa bebas untuk buat apa sahaja dan pergi ke mana sahaja tanpa perlu memikirkan hati dan perasaan orang lain.
Jika diingatkan hidupnya semasa dia menjadi seorang isteri, segalanya agak terbatas. Apa sahaja yang ingin dibuat mestilah dengan kebenaran suami. Tambahan suami seperti Irwan itu amatlah sukar untuk dipenuhi syarat dan peraturannya. Ingat lagi Fida pada suatu hari apabila ada kejadian kecemasan yang melibatkan salah seorang anak muridnya. Dia terpaksa membawa anak itu ke hospital. Walaupun ibu bapa anak itu sudah sampai ke hospital, takkan lah dia nak biarkan sahaja muridnya dan terus pulang ke rumah. Jadi dia turut sama menunggu sehingga selesai rawatan doktor.
Lebih kurang jam 9 malam baru dia sampai ke rumah. Sesampainya di rumah, Irwan sudah mula menengkingnya. Walhal, sejak awal lagi Fida sudah pun maklum kepada Irwan bahawa dia perlu membawa murid itu ke hospital.
“Dah bawa dah kan? Budak tu dah sampai hospital kan? Mak bapak budak tu pun dah ada di hospital kan? Yang engkau sibuk-sibuk nak tunggu kat situ jugak nak buat apa? Engkau boleh rawat budak tu ker? Tak boleh kan?” tengking Irwan sehabis suara. Dia langsung tak hiraukan kehadiran Sofia di muka pintu melihat amukkan gilanya kepada Fida.
“Tapi…” Fida cuba menjelaskan keadaan kepada Irwan. Tetapi usahanya itu sia-sia.
“Tapi apa? Tapi apa? Engkau ada suami di rumah! Itu keutamaan engkau! Bukannya anak orang tu. Dia ada mak bapak yang akan jaga dia. Yang engkau kalut sangat nak sibuk hal orang lain tu kenapa? Suami engkau sendiri kebuluran kat rumah, engkau tak boleh nak fikir ker?” bentak Irwan lagi. Fida menangis semahu-mahunya di birai katil. Sakit hatinya.
“Eh, Fida. Sepatutnya dari awal lagi kau panggil mak ayah budak tu datang ke tadika ambik sendiri anak dia hantar ke hospital. Bukannya engkau yang sibuk-sibuk nak pergi hospital. Gatal sangat nak pergi hospital tu, ada apa? Menyampah betul lah! Ada bini pun menyusahkan.” Tempik Irwan lagi. Terus sahaja dia mencapai kunci keretanya dan keluar daripada rumah. Tinggallah Fida dan Sofia sama-sama menangis dalam pelukan masing-masing di rumah. Entah jam berapa baru Irwan pulang ke rumah.
“Kehidupan macam tu ker yang aku nak cari lagi?” Fida memandang anak-anaknya seimbas lalu menerusi cermin pandang belakang keretanya. “Aku dah aman hidup macam ni. memanglah tak semua lelaki berperangai macam Irwan tu, tapi kalau aku jumpa yang macam tu juga, macam mana?” Fida berbicara sendirian.
Lebih kurang jam 8 lebih, Fida sampai ke rumahnya. kedua-dua anaknya yang tertidur keletihan sepanjang perjalanan masih tidak terjaga walaupun setelah kereta berhenti. Fida mengejutkan Sofia untuk masuk ke dalam rumah. Manakala Sufi pula diangkatnya dan terus di letakkan di Sofa. Dia tidak mahu anaknya terus masuk tidur tanpa mandi. Kemudian, dia terus mencapai telefonnya dan menghubungi ibu mentuanya.
“Assalamualaikum, mak. Fida dah sampai di rumah dah ni.” dia mesti maklumkan kepada mereka berdua. Fida tidak mahu mereka susah hati memikirkan dia anak-beranak.
“Alhamdulillah. Sufi dan Sofia okay tak tu? Mereka tak meragam dalam kereta?” soal Asmah.
“Tak ada, mak. Dua-dua tidur jer sepanjang jalan.”
“Oh, ya kah? Letih sangat lah tu. Main lari-lari keliling rumah petang tadi agaknya. Kamu pun pergilah mandi dan rehat. Dah lama memandu tadi.” Pesan Asmah kepada Fida.
“Baik mak. Assalamualaikum…” ucap Fida sebelum mengakhiri panggilan.
“Waalaikummussalam…” jawab Asmah. Asmah meletakkan telefonnya ke atas meja dengan hembusan nafas yang kuat.
“Aih, mengeluh panjang tu kenapa? Fida dah sampai rumah ke belum?” soal Roslan yang hairan melihat gelagat Asmah.
“Dah, bang. Si Sufi dan Sofia tu letih sungguh agaknya. Tidur sepanjang jalan.” Cerita Asmah sambil tertawa kecil membayangkan cucu-cucunya itu.
“Alhamdulillah, baguslah macam tu. Saya risau kalau-kalau Sufi tu meragam dalam kereta pulak. Budak-budak ni kadang-kadang kalau dah badan letih sangat, mula lah nak meragam.” Jawab Roslan. “Habis tu, yang kamu mengeluh panjang tu dah kenapa?” soalnya lagi kepada isterinya.
“Iyer lah, bang. Abang tak susah hati ker tengok so Fida tu? Seorang-seorang jer dia uruskan anak-anak tu. Tak ada suami nak bantu. Macam malam ni, dia memandu sendirian jer sampai ke rumah. Jadi apa-apa, siapa yang uruskan dia? Saya bimbanglah.” luah hati Asmah.
“Habis… daripada dapat suami macam si Irwan tu, lagi tak boleh harap.” Jawab Roslan. Jauh di sudut hatinya, dia sedih dengan sikap anaknya sendiri.
“Bukan semua lelaki perangai macam anak kita tu, abang. Ramai lagi yang baik-baik kat luar tu. Cari lah seorang.”
“Eh, eh awak ni. Cakap ikut sedap mulut saja. Kamu ingat nak cari suami macam cari ikan kat pasar ker?” jeling Roslan kepada isterinya. Asmah hanya menjuihkan bibir. “Alah, tak payah pening-pening sangatlah. Belum jodoh lagi lah tu. Kalau ada nanti, insyaaAllah. Kita doakan saja lah Allah permudahkan urusan Fida anak-beranak.”
“Amiinnnnn…”
“Assalamualaikum…” tiba-tiba kedengaran suara orang memberi salam. Asmah dan Roslan saling berpandangan. Hairan pula dengan kehadiran tetamu waktu-waktu begini.
“Waalaikummussalam…” Roslan bangun membuka pintu rumah. Terkejutnya Roslan bukan kepalang melihat seraut muka anaknya, Irwan terjengul di hadapan pintu.
“Ayah… apa khabar?” Irwan menghulurkan tangannya untuk bersalam.
“Irwan, kenapa kamu tak cakap kamu nak balik?” kata Roslan menutup gemuruh di hatinya. Tetapi Irwan dapat melihat perubahan wajah ayahnya itu.
“Eh, nak balik rumah mak ayah sendiri pun, nak kena bagi tahu ker?” soal Irwan kehairanan. Sebelum ni, tak pernah pula dia maklumkan apa-apa sebelum balik ke kampung. Apabila dia melangkah masuk ke dalam, sekali lagi Irwan ternampak raut terkejut di wajah ibunya. “Kenapa mak dengan ayah ni terkejut sangat Irwan balik kampung?” soal Irwan lagi.
“Tak ada apalah. Kamu dah makan? Kalau belum, mak hidangkan.” Bicara Asmah mahu menukar tajuk perbualan.
“Haaa… eloklah tu. Lapar betul saya. Jauh dah saya travel hari ni.” kata Irwan sambil masuk ke biliknya untuk menyimpan bagasi. Tiba-tiba dia terpandang tikar sejadah dan telekung wanita yang terlipat kemas di atas katilnya. “Mak! Kenapa ada telekung atas katil saya ni?” jerit Irwan dari dalam biliknya. Asmah dan Roslan saling berpandangan.
“Awak tak ambik simpan ker tadi?” bisik Roslan kepada isterinya.
“Belum. Manalah saya tahu dia nak balik malam ni.” balas Asmah lagi.
“Nanti dia tanya, kamu yang jawab. Abang tak tau.” Kata Roslan mengelak.
“Eh, abang ni. Takkan lah saya nak jawab seorang.” Asmah dan Roslan saling berbisik untuk mengelak perbualan mereka didengari Irwan. Tetapi tanpa mereka sedar, Irwan sudah pun berada di pintu dapur. Dia nampak mak dan ayahnya saling berbisik-bisik bagai menyimpan rahsia yang begitu besar.
“Mak, ayah! Tu telekung siapa atas katil saya?” soal Irwan serius. Kepenatan badannya dek kerana perjalanan yang jauh tadi belum lagi sempat hilang. Sekarang, mak ayahnya pula berkelakuan aneh sebegini. Dia dapat rasakan apa yang terjadi sebenarnya. Dan dia berasa sungguh kecewa.
“Perempuan tu datang ke sini ke?” soal Irwan lagi. Kali ni wajahnya keras dan bengis. Asmah hanya menarik kerusi dan duduk di samping Roslan. Untuk apa lagi perlu diselindung. Biar anaknya tahu yang mereka tetap menyokong Fida dan anak-anaknya. Biar Irwan sedar bahawa perbuatannya sebelum ini salah!
“Dia ada nama, Irwan. Fida. Fida menantu mak.” Balas Asmah. Suaranya juga setegas suara Irwan sebentar tadi.
“BEKAS menantu, mak.” Irwan menengking apabila dia menyebut perkataan ‘bekas’ itu. “Buat apa dia datang ke sini? Nak menagih kasih? Nak ambik hati saya? Sorry! Saya dah tak ingin nak tengok muka dia lagi?” marah benar Irwan apabila dia dapat tahu ibu dan ayahnya masih melayan baik bekas isterinya itu. Dia sudah putuskan hubungan mereka sehingga ke talak yang ketiga. Buat apa lagi mereka perlu berbaik-baik dengan Fida?
“Engkau tak payah nak perasan sangatlah, Irwan. Kalau ya pun Fida tu masih mahukan engkau, mak takkan izinkan. Tak ada faedah langsung engkau boleh bagi kat dia.” Kata-kata ibunya bagaikan menyiat-nyiat jantung Irwan.
“Habis, yang dia datang ke sini lagi, untuk apa?” bentak Irwan.
“Dia datang sini sebab aku rindukan cucu-cucu aku! Darah daging aku! Keturunan aku!” Kali ini Roslan pula naik berang. Dia menepuk meja makan di hadapannya dan terus bangun berdiri. Asmah yang duduk di sebelahnya juga tersentak dengan perbuatannya. Roslan sudah tidak tahan sabar melihat perangai kurang ajar Irwan kepada mereka berdua. Lebih marah lagi apabila Irwan berani menengking isterinya, ibu Irwan sendiri. Dia tidak pernah mendidik anaknya sedemikian rupa.
“Engkau lupa tanggungjawab! Engkau lupa dosa pahala. Engkau hanya kira nafsu amarah kau saja. Engkau ingat engkau nak hidup menungkat langit? Nanti dah mati, apa kau nak jawab depan Tuhan?” kali ini suara Roslan semakin meninggi. Irwan sendiri terkedu mendengar suara lantang ayahnya. Jarang sangat ayahnya semarah itu.
“Engkau anak aku. Tanggungjawab aku untuk betulkan kesalahan kau. Sekarang engkau dengar sini. Apa yang engkau buat selama ni pada Fida, pada anak-anak engkau, semua itu salah! Semua itu dosa! Selagi engkau tak sedar kesalahan engkau, jangan engkau pulang ke rumah ni. Berambus engkau dari sini. Sekarang!” Roslan menengking Irwan sekuat hati. Mungkin itu saja caranya untuk dia mendidik anaknya. Itu satu-satunya cara untuk membuat Irwan betul-betul dengar semua tegurannya. Sudah tiga tahun berlalu. Irwan langsung tidak pernah memberikan nafkah kepada Sufi dan Sofia walau satu sen pun.
Asmah terkejut mendengar suaminya menghalau Irwan. Dia tidak menyangka sejauh itu tindakan Roslan. Asmah sendiri jarang-jarang sekali melihat semuanya sebengis malam ini. Walaupun dalam hatinya rasa kasihan kepada Irwan yang baru sahaja sampai ke rumah, tetapi dia tahu apa yang dikatakan oleh suaminya itu betul. Dia tergamam di situ. Dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dibuat.
Irwan memandang ayahnya. Dada Roslan naik turun dengan laju sekali kerana amukannya tadi. Irwan beralih pula melihat ibunya. Wajah ibunya kelihatan serba salah tetapi sepatah pun tiada perkataan yang keluar daripada mulutnya. Akhirnya, Irwan kembali ke biliknya dan terus mencapai bagasinya tadi. Dia terus berjalan keluar daripada rumah itu dengan hati yang membara.
Share this novel