Keputusan pertukaran pegawai sudah keluar. Irwan sudah pun menerima surat penempatan semula. Dia berjaya mendapat tempat untuk pertukaran tersebut. Tetapi apa yang menyakitkan hatinya, dia telah ditukarkan ke Sarawak. Terlalu jauh baginya tempat itu. Tiba-tiba dia rasa menyesal memohon pertukaran. Dia rasakan tempat itu jauh daripada segala-galanya. Jauh daripada mak dan ayahnya, jauh daripada rakan-rakannya. Jauh daripada segala-gala yang dia tahu dan kenal.
“Tahniah, permohonan kamu berjaya.” Irwan yang duduk berdepan dengan Pengarahnya tersenyum riang mendengar makluman daripada majikannya itu. Dia menyambut surat penempatan yang dihulurkan oleh Dr. Shauki. Alangkah terkejutnya dia apabila membaca isi kandungan surat berkenaan.
“Sarawak? Kenapa jauh sangat ni, Doktor?” hilang terus senyuman lebarnya tadi.
“Di sana sahaja yang ada kekosongan jawatan Gred kamu. Cawangan-cawangan lain semuanya penuh.” Jawab Dr. Shauki kepada Irwan memberi justifikasi penempatan barunya itu.
“Tapi jauh sangat ni, Doktor. Kalau macamni, saya tolak lah tawaran ini.” Jawab Irwan tanpa berfikir panjang.
“Maaf Irwan. Pertukaran ini adalah permintaan kamu. Bukan arahan pihak atasan. Kami bermesyuarat sebelum membuat keputusan. Ini bukan keputusan saya seorang. Seperti yang saya beritahu sebelum ini, pertukaran adalah berdasarkan kekosongan.” Jawab Dr. Shauki mengingatkan Irwan kembali perbincangan mereka yang lepas.
Irwan bengang. Dia sakit hati. Dia marah. Telingnya merah kerana segala perasaannya terpaksa dipendam dan tidak dapat diluahkan dihadapan majikannya. Irwan membaca lagi surat pertukarannya itu. Kecewa sungguh hatinya. Dia langsung tidak menyangka sejauh itu dia dihantar. Sebelum ini, dia hanya ke sana sekali-sekala atas lawatan rasmi urusan kerjanya. Tetapi sekarang, dia perlu menetap pula di sana. Dia masih lagi tidak percaya.
Setelah dia balik ke biliknya. Dia langsung tidak dapat menumpukan fikirannya kepada kerja. Dilihatnya fail-fail yang menimbun di hujung meja. Semuanya diklasifikasi ‘URGENT’ kerana melibatkan kes-kes siasatan polis. Dia berfikir sejenak. Kemudian matanya terarah kepada kalendar di dinding.
‘Hari ini hari Rabu. Sekarang jam 11. Aku ambik off petang ni. Aku ambik cuti rehat esok dan lusa. Aku tak boleh lah nak buat kerja macam ni. Stress!’ bisik hatinya. Kemudian terus sahaja dia membuka laman sesawang jabatannya untuk mengisi borang permohonan cuti rehat. Dia sengaja menipu permohonannya dengan meletakkan alasan memohon adalah kerana ‘KEMATIAN’.
Setelah dia selesai isi, terus dihantarnya borang tersebut secara maya. Dia sudah tidak peduli samada permohonannya diluluskan atau tidak. Petang itu juga dia akan bertolak balik ke kampong. Dia tidak tenang memikirkan keputusan pertukarannya tadi. Bercanggah benar dengan perancangannya. Ya, dia mahu lari daripada Fida. Tetapi tidaklah sejauh itu. Itu bukan sahaja menyusahkan Fida, malah menyusahkan dirinya juga. ia akan melibatkan kos yang tinggi kalau dia perlu berulang-alik dari Sarawak ke Semenanjung.
Kemudian dia bingkas bangun, mencapai timbunan fail kes-kes ‘URGENT” tadi dan berjalan keluar menuju ke bilik rakan kerjanya. Dia mengetuk pintu bilik Taufik sebelum membukanya.
“Taufik, ini fail kes-kes ‘URGENT’. Engkau tolong sambung. Aku ada hal kat kampong. Aku off petang ini dan sambung cuti 2 hari.”
“Ada apa tiba-tiba ambik cuti ni? Boss dah approve?” soal Taufik. Terkejut Taufik melihat timbunan fail yang diletakkan atas mejanya itu. Kes-kes dia sendiri pun sudah bertimbun.
Irwan semakin sakit pula hati mendengar soal selidik Taufik itu. “Yang tu biar aku yang fikir. Engkau fikir tentang kerja tu saja, ya.” Balas Irwan sebelum dia melangkah keluar daripada bilik Taufik.
Kemudian, terus sahaja Irwan ke biliknya, mengemas apa yang patut, mengangkat beg komputernya, mengambil telefon bimbit, kunci kereta dan dompetnya dan terus melangkah keluar. Setelah dipastikan biliknya berkunci dengan kemas, dia terus menuju ke kereta. Dia mahu terus pulang. Dia rimas berada di pejabatnya. Sesak nafasnya. Dia perlu segera keluar dari situ.
“Bila engkau kena lapor diri tu?” soal emaknya selepas selesai mereka makan malam.
“15 hari bulan.” Jawab Irwan tanpa perasaan. Dia malas untuk fikirkan lagi hal itu. Dia pulang ke kampong untuk bertenang sekejap. Malam ini, dia benamkan dahulu hal tersebut. Esok baru dia fikirkan semula apa yang patut dibuat.
“Sarawak tu jauh benar. Macam mana dengan Sufi dan Sofia?” ibunya masuk bertanya. Dia seolah tidak mahu menutup perbincangan itu lagi.
“Kenapa pula dengan diorang? Diorang ada mama yang hebat. Biarlah mereka merasa hidup. Manusia sombong macam tu, itu saja cara nak ajar.” Balas Irwan tegas. Dia bengang apabila nama mereka disebut. Dia mahu lari jauh daripada mereka. Biar mereka rasa betapa susahnya hidup tanpa seorang suami dan bapa sebagai ketua keluarga.
“Engkau ni Irwan. Betul ker cara kau buat ni? Sufi dan Sofia tu anak-anak engkau. Tanggungjawab engkau. Berdosa kalau engkau biarkan mereka macam tu saja.” Nasihat ibunya lagi. Di hati wanita tua itu, dia risaukan anaknya itu. Seolah jauh menyimpang.
“Mak, saya balik sini nak berehat. Tenangkan fikiran. Saya ni dah cukup serabut dah sekarang ni. Mak tambah lagi serabut kepala saya. Mak diam sekejap boleh tak?” dia bingkas bangun dari sofa dan melangkah keluar ke beranda. Di sana, ayahnya sedang berehat sambil menikmati kopi o panas.
“Kopi!” ayahnya mempelawa Irwan. Dia hanya menggelengkan kepala. Ayahnya hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu mengungkit apa-apa cerita lagi buat masa sekarang. Anaknya Irwan adakalanya sukar mengawal nafsu amarahnya. Jadi dia hanya membiarkan sahaja Irwan berfikir sendirian. Dia terus membelek helaian-helaian akhbar di tangannya.
“Surat khabar bila tu ayah?” soal Irwan memulakan perbualan.
“Hari ni. aku beli pagi tadi tapi tak sempat nak baca habis. Asyik keluar rumah saja hari ni. ada saja yang datang cari.” Jawab ayahnya.
“Ayah tu baik sangat. Pantang orang minta tolong, semuanya ayah nak tolong. Sebab tu orang suka ambik kesempatan kat ayah. Senang-senang saja diorang pijak kepala ayah.” Jawab Irwan kepada ayahnya sambil mendengus kuat. Dia tak faham kenapa ayahnya senang-senang saja menolong semua orang yang datang kepadanya. Apalah yang dia dapat bila buat semua itu.
Ayah Irwan serba salah mendengar setiap butir bicara anaknya itu. ‘Entah syaitan mana lah menyampuk anak aku ni? Sejak bila perangai dia jadi macam ini? Nak dimarah, dah tua Bangka. Ada anak bini, ditinggalkannya pula. Apa nak jadi dengan budak ini.’ dia berfikir sendirian. Tetapi pada masa itu, bukanlah masa yang sesuai untuk dia menegur anaknya. Nanti lain pula jadinya.
Share this novel