~ 29 ~

Family Completed 8882

“Fida, kamu tak nak hiaskan sikit ke bilik kamu ni?” Soal Asmah apabila melihat tiada apa-apa perubahan pada dekorasi bilik Fida.

“Tak payahlah, mak. Nak buat apa semua-semua tu. Macam membazir, saja.” Jawab Fida dengan lembut. Dia sebenarnya teringin juga untuk mencantikkan biliknya tetapi dia bimbang nanti akan jadi buah mulut orang. Maklumlah itukan perkahwinannya yang kedua.

“Fida, dengar sini mak nak cakap. Buang semua tanggapan, buang semua memori, buang semua rasa bersalah. Ini permulaan baru untuk Fida dan suami. Raikanlah kehidupan baru Fida ni sebaik mungkin. Hargai hari bahagia kamu tu. Sekurang-kurangnya raikan suami kamu tu. Bila kita bersedia dengan rapi untuk menyambut dia, barulah dia rasa kehadirannya dihargai dan dinanti. Faham maksud mak?” nasihat Asmah kepada Fida. Dia mahu Fida menikmati hari itu seindah mungkin. Seumur hidup dia akan kenang hari indah tersebut.

Mendengar pesanan Asmah itu, Fida tersenyum senang. Memang terlalu banyak idea yang telah dia fikirkan untuk mengindahkan lagi bilik itu. Seminggu sebelum majlis, Fida sudah serahkan kebanyakkan tugasan di Future Star kepada Syima. Apabila anak-anaknya tidak berada di rumah, lebih mudah untuk dia menumpukan kerja pada persiapan perkahwinannya itu. Harris pula masih bekerja. Tidak banyak yang dia boleh bantu. Mujurlah Asmah dan Roslan setuju untuk datang seminggu lebih awal. Gembira tak terkata Fida semasa mereka sampai di rumahnya.

“Mak, Fida nak keluar cari barang kejap ya. Kalau Fida balik lambat, mak dengan ayah makan lah dulu tau. Nasi dan lauk semua Fida dah masak dah kat dapur. Mak makan saja ya.” Pesan Fida kepada mentuanya itu.

“Jangan bimbanglah pasal mak dan ayah. Taulah kami. Kamu hati-hati memandu ya. Darah tengah manis tu.” Kata Asmah lagi. Fida terasa dirinya benar-benar disayangi Asmah. Dia bersyukur sangat dengan penerimaan Asmah dan Roslan yang menganggapnya bagaikan anak mereka sendiri.

Fida memandu keretanya menuju ke bandar. Dia ingin mencari satu set cadar kapas mewah yang berwarna putih dan beberapa gubahan orkid putih dan merah jambu untuk meja sisi dan juga chestdrawer yang terdapat di biliknya sekarang. Dia juga merancang untuk membeli sepasang langsir lace putih untuk dijadikan kelambu kecil di kepala katilnya. Tersenyum-senyum Fida membayangkan biliknya yang serba putih itu. Tidak pernah terbayang diminda Fida yang dia akan berkahwin sekali lagi.

Dari satu kedai ke satu kedai Fida menerjah. Barang-barang yang dirancangnya itu dibeli satu persatu sehingga penuh tempat duduk belakang keretanya. Tanpa Fida sedari, ada sepasang mata yang sentiasa mengekori Fida dari satu tempat ke satu tempat.

Tasya memerhati Fida yang sedang sibuk berbelanja besar untuk persiapan perkahwinannya dengan Harris. Sakitnya hati Tasya memikirkan hal itu. Harris adalah miliknya. Dia takkan mungkin akan biarkan Fida semudah itu merampas Harris darinya. Bagi Tasya, jika tidak disebabkan Fida pastinya Harris takkan teragak-agak untuk menerimanya kembali. Dua tahun Harris hidup bersendirian. Pastinya Harris kesunyian dan merindui sentuhan dan belaian isterinya. Tasyalah isterinya. Bukan orang lain.

Beberapa kali Tasya mengeluarkan pistol yang baru dibelinya itu. Dia menunggu sehingga Fida benar-benar terdedah tetapi bandar ini terlalu sibuk untuk dia membuat tembakan seperti itu.

“Sabar, Tasya. Sabar. Engkau tak perlu terburu-buru. Tunggu sehingga masa yang paling sesuai. Waktu itu, biar mereka rasakan sakit yang engkau rasakan sekarang.” kata Tasya kepada dirinya sendiri. Tetapi dia tidak pernah membiarkan Fida terlepas daripada pandangan matanya. Dia ikut ke mana sahaja yang Fida pergi.

‘Wow… cadar putih?’ bisik hati Tasya semasa melihat Fida memilih cadar pengantinnya. ‘Eloklah. Nanti terus jadi cadar untuk pengkebumian engkau!’ terbit segaris senyuman di wajah Tasya.

“Ya, cik. Nak cari cadar?” tiba-tiba seorang gadis yang menjadi jurujual di situ dapat menegur Tasya.

“Tak. Saya nak tengok-tengok saja.” Jawab Tasya. Termati anganannya sebentar tadi.

Lebih kurang jam 5:30 petang, barulah selesai pencarian Fida hari itu. Terus sahaja dia ke Future Star untuk menjemput Sufi, Sofia dan Hanna. Setiap hari dia membawa Hanna pulang bersama-sama dengannya. Apabila Harris pulang dari kerjanya, dia akan singgah di rumah Fida untuk menjemput Hanna.
“Wah! Banyaknya. Barang apa ni mama?” tanya Sofia apabila melihat tiada langsung ruang untuk dia dan Hanna duduk.

“Oops, sorry… kejap mama alih semuanya ke bonet.” Mereka sama-sama mengangkat barang-barang yang Fida beli tadi. Fida asyik berpesan supaya mereka mengangkat barangannya dengan berhati-hati berulang-ulang kali. Sehinggakan Sofia dan Hanna menggeleng-gelengkan kepala dengan sikap mama mereka itu. Tertawa kecil mereka melihat Fida sebegitu. Selalunya dia adalah seorang yang begitu tenang.

Sampai di rumah, Fida hanya menjamah sedikit sahaja nasi. Hilang seleranya seketika. Dia terlalu teruja untuk menyusun atur bilik pengantinnya sendiri. Sedang dia asyik dengan kerja-kerja di dalam biliknya, telefonnya berbunyi.

“Hello, love. Sibuknya dia… I sampai pun you tak dengar.” Harris menyapa Fida.

“Eh, you dah sampai? Kejap-kejap, I turun. Kejap tau.” Fida meninggalkan sekejap kerja-kerja ditangannya. Demi melihat sebentar wajah kekasihnya itu, apalah sangat hal-hal yang lain. Dia berlari turun ke bawah sambil memanggil Hanna.

“Mama, Hanna dah kat luar tu lah mama.” Kata Sofia yang baru berlari masuk ke dalam rumah. Pergi berjumpa dengan Harris agaknya. Harris gemar membelikan makanan untuk anak-anak dalam perjalanan balik dari kerja setiap hari. Ada saja yang di bawa setiap kali dia datang menjemput Hanna. Hari ini, Harris membeli goreng keledek kegemaran Sufi dan Sofia. Menjerit-jerit seronok Sufi dan Sofia. Bahagia sungguh hati Fida melihat kebahagiaan di wajah anak-anaknya itu.
“Hi, Harris.” tegur Fida sebaik sahaja dia sampai di hadapan Harris.

“Hurm… nak kena tukar panggilan tu dah. Ada ker panggil suami ‘Harris’ jer?” kata Harris mengusik bakal pengantinnya itu. Hanya lagi tiga hari sebelum hari pernikahan mereka.

“Ya, I tau. Tunggu tau, surprise!” kata Fida mengusik Harris kembali. “Bila ibu dan ayah you nak datang sini?” soal Fida kepada Harris.

“Hari ni. Diorang pergi ambil Harlina dulu, lepas tu baru datang sini. Malam juga la baru sampai.” jawab Harris.

“Oh, persiapan you semua dah lengkap? Ada yang I perlu tolong?” tanya Fida bimbang kerana Harris terpaksa menguruskannya sendirian.

“Don’t worry. Harlina dah tolong uruskan dah tu. Dia kata dulang hantaran semua dia dah tempah. Esok, pergi ambil di kedai untuk masukkan barang saja. Khemah diorang akan datang pasang hari Khamis petang tau. Sekali dengan pelamin.” Harris mengingatkan Fida.

“Pelamin? Harris, kan kita dah setuju tak nak pelamin.” Bantah Fida. Dia sesungguhnya tidak mahu keterlaluan seperti itu.

“Bukan pelamin yang besar-besar tu. Pelamin nikah saja. Kecik saja untuk you duduk kat atas tu.” Harris menjelaskan kepada Fida. “Takut sungguh dia. Okay, love. I balik dulu. Jumpa lagi nanti ya. I love you.” Ucap Harris sambil mengenyitkan matanya.
“I love you more.” Jawab Fida sambil tersenyum malu.

Seperti yang dirancang, majlis pernikahan mereka berlangsung pada hari Jumaat itu. Harris yang segak berbaju melayu biru air dengan butang baju bertatahkan batu kristal putih. Sampinnya diikat kemas secara ringkas sahaja. Bagi Harris, dia bukan tumpuannya hari ini. Dia tidak sabar untuk melihat wajah cinta hatinya sebentar lagi. Harris hanya memakai songkok biru gelap dan bersepatu hitam.

Di rumah Fida, keadaan lebih riuh-rendah. Semua pekerja-pekerja nya turut ada di situ. Taufik dan Adalia juga sudah bermukin di situ sejak awal pagi lagi. Adalia kelihatan begitu ayu sejak-sejak dia mengandung. Wajahnya begitu berseri-seri. Juruandam ditempah khas oleh Harris untuk datang ke rumahnya. Tak perlu ke hulu ke hilir katanya. Wajah Fida yang sudah putih mulus disolek sebaiknya agar tidak nampak keterlaluan.

Dengan ucapan Basmallah dan selawat ke atas Rasullullah, Fida menyarungkan persalinan pernikahannya. Kurung moden biru air itu amat sesuai sekali dengannya. Dia juga mengenakan shawl polos warna senada. Seperti yang dijanjikannya kepada Harris, Fida menyewa satu layah labuh sehingga ke paras lutut yang sarat ditaburi manik mutiara biru, turquoise dan putih serta batu-batu berlian yang bergemelapan.

Setelah dia siap berpakaian, jurufoto masuk ke biliknya untuk mengambil gambarnya sebelum majlis. Begitu indah potret Fida apabila baju biru air yang lembut itu bergabung dengan suasana putih dan mewah di dalam kamar beradu itu. Oleh kerana Fida berkali-kali pesan agar jangan meminta dia untuk bergaya dihadapan kamera, jurufoto itu bergerak ke sana ke masi mencari sudut tercantik untuk dirakamnya.
Tepat jam tiga petang, Harris tiba bersama-sama keluarganya. Lima buah kereta mengiringi Harris hari itu. Salbiah turut menjemput adik beradiknya dan suaminya yang lain untuk turut serta dalam majlis tersebut. Hati Harris benar-benar berdebar-debar. Terasa bagai ini baru kali pertama dia bernikah. Tiada pengalaman yang mampu menenteramkan dirinya saat itu. Dengan ucapan doa yang sentiasa membasahi bibirnya, Harris turun daripada kereta. Dia berdiri sebentar merenung rumah Fida. Semakin berdebar jadinya. Dia berdoa agar dipermudahkan segala urusannya hari ini dan hari-hari yang akan datang. Dia juga berdoa agar jodohnya bersama Fida berkekalan sehingga ke syurga.

“Harris,” panggil ayahnya Hashim. Harris hanya mengangguk perlahan. “Jom kita masuk.”

“Senyumlah sikit. Gemuruh sangat tu kenapa?” usik Harlina.

“Abang takut, Lina. Lina tolong doakan untuk abang ya. Doakan jodoh kami kekal sampai syurga.” Kata Harris kepada adiknya. Memang benar dia teramat gemuruh saat itu.

“Aminnnn…” kata Harlina dengan kuat. Hashim dan Salbiah juga turut mengaminkan doa Harris sebentar tadi. Lima orang pemegang dulang hantaran bertemakan ros dan rustik berwarna dusty purple termasuk Harlina berjalan di hadapan mendahului Harris. Mereka masuk ke dalam rumah Fida dan menyusun semua dulang tersebut bersebelahan dulang hantaran daripada pihak perempuan. Tujuh dulang pihak perempuan telah tersusun kemas di hadapan pelamin nikah. Fida memilih tema yang sama untuk hantarannya, ros dan rustik tetapi dalam warna dusty rose.

Harris mengmbil tempat duduknya di atas alas gebu yang disediakan kepadanya. Kedudukan alas tersebut betul-betul mengadap ke tangga turun rumah Fida. Tidak lama kemudian, imam pun sampai. Dia duduk berhadapan dengan Harris.

“Panggil pengantin perempuan turun.” Kata imam sambil mengeluarkan helaian-helaian dokumen yang perlu diisinya. Dia juga meminta kad pengenalan Harris dan Fida diberikan kepadanya. Tiba-tiba, hati Harris bagaikan terhenti apabila melihat Fida yang melangkah turun perlahan-lahan diiringi oleh Sofia dan Hanna. Sofia dan Hanna yang ditugaskan menjadi gadis bunga di hari tersebut, menabur kelopak-kelopak mawar merah memenuhi tangga laluan Fida. Mereka mengenakan gaun labuh berwarna ungu orkid. Hiasan sulaman timbul bungaan putih di pinggang begitu bangkit sekali di atas warna tanah yang gelap menampilkan satu imej yag mewah dan eksklusif.

Tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan Harris dan Fida waktu itu. Fida berjalan dengan sopan diiringi Asmah menuju ke pelamin nikahnya. Meskipun pelamin tersebut dihias ringkas dengan bungaan ros pink lembut dan putih, tetapi saiznya memenuhi sepertiga ruang tamu rumah Fida. Mahu saja Fida merungut kepada Harris di saat pekerja butik datang memasangnya semalam tetapi dibantah oleh Asmah.

“Dia nak tengok isterinya di atas persinggahan cantik, kenapa kamu nak musnahkan impiannya. Biarkan. Dia yang pilih. Cantik dan mewah citarasa dia.” Ayat Asmah mematikan niat Fida.

Fida duduk bersimpuh dengan tenang di atas pelaminnya. Dia senyum kepada Harris apabila dia melihat Harris juga memangang ke arahnya. Terasa terawang-awang seketika di saat mata mereka saling bertaut. Panggilan daripada imam mengembalikan mereka ke muka bumi yang nyata.

“Fida Alia binti Mahmud, kamu bersetuju untuk mengahwini Harris bin Hashim?” soal imam kepada Fida. Dia hanya tersenyum dan menundukkan sedikit kepalanya. Imam menganggukkan kepalanya dan beralih kepada Harris. “Ini perkahwinan kamu yang kedua?”

“Ya, imam.” Jawab Harris ringkas.

“Begitu juga dengan Fida Alia?” Imam pusing memandangnya sekali lagi. Dan sekali lagi juga, Fida hanya menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda setuju. “Alam perkahwinan sentiasa bergelora. Kamu berdua sudah ada banyak pengalaman yang pernah kamu lalui.” Kata-kata imam terhenti di situ. “Kebiasaannya waktu ini, imam akan test pengantin kan? Minta baca doa iftitah ke, doa Qunut ke…” dia langut memandang Harris dan kemudian semua yang ada di situ. Kemudian dia sambung lagi, “kalau nak susah sikit, kita minta dia baca doa Dhuha ke.. surah Tasbih ke…” Imam ketawa kecil membuatkan semua yang ada di situ ketawa kecil.

Harris tersenyum hambar. ‘Eh, buat gurau pulak imam ni… kita dah lah tengah nervous ni.’ gerutu hati Harris.

“Tapi kali ni, saya nak teruskan kepada tujuan asal kita sahaja ya. Sama-samalah kita doakan agar pasangan ini akan kekal bahagia bersama sehingga ke Jannatul Firdausi.” Kata imam tu lagi menutup bicaranya. Semua yang ada di situ mengaminkan doanya sebentar tadi. Kemudian, majlis akad nikah pun berlangsung.
Dengan sekali lafaz sahaja, maka sahlah Fida Alia menjadi isteri kepada Harris. Kemudian, satu perasaan kedamaian, kesenangan hati dan kasih-sayang menyelubungi hati kedua-dua pengantin itu. Begitu khusyuknya Harris mendengar setiap butir bacaan doa daripada imam selepas akad nikah selesai. Dia mengaminkan doa tersebut dengan sepenuh jiwa dan raganya.

Semasa acara menyarungkan cincin, Harris bangun mendekati Fida dan duduk melutut di atas pelamin bersama-sama. Jazli, sepupu Harris menghulurkan bekas cincin kepadanya. Harris mengambil cincin emas putih bertatahkan berlian 3 karat berpotongan radiant itu dan menghulurkan kepada Fida. Fida dengan perlahan-lahan mengangkat tangannya dan menghulurkan kepada Harris. Saat Harris menyentuh tangannya, itulah kali pertama mereka saling bersentuhan kulit. Merah padam muka Fida menahan debar di dada. Mukanya terasa begitu panas sekali. Harris menyarungkan cincin tersebut di jari manis Fida. Terus sahaja Fida tunduk dan menyalami tangan suaminya itu. Dan Harris mencium ubun-ubun Fida dengan penuh kasih-sayang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience