Taufik berjalan menuju kepada Fida dan Sofia. “Saya macam kenal dengan puan.” Sapa Taufik. Dia tidak lepas memandang ke wajah Fida, kemudian ke arah Sofia, dan kemudiannya kembali kepada Fida.
“Abang Taufik. Ini Fida dari Rumah Impian.” Jawab Fida ringkas tetapi dia tahu sudah memadai. Mata Taufik kelihatan semakin membuntang. Dia tidak menyangka gadis yang terpisah lebih 10 tahun dulu boleh terserempak di tempat dia bekerja.
“Fida! Fida Alia?” Taufik menyebut nama penuh wanita itu. Tidak dapat digambarkan perasaannya ketika itu. “Ya Allah. Lama betul kita lost contact. Rupanya kita tinggal satu kawasan sahaja, ya. Fida sihat?” soal Taufik dengan suara yang teruja sekali.
“Sihat, bang. Alhamdulillah. Abang sihat?” Fida bertanya kembali. Tanpa disuruh-suruh, kenangan-kenangan hidup Fida di Rumah Impian mula menerpa masuk ke ruang fikirannya. Mereka umpama satu keluarga yang besar. 18 orang semuanya anak-anak yatim yang tinggal di situ.
“Ini anak Fida kah?” soal Taufik lagi.
“Ya, bang. Anak sulung Fida ni. Mia Sofia.” Ujar Fida sambil memegang bahu Sofia. “Sofia, salam dengan cikgu.” Sofia hanya bangun menghulurkan tangan.
“Wah! Abang tak sangka boleh berjumpa lagi dengan Fida. Tak apa, Fida terus ke dewan dahulu. Nanti kita sembang lagi. Nanti borang Sofia abang juga yang simpan. Nanti abang call Fida, boleh?” soal Taufik meminta kebenaran. Dia tidak mahu pula menyalahguna maklumat yang ada padanya untuk tujuan peribadi.
“Dah tentu.” Jawab Fida diiringi satu senyuman yang manis. Hatinya sedikit gembira apabila dapat bertemu kembali dengan orang-orang yang dikenalinya. Ia umpama berjumpa ahli keluarga yang sudah lama terpisah. Fida mengucapkan kata-kata syukur. Akhirnya, Allah menghantar seseorang kepadanya untuk dipanggil keluarga.
Apabila tiba di muka pintu, langkah Fida terhenti seketika. Seorang kanak-kanak perempuan secara tiba-tiba terlanggar kaki Fida. Lantas, Fida memegang bahu kanak-kanak itu.
“Oops, maaf puan. Excited sangat dia berjalan. Dah tak pandang kiri kanan.” Kata bapa kepada anak itu. “Hanna, cepat minta maaf dekat aunty.” Harris memberi arahan kepada anaknya.
“Saya minta maaf, aunty. Saya tak nampak.” Jawab Hanna dengan lembut. Satu senyuman manis dilemparkan kepada wanita yang dilanggarnya sebentar tadi.
“Oh, tak mengapa. Tak sakit pun. Hati-hati ya. Jangan gopoh.” Pesan Fida kepada Hanna dan terus melangkah keluar menuju ke dewan sekolah.
Harris mengekori Hanna masuk ke kelas. Hanna terus duduk di salah satu meja yang kosong.
“Hanna okay?” tanya Harris kepada Hanna. Hanna hanya menganggukkan kepalanya sambil menanggalkan beg sandang daripada bahunya. “Okay, papa kena pergi dewan. Hanna duduk sini jangan nakal-nakal tau!” Pesan Harris lagi.
“Okay, papa.” Jawab Hanna lagi. Tenang sahaja muka Hanna. Harris pula yang terlebih gemuruh.
“Okay. Hanna dengar cakap cikgu ya.” Pesan Harris lagi. Risau benar hatinya.
“Okay. Papa janganlah risau lah. Hanna okay. Papa pergilah ke dewan dulu.” Ujar Hanna dengan begitu yakin sekali. Cekal betul hati anak kecil itu.
“Okay. Give me a kiss.” Kata Harris kepada anaknya. Lebih kepada meminta sebenarnya. Dan anaknya dengan senang hati menjatuhkan satu ciuman di pipi Harris.
Tanpa dia sedari, ada sepasang mata yang sedang memerhati gelagat dua beranak itu sedari tadi. Sofia cemburu dengan rakan disebelahnya itu. Dia mempunyai seorang ayah yang sangat sayangkan dia. Sedangkan Sofia langsung tidak tahu di mana abahnya berada sekarang.
Hanna sedang melihat-lihat semua rakan-rakan di dalam kelasnya itu. Apabila dia terpandang kepada Sofia yang asyik merenungnya dari tadi, Hanna melemparkan senyuman paling manis.
“Hi, nama kamu apa?” soal Hanna kepada Sofia.
“Saya Sofia. Apa nama kamu?” soal balas Sofia kepada Hanna.
“Saya Hanna.” Balasnya dengan ramah.
“Lelaki yang tadi tu, ayah kamu ya?” soal Sofia dengan penuh minat.
“Ya. Kamu datang dengan siapa?”
“Saya datang dengan mama saya. Mama kamu mana?”
“Mama saya tak tinggal dengan saya. Saya tinggal dengan papa saya saja.” Jawapan Hanna mengejutkan Sofia. Perasaan cemburunya tadi tiba-tiba bertukar menjadi kasihan. Tetapi wajah kawan barunya itu langsung tidak menunjukkan kesedihan. Tidak sepertinya. Sentiasa timbul rasa cemburu apabila kawan-kawannya ditemani seorang lelaki yang bernama bapa.
“Kamu tak…” belum sempat Sofia menghabiskan soalannya, Cikgu Taufik sudah mula bercakap dihadapan.
“Okay, Assalamualaikum semua. Nama saya Cikgu Taufik. Seronok tak masuk sekolah baru?”
“Seronok!!!” jawab semua murid serentak.
“Bagus! Bagus!” balas Taufik kepada anak-anak didik barunya. “Siapa suka mewarna, angkat tangan?” semua yang ada di situ mengangkat tangan. “Bagus, jatuh tangan. Siapa suka melukis, angkat tangan?” semua yang ada di situ mengangkat tangan sekali lagi. “Wah, bagus anak-anak cikgu semua. Siapa yang suka menulis?” lagi sekali, semua yang ada di situ mengangkat tangan.
“Wah…” Taufik ketawa melihat semuanya mengangkat tangan. Dia sedia maklum, dalam ramai-ramai itu ada yang memang benar-benar suka, tak kurang juga yang hanya mengikut perbuatan kawan sebelah.
“Okay, hari ni cikgu akan bagi satu set kertas.” Taufik mengangkat senaskah set ujian dan menunjukkan kepada semua. “Kamu cuba buat semua soalan yang ada dalam kertas ini ya. Jangan lupa untuk tuliskan nama kamu di bahagian ini.” Terang Taufik lagi sambil menunjukkan ruang yang dia maksudkan. “Kamu semua faham?”
“Faham, cikgu.” Balas semua murid serentak. Selepas itu terus sahaja Taufik mengedarkan kertas-kertas soalan tadi kepada semua. Taufik dibantu oleh seorang lagi rakan sekerjanya.
“Apabila kamu sudah habis menjawab seeeemua soalan…” sambung Taufik lagi memberi arahan. “kamu hantarkan kertas kamu ke meja saya di hadapan ni, boleh?”
“Boleh, cikgu!”
“Baik. Tulis nama kamu sekarang dan mula menjawab.” Selesai memberi arahan, Taufik dan rakannya mula berjalan mengelilingi kelas untuk memastikan semua kertas soalan dituliskan nama murid. Sekiranya ada yang bermasalah untuk menulis nama sendiri, Taufik dan rakannya akan membantu.
Sofia membuka helaian pertama dan membaca arahan soalan. Tidak sukar bagi Sofia untuk melengkapkan soalan-soalan tersebut. Apa yang diperalajari di Future Star jauh lebih sukar berbanding soalan di hadapannya sekarang. Dia sempat pusing melihat Hanna di meja sebelah. Begitu yakin dan pantas Hanna menjawab. Hanna sudah pun membuka helaian kedua.
Semasa di dewan, Fida cuba memberi sepenuh perhatian kepada ucapan Guru Besar. Namun pertemuan dia dengan Taufik sebentar tadi sedikit sebanyak mengganggu emosi Fida. Masih berbaki kasih sayang Fida terhadap lelaki itu walaupun sudah lama mereka terpisah. Taufik umpama abang yang sentiasa melindungi Sofia di Rumah Kenangan. Sedangkan dua tiga beradik pun ada yang bergaduh, bayangkan lapas belas ‘adik-beradik’. Sofia seorang yang lembut dan sedikit pasif. Dia sering menjadi sasaran kepada pembuli-pembuli di Rumah Kenangan.
“Terima kasih diucapkan kepada Guru Besar atas ucapan beliau sebentar tadi.” Suara pengerusi majlis berkumandang setelah selesai ucapan Guru Besar. Lebih sejam juga Fida berada di dewan. Tiba-tiba dia teringatkan Sofia. ‘Bolehkah Sofia menjawab soalan pengesanan tu?’ fikir Fida. Walaupun ujian tersebut hanya untuk mengenalpasti bilangan buta huruf dikalangan anak-anak Tahun 1, tetapi Fida tahu Sofia akan murung sepanjang hari jika ada soalan yang tidak dapat dijawabnya.
“Selepas ini, semua ibu bapa dikehendaki pergi ke bahagian belakang dewan untuk urusan pengumpulan borang maklumat murid dan juga wang sumbangan. Sekiranya ada waris yang masih belum membeli buku anak-anak, kedai buku juga dibuka hari ini. Dengan ini, maka berakhirlah berjumpaan kita pada hari ini. Diharap semua ibu bapa mendapat input yang bermanfaat daripada pihak sekolah. Saya mewakili pihak SK Taman Bayu Utama mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua. Selamat datang ke keluarga besar SKTBU. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.”
Semua waris berpusu-pusu bergerak ke belakang dewan seperti yang diuar-uarkan oleh pengerusi majlis tadi. Setiap kelas dikendalikan oleh dua orang guru supaya proses pengumpulan borang maklumat dan penyerahan sumbangan. Fida sampai ke meja itu, sudah ada lima orang waris lain yang telah sedia beratur di situ. Fida turut beratur di dalam barisan yang sudah sedia terbentuk. Fikirannya masih lagi memikirkan tentang Sofia di dalam kelas. Risau sungguh Fida jika anaknya itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan tempat baru.
Seperti semua waris yang lain, Harris juga turut beratur bersama-sama. Sementara dia sedang menunggu gilirannya, dia memeriksa sekali lagi dokumen-dokumen yang ada ditangannya. Tiba-tiba dia terpandang wajah Fida di belakangnya.
“Hi, sorry pasal tadi ya.” Ujar Harris memulakan perbualan.
“Oh, tak ada masalah.” Balas Fida ringkas. Segan pula dia mahu menegur sapa dengan waris-waris di situ.
“Anak saya tu tak sabar-sabar nak jumpa kawan baru katanya. Entah dah jumpa ker belum dalam kelas tu.” Harris cuba memancing Fida untuk berbual-bual kosong sambil mereka menunggu giliran. Tetapi apabila dia hanya mendapat satu senyuman hambar sebagai balasan kepada ayatnya yang panjang tadi, Harris faham dan terus pusing ke depan. Dia tidak mahu lagi mengganggu wanita itu.
Setelah selesai urusannya di dewan, Harris bergegas kembali ke kelas Hanna. Hanna kelihatan sedang berbula-bual dengan beberapa ornag rakan sekelasnya. Wajahnya kelihatan begitu ceria sekali. ‘Kuatnya kamu, duhai anak. Walaupun hidup kamu tidak sesempurna orang lain, tapi kamu sentiasa ceria. Semoga kamu membesar menjadi anak yang solehah.’ Bisik Harris sendirian.
Tiba-tiba, Hanna terpandang kepada Harris yang sedang berdiri di luar. Terus sahaja dia berlari mendapatkan Harris.
“Hi, papa! Dah nak balik ker?” soal anak kecil itu. Wajahnya nampak bimbang. Mungkin seronok dapat berbual-bual dengan kawan yang ramai. Apabila pulang ke rumah nanti, yang ada hanya papa.
“Belum. Hanna kena dengar apa cikgu cakap tu. Pergi masuk balik. Duduk diam-diam.” Pesan Harris sambil menolak perlahan bahu anaknya itu.
“Okay, semua. Ada lagi yang belum hantar kertas kepada cikgu?” soal Taufik dengan lantang sekali. “Kepada yang sudah siap dan sudah menghantar kertas, kamu boleh keluar kalau ibu bapa kamu sudah ada di hadapan kelas. Yang lain, tunggu mak ayah kamu datang dulu ya.”
“Sofia, mama kamu sudah datang ke belum?” soal Hanna kepada Sofia. Dia sudah siap menyimpan semua alatulisnya dan bersedia untuk beredar. Hanna memanjangkan leher mengintai ke luar tingkap mencari baying mamanya tetapi masih belum kelihatan. Dia hanya menggelengkan kepalanya.
“Kalau macam tu, jomlah jumpa papa saya dulu.” Hanna terus bangun dan menarik tangan Sofia mengikutnya berjumpa dengan Harris. “Papa, ini kawan baru Hanna. Nama dia Sofia.”
“Hi, Sofia.” Tegur Harris dengan mesra. Dia menyambut tangan kecil anak itu menyalaminya.
“Hi, uncle.” Jawab Sofia ringkas. Tiba-tiba dia terlihat Fida yang baru sahaja sampai ke kelasnya. “Mama!” panggil Sofia agak lantang. Fida melambaikan tangannya kepada Sofia memanggil dia datang mendekati Fida. “Uncle, mama saya dah sampai. Saya pergi kat mama dulu ya. Bye, uncle.” Pantas sahaja Sofia meminta diri dan berlari terus mendapatkan mamanya.
“Hi, Sofia! Sofia dari mana?” soal Fida apabila mendapati anaknya berlari di koridor bangunan dan bukannya dari dalam kelas.
“Sofia berbual dengan uncle tu. Dia papa kawan Sofia.” Jawab Sofia sambil jarinya menunjuk kepada Harris dan Hanna. Harris mengangkat tangan dan tersenyum. Fida membalas hormat.
“Fida!” tiba-tiba Taufik datang mendapatkan mereka. “Fida nak ke mana selepas ni? jomlah kita minum-minum dulu. Tapi di kantin sekolah saja lah. Itu pun kalau Fida ada masa.” Pelawa Taufik. Dia ingin benar bersembang panjang dengan Fida. Banyak soalan yang dia ingin tanyakan kepada Fida.
“Alamak, bang. Hari ini tak dapatlah. Fida buka tadika sekarang. Dekat area Taman Bayu Fasa IV. Hari ni pun ada pendaftaran juga kat tadika. Jadi, Fida kena balik cepatlah. Kesian pula kat budak-budak kerja Fida.” Fida menjawab jujur. Kecewa juga dia tidak dapat bersembang panjang dengan Taufik. Selepas Taufik keluar dari Rumah Impian ketika umurnya 18 tahun, sekali pun dia tidak pernah berjumpa lagi dengan lelaki itu.
“Oh, tak apalah kalau macam tu. Lain kali saja.” Taufik hanya mampu beralah.
“Abang jangan lupa call Fida, ya. Bila-bila masa sahaja yang abang free.” Pesan Fida bersungguh-sungguh kepada Taufik. “Oh, kecuali petang ni. pendaftaran sampai jam 5.” Fida tersengeh menayangkan barisan giginya yang cantik bersih.
“Okay. Tak ada masalah. Bye, Fida.” Ujar Taufik.
“Bye, abang Taufik. Sofia, salam cikgu.” Balas Fida sebelum berlalu pergi. Sofia menyalami cikgu barunya itu dan berjalan beriringan dengan Fida.
“Mama, kenal ker dengan cikgu Taufik tu?” soal Sofia semasa mereka berjalan menuju ke kereta. Dia sendiri boleh lihat keakraban mamanya dengan Cikgu Taufik.
“Ya, sayang. Cikgu Taufik tu dulu pernah jadi kawan baik mama. Dulu kami pernah tinggal sekali.” Cerita Fida ringkas tetapi senyuman tidak lekang-lekang dari bibirnya. “Dia umpama seorang abang yang sentiasa menjaga mama.” Sambung Fida lagi. Matanya memandang kehadapan. Tetapi fikirannya masih belum habis berputar ke belakang. Lebih 10 tahun kebelakang.
Share this novel