~ 12 ~

Family Completed 8882

“Apa yang direnungkan tu? Jauh benar saya tengok.” Tegur Roslan kepada isterinya, Asmah. Dari tadi isterinya itu merenung ke luar pintu rumah. Sehinggakan dia masuk ke rumah pun langsung tidak disedari. Roslan sudah pun menarik kerusi dan duduk di meja makan bertentangan dengan Asmah. Di capainya teko kopi dihadapannya menuang secawan kopi lalu diteguknya perlahan-lahan. “Mah!” dikuatkan sedikit suaranya.

Kali ini Asmah terperanjat mendengar suara suaminya. Dia mengurut-urut dadanya yang berdebar kencang kerana disergah tadi. “Eh, abang. Bila abang balik?” soal Asmah.

“Dah habis secawan kopi dah lah. Yang kamu termenung teruk sangat tu, kenapa? Kamu tak sihat, ya Mah?” soal Roslan kehairanan dengan kelaku isterinya. Semenjak kebelakangan ini, Asmah kerap termenung.

“Abang, saya rasa bersalah lah.” Tiba-tiba Asmah membuka cerita.

“Tentang apa pula?” tanya Roslan bersahaja. Kadang-kadang kerisauan isterinya tak berasas. Hal-hal orang kampong pun, dia nak fikir teruk-teruk hingga bermurung panjang.

“Tentang Sufi. Tentang Sofia.” Jawabnya ringkas. Matanya kembali terarah ke luar rumah. “Abang, Sofia tu tanggungjawab kita. Kalau bukan Irwan, abanglah walinya. Si Sufi tu, waris kita. Cucu lelaki kita. Irwan ni keras hati sungguh buat mereka macam tu. Tapi, takkan kita nak biarkan saja, bang?” soal Asmah kepada suaminya. Hakikatnya, Asmah rindukan menantu dan cucu-cucunya itu. Sudah hampir dua tahun kes perceraian anaknya Irwan dengan Sofia berlalu. Selama itulah dia tidak bersua muka dengan mereka.

“Ingatkan abang saja yang terkenangkan mereka. Rupanya kamu pun sama.” Balas Roslan. Susah hatinya sebelum ini tak terluah. Dia sedikit lega apabila isu ini dibangkitkan oleh Asmah. “Abang hairan sungguh dengan Irwan tu. Tak cukupkah didikan agama yang kita beri kepada dia selama ni? Barannya menjadi-jadi. Tak reti nak bawa bersabar langsung.” Ada sedikit penyesalan dalam hati Roslan. Kegagalan rumah tangga Irwan seakan satu tamparan kepadanya. Dia sendiri melihat perangai Irwan yang kurang menyenangkan hatinya itu.

“Saya pun tak taulah, abang. Saya kasihankan Fida tu, abang. Dia tu anak yatim. Dengan siapa lagi dia nak mengadu nasib?” air mata Asmah sudah mula menitis ke pipi tuanya. “Kita ni makin tua, abang. Entah esok lusa, dah sampai ajal kita. Nanti kalau Allah tanya, apa kita nak jawab? Kita tak boleh biarkan benda ni, abang!” Asmah merintih lagi.

“Habis, kamu nak buat macam mana? Si Irwan tu sejak-sejak pindah ke Sarawak, setahun sekali baru nak balik. Takkan nak telefon dia marah-marah dalam telefon. Tak jadi macam tu.” Roslan juga buntu dengan perangai anaknya. Sudah lama ingin ditegur, tetapi sikap Irwan yang tak pernah tenang menyukarkan Roslan untuk dapatkan ‘waktu yang sesuai’ untuk menegur perangai anaknya itu.

“Kita pergi jumpa Fida, mau tak abang?” cadang Asmah tiba-tiba. “Hal Irwan tu kita fikir kemudian. Sekarang ni, kita fikirkan hal cucu-cucu kita tu dulu. Mahu tak, abang?” dia benar-benar mahu berjumpa dengan menantu dan cucu-cucunya itu.
Roslan berfikir sejenak. “Boleh kah kita pergi macam itu saja?”

“Eh, apa tak bolehnya? Dia menantu kita. Sufi Sofia tu, darang daging kita. Hubungan kita dengan mereka tak akan putus sampai bila-bila.” Jawab Asmah bersungguh.

“Kamu ada lagi simpan nombor telefon si Fida?” tanya Roslan kepada isterinya. Dia juga sudah tidak sabar mahu berjumpa dengan cucu-cucunya itu. ‘Atuk mana yang tak sayangkan cucu?’

“Ada, ada. Harapnya dia tak tukar nomborlah.” Tangan kiri Asmah mencapai telefon bimbitnya manakala tangan kanannya mencapai cermin mata dan terus dipakaikan ke mata. “Ha, ni masih ada. Saya telefon dia ya abang? Kalau waktu-waktu macam ini, ganggu dia tak?” mereka sama-sama memandang jam di dinding. 1 tengahari. Mereka tahu Fida menguruskan tadika. Bimbang pula kalau-kalau panggilan mereka menganggu kerja-kerja Fida.

“Cuba telefon dulu. Lepas tu, tanya. Kalau dia sibuk, nanti malam kita telefon lagi.” Cadang Roslan kepada isterinya. Wajah murung isterinya sudah sedikit ceria.

Asmah menekan butang hijau untuk mendail nombor Fida. Talian masih disambungkan. “Ada, abang. Ada.” kata Asmah memberitahu suaminya.

“Hello, mak. Assalamualaikum.” Tiba-tiba taliannya dijawab dengan penuh sopan olhe Fida. Sejuk hati Asmah mendengar suara Fida yang masih lembut melayannya walaupun setelah apa yang Irwan lakukan ke atasnya. Fida tidak berdendam kepadanya.
“Waalaikummussalam. Fida sihat?” air mata Asmah gugur lagi. Roslan segera bangun dari kerusinya dan datang menghampiri Asmah.

“Buka bagi kuat.” Bisiknya Roslan kepada Fida. Asmah terus menekan butang pembesar suara.

“Sihat Alhamdulillah. Mak dan ayah sihat?” soal Fida kembali. Fida agak gugup ketika itu. Dia sendiri tidak menyangka akan mendapat panggilan telefon daripada mentuanya. Setelah dua tahun menyepi, dia menyangka bahawa kedua-dua ibu bapa mentuanya terpengaruh dengan hasutan Irwan yang pastinya akan memburuk-burukkan dirinya.

“Kami sihat, nak. Tak apa kah mak telefon kamu waktu sekarang ni? Kamu sibuk tak?” soal Asmah. Dia mahu pastikan dia tidak mengganggu kerja-kerja Fida.

“Eh, boleh saja, mak. Tak sibuk pun.” jawab Fida jujur. Dia sangat terharu menerima panggilan itu. Seandainya benar dia tengah sibuk sekali pun, pastinya akan ditinggalkan semua kerjanya untuk menjawab panggil daripada insan-insan ini. Mereka sajalah ibu bapa yang dia ada.

“Oh, baguslah macam tu. Mak takut kacau kamu kerja.”

“Tak adalah, mak. Lagi pun, budak-budak kerja ada ni. Diorang boleh buat kerja tanpa saya. Ayah sihat, mak?”

Asmah menguis lengan suaminya suruh dia menjawab sendiri soalan Fida.

“Ayah… ayah sihat ja, Fida.” Roslan tergagap-gagap bercakap dengan menantunya itu. Mungkin perasaan bersalahnya kepada Fida membuatkan dia agak gugup.

“Ayah kamu pun ada sini. Mak pasang suara kuat di telefon ni. Jadi ayah kamu pun boleh tumpeng dengar sekali.” Terang Asmah.

“Alhamdulillah, baguslah dua-dua sihat.” Balas Fida. Mulanya dia bimbang juga kalau-kalau ibu mentuanya itu menghubunginya untuk menyampaikan berita-berita tidak baik.

“Sufi dengan Sofia ada di situ kah, Fida?” soal Roslan.

“Oh, Sofia ada di sekolah, ayah. Dia sudah masuk Tahun 1 tahun ni.”

“Wah, dah besar cucu atuk. Siapa yang hantar dan jemput dia pergi sekolah?”

“Pagi-pagi, saya yang hantar. Tapi sekejap lagi dia balik dengan driver tadika ni, ayah. Ramai anak-anak tadika ni yang bersekolah sekali dengan Sofia. Jadi diorang semua balik dengan van tadika.” Terang Fida.

“Sufi? Sufi ada di situ?” soal Asmah pula. Dia teringin mendengar suara cucu-cucunya.

“Sufi tengah tidur. Baru sahaja dia tidur.”

“Oh, ya ka? Rindu mak dengan ayah kamu nak dengar suara mereka.” Balas Asmah mengundang rasa bersalah pula di hati Fida.

“Nanti malam, saya telefon mak dan ayah lagi, boleh? Boleh mak bercakap dengan Sufi dan Sofia.” Fida memberi cadangan. Gembiranya hati kedua-dua orang tua itu bukan kepalang.

“Ya, ya. Nanti malam kamu telefon mak ya. Mak teringinnnnnn nak dengar suara mereka.” Minta Asmah dengan penuh harapan.

“Baik mak. Lepas Isyak saya telefon mak, ya?”

“Sedang elok lah tu. Pukul 9:30 mak dah balik masjid dah.”

“Baik, mak. Nanti malam saya telefon.”

“Baiklah Fida. Okay lah. Kamu pergilah sambung kerja kamu. Nanti cakap lama-lama dengan mak, habis tertangguh kerja kamu.”

“Tak ada kerja apa sangat pun. Mak tak ganggu saya pun mak. Terima kasih, ya mak telefon Fida. Fida minta maaf banyak-banyak kalau Fida ada lukakan hati mak ayah selama ni.” Fida sudah tidak dapat membendung air matanya lagi.

“Fida, kamu tak ada salah dengan mak. Mak tak tahu apa masalah kamu dengan Irwan, tapi mak tahu perangai anak mak tu. Mak minta maaf ya bagi pihak Irwan.” Kata Asmah. Mereka sama-sama mengalirkan air mata. Roslan mengurut perlahan-lahan belakang badan Asmah untuk menenteramkan sedikit gundah hati isterinya.

“Tak payah lah disebut-sebut hal tu, mak. Saya dah lupakan dah semua tu.”

“Fida, kamu sudah berkahwin lagi kah?” soal Asmah tiba-tiba. Bimbang juga kalau nanti suami baru Fida tidak senang dengan kehadiran mereka.

“Eh, tak adalah mak. Kami bertiga saja. Tak ada siapa-siapa.” Tersedak Fida mendengar soalan mentuanya itu.

“Oh, baik. Baik. Mak bukan apa. Takut nanti suami kamu tak suka pulak mak dengan ayah duk kacau-kacau kamu.” Jelas Asmah kepada Fida. Bimbang nanti Fida ingat dia saja mahu sibuk ambil tahu hal-hal peribadinya.

“Mak, walau apa pun yang terjadi, mak dan ayah tetap mak dan ayah Fida sampai bila-bila.”

“Terima kasih, Fida.” Tersentuh benar dengan ayat Fida tadi. Dia tahu menantunya itu seorang wanita yang baik. Apa masalah dengan anaknya sampai sanggup menceraikan wanita sebaik itu. “Baiklah. Nanti malam, kita cakap lagi ya. Assalamualaikum, Fida.”

“Waalaikummussalam mak, ayah.” Balas Fida mengakhiri panggilan.
“Sofia…” Fida memanggil anaknya. Sofia sedang menyiapkan kerja rumahnya di dalam perpustakaan mini mereka. Fida pula berada di ruamh tamu bersama-sama Sufi. Jika tidak dihalang, Sufi akan mengganggu kakaknya membuat kerja. Habis disepahkan alatulis dan buku-buku kakaknya nanti.

“Ya, mama.” Jawab Sofia. Namun jemarinya masih rancak menulis.

“Banyak lagi kah kerja tu?”

“Sikit lagi. Kejap. Last page.” Jawab Sofia. Murid Tahun 1 jarang diberi kerja rumah yang terlalu banyak. “Okay, siap.” Jawab Sofia sambil terus mengemas buku-buku dan alatulis lalu dimasukkan terus ke dalam beg sekolah. Selesai mengemas, Sofia terus berlari mendapatkan Fida dan Sufi di ruang tamu.

“Sofia ingat lagi tak, opah?” soal Fida kepada anaknya. Dia mahu melihat reaksi anaknya terlebih dahulu. Lebih kepada ingin membuat persediaan mental kepada Sofia sebelum dia menghubungi mentuanya.

“Ingat. Tapi diorang tak sayangkan kita, kan mama. Langsung tak nak jumpa kita.” Jawapan balas anaknya itu tidak dijangka Fida. Dia perlu membetulkan persepsi anaknya itu terlebih dahulu sebelum dia membenarkan anak-anaknya bercakap dengan mereka.

“Bukan macam tu, sayang. Diorang sayang kan Sufi dan Sofia. Diorang riiinnnduuuu sangat dekat Sufi dan Sofia.” Jelas Fida. “Sofia nak bercakap dengan opah dan atuk?” soal Fida menguji keinginan anaknya.
“Boleh ke, mama? Nanti opah dan atuk tak marahkan Sofia kah?” Fida hairan dengan soalan Sofia. Entah apa yang ada di benak anak kecil itu.

“Kenapa pula opah dan atuk nak marahkan Sofia?” Fida ingin tahu isi hati Sofia.

“Yer lah. Kalau bukan sebab marah, kenapa dah lama mereka tak jumpa dengan kita?” balas Sofia dengan wajah yang sedih. Apa lagi alasan lain yang menyebabkan opah dan atuknya langsung tidak berjumpa dengannya.

“Tak lah. Diorang tak marahkan Sofia. Sofia tak ada buat apa-apa kesalahan pun kat diorang.” Fida cuba menerangkan sebaik mungkin kepada anaknya. “Kita call opah dan atuk, nak?” uji Fida.

“Boleh ker, mama? Diorang tak marah?” perasaan Sofia sedikit bimbang.

“Mestilah boleh. Mama buat video call, ya. Boleh Sofia tengok muka opah dan muka atuk. Sufi pun boleh tengok sekali.” Sofia mengangguk pantas.

Fida mencapai tabletnya dan mendirikannya di atas meja kopi supaya kamera tablet betul-betul terarah kepada Sofia. Kemudian, Fida mendail nombor ibu mentuanya secara panggilan video. Hanya selepas beberapa kali deringan sahaja, terus terpampang wajah ibu dan bapa mentuanya di skrin.

“Assalamualaikum…” sapa Asmah membuka bicara. Sofia berdiri di sebelah Fida. Tangannya memeluk erat lengan Fida. Masih ada keraguan di hati anak kecil itu.
“Waalaikummussalam mak. Mak dah balik dari masjid?” Fida yang terlebih dahulu menyapa mentuanya dengan mesra. Setelah dia melihat anaknya yang masih ragu-ragu untuk bercakap dengan ibu dan ayah mentuanya itu, dia cuba untuk memberikan sedikit keyakinan kepada Sofia.

“Dah. Hari ni mak ajak ayah balik awal sikit. Takut kamu telefon, mak tak sampai rumah lagi. Itu Sofia ker? Wah… dah besar cucu opah… Sofia sihat?” tegur Asmah cuba memancing kemesraan daripada cucunya itu.

Sofia memandang Fida. Fida menganggukkan kepalanya memberi galakkan.
“Hai, opah…” perlahan sahaja suara Sofia menyapa. Tetapi sekurang-kurangnya dia mahu bercakap. Lama kelamaan Sofia sudah dapat bermesra dengan opah dan atuknya. Fida juga memanggil Sufi untuk turut serta dalam perbualan Sofia dengan atuk dan opah mereka. Agak mudah untuk Sufi turut-serta. Dia masih belum ada apa-apa memori dengan mereka.

Hampir satu jam juga atuk dan opah melayan karenah Sufi dan Sofia. Ada masa Sufi mengangkat segala jenis mainannya mahu ditunjukkan kepada atuk dan opah. Sofia pula tak habis-habis bercerita tentang perihal cikgu-cikgu dan kawan-kawan yang baru dikenalinya. Nama Cikgu Taufik dan Hanna sentiasa meniti di bibir Sofia. Ada saja karenah dua insan ini yang mahu diceritakan kepada atuk dan opah.

Terpancar kebahagiaan di wajah ibu dan ayah mentua Fida. Mereka sesungguhnya berasa amat bersyukur dengan penerimaan Fida, Sofia dan Sufi terhadap mereka. Selama dua tahun menahan rindu, akhirnya mereka semua kembali bersatu sebagai sebuah keluarga walaupun tanpa Irwan. Mereka tidak mahu berpisah lagi dengan menantu dan cucu-cucu comel itu. Mereka mahu hubungan mereka lebih akrab.

“Fida, hujung minggu nanti kamu senang tak? Mak dan ayah fikir nak pergi rumah kamu. Itu pun kalau kamu setuju, lah.” Usul Asmah kepada Fida.

“Boleh sangat, mak. Datanglah! Pasti lagi seronok Sufi dan Sofia nanti.” Jawab Fida jujur dari hatinya. Dia tiada apa-apa masalah dengan kedua-dua mentuanya itu. Lagi pula mereka datang sendirian tanpa Irwan.

“Baiklah. Nanti hujung minggu mak dan ayah datang rumah kamu ya…” balas Asmah dengan senyuman lebar tak lekang-lekang di wajahnya. “Jadilah Fida. Sudah lama kita berbual. Esok Sofia nak sekolah. Lambat pula dia nak tidur nanti.”

“Baiklah, mak. Mak dan ayah jaga diri ya. Jumpa nanti hujung minggu.”

“Jumpa nanti. Tak sabarnya mak. Assalamualaikum, Fida.”

“Waalaikummussalam, mak.” Dan talian pun dimatikan. Tenang hati Fida. Kini Sufi dan Sofia sudah kembali mempunyai atuk dan opah seperti kanak-kanak yang lain. Fida berharap sedikit-sebanyak luka hati Sofia akan sedikit terubat dengan kehadiran mereka berdua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience