‘Siapa perempuan tu? Kenapa abang ikut je perempuan tu sampai langsung tak hiraukan aku? Siapa perempuan tu?’ sejak daripada pertemuannya semula dengan Harris di hospital tempoh hari, Tasya tidak mampu melupakan lelaki itu. Perasaannya meronta-ronta ingin berjumpa dengan Harris dan Hanna. Ya, dia amat rindukan mereka. Sememangnya sejak dari awal lagi, dia langsung tidak berniat untuk meninggalkan suaminya itu. Tidak pernah terlintas dibenaknya untuk bercerai.
Hubungannya dengan Safwan dulu bukanlah seserius mana. Mungkin hanya kerana mereka sama-sama dibelenggu kesunyian. Safwan sudah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak. Isteri Safwan bertugas di tempat lain dan semua anak-anak mereka tinggal bersama-sama isterinya. Disebabkan tugas dan jarak perjalanan yang jauh, mereka hanya berjumpa pada hujung minggu sahaja. Itu pun jika isterinya tidak bekerja. Setelah kejadian tersebut, Safwan telah menghilangkan diri dan langsung tidak boleh dihubungi.
Dalam tempoh 2 tahun ini, ada juga Tasya menjalinkan hubungan dengan beberapa orang lelaki tetapi mereka semua tidak seperti Harris. Mereka sentiasa berkasar dengannya dan langsung tidak mempedulikan permintaannya. Dia hanya menjadi tempat mereka melepaskan nafsu serakah semata-mata. Akhirnya, setelah penat merantau, kini dia kembali ke daerah ini. Dia tahu hanya Harris yang mampu membahagiakannya. Hanya Harris yang bersabar dengan kerenahnya. Hanya Harris yang sanggup melayani segala kemahuannya.
Sudah berkali-kali Tasya cuba menghubungi Harris, tetapi apabila Harris tahu nombor itu adalah nombor telefonnya, terus sahaja dia menghalang semua panggilan masuk dan juga penghantaran mesej. Tasya sehinggakan sanggup membeli telefon asing dan nombor telefon yang baru untuk menghubungi Harris. Tetapi sebaik sahaja Harris mengetahui itu dia, terus sahaja nombor itu disekat.
“Aku perlu mencari kaedah yang lain. Kalau aku tak boleh mendekati Harris secara direct, mungkin Hanna adalah jalannya.” Tasya merancang untuk berjumpa dengan Hanna. Melalui Hanna, Harris pasti akan datang berjumpa dengannya juga. Pasti Harris akan mendengar apa yang ingin diperkatakannya.
Hari itu, Tasya menunggu sejak awal pagi lagi di hadapan pintu masuk utama kawasan perumahan mereka. Dia sudah tiada pass kebenaran untuk memasuki kawasan kejirannan yang berpagar dan bersekuriti itu. Jadi, dia hanya menunggu mereka di luar. Sejak jam 6:40 pagi lagi Tasya sudahpun berada di situ. Dia ingin tahu di mana Hanna bersekolah. Lebih kurang jam 7:05 pagi, kelihatan kereta Harris keluar daripada perumahan mereka. Tasya mengekori mereka dengan berhati-hati. Dia tidak mahu Harris mengesan kehadirannya di situ.
Tasya mengekori mereka sehingga sampai ke SK Taman Bayu Utama. Setelah mengetahui lokasi sekolah Hanna, Tasya pun beredar dari situ. Tasya singgah di kedai makan dan mula merancang pergerakkan yang seterusnya.
Jika dia masuk berjumpa dengan Hanna di kawasan sekolah, pastinya ramai yang akan nampak kehadirannya dia di situ. Boleh jadi Hanna akan membuat bising dan meronta-ronta. Nanti pasti dia akan dihalau keluar oleh pihak sekuriti. “Tak boleh, terlalu ramai orang.” Kata Tasya. “Aku tunggu sehingga habis sekolah. Pasti ada masa Hanna akan bersendirian menunggu Harris datang menjemputnya.”
Lebih kurang jam 1 tengahari, Tasya kembali ke sekolah itu. Dia memberhentikan keretanya jauh sedikit daripada tempat menunggu waris-waris yang lain. Dia tidak mahu keretanya dihalang kerana setelah mendapatkan Hanna, dia perlu segera beredar dari situ. Lebih kurang jam 1:30 tengahari, dia nampak Hanna berjalan keluar bersama-sama rakan-rakannya yang lain. Tasya menunggu sehingga pelajar di situ berkurangan. Tiba-tiba, Tasya lihat Hanna dan beberapa orang murid lain masuk ke dalam sebuah van yang tertulis Future Star Kindergarten & Playschool Center. “Dia balik dengan van? Apa pula tempat Future Star tu?” Tasya terus sahaja melayari internet dan mencari Future Star Kindergarten & Playschool Center.
Sekali lagi, Tasya menunggu dengan penuh sabar. Hampir jam 2:30 petang, barulah van tersebut bergerak. Tasya mengekori pula van tersebut hingga sampai ke tempat yang dituju. Lebih kurang jam 3:00 petang, mereka tiba di hadapan Future Star. Tasya melihat seorang demi seorang pelajar turun daripada van tersebut. Tasya juga sudah turun daripada keretanya dan menghampiri premis tersebut. Dia dapat melihat Hanna sedang bergurau senda dengan rakan-rakan yang lain di dalam van menyebabkan dia turun sedikit lambat. ‘Good girl.’ Bisik hati Tasya.
“Hai Hanna!” apabila Hanna telah turun daripada van, Tasya terus merapati Hanna dan menarik Hanna ke tepi pagar batu Future Star. Hanna gugup melihat kehadiran wanita itu.
“Mama? Apa mama buat kat sini?” soal Hanna apabila melihat wanita itu. Hanna tidak pasti apa yang perlu dia lakukan. Walaupun itu ibu kandungnya, dia sedikit tidak selesa berada dengan Tasya.
“Mama datang cari Hanna lah. Mama rindu sangat kat Hanna.” Kata Tasya sambil memeluk erat tubuh kecil anak itu. “Hanna lapar? Jom ikut mama pergi makan. Lepas tu kita pergi shopping. Dah lama mama tak shopping dengan Hanna. Nanti, mama belikan Hanna baju baru, kasut baru…” pujuk Tasya memancing perhatian anaknya.
“Mama dah bagi tahu papa ker?” soal Hanna pula.
“Eh, daaahhh…” Tasya menipu Hanna. “Lagipun, nanti dah sampai kat shopping mall, Hanna call lah papa bagi tahu kita kat mana. Boleh suruh papa datang join kita sekali.” Pujuk Tasya lagi.
“Nanti… mama hantar Hanna balik semula kan? Sebab esok sekolah. Hanna ada banyak kerja sekolah nak disiapkan.” Kata Hanna lagi. Dia serba salah untuk menolak. Lagi pun Tasya datang mengajaknya dengan cara yang baik. Tasyakan ibunya. Hanna fikir tak salah untuk dia keluar sebentar bersama ibunya. Lagi pun fikir Hanna, Harris sudah pun dah tahu Tasya akan datang menjemputnya. Terus sahaja Hanna bersetuju mengikut Tasya.
“Boleh Hanna masuk simpan beg sekolah ni dulu?” minta Hanna.
“Eh, tak perlu lah. Kita kan naik kereta. Bukannya jalan kaki. Letak je dalam kereta mama.” Kata Tasya sambil menarik Hanna masuk ke dalam keretanya dan terus memandu pergi. Rancagan Tasya berjaya!
“Mama, nampak Hanna tak?” Sofia bertanya pada Fida yang sedang asyik mengadap komputernya.
“Tak der. Hanna tak datang jumpa mama pun lagi hari ni.” jawab Fida.
“Mana Hanna ni? Jenuh Sofia cari dia.” Keluh Sofia.
“Hanna tengah mandi tak? Dah tengok dalam bilik air?” soal Fida kepada anaknya.
“Dah, tapi bukan dia kat dalam tu.” Balas Sofia.
“Kat dapur?” soal Fida lagi. Sofia menggelengkan kepalanya. Fida sudah sedikit risau. Premis ini bukanlah besar mana. Hanya rumah semi-D satu tingkat yang mempunyai 3 bilik, 2 bilik air dan 1 bilik stor kecil. Tak mungkinlah sukar sangat nak mencari sesiapa.
Fida bangun dari kerusinya dan mula mencari bersama-sama Sofia. Mereka pergi dari satu ruang ke satu ruang dan bertanya dengan setiap orang yang ada di situ. Tak ada sesiapa pun yang tahu dia mana Hanna.
“Tadi dalam van, Hanna ikut balik tak?” soal Fida. Bimbang pula Hanna tertinggal di sekolah.
“Ikut! Tadi Hanna berebut tempat dengan Sofia. Patutnya hari ni turn Sofia duduk kat tepi tingkap. Tapi Hanna kata Sofia salah. Hari ni turn dia. Jadi tadi, dia lari masuk cepat-cepat sebab nak duduk tepi tingkap.” Cerita Sofia panjang lebar. Fida berlari keluar melihat ke dalam van. Mana tahu anak itu tertidur di dalam van. Tetapi Hanna tiada. Semakin panik Fida dibuatnya. Fida menghubungi pemandunya, Ismail.
“Hello, assalamualaikum, Pak Mail. Pak Mail ada nampak tak anak saya Hanna?” semua warga Future Star tahu Hanna memanggilnya mama.
“Ada tadi. Dia turun paling last sekali sebelum Pak Mail kunci pintu van.” Kata Pak Mail. Maknanya, Hanna dah sampai ke Future Star. Tetapi ke mana pula budak ni pergi?
“Lepas tu, Pak Mail ada nampak dia pergi mana?” soal Fida lagi.
“Eh, dia tak masuk ke dalam ke? Pak Mail pun tak perasan sangat tadi. Lepas kunci van tu, Pak Mail terus masuk kereta balik rumah.” Jelas Ismail lagi.
“Okay, Pak Mail. Terima kasih.” Fida terus berlari masuk ke dalam. “Sofia pergi rehat-rehat dulu. Nanti mama dah jumpa Hanna, mama bagi tau Sofia cari dia ya.” Sofia hanya menganggukkan kepalanya dan masuk ke dalam.
“Syim! Syim! Datang office akak sekarang.” Fida menjerit memanggil Syima dan terus masuk ke pejabatnya. Dia membuka aplikasi CCTVnya di komputer.
“Ada apa kak Fida? Dan jumpa Hanna?” tanya Syima.
“Belum, meh datang sini. Kita tengok rekod ni kalau-kalau Hanna keluar ke mana-mana.” Kata Fida. “Kita tengok daripada time van sampai. Hah, ini.” Fida memainkan semula rekod video daripada CCTV di bahagian luar premisnya. Dia nampak Hanna yang turun daripada van selepas semua murid yang lain turun. Sama seperti yang diceritakan oleh Pak Mail. Tiba-tiba, ada seorang wanita yang datang menarik Hanna ke bahagian belakang tembok batu. Kawasan tersebut tersembunyi daripada kamera. Mereka mempercepatkan sedikit video tersebut dan akhirnya mereka nampak Hanna berjalan berpimpin tangan dengan perempuan itu menuju ke sebuah kereta. Dia seakan kenal dengan perempuan itu. Tasya!
“Hello, honey. Assalamualaikum. Rindu I ker?” Harris menjawab panggilan telefon Fida dengan begitu mesra sekali.
“Waalaikummussalam.” Suara Fida sudah serak dengan tangisannya.
“Honey, kenapa ni?” soal Harris hairan dengan tangisan wanita itu.
“Harris! Hanna, Harris!” hati Harris berdebar kencang.
“Kenapa dengan Hanna?” soal Harris cemas.
“Hanna tak balik ke tadika.” Fida menangis semahu-mahunya.
“I datang sekarang.” Kata Harris lagi.
“Drive safely, okay.” Talian sudahpun dimatikan. Lebih kurang 45 minit selepas itu, Harris pun tiba di Future Star. Sesampainya dia di situ, terus Harris mendapatkan Fida di pejabatnya. Fida sedang menangis kerusinya dan Syima cuba mententeramkan majikannya itu. Apabila ternampak Harris, Syima memberi ruang untuk Harris masuk menghampiri Fida. Terus sahaja Fida meminta maaf dan bertambah kuat tangisannya.
“Harris, I’m very very sorry. I lost our child.” Kata Fida kepada Harris.
“Shhh… sabar, sabar.” Harris memujuk Fida sambil menepuk perlahan bahu Fida. Dia menarik kerusi dan duduk dihadapan Fida. “Cuba cerita balik satu-persatu. Bagi I faham betul-betul.” Kata Harris. Dia duduk betul-betul mengadap Fida dan memegang lengan Fida.
Fida menarik nafas dalam-dalam untuk mengurangkan sendunya. Kemudian, Fida menceritakan apa yang terjadi. Fida juga menunjukkan kepada Harris rakaman CCTV sewaktu van itu sampai. Harris menonton video tersebut dengan teliti.
“Tasya!” kata Harris dengan penuh perasaan marah. “Ini semua kerja perempuan tu.” Marah sungguh Harris dengan Tasya. Tak habis-habis mencetuskan masalah dalam hidupnya. Dan Tasya sedikit pun tak rasa berdosa mempergunakan anaknya seperti itu.
“You ada nombor telefon dia tak? Cuba call tanya dia. Ke mana dia bawa Hanna?” cadang Fida.
“I pun tak tahu mana satu nombor yang dia guna. Semua nombor yang dia pernah guna untuk call I semuanya I dah block!” kata Harris. “Kejap, tadi ada nampak tak plate kereta dia?” mereka kembali meneliti video tersebut. “Okay, kita save slot video ni dalam telefon. Kita bawa kepada pihak polis. I malas nak deal dengan perempuan ni.” kata Harris membuat keputusan.
“Tapi nanti kalau dia apa-apakan Hanna macam mana?” Fida sudah tidak keruan. Dia terlalu bimbang sesuatu akan berlaku kepada Hanna.
“InshaAllah. Kita doa banyak-banyak.” Harris cuba sedaya upaya untuk bertenang dan berfikir dengan lebih rasional. Kalau dia juga turut panik, nanti apa satu pun tak dapat diselesaikan. Sebaik sahaja mereka melangkah untuk ke balai polis, Sofia datang berlari mendapatkan mereka. Dia hairan melihat Fida yang sedang menangis.
“Papa!” terus sahaja dia menerpa dan memeluk Harris. “Papa datang cari Hanna ke? Sofia pun cari Hanna. Kenapa mama menangis?” soal Sofia.
“Sofia, papa dan mama nak keluar cari Hanna sekejap ya. Sofia stay sini kejap dengan aunty Syima ya. Sofia tolong tengokkan Sufi sekali tau.” Pesan Harris dengan tenang. Dia tidak mahu anak itu pula panik kalau dia tahu Hanna hilang.
“Okay papa.” Harris mencium kepala Sofia dan terus berlalu keluar menuju ke kereta diikuti oleh Fida di belakang. Mereka memandu ke balai polis berdekatan. Tangisan Fida sudah berhenti tetapi sisa sendunya masih berbaki. Mereka berdua diam sepanjang perjalanan.
Sesampainya di balai polis, terus sahaja Harris menceritakan kejadian tersebut kepada seorang pegawai yang berada di kaunter aduan. Harris juga memaklukan tentang kes perceraian nusyuznya dengan Tasya untuk membuktikan bahawa Tasya sudah tidak ada hak ke atas anak mereka lagi. Dia juga menunjukkan rakaman video CCTV yang disimpan di dalam telefon Fida. Pegawai polis tersebut meminta Harris membuat kenyataan bertulis dan menyuruh Fida menghantar video itu melalui email kepada mereka. Sedang Harris memberikan keterangannya kepada pihak polis, tiba-tiba telefon Fida menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.
“Hello mama, Hanna ni. Sorry, Hanna keluar tak bagi tau mama tadi.” Kata Hanna di hujung talian. Fida terus bangun mendapatkan Harris di kaunter.
“Hanna, Hanna ada di mana tu sayang?” tanya Fida. Harris yang mendengar Fida menyebut nama Hanna terus sahaja berhenti memberi keterangan dan mengambil telefon tersebut dari tangan Fida.
“Hello, Hanna! Hanna ada kat mana ni?” soal Harris pantas.
“Eh, papa! Hanna ada dekat…” belum sempat Hanna menghabiskan ayatnya, telefon itu dirampas.
“Hello Harris.” Tasya menyapa dengan begitu manja sekali.
“Tasya, ke mana kau bawa anak aku?” soal Harris keras. Dia sudah pun bangun berdiri.
“Tak jauh pun, abang. Tasya bawa dia datang makan di KFC ni je. Sekejap lagi kami nak pergi shopping…” jawabTasya mengabaikan suara Harris yang begitu kasar dengannya tadi.
“Engkau tak ada hak nak ambil anak aku. Kau hantar dia balik sekarang.” kata Harris lagi dengan tegas.
“Apa abang ni? Diakan anak kita. Anak abang dengan sayang. Mestilah sayang ada hak ke atas anak sayang.” Kata Tasya dengan begitu bersahaja. Harris semakin berapi jadinya.
“Hak engkau sudah terbatal waktu engkau bawa masuk jantan tu ke dalam rumah aku! Kau faham tak? Kau hantar anak aku balik, sekarang!” suara Harris sudah semakin meninggi. Fida yang berada di sebelahnya tersentak mendengar tempikan Harris itu.
“Kalau tidak, abang nak buat apa?” soal Tasya masih lagi bermain-main. “Abang tak nak datang join kitorang makan-makan? Nanti kita boleh pergi shopping-shopping di Parkson ni.” kata Tasya lagi.
“Baik, aku datang. Engkau tunggu di situ.” Kata Harris kepada Tasya. Terus sahaja dia ke meja aduan dan berjumpa dengan pegawai polis tadi.
“Tuan, boleh tak kalau saya nak minta bantuan untuk selesaikan masalah ni? Dia ada bersama anak saya dia Parkson. Saya tak mahu main-main lagi. Kalau boleh, saya nak minta bantuan tuan untuk dapatkan balik anak saya daripada dia. Saya nak dia faham yang hak dia sudah terbatal atas arahan mahkamah.” Pinta Harris.
“Kami boleh bantu, tiada masalah. Tapi kami perlukan bukti kukuh yang Encik Harris memang mempunyai hak penjagaan sepenuhnya ke atas anak encik.” Kata pegawai itu lagi.
“Dokumen semua ada di rumah di Taman Bayu Fasa V ni sahaja. Saya balik ambil sekarang?” soal Harris kembali.
“Sekejap.” Pegawai polis berkenaan masuk ke dalam buat seketika, kemudian dia keluar semula. Dia mengambil semua butiran yang dicatatnya tadi lalu berkata kepada Harris, “Ikut saya.”
Mereka masuk ke dalam dan berjumpa dengan pegawai yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian D11 (siasatan seksual/kanak-kanak). Harris sekali lagi menceritakan semua yang berlaku kepada pegawai berkenaan. Daripada kisah perceraiaannya sehinggalah kisah ‘penculikan’ Tasya sebentar tadi. Menurut pegawai tersebut, tiada istilah ‘anak yang diculik oleh ibu atau bapanya sendiri’. Tetapi dalam kes Harris, atas arahan mahkamah, Tasya mesti mendapat kebenaran untuk berjumpa dengan anaknya dan mesti ditemani oleh Harris.
“Encik balik ambil dokumen yang ada pada encik, datang ke sini semula. Tuliskan nombor telefon bekas isteri encik yang boleh kami hubungi. Kami akan bawa bekas isteri encik dan juga anak encik datang ke balai.” Arah pegawai tersebut. Harris bersyukur kerana pihak polis sanggup memberikan bantuan kepadanya.
Harris terus pulang untuk mengambil semua dokumen yang diperlukan. Sementara itu, Fida dikehendaki membuat kenyataan bagi pihak Future Star kerana kejadian tersebut berlaku di hadapan premisnya. Fida amat bersyukur kerana dia sudah siap sedia dengan pemasangan CCTV berkenaan. Tak dapat Fida bayangkan seandainya CCTV itu tiada. Entah bagaimana mereka nak dapatkan maklumat apabila berlakunya perkara-perkara seperti ini.
Harris dan Fida menunggu di balai dengan penuh resah. Hampir dua jam berlalu. Harris tidak senang hati selagi Hanna tidak ada di depan matanya. Sekejap dia duduk, sekejap berdiri, sekejap dia mundar-mundir di ruang menunggu di situ.
“Harris, I minta maaf sangat-sangat. I tak alert dengan pergerakkan budak-budak kat tadika tu.” Kata Fida kepada Harris yang sedang duduk di sebelahnya. Dia tertunduk sambil memekup mukanya dengan kedua-dua belah tangan. Fida tak henti-henti meminta maaf. Melihat Harris yang begitu resah, makin bertambah rasa bersalah di dalam hatinya.
“Honey, it’s not your fault. Dah, jangan bimbang sangat. InshaAllah, I yakin polis dapat jumpa mereka sekejap lagi.” Kata Harris memujuk Fida. Lebih kepada dia berkata-kata untuk meyakinkan dirinya juga. Dia menegakkan badannya dan duduk menyandar sambil menarik nafas dalam-dalam, kemudian menghembusnya perlahan.
Tidak lama selepas itu, mereka dipanggil masuk ke bilik tadi sekali lagi. Hanna sudah berada di situ bersama-sama Tasya.
“Papa! Mama!” Jerit Hanna sambil berlari mendapatkan mereka. Fida yang berjalan di hadapan Harris terlebih dahulu duduk melutut dan mendakap Hanna. Kemudian Hanna memeluk pula Harris seeratnya.
“Papa dan mama cari Hanna ker? Maaflah, Hanna keluar tak bagi tau mama pun tadi.” Kata Hanna dengan tulus.
“Tak apa, sayang. Mama dengan papa risau je sebab Hanna tak masuk-masuk dalam tadika lepas Hanna turun dari van.” Jawab Fida menenteramkan Hanna. Harris bangun meninggalkan Hanna bersama Fida dan menuju kepada Tasya yang ada bersama-sama pegawai polis di situ. Harris menyerahkan semua dokumen dan rekod mahkamah yang diminta oleh pihak polis. Dia langsung tidak memandang ke arah Tasya.
“Abang, kenapa sampai melibatkan polis ni? Hanna kan anak kita?” Tasya masih cuba bersuara. Harris berpaling kepada Tasya dan merenungnya dengan perasaan yang penuh benci dan marah. Fida melihat keadaan begitu, dia rasa tidak sesuai untuk Hanna turut menyaksikannya.
“Tuan, boleh saya bawa Hanna ke depan?” minta Fida. Pegawai berkenaan hanya menganggukkan kepalanya. Hanna hanya mengikut sahaja Fida keluar tanpa banyak bicara. “Hanna dah makan? Hanna nak air?” soal Fida kepada Hanna cuba untuk mengalih perhatiannya daripada isu yang sedang berlaku di dalam sana.
“Hanna dah makan tapi Hanna dahaga. Air mineral ada tak mama?” jawab Hanna.
“Jom kita tengok kat vending machine kat luar tu.” Mereka pun berjalan menuju ke mesin minuman layan diri. Dia membeli sebotol air mineral untuk mereka berdua.
“Mama, mama kenal tak siapa perempuan tadi tu?” soal Hanna tiba-tiba. Fida hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. “Yang tu lah mama Hanna dulu. Bekas isteri papa.” Cerita Hanna. Fida agak terkejut dengan pilihan perkataan anak kecil itu. Baru berusia setahun jagung, sudah tahu istilah ‘bekas isteri’. Fida hanya mendiamkan diri. Dia tidak tahu apa yang perlu dikatakan kepada Hanna. “Tapi dia jahat.” Sambung Hanna lagi membuatkan Fida sedikit tergamam. Entah apa rahsia yang disimpan Hanna sendirian sehingga dia boleh berkata sebegitu kepada ibunya sendiri.
“Kenapa Hanna cakap macam tu?” soal Fida cuba memancing Hanna untuk meluahkan emosinya.
“Masa Hanna kecik-kecik dulu, dia selalu kurung Hanna dalam bilik masa papa tak ada. Lepas tu, dia pasang tv kuat-kuat. Mesti dia tak nak dengar suara Hanna nangis-nangis panggil dia suruh buka pintu.” Cerita Hanna kepadanya. Tiba-tiba, gugur titisan air mata di wajah anak kecil itu. “Hanna kena tunggu sampai pagi, baru dia buka pintu. Kadang-kadang ada juga dia bawa Hanna keluar jalan-jalan dengan Uncle Wan. Dia kata Uncle Wan tu kawan dia, tapi dia ugut Hanna supaya jangan bagi tahu papa.” Sambung Hanna lagi.
“Dia pernah bawa Hanna pergi dekat satu jambatan. Dekat situ ada seorang perempuan tua sedang tidur. Dia cakap, kalau Hanna bagi tau papa pasal Uncle Wan, dia nak tinggalkan Hanna dekat orang tua tu. Hanna takut.” Kali ini esakkan Hanna makin kuat. Dia terus memeluk Fida dengan erat sekali. Fida turut menangis mendengar cerita Hanna. Tabahnya anak ini menghadapi hari-hari sukarnya diusia yang sebegitu mentah.
“Shh… shh… Hanna jangan takut lagi ya. Sekarang Hanna dah ada mama. Dah tak ada sesiapa boleh kurung atau ugut Hanna lagi dah. Hanna jangan takut lagi tau… mama janji!” pujuk Fida. Dia merangkul tubuh Hanna dengan lebih erat lagi. Dia cuba untuk menanamkan rasa selamat, yakin dan percaya terhadap janji-janji sebentar tadi.
Share this novel