Dua minggu tanpa Liza dan Suzi amatlah memenatkan bagi Fida. Dia terpaksa mengubahsuai semua tugasan di Future Star mengikut bilangan kakitangan yang ada sahaja. Tidak berbaloi rasanya untuk dia mencari pekerja baru hanya untuk tempoh dua minggu. Hendak mencari pengganti pun memakan masa lebih dari itu. Fida meminta Syima mengambil alih tugas Suzi sebagai guru murid kelas Suhail (empat tahun) dan dia pula menggantikan Liza di kelas Polaris (lima tahun).
Oleh kerana di sebelah pagi Fida perlu mengajar, kerja-kerja pengurusannya terpaksa di bawa balik ke rumah untuk disiapkan. Dek kesibukkan kerjanya minggu itu, lupa sekejap Fida kepada debaran asmaranya terhadap Harris. Jarang sekali dia terserempak dengan lelaki itu kerana dia banyak menghabiskan waktunya di dalam pejabat sehingga lewat petang.
“Mama, kita ada plan untuk ke mana-mana tak hujung minggu ni?” tiba-tiba Sofia bertanya sewaktu mereka sedang makan malam.
“Tak ada, sayang. Mama sibuk sikit minggu ni. Sorry yer.” Jawab Fida dengan lembut. Yang sebenarnya dia telah tersalah tafsir dengan soalan Sofia. Dia menyangka anak itu ingin mengajaknya pergi berjalan-jalan di hujung minggu. Tetapi apabila dia terpandang wajah ceria Sofia, Fida menjadi hairan. “Kenapa Sofia tanya?”
“Tak ada apalah.” Jawab Sofia cuba berselindung.
“Sofia… bagi tahu mama. Apa yang rahsia sangat tu?” pinta Fida kepada anaknya.
“Macam ni… Hanna bagi tahu uncle Harris kena pergi kerja di Penang hujung minggu nanti. Kalau Sofia ajak dia datang tidur rumah kita, boleh kan mama?” tanya Sofia meminta izin daripada Fida. Serba-salah Fida nak menjawabnya. Dia tak mahu mengajar anaknya itu terlalu rapat dengan Harris tetapi dia sebenarnya sudah termakan budi dengan lelaki itu. Yang sebenarnya, dia sendiri takut untuk terlalu akrab dengan Harris. Dia bimbang dengan perasaannya sendiri. Dia senang dengan cara lelaki itu tetapi dia takut.
“Boleh kan, mama?” soal Sofia lagi sekali apabila mamanya tidak menjawab soalannya kali pertama tadi.
“Nanti mama bincang dengan uncle Harris.” Jawab Fida menutup perbincangannya dengan Sofia. Selepas makan, Fida mencapai telefonnya. Dia berfikir-fikir untuk menelefon Harris tetapi rasa segan masih lagi menebal. Jadi, Fida membuat keputusan untuk menghantar mesej melalui Whatsapp sahaja. Puas Fida mengarang ayat untuk dihantar kepada Harris, tetapi semuanya dirasakan pelik dan tidak sesuai. Sedang dia berperang dengan perkataannya sendiri, tiba-tiba satu mesej masuk.
Harris : Assalamualaikum, Fida. Lama betul typing. ?
‘What? Macam mana dia tahu? Dia pun tengah on Whatsapp aku ker?’ detik hati Fida.
Fida : Waalaikummussalam. Ermmm… mcmna tahu?
Kemudian Fida lihat Harris sedang menaip sesuatu.
Harris : ?
‘Emoji sahaja dia balas?’
Harris : Fida taip apa tadi pjg2. Xsampai pun kat saya.
Fida : Fida sebenarnya nak ucapkan terima kasih banyak2 sebab bantu Fida kat hospital minggu lepas. Kalau tak, susah juga Fida nak buat. Terima kasih ya…
Harris : Sama2. Tp skrg ni saya pula yg nak kacau Fida. Serba-salah jg ni. Weekend nanti Fida sibuk tak?
Fida : Sibuk jg sbnrnya sbb 2 org cikgu tu cuti, kan. Fida terpaksa cover kerja diorg sblh pg. Semua management tertangguh.
Harris : Kalau busy, xapa lah. Lain kali sj.
Fida : Td Sofia ada bgtau saya yg En Harris kena gi ke Png. Btl ker?
Harris : Harris jer. Tak pyh lah en en tu.
Ya, btl tu.
Fida : Hehe, ya lah Harris. Kalau Harris perlukan bantuan, bgtau sjlah. Kalau Hanna nak stay sini sepjg weekend pun, Fida ok ja.
Harris : Betul ker? Bdk ni dah nangis2 xnak ikut saya gi Png. Makin hari makin mengada dia.
Fida : Dia seronok ada kwn kot kat sini. Blh jer. Bila gi Png?
Harris : Jumaat ptg. Btl ni Fida xkisah?
Fida : Yup. Dtg jer. Saya ok.
Harris : TQ TQ. Baik sgt Fida ni. Patutlah Hanna suka.
Nanti Jumaat saya nak dtg tu, saya bgtau dulu ya.
Fida : OK
Harris : Assalamualaikum… Gd Nite!
Fida : W’salam. Gd Nite!
Fida meletakkan telefonnya ke tepi dan mengeluarkan buku-bukur kerjanya untuk disiapkan. Tetapi Fida masih lagi terkesan dengan perbualannya denga Harris sebentar tadi. Tiada apa yang istimewa tentang perbualan itu, tapi entah kenapa hati Fida berbunga-bunga. Dia begitu seronok dapat berbual dengan lelaki itu walaupun sebentar.
Kerja di tangannya ditinggalkan seketika lagi. Fida mencapai telefonnya, membuka semula mesejnya dengan Harris sebentar tadi dan membuka gambar profil Harris. Gambar Harris bersama Hanna di sebuah taman tema air. Harris berkaca mata hitam membangkitkan lagi kulitnya yang cerah. Rambut ikalnya yang seakan basah kemas tertolak ke belakang. Senyuman lebar Harris menampakkan sebatang giginya yang berlapis di sebelah kiri. ‘Comelnya gigi dia ni.’ setiap kali dia terpandang akan gigi itu, hatinya terus cair. Itulah kelemahan Fida.
“Mama…” tiba-tiba Sufi datang menegur Fida mengejutkannya daripada lamunan. Terlepas telefon di tangan Fida. “Nak susu…” Fida melihat jam di telefonnya. Sudah melepasi jam 10 malam.
“Sufi nak susu? Dah ngantuk yer… okay jom…” jawab Fida sambil menghulurkan tangannya kepada Sufi. Mereka berjalan beriringan ke dapur. Sufi duduk di meja makan sementara menunggu Fida menyediakan susunya. Kemudian mereka sama-sama naik ke tingkat atas. Sebentar sahaja Fida menepuk punggung Sufi, terus sahaja anak itu terlena. Dia kemudian turun ke bawah mendapatkan Sofia yang sedang menonton televisyen.
“Sofia, pergi tidur. Sudah pukul sepuluh lebih dah. Esok kan sekolah.” Arah Fida kepada Sofia.
“Okay, mama.” Sofia mengambil alat kawalan jauh dan menekan butang merah. Dia terus bergerak naik ke atas menuju ke biliknya.
“Jangan bising, ya. Adik dah tidur.” Pesan Fida lagi
“Baik mama.”
Sebaik sahaja anak-anaknya sudah tidur, barulah Fida memulakan kerja-kerjanya yang tertangguh sebentar tadi. Hampir jam tiga pagi barulah dia menutup semua bukunya dan naik ke atas mencari katil.
Seperti yang dijanjikan, Harris datang ke rumah Fida lebih kurang jam 6 petang untuk menghantar Hanna. Sebaik sahaja Harris turun dari kereta, Sufi terus berlari melepasi Fida dan keluar mendapatkannya. Fida tak sempat nak menahannya.
“Papa… papa…” panggil Sufi sambil mendepakan tangannya minta didukung. Harris dengan senang hati melayan kerenah Sufi. Fida memandang sahaja dari jauh. Tersentuh pula hatinya melihat sikap Harris yang langsung tak berkira melayan perangai anak-anaknya. Sambil mendukung Sufi, Harris memberi arahan itu dan ini kepada Hanna. Macam-macam pesanan diberikan. Panjang lebar sehingga Hanna menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Yer, papa. Hanna ingat…” dia malas nak membantah cakap Harris. Nanti makin panjang khutbah papanya itu. Kemudian, mereka berjalan beriringan sambil Sufi masih lagi di dalam dukungan Harris.
“Assalamualaikum, Fida.” Sapa Harris apabila sampai ke muka pintu.
“Waalaikummussalam…” jawab Fida sambil menghulurkan tangannya kepada Sufi.
“Tak nak mama. Nak papa…” jawab Sufi sambil memusingkan badannya dan memeluk Harris dengan erat. Terkejut Fida dengan tingkah-laku anak lelakinya itu. Harris hanya ketawa sambil menggosok-gosok belakang badan Sufi.
“Bukan papa lah. Uncle!” jawab Fida membetulkan panggilan Sufi.
“Kakak cakap papa.” Sufi menunjuk kepada Hanna.
“Yer lah. Ini papa Kak Hanna. Bukan papa Sufi.” Tegur Fida lagi. Makin lama, makin malu dia dengan Harris. Fida sudah terasa mukanya membahang menahan malu. Pasti kulitnya sudah kemerahan.
“No! Papa Sufi!” yakin sungguh anak kecil itu.
“Biarlah dia.” Kata Harris kepada Fida. “Sufi anak papa yer?” tanya Harris kepada Sufi. Sufi mengangguk-angguk di bahu Harris. “Okay, Sufi duduk dengan mama dulu ya. Papa nak pergi kerja.” Kata Harris dengan manja sekali kepada Sufi. Fikir Fida, Irwan sendiri tidak pernah melayan anaknya semanja itu. Mungkin ini lah yang dimaksudkan oleh ibu mentuanya dulu, bukan semua lelaki perangai macam Irwan.
“Tak nak… Sufi nak ikut papa.” Sufi sudah menjadi semakin melekap pada Harris. Akhirnya Fida terpaksa memaksa Sufi melepaskan Harris. Menangis Sufi sekuat hatinya.
“Okay, okay… nanti papa balik beli mainan yer, sayang.” Pujuk Harris kepada Sufi sambil tunduk mencium anak itu yang berada didukungan Fida. Mesra sungguh Harris melayan anaknya. “Okay, saya pergi dulu ya.” Kata Harris kepada Fida sambil tersenyum. Dia nampak wajah Fida yang seakan gugup dengan situasi yang sedang berlaku sekarang.
“Hanna, come. Papa dah nak gerak dah ni.” Hanna dan Sofia terus berlari ke muka pintu. Hanna menyalami tangan papanya dan mencium pipi Harris kiri dan kanan. Kemudian, Harris menghulurkan pula tangan kepada Sofia. Sofia turut menyalami Harris. Kemudian Harris pula tunduk mencium pipi Sofia kiri dan kanan. Naik malu Sofia. Dia terus memegang baju Fida. Seakan refleks yang normal, Harris menghulurkan tangannya kepada Fida membuatkan Fida kaget sebentar. “Oopps… Sorry. Terlajak. Sorry! Sorry!” kata Harris kepada Fida sambil tertawa kecil. “I pergi kerja dulu yer. Assalamualaikum.”
Harris terus berlalu masuk ke dalam kereta. Sufi semakin meronta-ronta ingin mengikut Harris. Jenuh Fida memujuknya. Harris menurunkan tingkap dan melontarkan flying kiss. Fida terpana melihat aksi Harris. Kemudian barulah Fida terperasan yang flying kiss tadi ditujukan kepada Hanna yang berdiri disebelahnya. Hanna juga membalas aksi Harris tadi. Mungkin mereka sudah biasa dengan aksi-aksi begitu. Sebab itulah mereka tidak merasa segan. Tetapi Fida tak biasa dilayan sebegitu. ‘Macam ini kah Harris dengan keluarganya setiap hari? Kalau lah Harris sebaik ini, ke mana pergi isterinya?’ timbul persoalan baru dalam diri Fida. Hatinya membuak-buak ingin mengenali lelaki itu.
Harris menuju ke Pulau Pinang dengan menaiki kapal terbang. Sepanjang penerbangannya, dia ayik terkenangkan Fida. Tersenyum-senyum Harris sendirian apabila dia teringat situasi sebentar tadi. Wajah Fida jelas sekali menunjukkan yang dia begitu gemuruh. Terutama sekali semasa dia menghulurkan tangan untuk menyalami wanita itu. Entah kenapa, Harris rasa begitu rapat, begitu dekat dengan Fida.
Harris juga terkenangkan Sufi. Sudah lama dia tidak melayan kerenah anak kecil seperti Sufi. Anaknya sendiri sudah berumur 7 tahun sekarang. Rindu dia untuk bermain dengan bayi. Sebelum pulang nanti, dia pasti akan membelikan sedikit buah tangan untuk mereka bertiga, Sufi, Sofia dan Hanna. Dia suka melayan anak-anak sedemikian. Malah seumur hidupnya juga, ibu dan ayahnya melayan dia adik-beradik seperti itu. Terasa puas melihat kegembiraan yang terpancar di wajah anak-anak apabila mereka menerima pemberian daripada kita.
Sesampainya di lapangan terbang, terus sahaja Harris menghubungi pegawai yang ditugaskan untuk menjemputnya di sana. Perjalanannya seperti ini sentiasa ditanggung penuh olrh pihak syarikat. Tiket penerbangan, penginapan, kenderaan semuanya sudah siap disediakan. Setelah mengesahkan ketibaannya, Harris terus menghubungi Fida.
“Hello, Assalamualaikum. You tengah buat apa tu?” soal Harris bersahaja.
“Tengah tengokkan diorang makan nasi. You dah makan?” mungkin panggilan begini lebih ringan bagi Fida berbanding Harris-Fida.
“Belum. I baru sampai di airport ni. Tengah tunggu diorang datang jemput.” Jawab Harris. Kemudian talian menjadi sunyi. Fida tidak tahu apa yang perlu dibualkan. Bertambah segan Fida apabila berada di depan anak-anak. “Okay. I just nak bagi tahu yang I dah sampai. You makan jer dulu dengan anak-anak, ya. Nanti I call balik.”
“Okay.” Fida terkedu. ‘Untuk apa dia nak call balik?’ soalan itu bergema di dalam kepalanya.
Selesai makan malam, Fida menemani ketiga-tiga kanak-kanak itu menonton televisyen. Tayangan filem animasi Tangle sedang ke udara. Sofia dan Hanna turut menyanyikan lagu-lagu yang dimainkan. Entah berapa kali mereka mengulang tonton cerita itu. Sufi juga betah meniru aksi-aksi kuda yang bernama Maximus dan iguana yang bernama Pascal. Hati Fida terhibur melihat keletah mereka. Sebaik sahaja filem itu berakhir, jam sudah pun menunjukkan angka sebelas. Sufi sudah tertidur dipangkuan Fida.
“Sofia, Hanna, jom naik tidur. Dah lewat dah ni.” kata Fida sambil mengangkat Sufi naik ke atas. Malam itu, Sufi tidur di bilik Fida manakala Hanna tidur di atas katil Sufi. “Tidur ya… jangan berborak sampai pagi pulak.” Pesan Fida kepada Sofia dan Hanna.
“Baik, mama.” Jawab mereka berdua.
“Eh, kamu pun panggil mama?” soal Sofia. Fida masih lagi berdiri di muka pintu. Hairan sungguh dia dengan perangai mereka semua. Tiga-tiga sama. Sehingga Sufi pun begitu juga. ‘Apa rancangan mereka ni, sebenarnya?’ fikir Fida.
“Sufi boleh panggil papa kita, papa. Jadi saya pun boleh la panggil mama, mama. Kan mama?” soal Hanna sambil memandang tepat kepada Fida. Mana mungkin Fida boleh menolak permintaan anak kecil itu. Fida hanya tersenyum. Sofia teruja melihat reaksi Fida.
“Betul ke, mama?” soalnya lagi untuk mendapatkan kepastian.
“Iya, boleh. Dah. Tidur cepat.” Jawab Fida sambil menutup pintu bilik tersebut. Fida terus turun ke bawah untuk memeriksa semua pintu dan tingkap benar-benar dikunci. Seperti biasa, Fida juga akan menjenguk ke halaman rumahnya dan memastikan pintu pagar tertutup dan semuanya berada dalam keadaan normal. Kemudian Fida ke dapur untuk minum segelas air kosong sebelum tidur. Dalam perjalanannya ke atas, dia mencapai telefon bimbitnya yang ditinggalkan di atas kaunter dapur sejak makan malam tadi lagi. Alangkah terkejutnya dia melihat terdapat dua panggilan daripada Harris. Fida menghubungi Harris semula.
“Assalamualaikum, Fida. Dah tidur ker? Sorry kalau I ganggu.” Jawab Harris di hujung sana.
“Waalaikummussalam, Harris. Baru nak tidur. Baru lepas tidurkan anak-anak.” Jelas Fida kepada Harris.
“Hanna dengan Sofia pun dah tidur?” hairan pula dengan Hanna. Kalau di rumah, susah sungguh dia nak masuk tidur.
“Sudah. Sibuk nak panggil I mama. Dia kata Sufi boleh panggil you, papa. Dia pun nak panggil I mama.” Cerita Fida tanpa selindung. Harris sudah ketawa.
“Berjaya juga dia akhirnya, ya?” kata-kata Harris keluar tanpa dirancang.
“Hurm? Apa you cakap?” Fida bertanya meminta penjelasan. Harris sudah menepuk dahi.
“Erm… yang sebenarnya Hanna tu dari awal-awal dulu lagi sibuk nak panggil you, mama. Dari sebelum dia berpindah ke Future Star lagi.” Cerita Harris berterus-terang. Untuk apa lagi dia perlu berselindung. Dia tahu ke mana arahnya hubungan dia dan Fida ini. Dia yakin Fida mampu menjadi isteri terbaik untuknya. Cuma sekarang, dia perlu mendapat persetujuan daripada Fida.
“Oh, macam tu ker?” Fida terdiam. Tidak tahu apa yang perlu dikatakan.
“Fida, I tau kita baru kenal. Walaupun pertemuan kita mula-mula dulu dah lama, tapi baru sekarang kita dapat berbual macam ni. Itu pun lepas Hanna buat perangai nak pergi rumah you. Kalau tak sebab Hanna, kita tak mungkin boleh jadi rapat, kan?” kata Harris panjang lebar. Fida tidak tahu apa yang perlu dibalasnya.
“I just nak you tahu yang I benar-benar selesa dengan you. Sejak dua tahun I single ni, tak pernah lagi I rasa ingin rapat dengan mana-mana perempuan. Tapi dengan you, I selesa.” Kata Harris berterus-terang.
“Mungkin sebab anak-anak kot. Mereka cepat get along, jadi suasana jadi ceria bila mereka ada bersama-sama.” Itu sahaja yang terfikir oleh Fida.
“How about you?” soalan Harris ini amat sukar untuk Fida jawab. Dia termenung sejenak. ‘Adakah aku sudah bersedia untuk satu hubungan yang baru?’
“Tak ada benda yang I boleh complain about you, tapi kalau you nak minta something more than this, I rasa I belum bersedia.” Jawab Fida sebaik mungkin. Dia bimbang lelaki itu akan berkecil hati dengannya.
“Oh, tak apa. I faham. Maybe this is too drastic for you. We go slow, okay.” Harris memberi cadangan. Dia sedar yang Fida tidak menolaknya secara total. Cuma dia belum bersedia untuk sesuatu yang lebih intim.
“Okay, terima kasih, Harris. Jom kita tidur. Nanti takut terlajak subuh.” Pinta Fida. Harris hanya akur dengan permintaan itu.
“Okay, Fida. Good night.”
“Good night.” Balas Fida sambil mematikan panggilan.
Share this novel