Sejak daripada kejadian dihalau oleh ibu bapanya dahulu, sudah hampir sebulan Irwan tidak menelefon ke kampung untuk bertanya khabar. Fikirannya masih lagi terganggu dengan suara-suara tempikan bapanya, Roslan. Wujud pergolakan yang maha dahsyat di dalam benaknya. Dia yakin perbuatannya itu benar. Dia yakin apa yang dia buat selama ini adalah betul. Dia ketua keluarga. Fida sepatutnya lebih mendengar arahannya.
Walaupun dia sudah berkahwin, dia berhak menentukan bagaimana corak hidupnya selepas itu. Dia tidak boleh hanya memikirkan Fida dan anak-anak semata-mata. Dia juga ada kawan-kawan. Dia juga perlukan kehidupan peribadi di luar lingkungan Fida dan anak-anak. Dia sudah sediakan rumah dan membeli barangan dapur setakat yang dia mampu. Apa lagi yang kurang?
Fida sendiri bekerja. Dia mempunyai pendapatannya serba sedikit daripada tadika yang dia buka. Irwan tidak pernah menghalang Fida untuk menjalankan perniagaan dengan caranya itu. Apa lagi yang tidak kena? Apa lagi yang tidak cukup? Dia tidak mahu menjadi penunggu rumah 24 jam. Dia bukan lelaki yang dayus yang tunduk pada arahan isteri. Dia ketua keluarga yang berwibawa. Dia tahu meletakkan keutamaan kepada semua perkara dalam hidupnya.
Pada malam kejadian, Irwan telah pergi bermalam di rumah Lukman. Semasa di rumah Lukman, dia telah menceritakan segala yang berlaku kepada Lukman. Tetapi jawapan Lukman bukan seperti yang dia sangkakan.
“Engkau kasar sangat dengan Fida…”
“Engkau tak fikir langsung perasaan Fida…”
“Mereka hanya ada engkau sahaja dalam dunia ni, tapi engkau pula ambil mudah tentang mereka…”
Ayat-ayat Lukman ini bagaikan terpahat kemas dibenak Irwan. Benarkah dia telah menganiaya isteri dan anak-anaknya itu? Irwan kebingungan. Dia mencapai telefon bimbitnya. Dia membelek-belek telefon itu buat seketika. Kemudian, dia bertekad dan terus mendail nombor telefon ibunya.
Mendengar deringan di telefon, Asmah segera mencapainya dan melihat nama pemanggil. Agak susah hati dia mahu menjawab panggilan Irwan itu. Entah apa lagi yang akan Irwan berangkan sebentar lagi.
“Assalamualaikum.” Asmah mengalah juga akhirnya.
“Waalaikummussalam. Mak sihat?” lembut sedikit hati Asmah mendengar suara tenang anak lelakinya itu.
“Sihat. Engkau ada di mana ni?” soal Asmah kembali.
“Di office ja ni, mak.” Jawab Irwan. Lidah Irwan kelu. Tidak tahu apa lagi yang perlu diucapkan kepada ibunya. “Mak… Wan minta maaf kalau Wan berkasar dengan mak.” Irwan sedikit-sebanyak rasa bersalah juga kepada ibu dan ayahnya kerana dia meninggikan suaranya kepada mereka. Tetapi tindakan mak ayahnya yang asyik menyebelahi bekas isterinya itu membuatkan dia sungguh sakit hati. dia terasa seperti ditikam dari belakang.
Pada fikiran Irwan, dia juga mangsa keadaan dalam isu perceraian rumah tangga mereka sebab dia sebenarnya masih sayangkan Fida. Tetapi sikap Fida yang adakala seperti terlalu mahu melekap kepadanya dan bergantung kepadanya membuatkan dia rimas dan lemas. Fida susah nak faham dan terima bila dia perlu keluar untuk bersama kawan-kawannya. Mereka semua lelaki. Irwan tak faham kenapa susah sangat Fida nak terima semua tu.
“Mak boleh ampunkan engkau bila-bila masa saja, Wan. Mak ni ibu. Mak mana yang tak sayangkan anaknya. Tapi engkau mesti betulkan perbuatan kau tu dulu. Mak tak mau anak kesayangan mak buat dosa.” Jawab Asmah dengan genangan air mata. Dia hanya mahu tang terbaik untuk keluarganya.
“Baiklah mak. Nanti Wan fikirkan.” jawabIrwan ringkas. Hakikatnya, dia sendiri tidak tahu di mana salahnya yang perlu dia perbetulkan. Yang penting bagi Irwan sekarang dia perlu berdamai dengan kedua orang tuanya. Tak tenang hatinya selagi ibu dan ayahnya masih lagi marah-marah begitu.
Mendengar jawapan Irwan, Asmah tahu yang anaknya masih lagi belum sedar dan insaf dengan perlakuannya. Dia perlu mendidik Irwan. Dia perlu mebimbing Irwan. Tetapi Irwan bukan lagi anaknya yang berumur 7-8 tahun. Malah Irwan juga tidak lagi tinggal sebumbung dengannya. Asmah perlu membuka jalan kepada Irwan.
“Daripada kamu keluar lepak malam-malam di kedai mamak tu, lebih baik kamu pergi ke masjid. Kamu sekarang dah bujang. Dah tak ada sesiapa kat rumah kamu nak kena jaga, nak kena fikir. Cuba dekatkan diri dengan ustaz-ustaz, orang-orang alim. Barulah hidup kamu tenang dan terurus.” bebel Asmah memberi cadangan kepada Irwan. Harapnya kalau tak semua pun, ada juga yang lekat di dalam kepala Irwan itu.
“Baiklah, mak.” Jawab Irwan bersahaja. Malas pula dia nak membalas. Nanti makin panjang bebelan ibunya itu.
Pada hujung minggu itu, Hanna telah menuntut janji untuk pergi ke di rumah Sofia.
“Papa, hari ni boleh kan Hanna pergi rumah Sofia?” pinta Hanna lembut. Dia bimbang jika Harris masih marah tentang kejadian tempoh hari.
“Hanna nak pergi pukul berapa?” Harris masih ingat tentang janjinya. Walaupun dia telah memarahi Hanna, tetapi marahnya itu masih tidak membatalkan janjinya untuk mengizinkan Hanna ke rumah teman baiknya Sofia. Mendengar soalan itu, wajah Hanna bertukar ceria.
“Lepas sarapan, boleh?” dia sudah tidak sabar untuk berjumpa dengan Sofia. Dia juga tidak sabar untuk pergi melihat rumah Sofia. Mesti tersusun cantik. Sofia punyai seorang ibu yang baik dan rajin. Pastinya ibu Sofia pandai menghias rumah. Tidak seperti rumahnya. Papa Hanna hanya mengisi kelengkapan rumah itu sekadarnya sahaja. Malah bilik Hanna sendiri tidak kelihatan seperti bilik seorang anak gadis. Mujurlah Harris ada mengupah orang untuk datang mengemas rumah di hujung minggu. Sekurang-kurangnya, rumah mereka sentiasa kemas dan bersih.
“Ish, mana ada orang pergi menempek kat rumah jiran awal-awal macam ni. Nanti petang baru pergi.” Bantah Harris.
“Tapi papa, Hanna dan janji dengan Sofia untuk siapkan kerja sekolah sama-sama. Kalau pergi petang, nanti tak sempat pula nak siap.” Hanna mencari helah. Dia memandang tepat ke mata papanya sambil membuat memek muka bagaikan seekor kucing yang paling comel.
“Kerja sekolah pulak?” kata Harris kepada Hanna. “Pergi call Sofia dulu. Jangan-jangan mereka tak ada di rumah.” Saran Harris sambil menunjukkan di mana telefin bimbitnya berada. Dengan sepantas kilat Hanna bingaks bangun dan mencapai telefon papanya. Dia mencari nama Fida di dalam Phon Harris tetapi tidak berjumpa.
“Papa tak save nombor Cikgu Fida, kah?” soal Hanna sambil terus membelek telefon itu.
“Ada, papa save Tadika Future Star.” Jawab Harris sambil terus meneguk teh susu panas. Mata dan jemarinya sibuk bekerja di hadapan komputer ribanya. Hanna terus mencari nama yang Harris katakan tadi.
‘Ini bukan nombor tadika. Ini nombor personal Cikgu Fida. Nombor tadika tu lain…’ gerutu hati Hanna. Laju saja dia memadam nama Tadika Future Star dan diletakkan nama Mama Fida. Tiba-tiba dia teringatkan kata-kata Harris di dalam kereta tempoh hari. Terus sahaja dipadam perkataan mama dan digantikan dengan Cikgu. Cikgu Fida.
Melihat Hanna yang masih membelek-belek telefon itu, Harris mula bersuara. “Kenapa belum call lagi? Tak jumpa kah?” Hanna hanya tersengeh mendengar soalan Harris. Terus sahaja Hanna mendail nombor Cikgu Fida.
“Mama, Encik Harris telefon.” Sofia datang membawa telefon Fida yang sedang berdering. Fida sedang mengemas dapurnya setelah selesai mereka semua bersarapan sebentar tadi. Pada waktu hujung minggu seperti itu, selalunya Fida akan sediakan sarapan yang lebih berat. Untuk hari itu, Fida memasak nasi lemak bersama-sama sambal tumis ikan bilis, ayam goreng dan telur rebus. Sengaja dia masak lebih kerana dia tahu anak-anaknya akan ulang makan nasi tersebut hingga ke tengahari.
“Hello, Assalamualaikum…” ucap Fida menjawab panggilan yang disangkanya daripada Harris.
“Waalakummussalam, cikgu. Cikgu, ini Hanna. Boleh Hanna cakap dengan Sofia?” tiba-tiba suara comel itu yang muncul di telinga Fida.
“Oh, Hanna. Boleh, sekejap ya… Sofia! Hanna yang telefon.” Kata Fida memanggil anaknya. Mendengar nama Hanna, pantas sahaja Sofia berlari mendapatkan Fida. Hinggakan dia terlanggar adiknya lalu jatuh terduduk dan menangis. “Sofia, hati-hatilah. Kan adik dah jatuh tu.” Tegur Fida. Dia terus pergi mendapatkan Sufi dan memujuk Sufi. Diangkatnya Sufi ke dukungan dan terus di bawa ke ruang keluarga. Di situlah tempat berkumpulnya segala bentuk mainan Sufi dan Sofia.
“Hello, Hanna. Kamu nak datang rumah saya ker?” soal Sofia tanpa dapat ditahan-tahan lagi. Sudah lama dia berangan Hanna datang bermain di rumahnya.
“Ya. Pagi ni kamu ada di rumah tak?” soal Hanna untuk mendapat kepastian daripada Sofia.
“Ada, datanglah. Mama buat nasi lemak. Sedap! Cepatlah datang!” balas Sofia. Sempat lagi dia mengumpan nasi lemak masakan Fida kepada Hanna.
“Wah, sedapnya. Saya makan roti bakar dengan jem strawberi saja tadi.” Hanna mengadu. “Saya datang sekarang ya?”
“Ya, cepatlah. Bye.” Balas Sofia.
“Okay, bye!” Hanna menamatkan panggilan dan memulangkan telefon kepada Harris. “Okay, papa. Jom! Sofia ada si rumah. Cikgu Fida buat nasi lemak. Mesti sedap.” Kata Hanna sambil terus berlari ke biliknya. Dia mengambil beberapa barang yang ingin dia bawa ke rumah Sofia dan turun kembali mendapatkan Harris.
“Amboi, besarnya beg. Hanna nak pergi sana berapa hari?” usik Harris.
“Mana ada besar. Cepatlah papa, hantarkan Hanna. Jom lah!” kata Hanna sambil menarik tangan Harris bangun daripada kerusi.
“Iya, sekejap papa nak ambil kunci kereta.” Harris akhirnya beralah sahaja dengan anaknya itu. Dia tahu dia terlalu asyik dengan kerja sehingga adakalanya anaknya itu terabai. Terpaksa meluangkan masa lapangnya seorang diri. Tetapi apakan daya. Jika dia tidak mampu bekerja dengan efisyen, dia terpaksa pergi ke lokasi dengan lebih kerap dan lebih lama. Lagi teruk, dia terpaksa mencari kerja yang lain.
Mereka memandu memasukki lorong 10 seperti alamat yang ada pada Hanna. Apabila tiba di rumah bernombor 142, Harris memberhentikan keretanya. Hanna turun menekan loceng rumah tersebut. Tidak lama kemudian, Sofia keluar menyambut mereka. Ditangannya ada sebuah bekas yang agak besar.
“Hai, Hanna! Marilah masuk.” Kata Sofia kepada Hanna. Terus sahaja Sofia pergi mendapatkan Harris yang masih berada di dalam keretanya. Melihat Sofia dapat merapat, Harris menurunkan cermin kereta. “Hai, uncle Harris. Terima kasih sebab bagi Hanna datang rumah Sofia. Nanti Sofia pula yang datang rumah uncle, ya?” manis sungguh anak itu berbicara.
“Okay, Sofia. Main elok-elok ya.” Pesan Harris kepada mereka berdua.
“Tadi Hanna bagi tahu uncle makan roti dengan jem saja ya pagi tadi? Ini nasi lemak, mama suruh bagi kat uncle.” Kata Sofia sambil menghulurkan bekas yang dipegangnya tadi. “Mama masak sedaaaappp…” kata Sofia lagi. Harris tersenyum hingga ke telinga. Murah rezekinya pagi itu. ‘Kalau macam ni, boleh la hantar Hanna hari-hari. Boleh makan sedap.’ Fikirnya sendirian.
“Wah, siap ada bekal untuk uncle ya? Terima kasih banyak-banyak. Kirim salam kat mama Sofia ya.” Kata Harris kepada Sofia. Dia memandang anak-anak itu berjalan masuk ke dalam rumah sehingga pintu pagar itu tertutup, barulah dia mula bergerak pulang ke rumah. Sesampainya di rumah, terus sahaja dia menjamah nasi lemak yang diberikan Fida tadi. Memang benar masakkan Fida ini lazat sungguh. Harris pun kurang pasti samada masakan itu memang benar-benar lazat atau mungkin kerana sudah terlalu lama dia makan makanan kedai. Jadi apa sahaja makanan home-cook baginya teramat lazat.
Tanpa Hanna di rumah, Harris semakin ralit mengadap kerja-kerjanya yang tak pernah habis di komputer ribanya itu. Sehingga tiba-tiba dia rasakan urat tengkoknya begitu tegang sekali. Dia bangun dari kerusi dan meregangkan tangan dan kakinya. Dia berjalan menuju ke dapur dan mencapai segelas air sejuk. Ketika dia sedang minum, dia terpandang ke arah jam di dindingnya. Barulah dia sedar jam sudah pun menghampiri ke 12 tengahari.
“Mana Hanna ni? Tak mau balik lagi kah? Seronok sungguh ya dapat pergi main di rumah kawan?” Harris merungut-rungut sendirian. Elok sahaja habis ayat Harris itu, telefonnya berdering. Tertera nama ‘Cikgu Fida’ di telefonnya. Harris menggeleng-gelengkan kepala. “Memandai jer budak Hanna ni tukar-tukar.”
“Hello, Assalamualaikum…” Harris menjawab bersahaja. Dia sudah bersedia untuk pergi mengambil Hanna pulang.
“Encik Harris!” suara Fida yang menerobos ke cuping telinganya. Tetapi bukan itu yang Harris kisahkan. Nada suara Fida yang seperti dalam kecemasan turun membuatkan Harris menjadi cemas.
Share this novel