~ 20 ~

Family Completed 8882

“Ya. ada apa ni, cikgu? Cemas semacam saja. Anak-anak okay ke tu?” Harris berharap tiada apa-apa yang berlaku kepada anaknya mahupun anak-anak Fida. Bimbang kalau-kalau mereka terlalu asyik bermain sehingga berlaku apa-apa kemalangan di rumah itu.

“Ya, ya. Anak-anak okay… tapi… staff saya… mereka kemalangan. Mereka tengah on the way ke ER. Saya perlu segera ke hospital. Sekarang!” jawab Fida kelam-kabut. Fida sudah tidak keruan. Syima menghubunginya sebentar tadi memberitahu Cikgu Liza dan Cikgu Suzi telah tergelincir ke lereng bukit dan jatuh ke dalam gaung.

“Ya Allah. Baik, saya datang sekarang.” Harris segera mencapai kunci rumah dan kunci keretanya dan terus memandu keluar menuju ke rumah Fida. Sesampainya di rumah Fida, mereka semua sudah pun bersiap sedia untuk keluar.

“Cikgu nak hantar diorang ke mana? Takkan nak pergi hospital dengan anak-anak?” soal Harris apabila melihat Sufi dan Sofia sudah siap sedia berada di dalam kereta.

“Ah, ya lah. Takkan daya nak tinggal diorang kat rumah?” jawab Fida lagi. Dia sudah mahu segera masuk ke dalam keretanya. Harris berfikir dengan pantas. Dia tidak boleh membiarkanFida memandu ke hospital dalam keadaan begitu. Dia tidak yakin melihat Fida yang sedang cemas begitu hendak memandu bersama-sama anak-anak kecilnya. Terlalu bahaya. Macam-macam boleh berlaku apabila memandu dalam keadaan kelma-kabut dan fikiran yang kusut sebegitu.

“Nanti! Biar saya hantarkan cikgu ke hospital. Bahaya cikgu nak drive dalam keadaan cemas macam ni. Dengan anak kecil lagi. Jadi apa-apa nanti, lagi susah.” Harris separa memberi cadangan separa memberi arahan. Fida pada mulanya tercengang mendengar kata-kata Harris tapi bersetuju juga akhirnya. Dia membuka tali pinggang kerusi Sufi dan mendukung anak itu.

“Sofia, ambik handbag mama dan terus masuk ke dalam kereta uncle.” Fida terus mengunci keretanya dan menekan butang alat pengawal untuk menutup pagar rumahnya. Kemudian, Harris terus memandu ke hospital. Sofia dan Hanna duduk senyap di kerusi belakang. Mereka hanya mendengar sahaja Harris dan Fida bercerita tentang kejadian kemalangan yang berlaku kepada pekerja-pekerja Future Star itu.

“Macam mana boleh jatuh gaung?” soal Harris kepada Fida yang duduk di sebelahnya.

“Diorang ramai-ramai pergi hiking. Nak beriadah katanya. Kemudian, Liza tersadung batu. Sebelum dia jatuh, dia sempat tarik tangan Suzi. Itu yang dua-dua orang boleh jatuh sekali tu.”

“Ya Allah. Keadaan diorang macam mana sekarang ni?”

“Kata Syima, ada yang patah tulang. Tapi saya pun tak tahu yang sebenarnya macam mana.” Syima menjawab soalan Harris berdasarkan apa yang Syima sampaikan kepadanya. Susah hati betul Fida mengenangkan kedua-dua pekerjanya itu. “Mula-mula kata nak pergi wall climbing, macam mana boleh tukar pergi hiking pula. Ada-ada saja budak-budak ni lah.” Rungut Fida di hadapan Harris.

“Anak muda. Hujung-hujung minggu bukan reti lekat di rumah. Ada saja aktiviti nak dibuat. Lepas tu ambil gambar banyak-banyak, post di FB, di IG. Ada pula apps yang terbaru ni, apa namanya? Tok tok?” Kata Harris cuba untuk menenangkan hati Fida yang tengah serabut itu.

“Tik Tok lah papa!” jawab Hanna dari belakang. Kedua-dua anak gadis itu tertawa kecil. Geli hati agaknya mendengar nama yang disebut Harris. Fida juga tersenyum kecil.

Harris cuba untuk memandu dengan tenang walaupun sedikit laju. Namun jalan waktu itu agak sesak. Tiba-tiba ada sebuah motorsikal yang datang dari lorong sebelah kiri mencelah masuk ke hadapan kereta Harris. Fida yang sedang meriba Sufi segera mahu memeluk anaknya. Harris pula secara automatik mendepakan tangan kirinya ke hadapan Fida untuk menahan badan Sufi. Dengan tidak sengaja, Fida terpeluk sekali tangan Harris. Mujurlah Harris memakai T-shirt lengan panjang masa itu. Keadaan selepas itu menjadi agak kekok antara Fida dan Harris. Mereka hanya berdiam diri sepanjang perjalanan hingga sampai ke hospital.

Apabila tiba di hospital, Harris memberhentikan kereta betul-betul di hadapan pintu utama Unit Kecemasan.

“Cikgu masuk dulu. Tinggal anak-anak dengan saya.” Mendengar ayat supaya ditinggalkan anak-anak kepada lelaki itu, Fida menjadi fobia. Masih terngiang-ngiang ayat Irwan kepadanya dahulu apabila dia meminta Irwan untuk menjaga anak-anak sementara dia mahu ke Hospital.

“Eh, tak per. Tak per. Saya bawa mereka dengan saya.” Balas Fida pantas. Dia tidak mahu lagi dimarahi hanya kerana dia tidak mahu menjaga anak-anaknya.

“Eh, macam mana cikgu nak tengok staff cikgu dengan anak kecil ni. Sufi tak boleh masuk dalam tu. Bahaya. Entah kuman penyakit apa yang ada dalam tu, kita tak tahu.” Balas Harris bersungguh. “Tak apa. Saya jaga diorang. Cikgu masuk dulu. Pergi tengok keadaan staff cikgu tu macam mana. Saya pergi park kereta dulu.” Harris masih berkeras. Fida keliru. Tetapi disebabkah wajah Harris yang begitu serius dan memikirkan keadaan guru-gurunya yang mungkin kritikal, dia bersetuju.

“Okay, terima kasih Encik Harris. Saya masuk ke dalam dulu. Call saya kalau ada apa-apa ya.” Pesan Fida kepada Harris. Dia kemudian meletakkan Sufi di tempat duduk belakang bersama Sofia dan terus berlari masuk ke dalam Unit Kecemasan. Tanpa Fida sedari, beg tangannya masih ada bersama-sama Sofia.

Harris terus memandu beredar dari situ. Biarlah Fida menguruskan dulu hal guru-guru tadikanya. Dia mengerling kepada jam kereta. Sudah lebih jam 1 tengahari. Harris memandang kepada tiga orang kanak-kanak riang di tempat duduk belakang keretanya.

“Siapa lapar?” tanya Harris kepada mereka semua.

“Saya… saya… saya…” jawab mereka serentak.
“Siapa nak makan McDonald?” tanya Harris lagi. Hanna dan Sofia melopong kegembiraan.

“Saya… saya… saya…” jawab mereka dengan gembira. Si kecil Sufi pun turut mengikut apa saja yang dikatakan oleh kakak-kakak berdua itu. Sesampainya di McDonald Drive-Thru, Harris pun membuat pesanan. Dia turut memesan makanan untuk Fida juga. Wanita itu juga pasti lapar. Selesai membeli makanan, mereka semua kembali menuju ke hospital.

Susah sungguh Harris mencari lot parkir di waktu-waktu tengahari seperti itu. Setelah tiga kali pusingan, barulah berjumpa. Harris mengambil makanan yang dibelikan untuk Fida dan memberikan kepada Hanna untuk di bawa. Dia melihat Sofia cuba mendukung Sufi dengan begitu susah-payah sekali.

“Sofia, adik tak bawa selipar ker?” Sofia hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Tak pa, biar uncle dukung adik. Jom semua. Jalan perlahan-lahan di tepi-tepi ya.” Pesan Harris kepada Hanna dan Sofia. Dia menekan kunci pintu keretanya dan turut berjalan di belakang mereka.

Apabila dia masuk ke ruang menunggu Unit Kecemasan, kelihatan Fida dan beberapa orang lagi pekerja Future Star yang lain turut ada di situ. Sofia dan Hanna yang berlari laju meluru kepada Fida.

“Mama, mama!” jerit Sofia sambil berlari. “Ni handbag mama.” Dia menghulurkan beg Fida yang tertinggal di dalam kereta tadi.

“Cikgu, ni papa bagi.” Kata Hanna sambil menghulurkan plastik makanan tadi. Mata Syima terjegil luas apabila ternampak Hanna ada bersama-sama Sofia.

“Kak Fida kata anak-anak akak ada dengan jiran akak?” soal Syima kepada Fida dengan wajah yang mencurigakan.

“Betullah. Jiran akak lah ni.” jawab Fida. Dia sudah tersipu-sipu malu dengan Syima yang tak tahu nak menjaga kenyaringan suaranya. Pada masa yang sama, Harris pun sampai bersama-sama Sufi.

“Mama! Mama!” jerit Sufi apabila melihat Fida. Fida terus bangun mendapatkan Sufi dari dukungan Harris.

“Macam mana dengan staff yang cedera tu?” soal Harris kepada Fida. Oleh kerana Fida berdiri begitu rapat dengan Harris untuk mengambil Sufi, barulah dia perasan betapa tingginya Harris berbanding dirinya. Ketinggian Fida hanya mencecah bahu Harris sahaja. Fida cuba sedaya upaya untuk tidak lagi bersentuhan dengan lelaki itu. Mengingatkan yang dia telah tersalah peluk tangan Harris tadi terus membuat muka Fida bertukar kemerahan.

“Diorang masih belum keluar. Masih di dalam. Kami tengah tunggu berita dari doktor.” Jawab Fida kepada Harris. Syima hanya memandang sahaja mereka berdua dengan pandangan yang mengusik. Tiba-tiba dia bangun mendekati mereka berdua.
“Ni sejak bila couple ni? Syim tak tau pun!” Syima tak semena-mena terus menyergah Fida dan Harris. Wajah Harris turut sama kemerahan menahan malu daripada usikkan Syima itu.

“Syim! Apa yang kamu merepek ni. Mana ada!” Fida berbisik dengan suara yang agak keras. Malu sungguh dia disergah begitu di hadapan Harris. “Dia jiran akak lah. Tadi Hanna datang buat kerja sekolah dengan Sofia. Sebab tu dia tolong drive ke sini. Dah, pergi duduk sana.” Arah Fida kepada Syima. Syima hanya tersengih-sengih kerana dimarah Fida dan terus berlalu ke tempat duduknya tadi.

“Maaf, Encik Harris. Syima tu memang tak tau malu sikit.” Kata Fida kepada Harris.

“Tak apa. Tu saya ada belikan burger untuk cikgu. Cikgu mesti lapar. Dah nak pukul 2 dah ni. Diorang semua dah makan dah dalam kereta tadi. Cikgu pun makanlah juga. sakit perut nanti, susah pulak.” Pesan Harris kepada Fida. Fida hairan dengan kata-kata Harris itu. Berbeza sungguh dia dengan Irwan.

Kalau dulu, Fida yang perlu fikirkan makan pakai Irwan. Tak kiralah Fida sedang buat apa atau dalam keadaan bagaimana, Fida mesti utamakan Irwan dan fikirkan kebajikan Irwan. Tetapi Harris tidak seperti itu. Dia telah uruskan makan minum anak-anaknya dan juga termasuk dirinya. ‘Lelaki, sebelum kahwin je kot perangai macam ni. Nanti lepas kahwin, sama saja macam perangai Irwan.’ Bisik hatinya.

“Cikgu! Cikgu Fida!” Harris meninggikan suaranya sedikit. Malu pula dia apabila Fida merenungnya tanpa henti sebentar tadi. “Cikgu okay tak ni?”
“Ah… ya… saya okay.” Jawab Fida dan terus berlalu ke tempat duduk berhampiran Syima. Dia mahu meletakkan Sufi di kerusi sebelah tetapi anak itu mula merengek-rengek. Sememangnya sekarang waktu tidur Sufi. Dia mahu terus duduk di ribaan Fida.

Memang benar Fida kelaparan. Perutnya berbunyi-bunyi meminta makan. Tetapi dia segan untuk makan di hadapan pekerja-pekerjanya itu.

“Akak lapar ker? Makan sajalah. Nanti gastrik lagi susah.” Syima turut mendengar keroncong perut Fida sebentar tadi. Fida terus sahaja membuka burger yang dibeli oleh Harris tadi dan terus makan. Tanpa dia sedar, Sufi sudahpun terlena di pangkuannya. Harris ternampak Sufi yang sudah tertidur. Dia bangun mendekati Fida.

“Cikgu, saya rasa saya bawa anak-anak balik dulu. Lama lagi ni kalau nak tunggu. Kesian pula kat diorang.” Harris menyuarakan pendapat. Lagi sekali Fida kerisauan. Apa betul lelaki ini mahu membawa pulang anak-anak untuk dijaganya sendirian di rumah?

“Tak apa ke, Encik Harris? Nanti ganggu pula Encik Harris nak rehat-rehat waktu-waktu macam ni.” Kata Fida yang berasa amat serba-salah. Tapi dia tidak boleh nak balik selagi dia tidak tahu keadaan pekerjanya yang tercedera itu tadi.

“Kenapa pula tak boleh? Tengok Sufi tu dah tidur pun. Tak selesa dia tidur duduk macam tu. Nanti cikgu pun sakit badan nak riba dia lama-lama.” Ujar Harris lagi.

‘Biar betul dia ni? Dah la diorang ni bukan anak dia pun. Betul ke dia nak jaga ni?’ Fida berfikir panjang untuk membuat keputusan. Bimbang sungguh dia.
“Biar saya angkat Sufi.” Kata Harris sambil menyeluk tangan ke saku seluar untuk mengeluarkan kunci kereta dan diserahkan kunci tersebut kepada Hanna. “Hanna, tolong pegang kunci ni. Nanti Hanna tolong buka pintu kereta. Papa nak angkat Sufi.” Pantas saja Harris bertindak. Kemudian dia tunduk untuk mengangkat Sufi. Di sebabkan Fida dalam keadaan duduk, Harris menunduk sehingga kepalanya berada benar-benar di hadapan muka Fida. Sudah lama Fida tidak berada sedekat itu dengan lelaki. Semenjak dia bercerai, kehidupannya sentiasa sendiri. Sekali lagi wajah Fida kemerahan menahan malu.

‘Cantik sungguh cikgu Fida ni. Muka malu dia ni lagi buat dia nampak cantik. Ayuuu jer.’ fikir Harris sendirian. Tanpa dia sedar, dia sedikit tersenyum dengan fikirannya itu. Syima ternampak senyuman Harris itu. Dia suka sungguh melihat Fida dan Harris. Dia boleh nampak keharmonian mereka berdua.

“Nanti bila semua dah selesai, cikgu call saya okay. Saya datang jemput.” Harris berpesan sebelum dia melangkah keluar daripada Unit Kecemasan bersama-sama Sufi ditangannya, Sofia dan Hanna yang berjalan di belakangnya.

“Kak Fida, baik sungguh jiran akak tu. Saya tengok dia sesuai sangat dengan akak. Cepatlah kak. Tunggu apa lagi?” kata Syima kepada Fida. Kali ini bukan niatnya untuk mengusik, tetapi dia benar-benar serius.

“Dah mula la dia tu.” Fida memberi amaran.

“Tak der, kak. Betul lah saya cakap ni. Akak nak lelaki macam mana lagi? Dah baik sangat dah tu. Handsome pula tu. Kalau lah saya kat tempat akak, saya mengorat terus. Tak kasi chance dah kat orang lain.” balas Syima dengan beria-ia sekali.

“Lelaki, Syim. Sebelum kahwin memanglah baik. Pijak semut pun tak mati. Lepas kahwin nanti, tengoklah. Gajah pun dia picit guna dua jari jer tau!” balas Fida menbangkang pendapat Syima itu. Kemudian Fida terkenangkan Irwan. Irwan dulu sebelum kahwin pun segala benda Fida mesti turutkan kemahuannya. Mesti mengikut jadualnya. Mungkin semasa bercinta, benda-benda remeh saja yang berlaku. Waktu keluar makan, pilihan kedai makan, pilihan pakaian semasa keluar berjumpa, semua perkara yang remeh. Waktu itu Fida tidaklah terasa ia terlalu membebankan. Tetapi Harris tidak begitu. ‘Aku baru kenal dia satu hari.’ Bisik Fida memberi amaran kepada dirinya sendiri. Matanya terjegil dan keningnya terangkat seoalah-olah dia sendiri boleh melihat wajahnya yang sedang memberi amaran.

Sedang dia termenung sendirian, telefonnya berbunyi. Terdapat mesej Whatsapp baru diterima.

Harris:
Kami dah sampai ke rumah. Sufi masih tidur. Mcm mana dengan staff? Doktor dah keluar?

Tanpa teragak-agak, Fida terus membalas mesej Harris.

Fida:
Doktor belum keluar. Kami masih tunggu kat sini. Terima kasih, En Harris. Maaf saya menyusahkan En Harris pulak hari ni.
Tidak lama kemudian, mesej baru diterima Fida.

Harris:
Tak susah pun. Anak-anak dah besar. Kalau baby, risau juga. :D. Panggil saya Harris saja. Kita kan jiran. Tak perlu formal sangat.

Fida tersenyum membaca mesej tersebut.

Fida:
Okay. Saya cuba balik secepat yang boleh. Maaf ya.

Fida cuba mengelak daripada menyebut nama Harris. Dia malu sendirian.

“Ni yang tersenyum-senyum sorang-sorang ni kenapa?” kata Syima apabila melihat perangai pelik majikannya itu. Tak pernah lagi dia tengok Fida tersenyum-senyum semasa bermain telefon. “Jiran hantar mesej cinta ker tu?” seloroh Syima tak serik-serik nak menyakat. Fida menyigung Syima sekuat mungkin.

Hampir jam 7 petang barulah selesai segala urusan. Urusan untuk X-ray yang membuatkan proses rawatan menjadi sedikit lambat. Fida sudah sedia maklum dengan prosedur di Hospital Awam. Tempat itu adalah tempat tumpuan. Bilangan pesakitnya begitu ramai manakala bilangan doktor pula adakala tidak mencukupi. Liza dan Suzi kedua-duanya cedera di tangan dan kaki. Mujurlah tiada tulang-tulang yang patah. Hanya sendi-sendi yang terseliuh dan luka-luka pada kulit luar merea. Mereka dibenarkan pulang serta-merta.

Setelah selesai semua rawatan, mereka pun beredar untuk pulang ke rumah masing-masing. Fida telah membayar semua kos rawatan yang dikenakan ke atas mereka berdua. Walaupun kecederaan mereka bukanlah dalam waktu bekerja, tetapi Fida sudah anggap mereka bagaikan keluarganya sendiri. Dia tiada keluarga lain untuk disayangi. Mereka umpama adik-adiknya sendiri.

“Kak Fida balik macam mana? Telefon jiran eh?” Fida menggeleng-gelengkan kepala. Tak kan pernah habis si Syima itu menyakatnya. Janganlah diberikan dia satu pun maklumat.

“Akak dan panggil Grab jer, Syim. Jangan macam-macam sangat ya.” Semasa di dalam Grab, Fida menghubungi Harris.

“Hello, Assalamualaikum.” Jawab Harris dengan tenang. Mungkin Harris hanya menjawab seperti biasa tetapi suara Harris itu yang menenangkan Fida. Dia sendiri tidak faham kenapa.

“Waalaikummussalam. Saya dah on the way nak balik dah ni. Boleh saya tau nombor rumah Encik Harris?” kata Fida. Dia masih kekok untuk terlalu bersahaja dengan lelaki itu.

“Eh, cikgu balik dengan apa? Kenapa tak call saja, saya datang jemput.” Soal Harris kepada Fida kehairanan.

“Saya ambil Grab saja. Tak apalah. Saya dah banyak menyusahkan Encik Harris. Ann…” belum sempat Fida meneruskan kata, Harris mencelah.

“Panggil saya Harris saja. Segan pula nak berencik-encik ni. Rasa macam dalam office pulak.” Pesan Harris sekali lagi. Tetapi Fida masih segan kerana Harris masih memanggilnya ‘cikgu’.

“Oh, maaf. Sufi dan Sofia tengah buat apa? Boleh minta diorang bersedia? Sekejap lagi saya sampai terus ambil diorang.” Soal Fida. Harris melihat jam di dinding. Sudah hampir 8:30 malam.

“Macam ni, cikgu balik rumah dulu. Mandi dan solat. Kejap lagi saya datang bawa anak-anak, kita pergi makan. Sekarang ni dah lewat. Nak masak pun mesti dah tak larat. Nanti cikgu dah ready, mesej saya. Saya datang jemput kat rumah cikgu.”

Benar apa yang dikatakan oleh Harris. Fida juga sudah keletihan. Dia tidak mampu lagi untuk menolak pelawaan Harris. Dia hanya ingin segera baring di katilnya dan mengakhiri hari yang panjang hari itu. Semasa Fida selesai mandi, azan Isyak sudah pun berkumandang. Terus sahaja dia mengerjakan solat. Fikirnya, nanti balik selepas makan, boleh saja dia terus tidur. Letih sungguh badannya waktu itu.

Malam itu, sekali lagi mereka keluar bersama-sama. Mereka duduk di satu meja untuk makan malam bersama-sama. Suasana sebegitu sudah lama tidak dirasai oleh mereka semua. Tanpa mereka sedari, muncul satu perasaan tenang dan senang di hati masing-masing dengan kehadiran setiap insan yang berada di meja itu. Harris duduk bersebelahan dengan Hanna. Sofia pula di hujung meja sebelah Hanna. Fida duduk di hadapan Hanna dan di sebelahnya pula adalah Sufi.

Hanna dan Sofia berasa sungguh gembira malam itu. Mereka sungguh tidak menyangka dapat keluar bersama-sama sebegitu bersama Harris dan Fida. Disebabkan Fida sibuk melayan Sofia dan Hanna meminta itu ini, dia tidak perasan Sufi sedang meminta air. Tiba-tiba, satu ayat yang keluar daripada mulut mungel Sufi membuat semua orang terpana.

“Papa… nak aaair…”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience