~ 13 ~

Family Completed 8882

Selepas selesai makan malam, Taufik duduk berehat di ruang tamu rumahnya. Di hadapannya terpasang sebuah drama bersiri Inggeris di televisyen. Tetapi fikiran tidak tertumpu kepada televisyen langsung. Dia teringat pertemuannya dengan Fida semasa pendaftaran Tahun 1 tempoh hari. Setelah mendapat borang maklumat waris, sengaja dia mencari dokumen wanita itu. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati Fida sekarang adalah seorang ibu tunggal.

‘Macam mana orang yang lemah lembut dan baik macam Fida boleh diceraikan? Lelaki jenis mana yang jadi suami Fida? Takkan lah masih dibuli walaupun dah besar?’ fikir Taufik sendirian. Lima belas tahun hidup bersama dengan gadis itu di Rumah Impian, dia tahu benar sifat Fida. Sering kali dia terpaksa ke depan untuk membela gadis itu apabila dibuli. ‘Khalid. Masih barankah lagi perangai dia sekarang?’ nama itu tiba-tiba muncul dibenaknya. Entah berapa kali badan Taufik lebam kerana menerima sepak terajangnya. Tetapi Khalid juga turut ada parut hasil tumbukan padu Taufik ke muka dan badannya. Dan akhirnya, Taufik dan Khalid lah yang akan didenda ibu Zahra, penjaga Rumah Impian itu.

“Hai abang, termenungkan apa tu? Tembus dah tv tu saya tengok.” Lamunan Taufik terhenti dengan suara manja isterinya, Adalia. Taufik berpaling kepada Adalia dan merenung wajah isterinya yang telah pun melabuhkan punggungnya rapat di sebelah Taufik. Kepala Taufik masih ligat memikirkan ayat terbaik untuk dia memulakan cerita tentang Fida.

“Dalia…” panggil Taufik dengan lembut. Tangannya diletakkan di bahu Adalia. Jemarinya mengusap bahu Adalia perlahan-lahan. Adalia berpusing memandang Taufik. “Dalia ingat lagi tak tentang perempuan yang abang minta Dalia carikan dulu?” Adalia pernah bertugas di Rumah Impian tidak lama dahulu.

Lebih kurang 7 tahun selepas Taufik meninggalkan rumah itu, dia kembali untuk mencari Fida. Namun nasibnya agak malang kerana pada waktu itu, Fida juga telah meninggalkan Rumah Impian.

“Fida Alia tu ker?” soal Adalia. Mana mungkin Adalia mampu melupakan nama itu. Kerana nama itulah, dia bertemu jodoh dengan suaminya, Taufik. Dan kerana nama itulah, hidup Adalia sentiasa dikejar bayang-bayang. Bayang-bayang Fida seolah-olah sentiasa mengekori Adalia. Dia seringkali bimbang suatu hari nanti, Fida Alia akan muncul dalam ceritera cinta dia dan Taufik. Dan malam ini, Taufik membangkitkan nama itu. Adalia jadi tidak keruan.

“Ya. Abang berjumpa dengan dia bulan lepas.” Cerita Taufik jujur. ‘Biar aku berterus-terang saja dari awal. Let’s pray that she can handle the truth.’ Tetapi sebaik sahaja ayat itu diucap, tubuh Adalia menjadi kaku. Matanya hanya memandang tepat ke arah televisyen. Tetapi Taufik yakin bukan tayangam drama itu yang dilihat Adalia.

“Abang jumpa dia kat mana?” soal Adalia menyembunyikan keresahannya. Dia cuba berlagak bersahaja tetapi Taufik tahu isterinya agak terganggu dengan berita itu. Dia mengemaskan rangkulan tangannya di bahu Adalia.

“Di sekolah. Dia datang daftar anak sulungnya di kelas abang.”

“Dia datang dengan suaminya sekali?” dia tahu Fida sudah berkahwin. Dek kerana perkahwinan Fida itulah hubungannya dengan Taufik semakin akrab. Adalia fikir, mungkin Taufik telah sedar bahawa Fida sudah pun terlepas daripada genggamannya. Fida sudah menjadi milik orang lain menyebabkan Taufik beralih kasih kepadanya.

Tetapi apa yang Fida tidak faham adalah Taufik berasa lega yang amat sangat apabila mengetahui Fida sudah berkahwin. Sudah ada orang lain yang mampu menjaga, membela dan menyayangi Fida lebih daripada apa yang mampu dia lakukan. Fida adalah gadis yang terlalu baik bagi Taufik.

“Dia datang sendirian.” Taufik menarik nafas panjang. ‘The hardest part is about to come.’ Bisik hatinya. “Fida sekarang single mother.” Ujar Taufik agak perlahan. Dia berharap Adalia tidak terlalu berasa insecure dengan apa yang cuba disampaikannya sekarang.

“Abang sempat bersembang panjang dengan dia, ya?” soal Adalia menguji kejujuran suaminya. Tiba-tiba, seluruh badannya bagaikan menggigil kesejukkan. Dia bagaikan ketakutan. Dia takut kehilangan suaminya yang tercinta. Dalam keadaan dirinya yang masih belum mampu memberikan zuriat kepada suaminya walaupun mereka sudah berkahwin selama empat tahun lamanya, segalanya mungkin. Dia bimbang suaminya akan menggunakan alasan itu untuk mencari yang baru. Dan saat sekarang ini, mungkin juga kembali kepada yang dulu.

“Tak. Abang sibuk uruskan budak-budak. Dia pun kelam-kabut sahaja mahu pulang. Mahu uruskan pendaftaran di tadikanya juga katanya.” Taufik tidak mahu berselindung dengan isterinya. Dia tahu situasi ini agak genting.

“Habis, macam mana abang tahu yang dia sudah tak ada suami?” uji Adalia. ‘Bagaimana abang boleh dapat maklumat dengan begitu terperinci jika mereka tidak bertukar cerita? Jangan-jangan dalam tempoh sebulan ni mereka sempat keluar berjumpa di luar.’ Bisik suara jahat di benar Adalia.

“Borang maklumat murid. Kan anaknya masuk ke kelas abang. Jadi, abang tengoklah maklumat dalam tu. Bahagian maklumat bapa dia hanya isi tidak berkenaan. Abang pun tak pasti mereka bercerai hidup atau mati. Tiada pula sijil kematian yang dia bagi.” Terang Taufik kepada isterinya. Dia sebolehnya mahu mengelak sebarang salah faham. Dia tahu status Fida sangat sensitif kepada mereka.

‘Astaghfirullahal adzim…’ Adalia beristighfar panjang. ‘Adalia, jangan terburu-buru. Dengar dulu apa yang abang nak bagitahu. Engkau jangan nak menakutkan diri sendiri!’ Adalia berpesan-pesan kepada dirinya sendiri. Kebimbangan dalam dirinya terlalu menebal. Dia berasa dirinya serba kekurangan apabila dia masih lagi tidak mengandung walaupun pelbagai cara telah dilakukannya. Hendak pergi brubat dengan doktor pakar, faktor kewangan pula yang menjadi penghalang.

“Maknanya sekarang ni Fida pun tinggal di kawasan-kawasan kita ini jugalah ya, abang?” soal Adalia cuba menolak resah di dadanya dan berbual dengan hati yang lebih terbuka.
“Dekat borang tu, dia tulis alamat rumahnya di Taman Bayu Fasa V. Alamat tadikanya pula di Fasa IV. Maksudnya rumah dia area berdekatan dengan masjid besar tu lah agaknya.” Taufik cuba membayangkan kawasan kejiranan Fida. Setahu dia, Fasa V itu adalah kawasan yang lebih elit. Kawasan perumahan berpagar yang dilengkapi dengan pengawal keselamatan.

“Wah, kawasan perumahan mewah sikit tu kan? Gated area tu?” Taufik hanya menganggukkan kepalanya. Sekurang-kurangnya, keselamatan Fida lebih terjamin apabila tinggal di kawasan begitu. Tambahan pula dengan situasinya sebagai ibu tunggal.

“Abang sebenarnya teringin nak berbual dengan Fida. Nak tau apa yang terjadi kepada dia. Abang ingin tahu, bagaimana hidupnya selepas dia meninggalkan Rumah Impian.” Mungkin dia sudah terbiasa melindungi Fida sepanjang umur mudanya membuatkan Taufik terbawa-bawa hingga sekarang. “Tapi…” Taufik memusingkan badan mengadap isterinya. “Abang tak mahu berjumpa dengannya sendirian. Apa kata, kalau kita ajak dia datang ke rumah? Abang nak kenalkan dia kepada isteri abang yang cantik manis ni.” ujar Taufik sambil memicit perlahan dagu Adalia.

Adalia berfikir sejenak. Dia merenung wajah suaminya. ‘apa sebenarnya rancangan abang ni?’ fikirnya sendirian. “Okay. Bila tu?” soal Adalia.

“Apa kata hujung minggu ni?” jawab Taufik dengan sedikit teruja.

‘Wah, seronoknya dia nak jumpa kekasih lama.’ Bingkas hati Adalia. Sakit pula hatinya melihat wajah ceria suaminya itu. “Okay. Abang call dia dulu tanya. Nanti dah confirm, bagi tahu Dalia. Boleh Dalia masak yang special sikit untuk tetamu istimewa abang tu.” Jawab Adalia sambil bangun daripada sofa.

“Tetamu istimewa kitalah, Dalia. Kenapa abang seorang saja pula? Nak ke mana pula tu?” soal Taufik agak kuat apabila melihatnya isterinya hanya bangun meninggalkannya.

“Masuk tidur.” Jawapan Adalia menyebabkan Taufik melangut mencari jam.

‘Baru 9:30. Tidur apa waktu ni?’ fikir Taufik. ‘Merajukkah? Kecil hati?’ Taufik mencapai alat kawalan jauh televisyen dan terus menekan butang kuasa. Dia lantas bangun mengikuti Adalia masuk ke dalam bilik. Pintu tidak bertutup tetapi Taufik berhenti berdiri di hadapan pintu. Diketuk pintu itu perlahan sebanyak tiga kali, kemudian dia berkata, “Assalamualaikum, isteri abang. Boleh abang masuk?”

Adalia yang sedang baring di katil sambil membelakangi suaminya tersenyum simpul. Dia tahu Taufik sengaja mengulang perbuatannya ya ng sama seperti pada malam perkahwinan mereka. Dia bangun dari baringannya, mencapai sebiji bantal kecil yang berada di atas wing chair berhadapan dengannya, dan membaling bantal itu kepada suaminya.

Taufik menangkap bantal itu dan terus berlari ke atas katil dan terus menerpa Adalia. Adalia sedikit menjerit dan terus tertawa besar. Hatinya bahagia dilayan sebegitu oleh Taufik setiap masa. ‘Ya Allah, kau panjangkanlah jodoh kami hingga ke Syurga. Kau peliharalah kebahagiaan kami sampai bila-bila.’ Adalia memanjatkan doanya di dalam hati.

Keesokkan paginya, Taufik mendail nombor telefon Fida. Talian diangkat selepas beberapa deringan.

“Hello.” Taufik terdengar suara lembut Fida di hujung talian.

“Assalamualaikum, Fida. Abang Taufik ni.”

“Waalikummussalam, abang.” Mendengar suara Taufik ditelefonnya, ceria sebentar perasaan Fida. “Abang sihat?”

“Alhamdulillah. Fida, abang nak jemput Fida dan anak-anak datang ke rumah abang hujung minggu ni. Free tak?” hilang serta-merta senyuman di wajah Fida. Mendengar perkataan ‘Fida dan anak-anak’ membuatkan Fida sedikit kaget. Bagaimana Taufik tahu yang dia sudah tidak mempunyai suami. Tak mungkin Sofia ada menceritakan apa-apa kepadanya. Sofia bukanlah jenis yang terbuka untuk bercerita. Tambahan lagi isu berkenaan ayahnya.

“Mmm… macam mana abang tahu Fida hanya tinggal dengan anak-anak?” soal Fida sedikit resah.

“Kan Fida isi dalam borang maklumat waris tu. Borang tu kana da dengan abang.” Taufik memberi penjelasan.

“Oh ya. Betul. Betul.” Fida tertawa kecil. “Bila abang jemput Fida? Hujung minggu ni?” soal Fida kembali kepada tajuk perbualan asal.

“Ya, itu pun kalau Fida free lah.” Jawab Taufik beralas. Tetapi dia amat-amat berharap Fida dapat datang.

“Hujung minggu ini, mentua Fida nak datang dari kampung…”

“Mentua? Tapi Fida kan single mother?” Taufik mencelah tiba-tiba. Hairan dia dengan istilah ‘mentua’.

“Mak ayah bekas suami Fida. Mereka nak datang jumpa cucu-cucu. Walaupun Fida dah bercerai dengan bekas suami, hubungan Fida dengan mak ayahnya kan tak terputus. Mereka masih mak ayah Fida juga.” jelas Fida.

“Oh, ya. Betul lah tu.” Jawab Taufik ringkas. “Jadi minggu ni tak dapatlah ya? Kalau minggu depan?” soal Taufik lagi mencuba nasib. Dia amat-amat ingin berbual panjang dengan Fida Alia.

“Apa kata… kalau abang saja yang datang ke rumah Fida?” cadang Fida.

“Tak apakah? Mentua Fida kan ada?” Taufik sedikit segan jika ada orang asing nanti.

“Tak ada masalah, lah. Boleh saja.” Jawab Fida dengan yakin. Sama seperti Taufik, dia amat ingin berjumpa dan berbual panjang dengan Taufik. Sejak pertemuan mereka di sekolah dahulu, dia sentiasa tertunggu-tunggu panggilan daripada lelaki itu. Dia agak hairan mengapa lelaki itu mengambil masa lebih sebulan untuk menghubunginya.

Seperti yang dijanjikan, pada petang Jumaat itu, Asmah dan Roslan sampai ke rumah Fida. Mereka masih ingat lokasi rumah Fida. Apabila sampai sahaja di rumah Fida, Sofia dan Sufi menjerit-menjerit menyambut kehadiran atuk dan opah mereka. Seronoknya hati Sofia bukan kepalang. Seronok lagi Fida melihat keletah anak-anaknya itu.

“Atuk dah sampai… opah dah sampai… atuk dah sampai… opah dah sampai…” nyanyian Sofia dan Sufi berulang-kali. Selagi atuk dan opahnya belum masuk ke rumah mereka, selagi itulah mereka menyanyi.

Fida mengekori anak-anaknya keluar menjemput Asmah dan Roslan yang baru memberhentikan kereta.

“Assalamualaikum… semua cucu-cucu opah!” kata Asmah dengan girang. Wajah Roslan juga tak habis-habis tersenyum ceria. Hilang penatnya memandu jauh-jauh sebentar tadi. Sufi dan Sofia terus memeluk Asmah.

“Sufi, Sofia, salam dengan opah. Salam dengan atuk.” Arah Fida kepada anak-anaknya. “Mak sihat?” sapa Fida sambil menyalami ibu mentuanya.

“Sihat, Alhamdulillah.” Dia tidak sempat nak berbual apa pun lagi dengan Fida. Sufi dan Sofia sudah sibuk menarik tangannya mengajak untuk masuk ke dalam rumah.

“Ayah…” Fida menyalami bapa mentuanya pula. “Jalan okay tadi, ayah?”

“Okay saja. Kami keluar awal tadi. Pukul 7 sudah keluar rumah. Sarapan pun di kedai saja tadi. Mak kamu tu tak sabar-sabar nak jumpa Sufi dan Sofia.” Cerita Roslan panjang lebar. Hakikatnya, dia juga sudah tidak sabar mahu berjumpa menantu dan cucu-cucunya. Hubungan mereka mesti diperbaiki. Dia tidak boleh lagi membiarkan perkara ini berlanjutan.

“Jom masuk ke dalam, ayah. Biar saya angkat begnya ya.” Ucap Fida sambil menjenguk ke dalam kereta mencari bagasi. Asmah sudah terlebih dahulu masuk ke dalam rumah. Sufi dan Sofia sibuk menunjukkan itu dan ini kepada opahnya. Teruja sungguh mereka berdua.

Setelah Fida dan Roslan sampai ke ruang tamu, bapa mentuanya pula menjadi sasaran Sufi dan Sofia bercerita itu dan ini. Seronok benar mereka melayan cucu-cucu mereka itu. Fida segera melangkah ke bilik tamu dan meletakkan bagasi mentuanya di situ. Mujurlah bilik tamu berada di tingkat bawah. Tidaklah orang tuanya perlu bersusah payah memanjat tangga naik ke atas. Kemudian, Fida terus menghidangkan bihun goring yang dibuatnya sebentar tadi.

“Mak, ayah, jemputlah makan dulu. Ada bihun goring sikit ni. Sufi, Sofia, mari sini ajak atuk dan opah makan sekali.” Kata Fida kepada semua yang ada di situ.

“Jom, atuk!” kata Sufi sambil menarik tangan atuknya.

“Jom, opah!” Sofia pula menarik tangan opahnya. Mengikut sajalah kedua orang tua Fida. Meriah sungguh rumahnya hari itu. Riuh-rendah dengan suara Sufi dan Sofia memanggil-manggil opah dan atuknya. Mengumpan perhatian Asmah dan Roslan kepada mereka.

Hujung minggu itu, kehidupan harian Fida berbeza sungguh dengan hari-hari sebelumnya. Apabila di dapur, emak mentuanya datang duduk bersama. Dia mahu tolong memasak tapi di haling oleh Fida. “Mak teman Fida berborak ya. Biar Fida yang masak untuk mak. Nanti mak rasa, sedap ke tidak Fida masak.” Itu saja alasan yang dia beri. Dia tidak mahu menyusahkan ibu mentuanya itu.

Waktu makan lagilah meriah. Tak menang tangan dia nak layan kerenah Sufi dan Sofia yang bertambah-tambah manjanya di hadapan atuk dan opah. Di sebelah malamnya pula, mereka semua solat maghrib berjemaah berimamkan Roslan. Kemudian, Sufi dan Sofia duduk dihadapan atuk dan opahnya sama-sama mengaji. Sufi baru nak belajar-belajar mengenal huruf. Sofia pula sudah pun memulakan bacaan di dalam Al-Quran.

Sementara mereka sibuk mengaji, Fida mengambil kesempatan untuk menghidangkan juadah makan malam untuk mereka sama-sama makan sekejap lagi. Selesai solat Isya’ berjemaah, barulah mereka sama-sama ke dapur untuk makan malam. Selesai makan, mereka semua berehat-rehat sebentar di hadapan televisyen. Sambil minum kopi o panas, Roslan dan Asmah terpaksa melayan cerita kartun Sufi dan Sofia. Bila diminta menukar siaran, jawab Sofia, “Sofia nak tunjuk kat opah kartun favourite Sofia.” Fida hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.

Malam itu, Sufi tertidur diribaan Asmah. Sofia meminta izin untuk tidur bersama-sama atuk dan opah di bilik tamu tetapi dihalang Fida. Dia mahu mentuanya mendapat rehat yang cukup. Pastinya mereka cukup letih melayan kerenah cucu-cucunya seharian hari ini. Biarlah mereka tidur dengan selesa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience