Sudah hampir sebulan Fida melayari hidup sendirian. Tidak ada banyak perbezaan baginya antara hidup sebagai seorang isteri kepada Irwan berbanding ibu tunggal. Irwan lebih banyak masa yang diluang di luar. Kerja dan kawan-kawan adalah perkara utama baginya. Perihal rumah tangga diserahkan bulat-bulat kepada Fida. Bezanya sekarang, dia hanya perlu fikirkan tentang keperluan anak-anaknya sahaja. Dan hal itu bukanlah sesuatu yang susah.
“Mama, mana abah?” sesekali soalan ini muncul juga dari mulut si comel Sofia. Sufi masih terlalu kecil untuk mengingati kehadiran ayahnya.
“Abah dah tak tinggal dengan kita lagi. Abah dah pergi jaaaaaa…uh sangat.” Jawab Fida. Apalah yang Sofia faham tentang perceraian suami isteri.
“Bila abah nak balik, mama?” soalnya lagi. Sudah 5 tahun usia anak itu. Sudah 5 tahun dia hidup dengan kehadiran seorang ayah. Rindu itu pasti ada.
“Mama pun tak tau. Nanti kalau abah balik, mama bagitahu Sofia yer?” pujuk Fida.
“Okay, mama.” Sofia berlalu pergi mendapatkan adiknya. Tidak lama selepas itu, terdengar lah suara Sufi menjerit-jerit disakat kakaknya.
Fida bertuah kerana mempunyai tadika sendiri. Jadi anak-anaknya sentiasa ada bersama-sama dengannya. Sekiranya dia perlu keluar, pekerja-pekerjanya mampu menjaga anak-anaknya dengan selamat.
Future Star merupakan sebuah tadika swasta yang diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Disebabkan rekod pencapaian yang cemerlang dari segi akademik murid dan juga pengurusan, pendaftaran Future Star setiap tahun sentiasa penuh. Ada waris yang meminta agar Fida membuka satu lagi cawangan. Tetapi buat masa sekarang, ada perkara yang lebih penting untuk Fida titik beratkan.
Kehidupan peribadinya belum lagi stabil. Dia tidak mahu kesibukkan kerjaya menyebabkan anak-anaknya terabai. Dia hanya ingin hidup secara sederhana tetapi gembira. Ada juga masa-masa tertentu membuatkan Fida terfikir alangkah baiknya jika dia mempunyai suami.
Pernah berlaku pada suatu hari Sofia demam panas. Suhu badannya tiba-tiba naik mendadak. Memandangkan waktu itu sudah jam 3 pagi, tiada sesiapa yang dapat Fida mohon bantuan. Fida terpaksa membawa kedua-dua anaknya ke Unit Kecemasan Hospital. Sofia terlalu lemah untuk berjalan manakala Sufi pula sedang nyenyak tidur.
Fida terpaksa meletakkan kedua-dua putera-puterinya di dalam satu kereta sorong bayi dan menyorong mereka dari kawasan parkir ke kaunter pendaftaran. Sufi sudah meraung-raung kerana tidurnya terganggu. Sofia pula sudah mula muntah-muntah. Fida hanya mampu menangis kerana dia tidak tahu yang mana yang perlu dia dahulukan. Mujurlah ada seorang jururawat yang ternampak keadaan Fida dan terus datang kepadanya.
“Kenapa ni, puan?” soalnya terlebih dahulu.
“Nurse, anak saya Sofia demam panas. Muntah-muntah.” Jawab Fida. Sebelah tangannya mendukung Sufi dan sebelah lagi sedang menggosok-gosok belakang Sofia.
“Sudah berapa hari dia demam?” pantas sahaja jururawat itu mengambil bacaan suhu badan Sofea.
“Baru malam ni suhu naik tinggi macam ni.”
“Puan bawa MyKid anak?” soal jururawat itu lagi. Fida hanya mengangguk dan mencapai tas tangannya di dalam kereta sorong. “Puan daftar dulu di kaunter, biar saya bawa Sofia ke dalam bilik rawatan.
“Terima kasih, nurse. Terima kasih banyak-banyak.” Fida kembali tenang dan terus ke kaunter pendaftaran. Sufi juga sudah kembali tertidur di bahu Fida.
Apabila selesai, Fida terus menerpa masuk ke dalam bilik rawatan. Tetapi langkahnya ditahan doktor pula.
“Puan cari siapa?” soal doktor itu agak keras.
“Anak perempuan saya Sofia. 5 tahun. Dia demam panas.” Jawab Fida dengan pantas.
“Anak lelaki ni demam juga?” soal doktor itu kembali.
“Tidak, doktor.”
“Kalau begitu, baby tunggu di luar. Puan seorang sahaja yang masuk.” Arah doktor itu lagi.
“Tapi doktor, saya datang sendirian. Siapa nak jaga dia di luar?” tiba-tiba dia terdengar suara anaknya Sofia menangis-nangis memanggil namanya. “Sofia!” terkeluar nama anaknya.
“Kenapa puan datang sendiri? Baby memang tak boleh masuk ke dalam Emergency Room kalau tak sakit. Bahaya untuk dia. Dalam bilik ni, kita tak tahu berapa banyak jenis kuman yang ada.” Marah doktor itu lagi. Tiba-tiba, jururawat yang membantunya sebentar tadi keluar dari salah satu bilik dan terserempak dengan Fida.
“Doktor, anak perempuan dia; Sofea saya letakkan dalam bilik C. Bilik sana kosong. Jadi dia boleh tunggu bersama baby dia kat dalam tu. Boleh tak, doktor?” jururawat tadi memberi saranan kepada doktor muda itu.
“Ah, boleh lah. Boleh lah. Lain kali jangan datang seorang diri kalau bawa anak ramai-ramai.” Pesan doktor itu dan berlalu pergi.
“Terima kasih, doktor.” Fida sudah tidak kisah dengan pesanan itu. Tak perlu untuk dia cerita panjang-panjang. Anaknya lebih penting. “Nurse, mana anak saya?” jururawat tadi membawa Fida dan Sufi masuk ke Bilik C yang dimaksudkan. Di situ, Sofia terbaring lemah sambil meraung-raung.
“Terima kasih banyak-banyak, nurse. Semoga Allah memudahkan urusan awak jugak nanti.”
Fida menyorong Sufi yang sedang nyenyak lena di dalam kereta sorongnya ke tepi. Dia pergi mendapatkan Sofia. Apabila Sofia nampak sahaja ibunya, dia kembali tenang. Gugur air mata Fida ketika itu. Mujurlah Allah menghantar bantuan kepadanya seorang jururawat yang sangat perihatin dengan keadaan. Setiap kali ada kakitangan yang baru masuk ke bilik itu, setiap kali itulah dia terpaksa menjawab kenapa ada bayi yang sedang tidur di atas kereta sorong.
Sejak daripada kejadian itu, Fida berusaha untuk mencari satu klinik swasta 24 jam yang lebih mesra pesakit dan kurang sibuk. Apa sahaja masalah kesihatan, Fida akan terus ke sana sahaja. Dan sekiranya dia yang sakit, hal itu akan menjadi lebih rumit. Dia terpaksa memanggil kenderaan e-hailing untuk membawa mereka ke klinik. Tetapi Fida tetap bersabar dan berdoa agar Allah permudahkan urusan hidupnya bersama-sama Sofia dan Sufi.
Share this novel