~ 18 ~

Family Completed 8882

“Hai, Kak Fida…” Syima tiba-tiba menjengah ke pintu pejabat Fida di Future Star.

“Hai, Syim…” balas Fida senada.

“Busy ke tu?” soal Syima bersahaja.

“Biasa ja. Ada apa? Dah nak balik dah ker?” soal Fida pula. Dia mengerling kepada jam di tangannya. Baru 4:50 petang. Anak-anak asuhan pun belum habis pulang lagi waktu itu.

“Eh, bukan. Hari Sabtu nanti kami plan nak pergi test wall climbing yang baru buka tu. Kak Fida nak join?” pelawa Syima kepada Fida. Dia tahu Fida jarang sangat keluar bersosial. Nak keluar makan-makan dengan mereka pun Fida susah nak ikut. Alasan Fida takut Sufi dan Sofia ganggu plan mereka. Fida faham sangat dengan plan anak-anak muda. Mula-mula nak pusing shopping mall, lepas tu nak makan-makan, lepas tu nak tengok wayang, lepas tu minum-minum pula… lepas satu, satu aktiviti yang mereka nak buat. Pastinya anak-anak sekecil Sufi dan Sofia tak mampu nak ikut jadual program yang sebegitu.

“Tak apa lah, Syim. Korang sajalah yang pergi. Hujung minggu, akak nak relax kat rumah je dengan anak-anak.” Jawapan Fida sudah pun Syima jangkakan.

“Betul ni? Tak menyesal?” Syima masih cuba memancing keinginan Fida.

“100%!” jawab Fida dengan penuh yakin.

“Hurm, ye lah. Sampai bila lah agaknya akak ni nak anti-sosial. Lambat laaa nak jumpa jodoh.” Syima berkata dengan kuat sambil berlalu pergi. Fida hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. ‘Ada-ada saja lah budak Syima ni.’

Sejak sebulan yang lalu, Hanna telah berpindah pusat jagaan ke Future Star. Dia sangat seronok dapat bersama-sama dengan Sofia. Pulang dari sekolah, mereka akan mandi, solat Zohor dan makan tengahari. Kemudian, mereka akan tidur sebentar. Sebelum Asar, Syima akan kejutkan semua anak-anak asuhan untuk bangun dan mandi. Masa yang terluang selepas itu, Hanna dan Sofia gunakan untuk menyiapkan kerja sekolah mereka dengan bantuan Fida.

“Sofia, mujurlah saya datang ke Future Star ni. saya boleh siapkan semua kerja saya sebelum balik. Jadi malam-malam saya boleh tengok TV.” Kata Hanna kepada Sofia.

“Best kan kat sini? Saya pun lagi seronok awak datang sini. Kalau tidak bosanlah saya nak tunggu mama siapkan semua kerja dia dulu, baruuulah boleh balik rumah.” Cerita Sofia pula.

“Tapi kamu kat rumah pun mesti seronok. Ada mama, ada adik. Mesti meriahkan? Rumah saya sunyi. Papa tu kalau dah mengadap kerja, dia lupa saya kat sebelah tau. Hujung minggu, lagiiii lah bosan.” Kata Hanna pula. Mereka seakan berlumba-lumba cerita hidup siapa yang lebih membosankan.

“Apa kata kamu jadi anak angkat mama saya? Boleh lah kamu datang tidur rumah saya waktu papa pergi out station.” Cadang Sofia kepada Hanna.

“Anak angkat?” soal Hanna keliru.

“Alah… macam dalam TV tu… saya tengok, bila orang tu jadi anak angkat, dia macam jadi anak sendiri jugak lah. Betul! Ada dalam cerita kat TV.” Cerita Sofia dengan bersungguh-sungguh.

“Macam tu ker? Macam best saja. Jadi bila hujung minggu, saya tak payah ikut papa lagi. Saya boleh tinggal dengan kamu. Sebab saya dah jadi anak angkat mama kamu, kan?” tanya Hanna meminta kepastian.

“Betul! Kamu pun boleh panggil mama saya ‘mama’. Sebab kamu kan dah sama macam anak sendiri.” Terang Sofia lagi kepada Hanna. Hanna sudah semakin teruja untuk jadi ‘anak angkat’ Sofia.

“Wah, kiranya nanti saya ada mama lah kan? Lepas tu, papa saya kira macam papa awak jugak tak?” soal Hanna kembali.

“Ermm… saya tak pasti lah. Sebab dalam cerita tu, dua-dua mak ayah budak tu dah mati.” Jawab Sofia.

“Oh, ya kah. Tak apa. Nanti saya tanya papa saya.” Jawab Hanna dengan penuh pengharapan. Dia berharap sangat Harris bersetuju dengan permintaannya kali ini.
Selesai kerjanya, Fida keluar ke laman tadika. Sekali-sekala dia perlu memantau susun atur barangan dan peralatan di seluruh kawasan tadika itu. Selain daripada memantau kerja-kerja anak buahnya, adakala dia mencari idea-idea baru untuk menambahkan keceriaan Future Star. Bak kata J. K. Rowlings, “First good impression can work wonders.”

“Assalamualaikum, Puan Fida.” Tiba-tiba satu suara menegurnya. Fida segera menoleh ke belakang.

“Waalaikummussalam. Oh, hai Encik Harris. Sekejap saya panggilkan Hanna.” Ujar Fida kepada Harris. Harris hanya mengangguk perlahan. Harris berasa agak selesa setelah Hanna berpindah ke situ kerana dia tidak lagi perlu terkejar-kejar untuk keluar tengahari menjemput Hanna di sekolah untuk dihantar ke Day Care. Dia yakin dengan perkhidmatan van Future Star. Lagipun Sofia sendiri pun menaiki van tersebut.

“Papa!” belum pun sempat Fida masuk ke dalam, Hanna sudah pun menjengah di muka pintu. Sofia turut ada bersama dengannya.

“Hai… jom balik. Salam cikgu.” Arah Harris kepada Hanna.

“Papa, boleh tak petang nanti Hanna nak pergi rumah Sofia?” ujar Hanna di hadapan Harris dan Fida.

“Eh, nak buat apa?” soal Harris kembali. Dia terkejut dengan permintaan anaknya yang datang tiba-tiba itu. Dia mengangkat pandangannya memandang Fida. Dia ingin melihat reaksi wanita itu. Tetapi wanita itu hanya tersenyum manis memandang Hanna.
“Saja. Nak pergi main. Boleh lah papa…” pujuk Hanna lagi. Harris serba salah nak menjawab di situ. Nak diizinkan, takut Fida tak setuju.

“Tak payahlah. Nanti Cikgu Fida balik rumah pun pasti dah penat. Hujung minggu saja. Itu pun kalau cikgu izinkan lah. Tanyalah Cikgu Fida dulu.” Jawab Harris.

“Boleh kan mama kalau Hanna nak datang hari ni?” soal Sofia pula kepada Fida cuba membantu sahabatnya.

“Kan papa dia dah bagi tahu, hujung minggu saja.” Jawab Fida kepada Sofia.

“Promise, hujung minggu ni Sofia boleh main dengan Hanna?” suara Sofia begitu teruja.

“Mama okay je.” Balas Fida kepada Sofia. Mereka sama-sama memandang Harris.

“Papa tak pergi out station ke minggu ni?” soal Hanna pula. Selalunya, mereka jarang sangat lekat di rumah waktu hujung minggu. Harris hanya menggelengkan kepalanya. “Yes! Sofia, hari Sabtu nanti saya datang rumah kamu yer.” Mereka berdua sudah tersengeh-sengeh sampai ke telinga. Seronok sangat boleh main bersama.

“Seronoknya dia! Tak cukup lagi kah main dari pagi sampai ke petang, dari hari Isnin sampai Jumaat?” soal Harris lagi. Hairan dia dengan budak berdua itu.

“Tak susahkan Puan Fida ke nanti? Takut anak saya ni kacau pulak waktu-waktu rehat puan.”

“Oh, tak ada masalah lah. Okay ja. Saya pun tak ada ke mana pun.” jawab Fida jujur. “Encik Harris selalu ke outstation?” soal Fida. Dia tahu Harris hanya tinggal berdua dengan anaknya itu.

“Selalu, cikgu! Kesian kat saya. Asyik kena ikut papa.” Pantas saja Hanna menjawab soalan Fida.

“Ish, jangan menyampuk cakap orang tua-tua. Tak baik!” tegur Harris kepada Hanna. Naik segan pula apabila Hanna boleh bersikap bersahaja di hadapan Fida. “Biasalah, Puan Fida. Kerja kilang macam ni lah. Ikut saja arahan boss.” Jawab Harris berlapik.

“Habis, Hanna tinggal dengan siapa?” soal Fida lagi.

“Selalunya saya bawa ja dia sekali. Tapi kalau mak ayah saya atau adik saya boleh datang, Hanna tinggal lah kat rumah.” Balas Harris bercerita.

“Bosan, cikgu kalau kena ikut papa pergi kerja.” Pantas sahaja Harris menutup mulut Hanna. Banyak pula yang dia rungutkan kepada wanita itu. Tiba-tiba Sofia merapati Hanna dan meletakkan tangan dan mulutnya ke telinga Hanna.

“Hanna, awak kata nak minta izin papa awak nak jadi anak angkat mama saya?” Sofia mengingatkan Hanna tentang perancangan mereka tadi. Wajah Hanna tiba-tiba teruja.
“Dah kenapa berbisik-bisik pula ni?” soal Fida. Sofea hanya tersengeh-sengeh memandang Fida. Hanna merangkul tangan papa nya dan melontarkan senyuman paling manis kepada Harris.

“Papa…” panggil Hanna dengan lanjut sekali.

“Apa pula kali ni. Macam-macam pula hari ni ya.” Kata Harris.

“Boleh tak… ermm… boleh tak Hanna nak jadi anak angkat Cikgu Fida?” soal Hanna kepada Harris. Harris dan Fida terkejut mendengar soalan anak kecil itu. Terbatuk-batuk Harris dibuatnya.

“Anak angkat? Anak angkat apa pulak ni? Mengarut sungguh kamu hari ni ya, Hanna. Dah jom kita balik.” Bingkas Harris. Dia sudah begitu malu dengan Fida. Fida juga sudah merah muka apabila mendengar soalan Hanna tadi.

“Alah, boleh la papa. Kalau Hanna jadi anak angkat cikgu Fida, kan Hanna boleh tinggal dengan Cikgu Fida bila papa out station. Hanna penatlah nak ikut papa lagi.” Rungut Hanna tanpa henti. Harris dah tak tahu nak jawab apa, terus sahaja dia menarik anaknya masuk ke dalam kereta.

“Cikgu, saya balik dulu ya. Makin macam-macam pula yang dia minta. Assalamualaikum.” Terus sahaja Harris bergegas masuk ke dalam kereta. Fida hanya tertawa kecil. Kemudian pandangannya tertumpu kepada Sofia.

“Sofia, apa yang Sofia rancang dengan Hanna ni? Macam-macam ye idea kamu berdua?” Fida mula menyoal-siasat anaknya sendiri.

“Betul lah mama. Sofia kesian kat Hanna tu. Kalau dia ikut papa dia pergi kerja, dia asyik kena duduk dalam office berjam-jam. Dari pagi saaaampai petang. Kesian dia mama. Kat rumah dia kan, ada dia dengan papa dia saja, mama. Kalau papa dia buat kerja, dia panggil papa dia banyak-banyak kali pun papa dia tak dengar, mama. Dia asyik tengok TV saja.” Cerita Sofia memancing simpati dari Fida.

“Kamu berdua ni, duduk sama-sama buat homeworks ke bergossip? Kecik-kecik dah pandai nak gossip-gossip eh? Apa pulak Sofia cerita pasal kita?” soal Fida. Risau pula nanti hal-hal peribadinya sampai ke pengetahuan Harris.

“Abah kan dah tak nak kat Sofia. Kalau papa Hanna jadi papa Sofia jugak, boleh kan mama?” soal Sofia dengan wajah yang begitu polos sekali.

“Sofia! Mana boleh suka-suka ambil orang tu ambil orang ni untuk jadi papa Sofia. Kita tak kenal pun dengan orang tu.”

“Kan mama dah kenal dia? Dia kan papa Hanna, kawan Sofia. Dah kenal lah tu.” Balas Sofia membantah cakap Fida. Fida tergelak besar mendengar hujah Sofia. Mudah sungguh perinsip hidup seorang kanak-kanak.

“Macam-macam lah kamu berdua ni, anak-anak!” keluh Fida. “Apa senyum sorang-sorang pulak ni?” soal Fida setelah melihat Syima yang sedang tersenyum simpul di hadapan pintu.

“Sesuai Kak Fida dengan bapak si Hanna tu. Sama cantik sama padan. Bagai pinang dibelah dua.” Usik Syima kepada majikannya.

“Memandaaaaiii je kamu ni lah.” Kata Fida sambil mencubit lengan Syima. Syima terjerit kecil.

“Sofia! Sofia suka tak kalau ayah Hanna jadi ayah Sofia?” soal Syima kepada Sofia. Masih belum mahu berhenti mengusik lagi si Syima.

“Suka! Nanti Sofia ada kakak kembar.” Jawab Sofia lagi dengan penuh ceria.

“Yea… mesti seronok kan, Sofia?” Fida sudah mula menjegilkan matanya kepada Syima.

“Jangan ajar budak tu benda pelik-pelik lah, Syima!” marah Fida kepada Syima. Merah padam mukanya menahan malu.

Tidak seperti Sofia, Hanna dimarahi Harris sepanjang perjalanan pulang ke rumah mereka.

“Kenapa Hanna cakap yang bukan-bukan tadi? Malu papa, tau? Siapa yang ajar semua tu?” Harris mula berleter kepada Hanna. Hanna sudah mula menitiskan air mata.

“Itu sebenarnya cadangan Sofia. Dia yang bagi tahu Hanna dalam cerita yag dia tengok kat TV, budak tu jadi anak angkat orang lain. Lepas tu terus jadi macam anak betul-betul.” Ucap Hanna membela diri.

“Yang Hanna sibuk sangat nak jadi anak angkat orang tu kenapa? Dah tak sayang kan papa ker? Dah tak nak jadi anak papa dah?” soal Harris lagi.

“Bukan macam tu, papa. Hanna sayang papa!” terus sahaja Hanna mahu bangun untuk memeluk papanya.

“Duduk di situ diam-diam. Papa tengah driving ni.” halang Harris keras.

“Hanna sayang papa. Hanna just nak bagi papa senang. Bila papa pergi kerja, papa tak payah bawa Hanna lagi. Hanna boleh tinggal dengan Cikgu Fida kalau dia jadi mama angkat Hanna.” Jujur benar Hanna berbicara. Harris tiba-tiba tersedar yang anaknya itu mungkin keletihan kerana terpaksa mengikutnya ke sana ke mari hampir setiap hujung minggu.

Perbincangan mereka terhenti begitu sahaja. Otak Harris ligat berfikir bagaimana harus dia buat selepas ini untuk meringankan lelah anak kecilnya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience