~ 24 ~

Family Completed 8882

‘Mana garis tepi ni? Dah berapa kali pesan suruh buat garis tepi. Buku siapa ni?’ Taufik menyelak kulit buku murid yang sedang disemaknya. ‘Khalif… Khalif… berapa kali laaa nak kena bagi tau…’ Satu persatu jawapan muridnya ditanda. Selesai sebuah, diletaknya buku tersebut di penjuru kiri meja. Dicapai pula sebuah lagi.

‘Affian…’ Taufik membaca nama yang tertera di kulit buku. Buku yang amat lusuh keadaannya, bergulung-gulung dipenjurunya dan terkulai-kulai plastik pembalutnya. Taufik cuba perbaiki keadaan buku tersebut. Dibuka terus pembalut plastik yang amat nipis dan merimaskan itu. Dibahagian hujung yang bergulung itu pula dia cuba untuk luruskan. Buku murid Tahun 1, apalah yang nak diharapkan sangat. Dia mahu buat kerja pun dah cukup bertuah. Terus sahaja Taufik buka buku tersebut ke muka surat yang tertera latihan yang belum disemak.

‘Ini bila punya latihan ni? Hari, tarikh langsung tak ditulis.’ Dia mengira helaian-helaian yang belum bertanda. Hampir 12 muka surat. ‘Tak hantar kerja on time lah ni. Aduiii… ini semua punca melambatkan kerja aku.’ Berkerut-kerut kening Taufik cuba mengingat kembali latihan yang pernah diberikan pada beberapa minggu yang lepas. ‘Bukan macam ni cara kerjanya, Affian…’ Taufik menggeleng-gelengkan kepalanya. ‘Kalau dah tak hantar, macam mana cikgu nak betulkan? Ni kalau dah sampai 4-5 latihan sekali semak, nak minta buat pembetulan pun dah payah la macam ni.’ rungut Taufik sendirian. Ditutup buku Alfian, dicapai pula buku yang baru.

‘Hanis. Ha, Hanis selalu siap on time.’ Tersenyum sedikit bibir Taufik. Seperti yang dijangkanya, kerja Hanis siap sepenuhnya. Tulisan yang cantik dan kemas, jawapan yang betul beserta langkah kerja yang lengkap. Sejuk hati Taufik. Terasa berbaloi mengajar penat-penat saban hari apabila ada anak-anak yang benar-benar mendengar dan menggunakan apa yang diajar di dalam latihan mereka. Laju saja dia menanda semua kerja Hanis diiringi senyuman merelet di wajahnya.

“Fik, petang nanti jangan lupa latihan kita. Di stadium tau.” Tiba-tiba tumpuan Taufik terganggu dengan suara Salman. Latihan olahraga luar musim daerah mereka sudah pun bermula. Tumpuan diberikan kepada atlet bawah 11 tahun dan bawah 9 tahun. Seramai 45 orang murid yang akan menyertai 7 acara yang dipertandingkan. Tiada pemilihan peringkat sekolah yang dibuat kerana dalam sesi semester 2 semua murid sedang sibuk dengan program-program akademik. Jadi peserta hanya dipilih berdasarkan keputusan Kejohanan Olahraga Sekolah semata-mata. Murid tahun 6 pastinya terus dikecualikan daripada aktiviti ini.

“Alright. Pukul 5 ker 5:30?” tanya Taufik untuk kepastian.

“Pukul 5. Habis 6:30. Kalau 5:30 nanti tak sempat nak buat apa. Diorang nak jalan kaki masuk stadium pun berjam-jam.” Kata Salman. Faham benar dengan sikap murid-muridnya. Tambahan lagi yang sudah beberapa kali mewakili sekolah. Sudah terasa diri mereka superstar.

“Okay!” balas Taufik ringkas sambil kembali memberi tumpuan kepada kerja ditangannya.
Lebih kurang jam 2 petang, Taufik segera mengemaskan barang-barangnya dan bersedia untuk pulang ke rumah. Dalam perjalanan Taufik ke pejabat untuk mengetik masa pulangnya, dia terjumpa dengan Guru Besar. Hj. Azizan seorang pemimpin yang sangat disegani dan disenangi oleh anak-anak buahnya. Begitu mesra dengan semua kakitangan dan sentiasa terbuka untuk menerima cadangan dan pandangan semua orang.

“Assalamualaikum, cikgu. Tak balik lagi?” sapa Taufik.

“Belum. Saya perlu ke PPD ni. Ada meeting PGB 2:30 jap lagi.” Balas Guru Besarnya yang sedang berjalan dari bilik air ke biliknya. Muka dan lengannya basah dengan wuduk.

“Saya balik dulu, ya cikgu.” Kata Taufik sambil menundukkan sedikit kepalanya tanda hormat.

“Ya. Sila, sila…”

Taufik terus menuju ke keretanya dan menghidupkan enjin. Entah kenapa hatinya tiba-tiba berdebar-debar. ‘Mungkin aku tak cukup makan, hari ni.’ fikirnya sendirian. Adakalanya badan Taufik akan mula menggigil dan berasa berdebar-debar apabila dia terlepas waktu makannya. Dia teringat pagi tadi dia hanya bersarapan dengan segelas air teh o suam dan tiga biji karipap. Agak kurang berselera dengan menu di kantin sekolahnya hari itu.

Taufik pantas menuju ke kantin sekolah. Sukar untuk dia memberikan tumpuan kepada pemanduannya kalau hatinya berdebar-debar sebegitu.

“Kak Yam, bungkus teh ais kat saya satu.” Pinta Taufik kepada pengusaha kantin sekolahnya. Selesai membayar, dia kembali ke keretanya. Dibuka ikatan plastik air tersebut dan dihirupnya seteguk. Kemudian, dia meletakkan bungkusan tersebut di ruangan tengah antara kerusi dua kerusi di bahagian depan keretanya itu. Berbekalkan air tersebut, tenang lah sedikit rentak jantungnya dan dia pun memandu dengan lebih tenang ke rumah.

“Assalamualaikum… Dalia… abang dah balik…” Taufik memberi salam sambil duduk di atas bangku yang disediakan di hadapan pintu rumahnya. Sengaja diletakkan bangku di situ supaya senang untuknya memakai dan membuka kasut sebelum keluar dan masuk ke rumah. Namun setelah seketika, salam Taufik masih belum berjawab.

“Assalamualaikum… Dalia… buka pintu ni. Abang dah balik ni…” panggil Taufik lagi. Apabila panggilan tidak berjawab, dia mengeluarkan telefon daripada poket seluarnya dan mendail nombor Dalia. ‘Ke mana pula Dalia ni? Tak bagi tahu pun nak keluar.’ Fikirnya. Semakin hairan Taufik apabila dia terdengar bunyi deringan telefon Dalia dari dalam rumah. Tiba-tiba, hati Taufik kembali gemuruh. Dia segera ke keretanya dan mengambil satu kunci rumah yang sengaja disimpan untuk kes-kes kecemasan. Taufik terus membuka pintu rumah dan melihat Adalia terlantar di atas lantai.

“Ya Allah. Dalia! Dalia! Bangun sayang…” Taufik cuba mengejutkan Dalia tetapi Dalia tidak sedarkan diri. Taufik mencari kesan-kesan luka atau kecederaan di badan Dalia tetapi tidak menjumpainya. Taufik memandang keadaan di dalam rumahnya. semua barangan masih dalam keadaan teratur. Tiada sebarang tanda-tanda rumah mereka dipecah masuk. Dengan segera Taufik mengangkat Dalia dan terus di bawa ke hospital. Sesampainya dia di hospital, terus sahaja dia membawa Dalia ke Unit Kecemasan. Taufik terus panik. Dia tidak tahu apa yang dibuatnya. Tak pernah-pernah Dalia pengsan seperti itu. Mahu dihubungi emak dan ayah Adalia, Taufik bimbang mereka tak susah hati pula nanti. Lebih baik tunggu apa kata doktor terlebih dahulu. Selepas itu, barulah dia akan hubungi mereka. Dalam keadaan yang serba kalut itu, Taufik menghubungi Fida.

“Assalamualaikum, abang.” Fida terus menyapa Taufik apabila melihat namanya yang tertulis di skrin telefon. Fida sedang makan tengahari bersama Harris waktu itu. Harris minta untuk mereka keluar berdua tanpa ditemani anak-anak. Mudah untuk mereka berbual, katanya. Jadi sengaja Harris mengambil cuti sebelah petang hari itu untuk berjumpa dengan Fida.

Mendengar Fida menyebut ‘abang’, Harris menjadi sedikit resah dan tertanya-tanya. Dia mengerutkan keningnya. “Abang Taufik.” Bisik Fida kepada Harris setelah melihat perubahan wajah lelaki dihadapannya itu. Harris hanya menganggukkan kepalanya.

“Fida, Dalia pengsan kat rumah tadi.” Lapor Taufik kepada Fida.

“Pengsan? Macam mana boleh pengsan?” tanya Fida.

“Entahlah. Abang pun tak tau. Abang balik rumah dari sekolah kejap tadi, tengok-tengok dia dah terbaring kat lantai.” Cerita Taufik lagi.

“Ya Allah. Sekarang ni abang ada di mana?” Fida sudah bangun dari kerusinya.

“Ada di ER. Abang dah panik ni. Tak tau dah nak buat apa.” Taufik meluahkan rasanya. Dia risau kalau terjadi apa-apa pada isterinya itu. Tak dapat dia bayangkan hidupnya kalau terjadi apa-apa pada Adalia.

“Okay, okay. Abang tunggu kat situ. Fida datang sekarang.” jawab Fida dan terus mematikan panggilan telefon.

“Kenapa ni?” Soal Harris setelah melihat Fida yang sudah mula kelam-kabut.

“Adalia, wife abang Taufik pengsan kat rumah. Kalau kita ke hospital sekejap, boleh ker?”

“Jom, jom. Kejap I bayar makanan ni dulu. Makanan anak-anak tadi dah ambil dah?” soal Harris kepada Fida. Fida hanya mengangkat tangan menunjukkan bungkusan makanan yang telah berada padanya. Walaupun keluar berdua, cerita anak-anak tidak pernah lekang dari mulut mereka. Begitulah agaknya simdrom ibu dan bapa tunggal. Anak-anak adalah perkara paling utama.

“Kita asyik dating kat hospital je yer?” kata Harris sebaik sahaja mereka sudah berada di dalam kereta. Fida hanya tertawa kecil.

“Jodoh kita dengan hospital tu kuat sungguh agaknya.” Balas Fida menyokong pernyataan Harris tadi.

“Jodoh kita kuat tak?” Harris memandang muka Fida yang sudah kemerahan. Suka sungguh dia melihat Fida dalam keadaan seperti itu. ‘Comel sungguh dia ni.’

“Isy! Ke situ pulak you ni.” Fida menggeleng-gelengkan kepalanya. Tiba-tiba hatinya meronta-ronta ingin mengajak Harris berjumpa dengan mentuanya. Tetapi akalnya pula menghalang. ‘Sabar… belum masanya lagi… sabar…’

Sesampainya di hospital, mereka terus mencari Taufik. Taufik kelihatan begitu resah. Dia berjalan mundar-mandir di ruang menunggu Unit Kecemasan itu.

“Abang, doktor dah keluar ke belum?” tegur Fida sebaik sahaja dia mendekati Taufik. Harris juga menyalami Taufik.

“Eh, Encik Harris pun ada di sini?” soal Taufik sedikit keliru.

“Ah, panggil saya Harris saja, cikgu.” Jawab Harris. “Kami… keluar makan kejap tadi.” Terangnya lagi.

“Fida keluar makan dengan Harris?” soal Taufik kepada Fida. Matanya kini terarah kepada wanita itu. Dia seperti tidak mempercayai jawapan Harris dan mahu Fida sendiri yang menjawabnya.

“A’ah. Masa abang call Fida tadi, Fida dekat kedai makan dengan Harris ni? Adalia macam mana, abang? Apa kata doktor?” Fida cuba menutup cerita tentang dirinya dan kembali fokus kepada masalah yang lebih penting sekarang ini.
“Doktor belum keluar lagi. Abang risau lah, Fida.” Kata Taufik sambil melurutkan tangannya.

“Ada apa-apa yang mencurigakan di rumah tak, cikgu? Ada orang pecah masuk ke apa?” soal Harris pula kepada Taufik.

“Tak ada. Saya tengok barang-barang rumah saya masih elok teratur seperti biasa. Pintu rumah pun terkunci rapat. Saya check juga badan Dalia, kot-kot ada cedera atau luka di mana-mana. Tapi memang tak ada. Hairan sungguh la… Macam mana dia boleh pengsan? Tak pernah-pernah Dalia pengsan macam ni.” cerita Taufik kepada mereka berdua.

“Sabar, bang. InshaAllah, semua akan okay. Adalia ada buat apa-apa yang baru ke? Rutin baru macam ubat ke, senaman ke?” soal Fida lagi. Kadang-kala kesan sampingan kepada benda-benda baru sangat diluar jangkaan.

“Tak ada pun Fida. Kami sepatutnya mulakan rawatan yang Fida cadangkan tu minggu ni. Jadi dia sangat menjaga kesihatannya sekarang.”

“Tak apa lah, abang. Kita doa banyak-banyak ya. InshaaAllah, tak ada apa-apa tu.”

Tiba-tiba, pembesar suara di ruang menunggu tersebut mamanggil nama waris kepada Adalia.
“Diminta waris kepada Adalia binti Abidin, waris kepada Adalia binti Abidin masuk ke bilik 3. Terima kasih.”

Taufik segera bangun dan berjalan dengan pantasnya memasukki Bilik 3 di hadapannya. Kini giliran Fida pula yang tidak keruan. Dia pula yang mundar-mandir di hadapan Harris. Kemudian, Harris menarik lengan baju kurung Fida.

“Fida, duduk sini. Tenangkan fikiran. Jangan fikir banyak sangat.” Fida hanya akur dengan permintaan Harris dan duduk dibangku bersebelahan dengan Harris. Tetapi dia tetap tidak boleh bertenang. Harris melihat jam di tangan.

‘3:30. Awal lagi ni. Sempat selesai kot.’ Fikir Harris. Dia agak bimbang jika mereka keluar terlalu lama sehingga terlupa untuk menjemput anak-anak di tadika.

“Kenapa, Harris? You nak masuk kerja ya?” soal Fida yang melihat Harris melihat waktu. Dia bimbang jadual kerja Harris terganggu. Pastinya dia tak mahu Harris menyalahkannya kerana terpaksa berada di situ. Walhal Adalia dan Taufik bukanlah siapa-siapa bagi mereka.

“Eh, tak lah. Kan I cuti hari ni untuk kita keluar dating?”Jawab Harris sambil tersenyum menayangkan gigi dukungnya yang sangat diminati oleh Fida. Cair hati wanita itu sekejap. “I just nak check. Takut kita lama sangat nanti, anak-anak tak ada yang jemput.” Kata Harris lagi. Tetapi Harris tiba-tiba menjadi segan kerana wanita disebelahnya tak henti-henti merenung wajahnya. “Fida!” panggil Harris perlahan tetapi tetap mengejutkan Fida yang seolah-olah tengah bermimpi. “Kenapa you tengok I sampai macam tu?”
“You are totally different!” kata Fida dengan jelas sehingga sampai ke teling Harris.

“From?” soal Harris keliru dengan pernyataan Fida sebentar tadi. Fida yang sedikit terkejut, menggoncangkan kepalanya sedikit seolah-olah dia mengejutkan dirinya sendiri daripada mimpi. “Fida, I’m totally different from what?” soal Harris lagi. Fida memusingkan kepalanya kepada Harris. Menatap mata Harris sedalam-dalamnya. Dia ingin mencari kepastian dan keikhlasan untuk meyakinkan dirinya sendiri bahawa Harris adalah orang yang dimaksudkan oleh Asmah, ibu mentuanya. Lelaki yang berbeza daripada Irwan.

“Irwan!” jawab Fida pendek. Fida masih merenung ke dalam mata lelaki itu. Dia umpama ditarik oleh magnet dan tidak mampu mengalihkan pandangan ke arah yang lain.

“Siapa Irwan?” soal Harris kepada Fida.

“My ex-husband.” Jawab Fida jujur. Harris memejamkan matanya apabila mendengar jawapan Fida. ‘Dia masih terkurung dengan bayang-bayang bekas suaminya kah?’ bisik hati Harris. Kemudian, Harris kembali merenung Fida.

“You, masih sayangkan dia?” soal Harris dengan suara yang perlahan. dia cuba menenangkan hatinya.

“Tak…” jawab Fida. Suaranya seakan-akan dia sudah terkena sihir atau pun jampi. Perlahan dan tiada perasaan.

“Jadi? Kenapa you teringatkan dia?” Soal Harris mencari kebenaran.
“He was mean to me.” Jawab Fida ringkas. Kemudian dia tertunduk seketika. “I had a bad experience before, tapi I tau you bukan orang macam tu. You sangat berbeza daripada dia. Dah banyak kali I cuba yakinkan diri I bahawa lelaki semuanya sama. Tapi makin kuat I nak percaya, makin banyak bukti-bukti yang you tunjukkan kat I. you are totally different.” Kata Fida dengan ikhlas. Mahu saja Harris memeluk Fida saat itu. Sebuah senyuman kepuasan terbentuk di bibir Harris.

“Do you prefer my version?” soal Harris menguji Fida.

“I love your version.” Tanpa tersekat, ayat tersebut lancar dan begitu bersahaja keluar dari mulut Fida. Hati Harris berbunga-bunga. Dia tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya. Dia yakin bahawa ini adalah pilihan yang terbaik untuk dirinya.

Taufik berjalan masuk dan meluru ke meja doktor di tengah-tengah bilik tersebut.

“Saya suami Adalia.” Kata Taufik kepada seorang doktor yang berada di meja tersebut.

“Andrew, your patient’s husband.” Kata doktor itu memanggil rakan sekerjanya. Kemudian seorang doktor berbangsa cina keluar dari sebalik kain penghadang dan melihat ke arah Taufik.

“Suami Adalia Abidin?” tanya Dr Andrew. Taufik hanya mengangguk. “Come here.” Arah doktor muda tersebut. Taufik terus berjalan merapati katil tersebut. Dia turut masuk ke dalam ruang lingkungan katil tersebut. Doktor Andrew duduk di sebuah kerusi bersebelahan katil Adalia. Di sebelah lagi terdapat seorang jururawat perempuan yang menemani Adalia. Adalia sudah pun terjaga. Dia hanya tersenyum melihat Taufik datang menghampirinya. Doktor Andrew sedang memegang tranduser daripada mesin ultrasound dan memeriksa perut Adalia.

“Okay, ayah. Ayah nampak bintik yang blinking tu?” kata doktor tersebut. Taufik keliru dengan panggilan ‘ayah’ tetapi disebabkan hanya dia sahaja lelaki yang berada di situ, dia anggap Dr Andrew sedang bercakap dengannya.

“Okay.” Jawab Taufik perlahan. Dia nampak titik yang dimaksudkan tetapi dia langsung tidak faham.

“Okay, itu jantung baby ya. Cantik heartbeat dia.” Kata doktor muda itu lagi. Kemudian dia memberi arahan kepada jururawat dalam bahasa perubatan yang Taufik dan Adalia langsung tidak faham. Jururawat tersebut mencatatkannya di atas kad rawatan. Wajah Adalia kelihatan berseri-seri.

“Baby? Tapi macam mana boleh ada baby?” soal Taufik kepada Dr Andrew. Dia masih tak faham. Selama ini betapa susahnya mereka mencuba dengan pelbagai rawatan, tetapi tidak berhasil. Rawatan pakar yang Fida cadangkan itu hanya akan bermula minggu hadapan.

“You tanya I? You husband dia kan? You la buat dia mengandung. Macam mana lagi? Macam tu lah.” Jawab doktor itu berseloroh. Jururawat yang berada di situ juga turut tergelak.
“Tapi kenapa dia pengsan?” Taufik tidak mempedulikan mereka berdua. Mereka tidak mengetahui sejarah dia dan Adalia.

“Itu normal. Ada sesetengah ibu yang akan jadi macam tu di awal kandungan. Badan ibu sedang cuba untuk biasakan diri dengan baby baru. So, waktu ni hormon dia tiba-tiba berubah, tekanan darah dia berubah, kandungan hb dia berubah… banyak benda yang sedang berubah dalam badan ibu. Saya akan bagi ibu ubat. Nanti ibu makan semua, ya. Banyak minum susu juga. Baby akan ambil banyak kalsium dari badan ibu. Jadi ibu mesti ganti yang baru lah. Jangan lupa makan sayur dan buah-buah juga. Ibu kena jaga lebih la sekarang. Kena jaga dua orang. Tapi ingat, ibu jangan ingat sudah mengandung, boleh makan double ya. Nanti baby besar, ibu kena kencing manis, nanti susah nak bersalin.”

Panjang lebar pesanan doktor itu. Taufik masih lagi tidak boleh mempercayai setiap patah perkataan yang keluar daripada mulut doktor itu. Terasa seperti dia bermimpi. Dr Andrew sudahpun bangun daripada kerusinya. Jururawat tadi membersihkan lebihan gel di perut Adalia dan menutup perutnya kembali. Dr Andrew bergerak keluar daripada tirai hijau yang melindungi katil Adalia tadi dan menuju ke mejanya.

“Nanti cepat-cepat pergi klinik kesihatan yang terdekat. Buka buku merah ya.” Pesan Doktor Andrew lagi. Tidak lama kemudian, Adalia turun dari katil dan datang menghampiri Taufik di meja Dr Andrew. “Nurse, ambil ubat untuk ibu.” Pinta Dr Andrew kepada jururawat yang membantunya tadi. Selepas seketika, satu set ubat diletakkan di hadapan mereka.

“Ini bekal untuk sebulan. Nanti bagitau nurse di KK saya sudah bagi ubat ni untuk sebulan. Makan ya, ibu. HB ibu semakin rendah. Nanti baby tak sihat.” Pesan Dr Andrew lagi. “Okay, nanti bawa surat ni tunjuk pada nurse di KK masa buka buku pink tu. Congratulations on your first baby.” Kata-kata Akhir Dr Andrew itu menimbulkan senyum di wajah Taufik dan Adalia. Mereka berjalan beriringan keluar daripada bilik rawatan.

Di luar, Fida dan Harris sedang menunggu dengan sabar. Apabila melihat Taufik dan Adalia berjalan keluar beriringan, Fida dan Harris pun bangun mendekati mereka. Wajah mereka berdua begitu ceria dan bercahaya sekali. Hairan Fida melihatnya.

“So, doktor cakap apa?” Taufik menyerahkan borang yang Dr Andrew beri kepadanya sebentar tadi kepada Fida. Fida sudah ada pengalaman mengandung. Pastinya dia tahu apa yang tertulis. “Wah! Congratulations!!!” kata Fida sambil memeluk Adalia. “Bestnya… nak dapat baby…” mendengar ayat tersebut, Harris terus menghulurkan tangannya untuk emngucap tahniah kepada Taufik.

“Tahniah, cikgu! Tahniah!!!” kata Harris sambil menepuk bahu Taufik perlahan-lahan. Senyuman Taufik makin lebar mendengar ucapan-ucapan itu. Dia sebenarnya masih lagi tidak percaya dengan berita itu.

“Wait, abang dan Dalia dah start treatment ker?” tanya Fida kepada Taufik dan Adalia. Baru tadi rasanya Taufik beritahu rawatan mereka bermula minggu hadapan.

“Belum lagi. Itu yang pelik tu.” Taufik melurutkan rambutnya ke belakang.

“Rezeki dari Allah. Alhamdulillah.” Kata Fida kepada mereka semua. Taufik mengangguk-anggukan kepalanya sambil memeluk bahu Adalia dengan erat.

“Bila kita nak dapat baby?” soal Harris kepada Fida dihadapan Taufik dan Adalia. Terbuntang mata ketiga-tiganya apabila mendengar soalan tersebut. Harris tahu dia terlepas cakap tapi dia berlagak bersahaja. Apa boleh buat? Dah terkeluar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience