~ 15 ~

Family Completed 8882

“Hai, Hanna.” Tegur Sofia kepada teman baiknya. Mood Sofia begitu ceria sekali hari itu. Dia teramat gembira dengan kehadiran atuk dan opah ke rumahnya sepanjang hujung minggu. Petang semalam, atuk dan opahnya sudah pun pulang ke kampung. Tetapi Sofia masih tidak puas bermain dan bermanja bersama mereka. Tak sabar rasanya nak tunggu atuk dan opah datang lagi.

“Hai, Sofia.” Balas Hanna kurang bersemangat. Berbeza sungguh mood mereka pagi itu.

“Kamu kenapa macam letih saja ni?” soal Sofia.

“Saya bosan lah. Papa asyik kerja saja bila hujung minggu. Nak buat apa pun tak boleh.” Jawab Hanna merungut.

“Papa kamu kerja apa?”

“Papa kerja engineer kat kilang. Tiap-tiap hujung minggu dia kena pergi banyak tempat. Saya terpaksa ikut dia. Lepas tu, duduk lama-lama dalam hotel. Kalau tak pun, ikut papa pergi kilang, tungguuuuuu lama-lama dalam office. Bosan lah!” rungut Hanna lagi.

“Eh, kan seronok kalau dapat tidur di hotel. Boleh mandi kolam. Saya suka mandi kolam.” Jawab Sofia. Dia membayangkan andainya dia yang dapat menginap di hotel, pasti seronok.
“Bukannya boleh pergi mandi kolam pun. Papa asyik kerja saja. Mana sempat nak pergi mana-mana. Lagi pun, kalau dah tiap-tiap minggu asyik mandi kolam, bosan jugak!” Hanna sudah penat naik turun kapal terbang ke hulu ke hilir mengikut papanya bekerja. Dia sering ditinggalkan sendirian. Harris akan memberikan tumpuan penuh kepada kerjanya.

“Oh, ya kah? Kesian kat kamu. Kalau kamu bosan, apa kata kamu datang rumah saya? Kita boleh bermain sama-sama. Kalau ada homework, mama boleh ajarkan. Mama saya cikgu.” Cadang Sofia. Hanna menarik nafas dalam-dalam. Dia tahu pasti papanya susah nak lepaskan dia pergi rumah orang begitu saja.

“Kamu tinggal di mana?”

“Taman Bayu V.” jawab Sofia dengan yakin.

“Taman Bayu Fasa V, lah!” Hanna membetulkan Sofia. Sofia tertinggal perkataan ‘fasa’. “Samalah dengan saya. Rumah saya lorong 14. Kamu?” mereka sama-sama menutup mulut yang sedang ternganga luas. Baru mereka sedar mereka tinggal di satu kawasan perumahan yang sama.

“Rumah saya lorong 10. Depan taman permainan tu. Kalau macam tu, senanglah. Boleh datang naik basikal saja. Kamu ada basikal?” Hati Hanna sudah berbunga-bunga. Dia sudah mendapat satu idea bagaimana untuk mengembalikan keceriaan hidupnya. Bosan juga dia hari-hari asyik mengadap papanya seorang saja.

“Ada. Sofia, kamu ada nombor telefon? Boleh bagi kat saya?”
“Ada. Bagi buku awak saya nak tulis.” Jawab Sofia sambil mengeluarkan satu buku nota kecil yang ada tercatat nombor telefon bimbit mama dan nombor telefon tadika. Dia menulis nombor telefon bimbit mamanya ke dalam buku yang dihulur Hanna.

“Okay, terima kasih. Nanti kalau saya boleh pergi rumah awak, saya call.” Jawab Hanna lebih kurang umpama berjanji. Dia sudah dapat membayangkan dia mengayuh basikal ke taman permainan dan berjumpa dengan Sofia di sana. Alangkah seronoknya dia dapat kawan untuk keluar bermain.

“Okay. Tapi selepas jam 6 petanglah tau. Sebab lepas habis sekolah, saya terus pergi ke Day Care mama. Lepas semua orang dah balik, baru saya balik.” Jelas Sofia kepada Hanna.

“Mama awak ada Day Care? Boleh tak saya nak pergi ke situ juga?” soal Hanna teruja. Tampat yang dia pergi sekarang memang seronok, tetapi kalau dapat pergi ke tempat sekali dengan Sofia, pasti lebih seronok.

“Mestilah boleh. Nanti, boleh lah kita balik sekolah dengan van sama-sama.” Bicara Sofia sambil menepuk-nepuk tangannya.

“Apa nama Day Care mama awak tu?” Hanna sudah merancang macam-macam di dalam kepalanya. Balik rumah malam nanti, dia akan minta papa uruskan serta-merta.

“Future Star.” Beritahu Sofia dengan penuh bangga.

Belum pun sempat sampai ke rumah, Hanna sudah pun memulakan rancangannya untuk memujuk Harris menukar Day Care.

“Papa, papa ingat lagi tak kawan Hanna yang nama Sofia tu?” Soal Hanna ringkas.

“Kawan yang mana? Di tadika atau di sekolah?” jawab Harris bersahaja sambil memandu.

“Di sekolah lah, papa. Yang duduk sebelah Hanna dalam kelas tu.” Hanna cuba mengingatkan Harris tentang rakan yang dimaksudkannya itu.

“Oh, yang itu. Ha, kenapa dengan dia?” Harris hanya menjawab. Yang sebenarnya dia masih tidak boleh ingat yang mana satu yang dimaksudkan Hanna.

“Mama dia ada buka tadika tau, papa.” Hanna berpusing kepada Harris. Dia melihat papanya bagaikan kurang mendengar apa yang sedang dia katakan. Dia mahukan tumpuan penuh daripada Harris. “Papa dengar tak ni?” soal Hanna meminta perhatian.

“Ya, papa dengar. Papa kan tengah driving ni. Hanna cakap jer. Papa boleh dengar.” Harris memberikan keyakinan kepada Hanna untuk terus bercerita.

“Hanna nak pergi sana, boleh?”

“Pergi mana?” soal Harris hairan. Dia mula keliru. ‘Tadi dia sebut nama Sofia saja. Lepas tu, dia cakap mama Sofia ada sesuatu yang baru. Jadi, Hanna nak ke mana pula?’ Harris cuba mengingat kembali butir bicara Hanna.

“Papa ni… kan betul Hanna cakap. Papa tak dengar pun apa Hanna bagi tahu papa tadi.” Ujar Hanna merajuk. Bibirnya sudah memuncung panjang.

“Amboi… panjangnya muncung.” Usik Harris sambil menjeling kepada Hanna. “Boleh gantung hanger baju.” Dia menguis mulut Hanna. Hanna tertawa kecil.

“Papa, dengar lah betul-betul Hanna nak cakap ni.” kata Hanna separa merayu.

“Okay, okay. Cerita lagi sekali. Papa janji papa dengar betul-betul kali ni.” ujar Harris sambil mengangkat tangan kanan bagaikan bersumpah.

“Mama Sofia ada tadika. Di tadika tu ada Day Care. Boleh tak kalau Hanna pergi Day Care kat situ?”

“Kat mana Day Care dia tu? Kalau jauh sangat susahlah papa nak hantar dan jemput Hanna. Day Care sekarang tak best kah?” soal Harris panjang. Malas pula dia nak uruskan pertukaran itu. Bukan senang untuk dia ambil cuti dan sebagai.

“Bukan tak best tempat sekarang, tapi kalau boleh pergi akt tempat Sofia, mesti lagi best. Ermm… alaaa… Hanna lupa nak tanya kat mana. Tapi papa call lah tanya.” Usul Hanna pula.
“Mana papa nak dapat nombor telefon tadika tau? Nak cari pun tak tahu kat mana.” Jawab Harris lagi.

“Hanna ada nombor telefon mama Sofia. Papa telefon lah mama Sofia. Tadika dia nama Future Star.”

“Amboi! Dah siap ambil nombor telefon. Pandainya dia… dalam diam-diam merancang macam-macam.” Pantas jari Harris menarik hidung Hanna. “Future Star? Macam pernah baca iklan dia.” Ujar Harris lagi.

“Papa, rumah Sofia pun satu taman dengan kita tau. Lorong 10. Depan playground tu saja, papa.” Cerita Hanna lagi.

“Iya? Dekatlah.” Jawapan ringkas Harris telah mencetus rasa teruja di hati Hanna.

“Dekat kan, papa. Boleh lah Hanna pergi main dengan Sofia petang-petang… kan papa?” tanya Hanna separuh meminta izin, separuh memberitahu. Harris tahu dia terjerat.

“Ewah! Kecik-kecik dah pandai nak menempek kat rumah orang ya. Nak buat apa pergi rumah Sofia? Nak bergosip? Nak jadi makcik bawang?” kata Harris kepada Hanna. Hanna ketawa besar mendengar istilah ‘makcik bawang’.

“Apa makcik bawang tu?” masih ada sisa-sisa ketawa.

“Makcik bawanglah. Makcik-makcik di rumah kenduri. Sambil potong-potong bawang, sambil bergosip cerita orang kampung.”

“Mana ada Hanna nak potong-potong bawang. Hanna nak pergi main sajalah.” Jawab Hanna. Ketawanya semakin kuat.

Sesampainya di rumah, Hanna terus meminta Harris untuk menghubungi ibu Sofia. Tetapi Harris masih keletihan. Dia berjanji dengan Hanna untuk menelefon selepas makan malam nanti.

Seperti biasa, Harris hanya memasak masakkan yang ringkas-ringkas sahaja. Samada menggoreng ikan, ayam atau pun telur. Lauk utama akan dia beli bungkus dari kantin kilangnya. Boleh tahan sedap jugak lauk-pauk di kantin itu. Boleh masuk dengan selera Harris. ‘Orang bujang, nak memilih apa sangat.’ Begitulah pendiriannya.

Setelah nasi di dalam periuk elektrik siap dimasak, Harris menghidangkan semangkuk asam pedas ikan pari, ayam goreng dan sup petola. Kemudian, dia memanggil Hanna turun untuk makan. Sebelum mereka mula menjamah, sekali lagi Hanna mengingatkan Harris tentang panggilan telefon yang dijanjikan. Menggeleng-geleng kepala Harris dengan perangai Hanna. Adakalanya, Hanna boleh menjadi begitu mendesak.

“Pergi ambil nombor telefon kawan Hanna tu.” Kata Harris selepas mereka selesai makan. Harris terus mengemas meja makan dan membasuh pinggan mangkuk. Tidak lama kemudian Hanna berlari membawa buku nota kecil yang tertera nombor telefon tersebut. Harris menyambut buku itu sambil mengeluarkan telefon bimbitnya daripada poket seluar.
“Jom ke depan.” Ujar Harris sambil mendail nombor telefon yang diberikan.

“Hello…” muncul suara wanita di hujung sana.

“Hello… Assalamualaikum. Ini ibu Sofia ker?” soal Harris untuk memastikan kesahihan nombor tersebut. Hanna semakin teruja apabila mengetahui panggilan tersebut dijawab.

“Ini nama tadika tu!” bisik Hanna sambil menunjukkan nama tadika yang ditulisnya pagi tadi.

“Okay, okay! Shhh…” Harris memberi isyarat jari di mulut. Meminta Hanna untuk diam seketika.

“Ya, saya. Ini dari mana ya? Siapa ni?” Fida hairan dengan pemanggil tersebut yang mengenalinya sebagai ‘mama Sofia’. Tak mungkin lah pihak sekolah akan menghubunginya pada waktu malam begini.

“Saya ni ayah Hanna, kawan Sofia. Hanna beritahu saya puan ada tadika ya? Future Star?” Harris terus kepada tujuan dia membuat panggilan.

“Ya, betul. Betul.” Fida lega sedikit. Terkejut juga dia tadi. Fikirannya sudah mula berfikir yang bukan-bukan.

“Maaflah kalau saya ganggu puan malam-malam ni. Boleh saya dapatkan detail tentang Day Care di tempat puan?”

“Oh! Boleh sangat… encik nama apa ya?” soal Fida. Lebih senang dia berbicara apabila tahu nama pelangganya.

“Saya Harris.” Jawab Harris berterus-terang.

“Baik, Encik Harris. Nombor ni ada aplikasi Whatsapp tak?” lebih mudah untuk Fida berkongsi iklan di aplikasi tersebut.

“Ada, ada.” balas Harris ringkas.

“Baik. Sekejap lagi saya mesej iklannya ya.” Balas Fida mesra tetapi professional.

“Okay, terima kasih. Nama puan apa ya?” Harris tiba-tiba teringat yang dia belum tahu nama wanita itu. Dia lupa untuk bertanya lebih awal.

“Saya Fida. Terima kasih ya kerana berminat dengan Future Star.” Balas Fida sebelum mengakhiri panggilan.

“Sama-sama. Assalamualaikum.” Kata Harris.

“Waalaikummussalam.” Sebaik sahaja talian dimatikan, terus saja Fida membuka aplikasi Whatsapp dan menghantar imej iklan-iklan Future Star kepada Harris.
Harris: Terima kasih. Saya baca dulu iklan ni. Nanti saya confirm semula.
Fida: Baik, Encik Harris.

Tiba-tiba Harris ternampak gambar profil Fida. Dia seakan mengenali wajah tersebut. Dia pun menekan gambar itu untuk paparan lebih besar. ‘Ini perempuan yang Hanna langgar di sekolah hari tu. Owner tadika rupanya. Patutlah nampak professional.’ Bisik hati Harris. Kemudian, terus sahaja dia membelek iklan-iklan Future Star yang diberikan oleh Fida sebentar tadi.

“Hanna, mari sini.” Panggil Harris. Hanna sedang menonton televisyen. Dia sudah berpuas hati apabila Harris benar-benar menghubungi ibu Sofia sebentar tadi. Terus sahaja dia memberikan perhatiannya kepada siaran di televisyen.

“Ada apa, papa?” soalnya sambil datang dan duduk rapat disebelah Harris.

“Tengoklah gambar-gambar ni. Ini Future Star yang Hanna nak sangat pergi tu. Okay ker?” Hanna mencapai telefon Harris lalu membelek satu persatu gambar-gambar yang ada. tiba-tiba matanya tertumpu kepada gambar profil Fida. Seperti Harris sebentar tadi, dia juga menekan gambar itu.

“Cantiknya mama Sofia.” Kata Hanna. “Cantik kan, papa?” katanya sambil dia menunjukkan gambar wanita itu kepada Harris.

“Cantiklah juga.” jawabnya acuh tak acuh. “Papa suruh Hanna tengok gambar tadika tu. Bukan gambar mama Sofia.”
“Alah papa ni. Hanna nak tengok kejap je. Agak-agak kalau dia jadi mama Hanna, mesti best kan?” tiba-tiba sahaja ayat itu terpacul daripada mulut Hanna. Terkejut Harris.

“Hish, apa cakap merapu macam tu? Tak baik. Dengar kat Sofia nanti, dia bagi tau papa dia… nanti mesti dia marah kat Hanna.” Gertak Harris kepada Hanna.

“Sofia tak ada papa lah, papa. Dia selalu cakap dia cemburukan Hanna sebab Hanna ada papa. Dia just ada mama seorang saja.” Cerita Hanna kepada Harris.

“Dah tu, apa Hanna cakap apa kat dia?” tanya Harris ingin tahu. Kanak-kanak sekarang ini kadang-kadang tidak dapat dijangka.

“Hanna cakap la, jadilah anak papa. Nanti boleh Sofia jadi adik-beradik Hanna. Sofia ada seorang adik lelaki tau. Comel sangat.” Balas Hanna dengan ceria.

“Memandaaiiii ja Hanna ni.” Harris menarik hidung Hanna. Geli hati mendengar ayat-ayat yang keluar daripada mulut Hanna tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience