“Abang, kalau Dalia nak masuk dalam kedai ni kejap boleh? Ingat nak cari set periuk yang macam dalam TV hari tu, ingat tak?” Adalia meminta izin suaminya. Sudah lama dia berkenan dengan set periuk batu yang sedang viral di media sosial.
“Tapi abang tak boleh la nak masuk teman Dalia. Troli barang ni takkan nak tinggal kat luar?” jawab Taufik kepada Adalia.
“Ermmm… kalau Dalia masuk seorang, tak per kan? Abang tunggu lah kejap kat sini. Ni ada bangku. Abang duduk kejap kat sini, boleh?” minta Adalia lagi. Sudah menjadi kebiasaan suami isteri itu keluar membeli barang dapur setiap hujung minggu. Selain membeli barang, ia umpama satu quality time yang mereka luangkan bersama-sama setelah seminggu minda terfokus pada kerja.
“Okay, tapi jangan lama sangat yer.” Taufik menolak troli barangnya ke tepi, mengeluarkan telefon daripada poket seluarnya lalu melabuhkan punggung di bangku yang ada di situ. Tidak lama kemudian, dia seolah-olah terdengar namanya dipanggil.
“Cikgu Taufik! Cikgu Taufik!” Taufik berpusing-pusing mencari dari mana datangnya suara itu. “Cikgu Taufik!” Taufik berpaling ke belakang. Kelihatan Sofia melambai-lambai kepadanya dari dalam troli yang di tolak oleh Fida. Sufi juga ada bersama Sofia di dalam troli tersebut. Taufik melambai-lambai kembali kepada mereka.
“Hai, abang Taufik! Beli barang dapur? Seorang saja kah?” soal Fida dengan penuh kemesraan.
“Hai…” Taufik membalas sapaan. Dia menyambut huluran salam daripada Sofia dan Sufi. “Iya… beli barang dapur lah. Dalia ada kat dalam tu. Nak cari periuk viral katanya. Baru sampai ker?” soal Taufik lagi sambil mencapai Sufi dan diangkatnya ke dukungan.
“A’ah. Baru je sampai. Anak-anak tak bawa ker?” soal Fida kepada Taufik. Dah lama dia nak tanya tetapi dia bimbang Adalia akan berkecil hati. Dia Taufik tidak akan begitu mudah untuk berkecil hati dengannya. Jadi dia lebih senang bertanya pada Taufik seorang sahaja.
“Belum ada rezeki kami lagi, Fida.” Jawab Taufik bersahaja sambil menggomol-gomol badan Sufi.
“Oh, sorry.” Jawab Fida pantas.
“Tak ada hal lah. Abang okay jer. Tapi Dalia agak sensitif tentang soalan tu. So, kalau dia ada Fida jangan tanya tau. Jenuh abang nak pujuk nanti.” Ujar Taufik separa menyeloroh dalam ketawa kecilnya. Tetapi Fida tahu Taufik benar-benar memaksudkannya.
“Promise!” jawab Fida sambil mengangkat tiga jari dengan tanda okay. “Tak cuba berubat ke, abang?” soal Fida lagi. Saja dia ingin tahu tentang kehidupan Taufik.
“Dah. Dah cuba cara kampung. Dah pergi jumpa doktor pakar juga but still macam tu jugak.” Jelas Taufik ringkas. Dia sendiri sebenarnya tak kisah sangat bab anak. Itu semua rezeki daripada Allah. Tetapi Adalia yang beria-ia sangat mahukan seorang anak.
“Kalau abang tak kisah, boleh Fida tau apa masalah sebenarnya?” soal Fida ragu-ragu. Kalau lah dia mampu membantu dalam apa cara sekalipun asalkan Taufik boleh hidup dengan lebih gembira.
“Abang nak cerita pun tak reti, Fida.” Wajah Taufik sedikit keruh. “Tapi menurut doktor pakar, ada beberapa cara yang agak berkesan. Tapi…” Taufik terhenti di situ. Fida cuba membaca riak wajah Taufik.
“Kenapa? Mahal sangat ya prosedur tu?” Fida cuba meneka.
“Abang ni cikgu ja, Fida. Berapa sangatlah gaji abang ni. Once dah start program tu, rugilah kalau nak berhenti half way kan. Selagi tak berjaya, kosnya akan semakin meningkat.” Taufik tersenyum kelat. Ralat juga hatinya kerana tidak mampu membahagiakan Adalia.
“Abang… Fida tahu Fida ni orang luar… tapi Fida dah anggap abang macam abang kandung Fida. Dulu, abang bermati-matian protect Fida. Kalau boleh, berilah peluang untuk Fida membalas jasa kepada abang.” Ujar Fida seikhlas hati.
“Fida ni, ke situ pula. Abang tak minta balasan langsung lah dari Fida. Apa yang abang buat dulu tu pun hanya sebab abang dah anggap Fida macam adik abang sendiri. Apa yang abang nak daripada Fida hanya datu. Abang nak tengok adik abang ni hidup bahagia sama macam orang lain. Ada anak-anak yang comel dan suami yang bertanggungjawab yang boleh menjaga Fida dan anak-anak.” Balas Taufik kepada Fida. Fida percaya dengan setiap butir bicara Taufik.
“Abang, Fida pun macam tu juga. Besar hati Fida ni kalau Fida mampu buat abang dan Dalia juga bahagia. Kalau kewangan yang jadi kekangan atas usaha abang dan Dalia untuk menimang cahaya mata, tolonglah izinkan Fida bantu abang. Please!” rayu Fida. Taufik memandang tepat ke dalam mata Fida. Dia tahu Fida ikhlas tapi Taufik terasa segan.
“Nantilah. Biar abang bincang dulu dengan Dalia, ya. Lepas tu abang bagi tahu Fida macam mana.” Jawab Taufik memeberi kata putus sementara.
Di sebalik rak-rak kaca yang sarat dengan pinggan-mangkuk, Adalia hanya berdiri kaku di situ. Dia hanya menjadi penonton dari jauh. Melihat dan menilai dua orang dihadapannya itu. Sesungguhnya hati Adalia sentiasa meragui keikhlasan dan kasih-sayang antara dua insan itu. Riak wajah suaminya yang muram disulami dengan senyuman-senyuman hambar menggambarkan dengan jelas kegusaran di hati Taufik.
‘Apa yang sedang mereka rancangkan? Kenapa begitu serius mereka berbincang? Betul kah hubungan mereka hanya sekadar hubungan adik dan abang?’ Pelbagai persoalan timbul di benak Adalia. Cemburu hatinya sudah tidak dapat dibendung lagi. Tetapi dia wanita matang. Dia takkan membuka pekungnya sendiri. Mengamuk tak tentu hala di khalayak ramai. Itu bukanlah gambaran yang dia mahu orang lain lihat ada pada dirinya. Dia wanita bermaruah.
Sepanjang perjalanan pulang, Taufik banyak mendiamkan diri. Dia ingin menyampaikan hasrat hati Fida kepada Adalia. Dia sedang menyusun, merangka, mengarang ayat terbaik supaya Adalia tidak terasa rendah diri atau diperlekehkan. Taufik bimbang kalau-kalau Adalia fikir dia saja menjaja cerita kekurang mereka kepada sesiapa sahaja.
“Abang diam saja, kenapa?” soal Adalia. Di benaknya dia tahu Taufik sedang fikirkan tentang pertemuannya dengan Fida sebentar tadi. Dia tidak mahu bertanya. Dia mahuTaufik yang berterus-terang dengannya sendiri tanpa dipinta. “Abang… abang fikir apa tu?” tegur Adalia sekali lagi setelah melihat Taufik langsung tidak memberi reaksi balas. Ditepuk bahu suaminya itu perlahan.
“Aaa… tak ada apa lah Dalia. Nak balik terus atau nak singgah makan?” soal Taufik kepada Adalia. Dia masih belum bersedia untuk bercerita tentang permintaan Fida sebentar tadi.
“Abang dah lupa, kah? Kan tadi kita dah beli ayam panggang untuk makan di rumah?” Adalia mengingatkan semula kepada Taufik yang jelas mengelamun jauh.
“Oh, ya lah. Lupa dah abang.” Jawapan Taufik itu membuka peluang kepada Adalia untuk terus menekan Taufik.
“Itulah, jauh melayang fikiran abang. Lupa terus isteri kat sebelah ni. Abang fikirkan siapa?” soal Adalia cuba mengorek rahsia.
“Mana ada fikir siapa-siapa. Memandai saja, Dalia ni.” Sekarang bukan masa yang sesuai untuk dia berbincang. Biarlah nanti setelah selesai makan dan selesai solat baru dia akan membuka cerita. Mungkin waktu itu, keadaan lebih tenang.
Namun begitu, perancangan Taufik tidak berjalan sepertinya. Adalia telah meminta izin untuk tidur lebih awal malam itu. Taufik tidak ada alasan untuk menghalang. Jika dipaksa berbincang pun pastinya Adalia tidak selesa dalam keadaan mengantuk begitu. Sudahnya, Taufik berjaga di hadapan televisyen. Kepalanya terlalu banyak berfikir membuatkan dia sukar untuk melelapkan mata.
Isu itu berlanjutan sehingga hampir satu minggu. Pada hari khamis berikutnya, Adalia meminta izin untuk pulang ke kampung sendirian.
“Kenapa nak balik sorang-sorang? Biarlah abang teman Dalia. Abang bukannya kerja pun hujung minggu ni.” Taufik hairan dengan permintaan Adalia. Tak pernah langsung dia pulang ke kampung sendirian tanpa sebab.
“Dalia nak balik kejap saja. Ada hal yang ibu nak ceritakan pada Dalia. Hal keluarga sebelah abah. Kalau abang balik sekali, nanti Dalia takut ibu segan pula nak bercerita.” Adalia terpaksa menipu. Sedangkan sebaliknya, dia yang ingin meminta pendapat ibunya tentang hal Taufik dan Fida.
“Tak pernah-pernah ibu segan dengan abang. Lagipun nanti di kampung, Dalia bagi lah signal kat abang. Abang boleh keluar minum kopi dengan abah ke kejap. Kan lagi senang Dalia nak berborak dengan ibu?” Taufik masih lagi memujuk. Musnah lagi rancangannya untuk bersemuka dengan Adalia tentang hal rawatan mereka itu.
“Abang, please? Dalia jarang meminta-minta dari abang. Tapi kali ini, Dalia betul-betul minta tolong dengan abang, tolong izinkan Dalia pulang ke kampung sorang-sorang, please?” rayu Dalia lagi. Taufik sudah tidak punya alasan. Dia tak suka berkeras dengan Dalia dan dia memang tidak pernah pun berkeras dengan Dalia. Dalia sentiasa rasional dalam tindak-tanduknya.
“Okay…” jawab Taufik sambil mengusap-usap pipi Dalia perlahan-lahan. “Dalia kena hati-hati tau. Call abang bila Dalia berhenti. Call abang bila Dalia dan selamat sampai. Call abang on what ever reason sekali pun sepanjang perjalanan esok.” Pinta Taufik bersungguh. Tiba-tiba hatinya terasa sedikit jauh dari Adalia. Dia sendiri tak faham kenapa.
Usapan tangan di pipi Adalia membuatkan tiba-tiba dadanya terasa sebak. Dia benar-benar mencintai suaminya sepenuh jiwa dan raga. Dia tidak sanggup kehilangan Taufik. Bukan setakat berpisah, berkongsi suaminya dengan wanita lain juga dia tidak rela. Apatah lagi Fida. Perempuan yang sentiasa ada di hati Taufik sejak dia kecil lagi. Wanita itu sentiasa ada tempat yang istimewa di hati Taufik seumur hidupnya. Pastinya dia akan kalah di dalam pertarungan itu sejak sebelum mereka berjumpa lagi.
Untuk menyembunyikan air matanya, Adalia berpusing membelakangi suaminya. Dengan pantas, Taufik merangkul tubuh Adalia dan membenamkan wajahnya ke rambut lembut Adalia. Fikiran Taufik semakin kusut. Tawaran Fida sangat bermakna untuk mereka berdua tetapi dia tidak tahu bagaimana cara yang paling lembut untuk dia beritahu Adalia tanpa mengguris hati isteri kesayangannya itu.
“Ibu rasa kamu ni fikir banyak sangat lah, Dalia. Entah-entah mereka tak ada pun hubungan pelik-pelik tu. Engkau saja yang syak bukan-bukan.” Komen ibu Adalia setelah mendengar luahan hati anaknya itu.”
“Tapi bu, Dalia yakin sangat mereka ada merancang sesuatu. Abang Taufik langsung tak ceritakan pada Dalia yang dia berjumpa dengan Fida masa tu. Dalia tunggu jer dia buka mulut. Tak ada, bu. Tak ada langsung.” Luah hati Adalia. Air matanya sudah lama gugur sejak mula dia bercerita kepada ibunya lagi.
“Mungkin benar mereka merancang, tapi rancangan mereka bukan seperti yang Dalia bayangkan.” Zaharah kenal sikap Adalia yang sentiasa merasa kekurangan. Sejak dia kecil lagi Adalia sentiasa kurang keyakinan diri. Walau bagaimana sekalipun Zaharah cuba meyakinkan Adalia, dia tetap tidak percaya.
“Entahlah ibu. Dalia bingung. Dalia tak tahu nak fikir apa.” Esakkan Adalia makin deras di bahu Zaharah.
“Kamu tidurlah dulu, Dalia. Bawa berehat. Tenangkan fikiran. Ibu yakin ia tidak seteruk yang Dalia fikirkan.” Pujuk ibunya. Adalia akur dengan cadangan ibunya. Dia meletakkan kepalanya di bantal dan cuba untuk tidur sebentar.
Tanpa Adalia sedar, Zaharah menghubungi Taufik.
“Taufik, ibu tak suka nak masuk campur urusan peribadi kamu berdua. Tapi ibu tengok Dalia tu dan susah hati sangat sekarang ni. Runsing hati ibu.” Cerita Zaharah kepada Taufik.
“Ya Allah… ibu, Dalia dah salah faham tu. Jauh sangat dia menyimpang.” Ujar Taufik. Dia langsung tidak menyangka sejauh itu Adalia bayangkan.
“Kamu datanglah sini, jemput dia ya. Sembanglah dengan dia baik-baik. insyaaAllah… Ibu yakin dia boleh terima hal yang sebenarnya. Dia Cuma takut kehilangan Taufik.” Pinta Zaharah kepada menantunya.
Malam itu juga Taufik membeli tiket bas dan terus bertolak ke rumah mentuanya. Keesokkan paginya, Adalia terkejut apabila dia terjaga dari tidur dalam pelukan Taufik.
“Abang… bila abang sampai?” soal Adalia kehairanan. Taufik yang masih lagi separa sedar merangkul tangannya lebih erat di pinggang Adalia, cuba menjawab dengan sisa-sisa tenaga yang ada.
“Pukul 5 padi tadi. Abang nak sambung tidur sikit lagi ya. Nanti abang bangun.” Pinta Taufik bagaikan anak kecil yang malas untuk bangun pagi. Adalia membelai-belai rambut Taufik perlahan-lahan. Hatinya kembali sebak namun dia bertekad untuk menahan air matanya.
“I love you, darling…” kata Adalia sambil mencium dahi suaminya.
“I love you more, sweetheart…” Taufik membalas dalam keadaan separa sedar. Adalia bergerak turun dari katil perlahan-lahan. Dia masuk ke bilik air untuk membersihkan diri dan bersedia untuk solat subuh. Lebih kurang jam 6:30 pagi, dia mengejutkan Taufik pula. Bimbang suaminya terlepas waktu Subuh.
Selesai sarapan, Adalia mencari kelibat suaminya di dalam rumah tetapi tidak kelihatan. Dia menjenguk ke luar jendela. Taufik sedang berada di atas buaian sendirian. Adalia turun ke bawah menyertai Taufik.
Taufik melemparkan senyuman paling manis kepada isterinya apabila dia nampak Adalia keluar berjalan ke arahnya.
“Kenapa abang duduk kat sini sorang-sorang?” soal Adalia.
“Tunggu Dalia datang cari abang lah.” Balas Taufik. Senyuman masih melekat dibibirnya.
“Kenapa abang datang ke sini? Sepatutnya, hari ni Dalia dah balik rumah.”
“Rindu. Bosan abang tidur sorang-sorang kat rumah.”
“Oh, sebab bosan…” ulang Adalia.
“Salah. Sebab rindu. Kan abang jawab ‘rindu’ mula-mula tadi.” Taufik mengangkat keningnya kepada Adalia. Adalia hanya tersengih. “Dalia, ada benda yang sedang abang fikirkan yang abang tak tau macam mana nak sampaikan pada Dalia.” Taufik membuka mulut juga akhirnya.
“Dalia tau. Dalia nampak abang berjumpa dengan Fida tempoh hari.” Adalia memotong bicara Taufik serta merta. Dia tidak mahu dengar ayat-ayat itu dari mulut Taufik. Biarlah hal itu mereka sama-sama faham, bukannya sebutir-sebutir perkataan daripada mulut Taufik. Adalia tak sanggup nak mendengarnya.
“Adalia, sayang…” Taufik menggenggam kemas jemari isterinya. “Dalia dah salah faham. Apa yang kami bincangkan bukanlah apa yang Dalia fikirkan.” Taufik merenung ke mata Adalia. Dia ingin meyakinkan isterinya itu sepenuhnya. Dia teramat sayangkan wanita di hadapannya itu. “Begini… sebelum abang ceritakan… abang mohon pada Dalia jangan salah faham. Bukan abang yang meminta, tetapi ini permintaan Fida.”
Makin sayu hati Adalia mendengar nama wanita itu keluar dari mulut suaminya. Gugur lagi air matanya pagi itu.
“Dalia. Fida memohon supaya dia dapat membantu kita dalam pembiayaan doktor pakar yang kita pergi hari tu. Dalia ingatkan? Dalia ingat rawatan yang doktor ceritakan pada kita hari tu?” Adalia keliru. Dia memandang tepat ke arah Taufik.
“Rawatan doktor? Abang ceritakan pada dia tentang rawatan kita? Tentang hal peribadi kita?”
“Bukan abang berniat nak bercerita tentang semua tu. Masa hari Dalia nampak abang berbula dengan Fida tu, dia tanya mana anak-anak kita. Jadi abang just bagi tau kita belum ada rezeki. Kemudian, dia yang cadangkan untuk semua rawatan tu. So… abang just cakaplah yang kita masih belum mampu. Terus saja dia cakap dia mahu membantu kita. Sebagai membalas jasa seorang adik kepada abangnya.”
Dalia memandang Taufik terus menerus tanpa henti. Dia seakan tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya. “Abang teruk kena belasah dulu sebab nak defend dia tau! Jadi abang rasa abang layak untuk terima sedikit habuan. Kan?” kata Taufik sambil cuba memancing senyuman dibibir isterinya.
“Tapi rawatan tu kan mahal sangat. Betul ke Fida nak sponsor semua?” soal Adalia lagi.
“Betul lah, sayang.”
“Tapi kenapa?” Adalia masih belum yakin.
“Sebab… dia dah anggap abang ni seperti abang kandungnya dan Dalia seperti kakak ipar kesayangannya. Sebab… kakak iparnya ni adalah isteri kesayangan abang kandungnya.” Jawab Taufik sambil memeluk erat bahu Adalia.
“Betul ke ni, abang? Bukan sebab dia nak kahwin dengan abang?” uji Adalia kepada Taufik. Taufik terus ketawa terbahak-bahak mendengar soalan isterinya itu.
“Sayang! Kalau dia nak kawin dengan abang pun abang tak nak lah. Abang sayang sesungguh-sungguh sayang kat Dalia tau. Takkan abang nak cari orang lain? Dalia saja satu-satunya isteri abang… dunia akhirat…” jawab Taufik. Dia berharap sangat yang suatu hari nanti tembok persembunyian Adalia itu akan runtuh dan Adalia mampu keluar dan berdiri megah. Dia perlu sedar betapa dirinya teramat berharga kepada Taufik.
“Dalia tahu tak… Kami tidak ada adik-beradik dan kaum keluarga yang lain. Semua yang tinggal di Rumah Impian itulah adik-beradik kami. Fida masuk ke situ sejak dia berumur 2 tahun. Keadaannya masa tu sangat-sangat menyedihkan. Dia takut untuk mendekati sesiapa pun. Jika ada yang datang rapat, dia akan terus terduduk memeluk lututnya. Dia seperti tidak percayakan sesiapa.” Suara Taufik begitu tenang menceritakan sejarah mereka.
“Sehinggalah satu hari apabila Khalid datang cuba menyentak Fida turun dari katil. Masa itu umurnya 4 tahun. Abang terus menerkam Khalid dan menumbuk mukanya. Sejak itu, Fida hanya percayakan abang. Ke mana sahaja dia pasti mencari abang. Diusia 4 tahun, kasih-sayang yang terbentuk antara kami hanyalah kasih-sayang dua saudara yang langsung tiada pertalian darah. Hanya keyakinan dan kepercayaan semata-mata.”
“Abang…” Adalia bersuara setelah Taufik diam beberapa ketika. “Dalia berdosa dengan abang dan Fida. Dalia dah fikirkan yang bukan-bukan tentang abang dan Fida.” Kata Adalia sambil menangis.
“Dalia, abang tak salahkan Dalia. Abang rasa kalau abang di tempat Dalia, mungkin tindakan abang lebih teruk lagi. Dalia tidak tahu perkara sebenar dan abang pula mengambil masa yang sangat lama untuk berterus-terang. Abang bimbang Dalia akan tersalah faham. Tapi rupanya bila abang diam, Dalia lebih tidak tenteram. Abang minta maaf, sayang…” ucap Taufik terlebih dahulu meminta maaf.
“Dalia pun sama, abang. Maafkan Dalia ya…” Adalia tunduk mencium tangan suaminya. Lapang rasa dadanya saat itu. Hanya tinggal satu sahaja lagi perkara yang perlu dia lakukan. Dia perlu berjumpa dengan Fida dan memohon maaf daripadanya.
Share this novel