~ 4 ~

Family Completed 8882

Irwan seorang penjawat awam. Agak sukar baginya untuk berpindah tempat kerja dalam tempoh yang singkat. Dia menyewa sebuah studio apartment yang berhampiran dangan tempat kerjanya.

‘Berapa lama aku perlu tinggal di sini? Sudah 10 tahun aku kerja, rasanya sudah sampai masanya untuk aku bergerak ke tempat lain. Cari angina baru. Duduk dekat-dekat macam ni, nanti senang pulak dia datang office tuntut itu ini dari aku.’ Irwan berfikir sendirian. Televisyen terpasang tetapi Irwan sedikit pun tidak memberi tumpuan kepada apa yang ditayangkan.

Irwan terus bangun dan mengambil beg komputer ribanya. Kemudian, dengan lancar Irwan menaip surat permohonan pertukaran kepada majikannya. Dia ingin pergi jauh dari situ. Dia tidak mahu Fida mengambil kesempatan ke atasnya di masa akan datang. Keadaan sekarang terjadi disebabkan Fida. Bagi Irwan, Fida yang bersalah. Dia perlu menanggung akibatnya.

“Selepas ini, aku akan memulakan hidup yang baru ditempat yang baru. Ini Irwan lah!” Katanya mendabik dada. “Aku juga ada rupa, okay! Petik jari, 10 mari lah!” kata Irwan sambil tersengih-sengih seorang diri. Dia yakin hidupnya akan lebih baik daripada Fida. Dia akan pastikan yang Fida tidak akan mendapat apa-apa bantuan bantuan pun daripadanya.

Tiba-tiba telefon Irwan berbunyi. Tertera nama Lukman di skrin.

“Hello.” Jawab Irwan selamba.

“Wan, kau ada mana sekarang? Jom lepak mamak.” Lukman memberi cadangan. Lukman masih bujang walaupun usianya sudah 30 tahun. Irwan mendongak mencari jam.

“Dah pukul 11 lah, Man.” Jawab Irwan cuba mengelak. Malas pulak dia mahu keluar.

“Hey, sejak bila jam tu jadi masalah bagi engkau?” balas Lukman. Selama hari ini, tidak pernah pula Irwan menolak pelawaannya untuk keluar lepak. Hairan dia.

“Yer lah! Engkau ni. Aku nak rehat kejap kat rumah pun tak boleh.”

“Kau nak rehat seorang-seorang kat rumah nak buat apa? Kau berkabung ka apa?” Buntang biji mata Irwan mendengar ayat rakannya itu. Dia rasa seperti Lukman menganggap perceraiannya dengan Fida adalah satu kekalahan baginya. Lukman silap!

“Hey, bro! Cakap bebaik sikit aaa. Kau tunggu kat Mamak Naseer tu. Nanti aku datang.” Pantang betul dia dicabar seperti itu. Laju saja Irwan bersiap dan keluar.

Apabila dia sampai di Restoran Mamak Naseer, Lukman sudah pun ada di situ. Tetapi dia tidak keseorangan. Dia sedang berbual-bual dengan Zahir. Seorang lagi teman lepak mamak malam-malam. Dia mengambil tempat duduk di hadapan Lukman dan terus membuat pesanan.

“Anne, the tarik kaw 1!” jerit Irwan. Salah seorang pelayan restoran itu menganggukkan kepalanya dan terus ke kaunter air membuat tempahan. “Kau dari mana, Et?’ Et adalah nama timangan Zahir.

“Aku memang tengah minum kat sini tadi. Lepas hantar bini dengan anak-anak aku balik rumah, aku terus datang sini. Kau amacam, bro? Sihat?” soal Zahir merujuk kepada situasi Irwan sekarang yang baru saja selesai kes perceraiannya di mahkamah.

“Mestilah okay. Apa yang tak okay nya pulak?” jawab Irwan dengan begitu ceria sekali.

“Abang mau makan?” tanya pelayan restoran yang datang menghantar minuman kepada Irwan.

“Boleh. Kau bagi aku 2 roti kosong, kuah banjir aaa.” Balas Irwan kepada pelayan tersebut dan kembali mengadap wajah Zahir. “Sekarang dah bujang, bro! Aku dah jadi geng Lukman.” Balasnya berseloroh sambil menepuk-nepuk bahu Lukman.

“Fida dan anak-anak kau macam mana?” soal Zahir lagi.

“Macam mana lagi, macam tu lah. Sekarang biar dia rasa susah ke senang nak jadi janda. Minta sangat. Sekarang baru dia tahu langit tu tinggi ke rendah.” Jawab Irwan dengan angkuh. Zahir dan Lukman menggeleng kecil.

“Engkau jangan angkuh sangat Irwan. Bimbang pula aku tengok engkau ni.” Balas Zahir pula.

“Engkau nak bimbang pasal aku kenapa? Aku okay saja. Sekarang ni, semua gaji aku untuk aku seorang saja. Dah tak payah pening-pening nak sara bini.”

“Kalau betul engkau okay, bagus lah. Jangan nanti engkau gila talak, sudah!” Zahir dan Lukman ketawa bersama. Tetapi dalam seloroh, Zahir sebenarnya ingin mengingatkan sahabatnya itu.

“Hey! Ramai lagi perempuan kat luar tu. Buat apa aku cari dia balik. Eh, Lokman. Sepupu kau yang cantik tu, apa nama dia? Kau kenalkan lah dekat aku.” Kata Irwan kepada Lukman sambil tersengih menayang gigi.

“Tak payah kau nak berangan. Kau nak cari awek, jangan cari kaum keluarga aku.” Balas Lukman disambung dengan ketawa besar.

Hampir jam 4 pagi baru, Irwan sampai ke rumahnya. Dalam keadaan mengantuk, payah juga dia nak cari rumahnya sendiri. Dia baru sebulan berpindah ke situ. Semua aras, semua pintu kelihatan sama sahaja. Mujurlah pada kunci rumahnya ada rantai kunci yang tertera nombor rumah.

Keesokkan paginya, Irwan kesiangan. Terkocoh-kocoh dia bangun bersiap dan bergerak ke tempat kerja. Walaupun hanya menunggang motorsikal, Irwan tetap lambat. Pagi itu, Irwan akan menghantar surat permohonan pertukarannya kepada Pengarah Jabatan. Dia membuka komputer ribanya dan membaca sekali lagi surat tersebut. Setelah dia berpuas hati, dia mencetak surat itu dan dimasukkan ke dalam sampul surat perang.

“Zakiah, Boss ada?” sapa Irwan kepada Pembantu Tadbir di pejabatnya.

“Ada. Masuklah. Nanti jam 10 dia ada mesyuarat di luar. Kalau nak jumpa, baik jumpa sekarang.”

“Okay, terima kasih.” Irwan terus melangkah ke pintu bilik Pengarah. Diketuk pintu itu perlahan-lahan sebanyak 3 kali.

“Masuk!” jawab majikannya dari dalam.

“Assalamualaikum, Dr. Shauki. Boleh saya berjumpa sebentar?” berdebar-debar dadanya bercakap dengan Pengarah Jabatannya.

“Ya, ya. Duduklah. Lambat kamu punch hari ini.” Tegur Dr. Shauki bersahaja.

“Ya. Maafkan saya, Dr. Shauki.” Merah telinga Irwan ditegur secara langsung seperti itu.

“Ada apa kamu mahu berjumpa saya?” soal Dr. Shauki kembali.

“Saya mahu memohon pertukaran.” Jawab Irwan. Suaranya perlahan tetapi agak tegas. Dia menghulurkan surat yang ditaipnya semalam.
“Mohon bertukar? Kamu mahu ke mana pula?” Dr. Shauki menyambut surat yang dihulur Irwan. Dia terus membuka dan membaca surat tersebut di hadapan Irwan. Irwan diam sahaja. Soalan Pengarahnya tadi pun tidak dijawab. Fikirnya Dr. Shauki aka nada jawapannya setelah dia membaca surat itu nanti.

“Kamu mahu ke Terengganu?” Irwan hanya menganggukkan kepalanya. “Tapi, kamu sedia maklum kan bahawa penempatan pertukaran adalah berdasarkan kekosongan. Saya akan rujuk dahulu dengan Pengarah sana. Mesyuarat dengan Datuk KP bulan hadapan. Kamu tunggu sahaja keputusannya.” Terang Dr. Shauki kepada Irwan.

“Baik, Dr. Shauki. Terima kasih kerana mempertimbangkan permohonan saya. Saya minta diri dulu.”

“Ya, silakan.”

Irwan melangkah keluar dari pejabat dengan hati yang riang. Nampaknya majikannya tidak menghalang permohonan pertukarannya. Dia berharap permintaannya berjaya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience