“Syim, esok akak nak pergi pendaftaran Tahun 1 Sofia. Sufi akak tinggal kat playschool. Untuk pendaftaran murid baru, minta Cikgu Zana dan Cikgu Suzie uruskan. Resit semua saya letakkan atas meja dalam pejabat saya okay. Make sure new students dapat beg 1, baju uniform 2, baju sukan 1 dan set buku mereka ikut umur.” Pesanan Fida panjang lebar. Tahun ini tahun pertama dia terpaksa tinggalkan Future Star di saat-saat waris semua datang mendaftar. Dia lebih selesa melakukan kerja-kerja pengurusan sendiri. Setiap kakitangannya ada tugasan masing-masing. Rasa kurang enak bila dia terpaksa meminta pekerjanya melakukan kerja-kerja pengurusan yang sepatutnya dia yang selesaikan.
“Semua yang mendaftar ker, Kak Fida?” soal Syima kembali. Sebagai orang kanan kepada Fida, kepercayaan diletakkan lebih banyak kepada Syima. Syima tidak mengajar. Dia banyak membantu di playschool sahaja. Tetapi tugasnya paling utama ialah menyelia semua kakitangan lain melakukan kerja seperti yang diamanahkan.
“Semua yang bayar full, saja. Apa yang parents bayar, itu yang kita bagi. Detail ada dalam resit tu. Tanda ikut detail tu ya. Bimbang jadi macam tahun lepas, kita dah bagi barang, tetapi parents lambat nak bayar. Supplier dah minta duit. Terpaksa akak keluar duit sendiri dulu nak cover. Tahun ni, tak mau lagi ada yang macam tu. Penat kita.” Fida perlu lebih sistematik dan proaktif dalam menangani isu-isu bayaran yuran dan sebagainya. Dia tahu isu kewangan adalah isu sensitive. Dia tidak mahu ada perkara-perkara yang tidak elok timbul dikemudian hari.
“Okay, Kak Fida. Cikgu Zana dan Cikgu Suzie dah tau ker? Akak dah bagitau kat diorang?” Syima adakala merasa rendah diri dengan guru-guru di situ. Mereka punyai sijil kelayakkan yang lebih tinggi daripadanya. Mereka ada ijazah dan sebagainya. Sedangkan dia hanyalah lepasan SPM sahaja.
“Sudah, sudah. Cuma nanti kalau ada masalah apa-apa, mungkin diorang akan cari kamu. Sebab tu akak cerita kat kamu juga. Esok juga stok bahan basah akan sampai. Make sure Yanti dan kemas-kemas sikit fridge box tu. Senang nak ambil barang nanti. Siang tadi akak tengok bersepah sikit barang dalam tu. Nak cari apa pun tak jumpa macam tu.” Teringat Fida kejadian petang tadi. Dia ingin menyediakan sedikit makanan ringan untuk Sofi dan Sofia.
Rancangnya dia mahu pulang lewat sikit. Dia mahu susun semua barang-barnag pendaftaran dengan kemas supaya senang pekerjanya ambil alih tugas pendaftar pada keesokkan paginya. Tetapi terkejutnya Fida apabila dia membuka peti beku itu untuk mencari jejari kentang untuk digoreng. Berselerak benar barang-barang di dalam peti itu.
“Dah berbuih mulut saya, Kak Fida. Pandai menjawab budak Yanti tu. Satu kita tanya, 10 jawabnya. Geram saya kadang-kadang. Tapi masakan dia sedap-sedap. Anak-anak suka makan. Jarang makanan tak habis kalau dia yang masak.” Omel Syima tentang Yanti, salah seorang pekerja yang bertanggungjawab di dapur. Selain itu, Yanti juga membantu menjaga anak-anak jagaan di playschool.
“Biasalah, Syima. Semua orang ada baiknya, ada buruknya. Kita nak kena tolerate la sikit. Bimbing dia pelan-pelan. Lama-lama okay lah tu.” Pujuk Fida lagi. Dia perlukan semua pekerjanya dapat bekerja bersama-sama dalam keadaan baik, aman dan damai. “Sebarang masalah esok, kamu call akak. Kalau akak tak jawab, kamu mesej ya.” Pesan Fida lagi kepada Syima.
Hati Fida berdebar-debar menanti hari esok. Tahun pertama anaknya sulungnya melangkah ke alam persekolahan. Tahun pertama anaknya akan berjauhan daripadanya. Tahun pertama Sofia perlu hidup berdikari, menyusun atur barangan sendiri, membeli makanan di kantin sendiri. Fida sendiri bimbang, bolehkah Sofia berdikari.
“Mama, esok Sofia boleh pakai baju baru ni ya?” Sofia datang merapati Fida yang sedang sibuk menggosok baju uniform sekolahnya. Sengaja dia gosokkan semuanya sekali. Dia tidak suka kalut-kalut di awal pagi.
“Ya, Sofia. Esok Sofia dah masuk sekolah. Dah ada uniform baru.” Jawab Fida melayan manja anaknya itu.
“Wah, bestnya. Nanti sekolah Sofia tu besar tak?” soal Sofia ingin tahu. Tak dapat dia bayangkan bagaimana rupa sekolah barunya itu.
“Mestilah besar.”
“Lagi besar daripada Future Star?” soalnya seolah-olah kehairanan.
“Lagi besar daripada Future Star. Sekolah baru Sofia nanti ada banyak bangunan, ada banyak tangga, ada baaaaaanyak bilik.” Jawab Fida cuba membayangkan sekolah yang bakal dimasukki Sofia esok.
“Wah! Seronoknya.” Balas Sofia sambil menepuk-nepuk kedua-dua tangannya. Ceria betul anak kecil itu. Fida melangut mencari jam di dinding.
“Sofia, dah jam 10 dah. Sofia kena tidur awal. Esok mama kejut, payah pula nak bangun kalau tidur lewat-lewat.” Pesan Fida lembut kepada anaknya. Tapi dia tahu, pasti susah anaknya itu mahu lelapkan mata malam itu. Hatinya terlalu teruja untuk ke sekolah esok. Sufi sudah lama tidur.
Sufi dan Sofia tidur di bilik yang sama. Selepas Sufi berhenti menyusu badan, dia asingkan Sufi untuk belajar tidur sendirian. Tetapi Sufi asyik menangis di tengah malam. Sudahnya, di bawa katil Sufi ke bilik Sofia. Jadi, tidurlah dua beradik itu di dalam satu bilik. Rancangan Fida, apabila Sufi empat tahun nanti dia akan asingkan pula Sufi daripada Sofia. Biarlah mereka tidur di bilik masing-masing sendiri.
Lebih kurang jam 11 malam, Fida selesai menggosok baju. Dia turun ke tingkat bawah rumahnya untuk ke perpustakaan mini merangkap pejabat di rumahnya. Dia sekali lagi menyemak semua dokumen yang harus di bawa esok ke pendaftaran Sofia. Dia tidak mahu tercicir satu helaian pun. Kemudian, Fida ke dapur pula. Diteguknya segelas air kosong sebelum tidur. Dia periksa setiap tingkap dan pintu di dapur dan di ruang tamu berkunci rapat. Setelah semua lampu dimatikan, dia menjenguk sedikit ke luar. Mahu pastikan keadaan di luar rumahnya juga dalam keadaan selamat.
Setelah dia naik ke atas, dia mencapai beg pakaian Sufi. Dia mengemas pula barang Sufi untuk di bawa ke playschool esok.
‘Cepatnya masa berlalu. Sofia dan masuk Tahun 1. Sufi pun dah tiga tahun. Tahun depan, Sufi pun dah masuk tadika. Dah tua dah aku pun…’ Fikir Fida. Pantas saja dia memandang ke dalam cermin muka yang berhampiran. Mencari tanda-tanda penuaan diwajahnya. Dibeleknya seketika di mata dan mulutnya. ‘Alah, apa ada hal kalau nampak tua pun? dah memang dah tua. Takkan nak nampak macam muka Sofia pula.’ Tersenyum sendirian Fida di situ sambil memandang tepat ke matanya di dalam cermin.
Setelah selesai semua persiapan, terus Fida memadamkan semua lampu kecuali bilik air anak-anaknya dan juga lampu di tangga. Senang untuk anaknya ke tandas jika lampu sudah terpasang. Terus sahaja dia masuk ke biliknya dan merebahkan badannya ke katil. Tiba-tiba fikirannya melayang teringatkan kejadian semasa Majlis Graduasi Future Star tahun lepas.
‘Esok pasti lebih ramai mak ayah, atuk nenek yang datang mendaftar anak cucu mereka. Janganlah Sofia sedih-sedih lagi. Macam mana aku nak handle tengah-tengah ramai orang tu. Duhai Sofia, tolonglah bertahan untuk mama ya.” Doanya di dalam hati. Mata Fida memandang tepat ke siling kosong di atasnya. Tiba-tiba hatinya berdebar-debar. Tidak tahu apa yang perlu dijangkakan. Tidak tahu bagaimana dia perlu bersedia. Di saat itu dia terfikir, duit sebanyak mana sekali pun takkan boleh membeli kebahagiaan hati dan ketenangan jiwa.
Entah jam berapa Fida terlena malam tadi. Apabila jam locengnya berbunyi pada pukul 6 pagi esoknya, Fida agak keletihan. Terasa umpama tidurnya semalam tidak cukup. Dia terus bangun dan mandi. Selesai mandi, dia ke bilik Sofia untuk mengejutkan anaknya. Tidak susah untuk mengejutkan Sofia pagi itu. Semangat untuk ke sekolah agaknya. Selesai solat Subuh, Sofia masuk ke bilik Fida untuk bersiap. Fida juga sudah siap berpakaian. Dikemaskan pakaian seragam Sofia dan ditocangkan rambut Sofia dengan kemas. Tersenyum lebar Sofia melihat wajahnya di dalam pakaian serba baru.
“Sofea, tolong angkat beg baju Sufi bawa turun ke bawah yer. Beg Sofia mama dah letak dalam library. Jangan lupa ambil stoking siap-siap ya.” Pesan Fida kepada anaknya itu.
“Mama…” tiba-tiba Sufi yang baru bangun daripada tidurnya datang memeluknya.
“Hai, Sufi. Assalamualaikum… good morning… Sufi dah bangun ya..” Sufi mengangguk-angguk perlahan. Matanya masih lagi belum terbuka sepenuhnya. “Jom mama tukarkan lampin Sufi ya…” Fida memimpin tangan Sufi ke bilik air.
Setelah selesai menyiapkan Sufi, dia pun turun ke tingkat bawah. Dijelingnya jam di dinding. ‘Dah 7 pagi. Singgah tadika sekejap, jam 8 boleh gerak ke sekolah.’ Fida mencongak-congak masanya. Pendaftaran bermula jam 8:30. Jarak dari tadika ke sekolahnya tidak jauh. Sengaja dia memilih sekolah paling hampir dengan Future Star. Senang dia nak urus kedua-duanya.
“Mama, cantik tak Sofia?” Sofia yang sudah siap berkasut dan menggalas begnya di belakang badan berpusing-pusing beberapa kali di hadapan Fida.
“Wah, cantiknya anak mama. Sini mama ambil gambar Sofia ya.” Fida pun mengeluarkan telefon bimbitnya daripada beg tangan dan mengambil beberapa keeping gambar Sofia. Kemudian, Sofia bergambar pula bersama-sama Sufi.
“Okay, selfie!” cakap Fida sambil duduk melutut di hadapan putera-puterinya. Terus sahaja Sufi dan Sofia datang merangkul tengkuknya. Dia pun menyentuh skrin beberapa kali untuk merakam gambar mereka bertiga. “Okay, dah. Jom gerak. Lamabat pulak kita nanti.” Kata Fida sambil mengangkat beg tangan dan beg baju Sufi sambil berjalan ke luar. Sofia membuka pintu kereta untuk adiknya. Fida pula menguncikan pintu rumah sekemasnya. Setelah semua sedia berada di dalam kereta, Fida menekan butang alat kawalan jauh pintu pagarnya dan terus memandu ke Future Star.
“Sofia, Sufi, pergi sarapan dengan Kak Yanti cepat yer.” Arah Fida kepada anak-anak setibanya mereka di Future Star. Fida terus sahaja ke pejabatnya, membuka kunci pintu pejabat dan memanggil Syima sekali lagi untuk beri taklimat tentang susun atur barang-barang untuk pendaftaran murid Future Star.
“Akak balik jam berapa nanti?” tanya Syima kepada Fida. Dia juga ingin bersedia secara mental dan fizikal untuk hari ini. Tugas pengurusan tadika secara tak langsung Fida serahkan kepadanya. Jadi dia perlu bersedia sepenuhnya.
“Kalau ikut tentative yang sekolah bagi, dalam jam 12:30 selesailah. Plus minus jam 1 akak sampai lah kot.” Jawab Fida. Syima mengangguk-angguk tanda faham.
“Wah… cantiklah Sofia hari ni. Dah sedia nak pergi new school?” soal Yanti kepada Sofia yang datang untuk sarapan bersama-sama Sufi.
“Mestilah. Sofia pakai baju baru. Cantikkan baju Sofia? Tengok tocang Sofia ni. cantik kan? Mama buat.” Kata Sofia dengan ceria sambil berpusing-pusing di hadapan Yanti menayang baju barunya.
“Nape kakak pakai baju ni?” soal Sufi yang kehairanan. Agaknya dari tadi dia hairan melihat kakaknya tidak memakai pakaian seragam Future Star seperti biasa.
“Kakak nak pergi sekolah baru!” jawab Sofia dengan gembira dan bangga. Dia sekarang sudah besar.
“Sufi nak ikut.” Pinta Sufi kepada Sofia.
“Tak boleh! Sufi masih kecil. Nanti Sufi dah 7 tahun macam kakak, baru Sufi boleh ikut.” Jawab Sofia jujur. Tetapi apalah yang Sufi boleh faham. Baginya, kakaknya akan tinggalkan dia sendirian di situ dan kakak keluar sendirian. Sufi mula menangis dengan kuat. Suara Sufi menarik perhatian Fida.
“Kenapa tu?” Fida sampai ke dapur tempat mereka semua sedang makan.
“Sufi nak ikut kakak pergi sekolah baru. Boleh kan mama?” tanya Sufi kepada Fida dengan esakkan yang tertahan-tahan.
“Sekolah baru mana. Kakak tak pergi mana-mana lah. Kakak ada di sini saja dengan mama.” Jawab Fida memujuk anaknya daripada tangisan. Sekejap lagi, Sufi ikut Cikgu Syima pergi playschool yer. Sufi nak main dengan friends tak?” fida cuba mengalih perhatian Sufi daripada isu kakaknya kepada kawan-kawannya.
“Nak! Nak!” jerit Sufi dengan ceria. Hilang sudah esakkan tadi. Anak kecil, masih lagi mudah untuk dipujuk. Fida menunjuk arahan kepada Syima untuk membawa Sufi ke bangunan playschool yang terletak di bahagian belakang bangunan utama tadika Future Star.
“Okay, jom Sufi ikut cikgu ya…” Syima menghulurkan tangannya kepada Sufi. Mudah saja Sufi menyambut tangan Syima. Mereka berjalan beriringan bersama-sama. Fida melihat jam di tangannya. 7:55 pagi.
“Sofia, dah ready ker? Jom, nanti lewat sangat pulak kita sampai.” Soal Fida kepada Sofia yang masih mengadap pinggan nasi goring kak Yanti.
“Sudah mama. Sekejap, sofia nak habiskan milo ni.” terus dia meletakkan sudu dan mencapai cawan berisi air milo suam. Dengan sekali teguk, habis semuanya. “Okay, mama. Jom.” Kata Sofia kepada Fida. Ceria sungguh dia. Tak sabar mahu ke sekolah baru.
‘Ya Allah, permudahkanlah urusan aku hari ini.’ Doa Fida di dalam hati. Dia tak sanggup melihat anaknya menangis untuk seseorang yang langsung tidak tahu menghargai kasih-sayang anak-anaknya sendiri.
Lebih kurang jam 8:15, Fida dan Sofia tiba SK Taman Bayu Utama. Setelah mengambil semua dokumen yang diperlukan, Fida memimpin tangan anaknya berjalan menuju ke arah yang ditunjukkan. Banyak anak panah bertanda ‘Pendaftaran Tahun 1’ dipasangkan di seluruh kawasan laluan utama sekolah. ‘Good effort. Senang waris nak cari. Tak payah nak tanya-tanya.’ Fikirnya.
“Assalamualaikum, puan. Anak puan nama apa?” sapa seorang wanita yang berada di meja bertanda ‘Pendaftaran’. Ada tiga ‘Meja Pendaftaran’ semuanya. Jadi waris tidak perlu beratur panjang menunggu giliran. Buat masa sekarang, Fida rasa berpuas hati dengan pengurusan SK Taman Bayu Utama itu. Jika hal-hal sekecil ini pun mereka titikberatkan, dia yakin pentadbir-pentadbir sekolah ini adalah dikalangan orang yang sangat perihatin.
“Waalaikummussalam.” Fida menjawab salam sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. “Cikgu ya? Nama anak saya Mia Sofia bt Mohd Irwan.”
“Ya, saya. Sekejap ya saya semak.” Fida menjengah tanda nama guru tersebut. Cikgu Syuhada namanya. Dia sedang mencari-cari nama Sofia di atas beberapa helaian kertas yang ada ditangannya. “Okay, Mia Sofia masuk ke kelas Emerald ya. Pintu nombor dua dari sini.” Kata Cikgu Syuhada sambil tangannya menunjukkan arah. “Puan hantar anak puan ke kelas, kemudian puan terus ke dewan untuk taklimat daripada Guru Besar jam 8:30. Ini ada sedikit juadah untuk sarapan, ya puan. Terima kasih.” Cikgu Syuhada tersenyum manis.
“Terima kasih, cikgu.” Ucap Fida sebelum berlalu pergi. Tangannya menggenggam kemas jemari Sofia. Hatinya tak henti berdebar kencang. Dia bimbang Sofia akan sedih lagi nanti. Mereka berjalan ke kelas yang ditunjukkan oleh Cikgu Syuhada tadi. Sesampainya di kelas, sudah separuh meja berpenghuni.
Pelbagai ragam anak-anak kecil ini di hari pendaftaran Tahun 1. Fida masak benar dengan tingkah-laku mereka. Di Future Star juga begitu. Hari pertama persekolahan selalunya hari yang agak memenatkan. Ramai yang belum biasa berjauhan dengan ibu bapa masing-masing. Tetapi tak kurang juga yang tenang malah gembira. Mereka sangat aktif dan berseronok di tempat baru bersama rakan-rakan baru yang lebih ramai berbanding di pra-sekolah.
“Sofia nak duduk di mana?” tanya Fida kepada anaknya. Sofia menunjukkan ke arah satu meja kosong. Setiap meja disusun sebuah-sebuah. Mungkin ada sedikit saringan yang sekolah ingin lakukan. Mereka pun berjalan menuju ke meja yang dimaksudkan oleh Sofia.
“Sofia okay?” Fida duduk melutut bersebelahan Sofia. Direnung wajah anaknya itu. Dia cuba membaca isi hati Sofia melalui riak wajahnya.
“Okay. Tapi mama, besar sangatlah sekolah ini. Sofia takut.” Jawab Sofia jujur. Dia tak habis-habis memandang ke sekeliling. Melihat semua orang yang melintasi kelasnya satu persatu.
“Tak perlu takut. Nanti bila ada kawan datang duduk kat sebelah ni, boleh la Sofia berkawan. Nanti, semua orang dalam kelas ni akan jadi kawan Sofia.” Fida memujuk sambil menunjukkan semua meja-meja yang bersusun di dalam kelas itu.
“Ramainya!” jawab Sofia sambil tersengih. Senang sedikit hati Fida melihat riak wajah anaknya itu.
“Sekejap lagi, mama kena pergi dewan. Sofia duduk di sini, tunggu sampai mama datang. Boleh?”
“Duduk sini nak buat apa mama? Kalau cikgu minta keluarkan buku, macam mana. Sofia tak ada buku.” Soal Sofia sedikit cuak.
“Kalau cikgu minta buku, Sofia angkat tangan beritahu, ‘Saya tak bawa buku. Boleh saya minta kertas?’ Caranya sama macam di Future Star juga.” terang Fida sambil mencuba untuk memberi keyakinan kepada Sofia. Sofia hanya menganggukkan kepalanya.
“Assalamualaikum semua.” Tiba-tiba suara seorang lelaki bergema di dalam bilik itu. Semua mata berpusing kepadanya. “Mohon semua waris ke dewan sekarang ya. Guru Besar akan mulakan sesi taklimat sebentar saja lagi. Mohon kerjasama semua, sila ke dewan.” Taufik bersuara lagi dengan jelas dan terperinci. Semua waris mula bergerak keluar dari kelas tersebut.
‘Aku kenal lelaki itu.’ Fikir Fida. Dia bertambah yakin apabila membaca tanda nama guru tersebut. ‘Abang Taufik!’ Tiba-tiba, mata lelaki itu memandang ke arahnya.
Share this novel