Fida melangkah keluar daripada bangunan agam itu sendirian. Dia tidak pasti perasaannya ketika itu. Lega, senang hati, takut, risau, semuanya bercampur baur.
“Setelah saya teliti cerita kamu berdua, saya dengan ini mengisytiharkan lafaz cerai kamu terhadap isteri kamu ini... sah.”
Jelas sungguh suara hakim sebentar tadi. Tiada setitis pun air mata yang gugur diwajah Fida. Dia sudah puas menangis sepanjang tempoh perkahwinannya dengan Irwan. Dia terima keputusan hakim dengan rasa yang begitu tenang. Timbul juga rasa bersyukur kerana akhirnya urusan ini telah selesai. Tiada lagi naik turun mahkamah selepas ini. Tiada lagi Irwan dalam kehidupannya sehari-hari.
Tetapi bagi Irwan, kata-kata hakim tadi tajam menusuk ke jantungnya. Dia masih berharap rumahtangganya masih dapat diselamatkan. Dia masih berharap dia dapat kembali kepada hidupnya yang lama. Dia masih berharap masa depannya ada bersama-sama Fida dan anak-anaknya. Lafaz cerainya hari itu bukanlah niat sebenar di hatinya. Dia hanya ingin mengajar Fida menghormati dia sebagai ketua keluarga. Bukan mudah-mudah Fida boleh mengarahkan itu ini kepadanya. Fida yang sepatutnya mengikut arahannya, bukan dia.
‘Keras sungguh hati perempuan ni. Setitik air mata pun tak jatuh. Seronok sangat agaknya jadi janda?’ gerutu hati Irwan apabila terpandang wajah Fida yang pernah menjadi suri hatinya sebelum ini. Tiada langsung iras penyesalan atau kesedihan yang tergambar pada raut wajah wanita di hadapannya itu. Makin bertambah luka di hati Irwan.
“Apa yang aku perlu buat sekarang?” Soal Fida sendirian. Matanya terarah kepada hutan belukar di luar pagar Mahkamah Syariah itu. Bukan kerana pemandangan itu menarik tetapi pandangan Fida sekarang tiada limit. Infiniti. Terus tembus belukar dihadapannya itu. Dia mengangkat tangan kanannya untuk melihat waktu. “11 pagi. Balik rumah dulu lah. Sufi dah bangun rasanya sekarang.” Dia teringatkan anak kecilnya yg berusia setahun lima bulan di taska. Kini masa depan Sufi dan Sofia terletak seratus peratus di atas bahunya seorang. Dialah ibu, dialah bapa.
Irwan berjalan keluar dari kamar Hakim ditemani ayahnya dan dua orang lagi sahabat baiknya. Dia melintasi Fida di tangga utama Kompleks Mahkamah Syariah. Sakit betul hati Irwan melihat wajah tenang Fida. Tiada secalit kegusaran pun yang ditunjukkan. Cuma yang dia boleh nampak yang Fida seolah-olah tenggelam dalam dunianya sendiri.
‘Padan muka engkau, Fida. Pandai-pandai buat laporan pasal lafaz cerai tu kan? Engkau sengaja perangkap aku untuk menceraikan kau. Engkau sengaja mencabar kesabaran aku. Dan sekarang, kau nak play victim. Jangan-jangan memang itu pun yang duk tunggu selama ni, kan?’ timbul rasa dendam di hati Irwan dengan tindakan Fida. Dia tidak menyangka isterinya yang lemah-lembut sebenarnya mempunyai hati sekeras batu.
"Engkau seronoklah sekarang kan?” Irwan berhenti seketika di sebelah Fida. “Kau nak sangat bercerai dengan aku kan? Kau sara lah anak-anak kau sendiri. Jangan kau minta satu sen pun dari aku!" Irwan masih belum puas mencemuh wanita itu. Dia ingin membalas dendam kepada Fida. Dia teramat marah apabila Fida bertindak membuat laporan kepada Mahkamah Syariah tentang lafaz cerainya itu. Sebelum ini, bermacam-macam gaya pujuk yang telah Irwan lakukan, tetapi Fida tetap berkeras ingin ke mahkamah.
“Kita bawa benda ni kepada yang lebih arif. Kita dengar apa kata Hakim. Kalau benar tak sah macam yang abang cakap tu, tak apa lah. Tapi kalau jatuh talak tida yang abang lafaz hari tu, kita dah dikira berzina ni abang.” Balik-balik, ini lah hujah Fida kepadanya. Langsung tidak mempedulikan apa yang Irwan cuba sampaikan kepadanya.
Fida sudah tidak terkesan dengan kata-kata Irwan. Walaupun perkahwinan mereka dulu adalah pilihan sendiri, tetapi pilihannya silap. Dia salah menilai lelaki bernama Irwan itu. Entah apa yang dia nampak pada Irwan waktu itu, dia pun sudah lupa. Sekarang, dia telah ‘dibebaskan’ dengan talak tiga. Tiada apa lagi yang tinggal untuk Fida lakukan. Keputusan untuk membuat laporan itu bukanlah tindakan kejam. Lafaz Irwan kepadanya itu yang kejam.
Fida hanya berdiam diri dan membiarkan sahaja Irwan berlalu pergi. Ia umpama drama swasta yang tertayang di kaca televisyen dan dia tidak terasa langsung kata-kata Irwan itu ditujukan kepadanya. Lelaki itu tidak waras sekarang. Mungkin dia perlukan rawatan dan sokongan. Irwan datang berteman. Fida? Fida datang sendirian. Dia tidak kenal siapa ibu ayahnya. Dia hanyalah seorang anak yatim yang dibesarkan di Rumah Impian.
“Apa lagi yang kau marahkan kat si Fida tu? Kau tak nampak ke yang dia tu datang seorang diri saja? Kau tak kesian ker kat dia?” soal ayah Irwan kepadanya sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kereta.
“Buat apa nak kesian kat dia ayah? Biarkan dia. Sombong sangat. Dia ingat dia boleh hidup sendirian. Kalau tak disebabkan dia, semua ni takkan terjadi ayah!” balas Irwan keras. Hatinya masih berbuku geram kepada Fida.
“Kuasa cerai ada ditangan engkau. Engkau yang tidak pandai bersabar. Sekarang, kau nak salahkan Fida. Betul lah tindakkan Fida. Habis, kau nak hidup berzina dengan dia seumur hidup? Talak tiga engkau bagi dia, engkau sedar tak?” marah ayahnya lagi.
“Dia mencabar saya, ayah. Yang ayah suka sangat sebelahkan dia tu kenapa? Saya ni anak ayah. Bukan dia!” Irwan menjadi semakin marah apabila ayahnya asyik-asyik membela Fida. Mendengar suara Irwan sudah semakin meninggi, ayahnya terus mendiamkan diri.
Di fikiran Fida hanya satu sekarang. Akan dia pastikan anak-anaknya nanti dapat menikmati hidup dengan lebih tenang. Dia mempunyai pendapatannya sendiri. Fida amat sukakan kanak-kanak. Malahan dia mempunyai Ijazah Sarjana Pendidikan Awal Kanak-kanak daripada universiti. Dia juga bukan calang-calang. Future Star Kindergarten & Playschool miliknya sudah 5 tahun bertapak. Wang bukan isu utamanya sekarang.
Sebelum pulang, Fida sempat membeli sedikit barang dapur. Dia mahu raikan permulaan kisah hidup baru mereka bertiga hari ini. Dia ingin membuat home-made pizza. Pasti anak-anaknya gembira.
Setelah tiba di rumah, perkara pertama yang Fida lakukan ialah menghubungi pekerjanya terlebih dahulu.
“Assalamualaikum, Syim. Anak-anak tadika dah balik ke semuanya?” Syima yang lebih kerap dipanggil Syim adalah antara pekerja yang setia bersama Fida sejak tahun pertama Future Star ditubuhkan.
“Belum lagi kak Fida. Masih ada Zakwan dan Iman yang belum balik.”
“Wah, awal mak ayah diorang datang ambik hari ni. Belum jam 1 dah surut semua. Sofia dan Sufi tengah buat apa tu?” Sofia sudah berusia 5 tahun. Sudah cukup besar untuk mengenali dan mengingati semua orang di sekelilingnya. Pasti nanti dia akan mencari abahnya, Irwan.
“Sofia tengah mandi. Asyik main dari tadi, kak. Dah lapar nasi, baru nak berenti. Sufi dah makan. Agaknya dah nak tidur balik dah tu.” Jawab Syima menceritakan perihal anak-anak majikannya itu.
“Oh, ya ka. Okay Syim, hari ni saya masuk lewat sikit. Mungkin lepas Asar macam tu baru saya sampai. Kalau ada apa-apa masalah, kamu call saya.” Pesan Fida serba ringkas.
Setelah Syima mematikan telefon, Fida terus naik ke biliknya di tingkat atas untuk mandi dan menukar pakaian. Selesai solat Zohor, dia terus ke dapur untuk menyediakan bahan-bahan untuk pizza seperti yang dirancangkan. Dia hanya menggunakan periuk tekanan tinggi. Jadi tak perlu untuk dia menguli tepung.
Lebih kurang jam 5 petang, Fida telah berjaya menyediakan lima biji pizza dengan pelbagai topping kegemaran anak-anaknya. Ada ayam, ada ketam dan ada tuna. Dibiarkan pizza itu sejuk di bawah tudung saji. Fida terus ke atas untuk solat Asar dan bersiap untuk ke tadika.
Sampai sahaja di sana, sudah ramai anak-anak asuhan yang telah dijemput waris. Hanya tinggal 3 orang sahaja lagi. Mereka memang selalu pulang lewat. Tempat kerja ibu bapa mereka agak jauh. Tetapi Fida tak pernah berkira dengan lebihan masa jika tempohnya kurang daripada 1 jam. Guru tadika seramai 3 orang sudah pulang. Yang tinggal hanyalah 4 orang penjaga di taska.
“Mama! Mama!” Sufi dan Sofia sudah terlompat-lompat berlari mendapatkan mama mereka. Sehari suntuk mereka ditinggalkan di tadika hari ini. Sayu hati Fida mengenangkan nasib anak-anaknya. Mulai sekarang, mereka tidak lagi dapat hidup bersama-sama insan bergelar bapa. Tetapi perasaannya itu disimpan di lubuk hatinya paling dalam.
“Hai anak-anak mama!” sapa Fida dengan ceria. Mereka terus berlari kepada Fida dan terus ke mendakap mama mereka.
“Mama pergi mana lama sangat?” soal Sofia. Hairan dia ditinggalkan sebegitu lama.
“Mama ada kerja sikit di luar. Tapi sekarang mama bawakkan pizza. Siapa nak makan pizza?” ujar Fida untuk menceriakan kembali wajah keruh Sofia. Tiada apa yang boleh dia ceritakan kepada Sufi dan Sofia ketika itu. Mereka masih terlalu kecil untuk faham.
“Sufi! Sufi!”
“Sofia! Sofia!”
Menjerit-jerit anak-anaknya mendengar perkataan pizza. Fida ketawa besar melihat kelaku dua beradik itu.
“Syim, Yaya, tolong angkatkan pizza dalam kereta saya. Kita makan sama-sama ya.” Pekerja-pekerja Fida menurutkan sahaja arahan Fida. Tersengih-sengeh juga mereka dengan rezeki yang tak terduga.
“Mama, ada topping ketam tak?” soal Sofia dengan penuh pengharapan.
“Ada…”
“Sufi… Sufi nak… a… ayam.” Kata Sufi tersekat-sekat. Anak kecil itu baru belajar bercakap. Sepatah-sepatah yang keluar daripada mulutnya.
“Boleh. Ayam pun ada. Jom kita pergi dapur.”
Share this novel