~ 26 ~

Family Completed 8882

“Hello. Assalamualaikum, ibu.” Sapa Harris apabila panggilan telah dijawab.

“Waalikummussalam. Harris kat mana ni?” soal ibu Harris, Salbiah.

“Ada kat rumah ni ja, ibu. Ayah duk buat apa tu?”

“Ayah kamu, selagi tak pukul 10, tak nampak jalan balik rumah. Ada lah tu singgah minum kopi kat mana-mana. Hanna sihat ke tu?” teringat Salbiah kepada cucu sulungnya itu. Buat masa sekarang ni, itu sajalah satu-satunya cucu yang dia ada. Anak bungsunya Harlina pun masih lagi belajar. Baru masuk semester ketiga di universiti. Dia memang suka cucu yang ramai. Tapi apakan daya, jodoh Harris pula tak panjang.

“Sihat je dia ibu. Ada kat bawah depan tv tu ha. Tv saja dia kalau kat rumah ni.” jawab Harris. “Ibu, minggu ni ibu ada di rumah tak?” soal Harris kepada Salbiah.

“Ada je. Tak adalah nak pergi mana. Ayah kamu tu mana boleh tinggal masjidnya. Tambah-tambah kalau hujung minggu. Kenapa? Kamu nak balik ker?” soal Salbiah. Dia berharap sangat anak dan cucunya itu dapat pulang ke kampung. Hilanglah sekejap sunyi rumah itu.

“Harris plan nak balik kejap minggu ni. Nak bawa bakal menantu baru ibu.” Cerita Harris berterus-terang.
“Iya? Orang mana? Macam mana kamu kenal? Wah, diam-diam anak ibu ni ya.” Teruja hati Salbiah apabila tahu yang anak lelakinya itu akan berkahwin lagi.

“Orang sini je, ibu. Dia owner Day Care Hanna tu.” Cerita Harris serba ringkas.

“Owner Day Care? Dah tua ke dia tu? Apa yang kamu cari yang tua-tua pulak?” susah hati pula Salbiah tiba-tiba.

“Eh, tak der lah ibu. Dia muda setahun dari Harris.” Harris membetulkan sangkaan ibunya secepat mungkin. Susah kalau ibunya sudah mula buruk sangka. Penat dia nak betulkan nanti.

“Oh, dah 34 tahun dah la ya. Bujang lagi? Anak dara tua lah tu ya?” banyak sungguh gelaran-gelaran negatif ibunya itu. Harris sudah menggosok-gosokkan dahinya. Risau dengan respon Salbiah apabila dia tahu yang Fida itu janda.

“Bukan anak dara lah ibu. Single mother macam Harris juga. Dia ada anak dua orang.” Jelas Harris. Berdebar-bedar dia menunggu reaksi ibunya itu.

“Janda? Kamu biar betul, Harris. Takkan kamu nak kahwin dengan janda? Entah macam mana perangai dia nanti.” Kata Salbiah meragui pilihan anaknya itu.

“Tak add lah ibu. Dia okay. Harris dah kenal dia serba sedikit.” Jawab Harris mempertahankan Fida.

“Kalau elok perangainya, takkan dia bercerai. Mesti ada sebab dia bercerai.” Tuduh Salbiah lagi. Runsing kepala Harris.

“Habis, ni anak ibu ni pun pernah bercerai juga. Teruk sangat ke perangai anak ibu ni?” Dia cuba membuka sedikit minda Salbiah untuk tidak cepat buruk sangka kepada sesuatu status.

“Kamu ibu kenal. Dia tu ibu tak kenal. Mestilah ibu risau. Ibu tak nak pisang berbuah dua kali, Harris.” jawab Salbiah. Hairan sungguh dia dengan si Harris ni. ‘Ada rupa, ada kerjaya, yang pergi cari yang janda tu buat apa?’ fikirnya lagi. “Tak ada ke anak-anak dara yang mahukan kamu, Harris. Ibu lebih selesa kalau kamu pilih anak dara. Senang nak didik nak bentuk.” Cadang Salbiah lagi.

“Dulu tu kan saya kahwin dengan anak dara lah tu. Senang ke nak bentuk dia tu, ibu?” Harris sudah mula geram. Sekurang-kurangnya, berkenalan lah dulu. Dia tak faham kenapa ibunya terus menolak mentah-mentah begitu. “Kalau Harris kahwin dengan anak dara, belum tentu dia boleh terima Hanna dengan baik, ibu. Dia tiada pengalaman mempunyai anak. Dia tidak tau macam mana nak handle anak. Apatah lagi yang bukan anak dia.” Harris cuba mencari hujah terbaik untuk dia meyakinkan ibunya. “Lagipun, Hanna sendiri yang kenalkan Harris dengan dia mak. Hanna yang jatuh cinta dulu dengan dia.” Mungkin nama anaknya itu boleh mencairkan sedikit hati ibunya.

“Ibu bimbanglah, Harris. entah kenapa dia bercerai, dibuang suami. Sekarang kamu plak nak pergi kutip dia.” Agak makan dalam ayat ibunya itu. Tidakkah ibunya sedar siapa anaknya itu. Apakah dia juga ‘golongan terbuang’ bagi ibu?
“Harris tahu kisah silamnya. Harris dah berjumpa dengan bekas mentuanya. Malah, mereka layan dia bagaikan anak sendiri, ibu. Mungkin lebih daripada anak mereka sendiri. Ibu jumpalah dulu dengan dia, ya. Kemudian, ibu bagitahu Harris macam mana. Boleh?” Harris cuba memujuk ibunya.

“Berjumpa dengan bekas mentuanya? Buat apa? Mak ayah dia kamu dah jumpa?” soal Salbiah. Sedikit sebanyak dia termakan juga apabila mendapat tahu yang wanita itu disayangi bekas mentuanya walaupun mereka telah bercerai. Pasti ada sesuatu yang baik tentang wanita itu.

“Dia anak yatim piatu, ibu. Dia tak kenal pun siapa ibu bapanya. Dia membesar di rumah anak yatim.” Cerita Harris lagi. Tersentuh pula hati Salbiah mendengar cerita Harris itu.

“Hurm, iya lah. Nanti, bawa dia jumpa ibu.” Akhirnya Salbiah membuka ruang juga untuk berkenalan dengan kekasih hati Harris.

Seperti yang dirancang, Harris membawa Fida dan ketiga-tiga anak mereka pulang ke kampung Harris. Pada mulanya, Harris mengajak mereka bermalam sahaja di sana kerana perjalanannya agak jauh, tetapi Fida kurang selesa kerana baru pertama kali bertandang. Bahkan mereka belum ada apa-apa ikatan.

“Baru first time nak jumpa, takkan sampai nak bermalam. Tak manislah, kan. Nanti apa pulak fikir ibu you.” Kata Fida menolak permintaan Harris. Harris menurutkan sahaja.

Mereka bertolak seawal 7 pagi dari rumah dan tiba di sana hampir jam 12 tengahari. Harris singgah membeli nasi beriyani kegemaran ibunya di bandar terlebih dahulu sebelum sampai ke rumah.

“Assalamualaikum…” Hanna turun terlebih dahulu. Dia menarik Sofia turun bersama-sama dengannya. “Nenek… ooo nenek…” panggil Hanna di muka pintu.

“Waalaikummussalam… Hanna!” Salbiah berlari anak dari dapur menuju ke depan apabila dia terdengar suara Hanna memanggilnya. Kemudian dia terperasan ada seorang lagi anak perempuan yang sebaya dengan cucunya berdiri disebelah Hanna. ‘Anak perempuan itu agaknya ni.’ Bisik hati Salbiah. Sambiah mendakap cucunya sambil mencium kedua-dua belah pipi Hanna. Kemudian dia beralih kepada Sofia.

“Yang ini nama apa?” tanya Salbiah kepada Sofia.

“Saya Sofia.” Jawab Sofia dengan perlahan. Sememangnya begitulah sifat Sofia. Sungguh pemalu dengan orang yang belum dikenalinya. Sofia menghulurkan salam dan mencium tangan Salbiah dengan penuh hormat.

“Sofia, ini nenek Hanna. Sofia panggil nenek je. Boleh kan nenek?” Tanya Hanna kepada Salbiah. Susah untuk Salbiah menolak permintaan cucunya itu tetapi dia juga bukan senang-senang boleh menerima orang asing masuk ke dalam keluarganya. Dia hanya tersenyum kelat.

“Sofia umur berapa?” Tanya Salbiah kepada Sofia.
“7 tahun.” Jawab Sofia dengan senyum lebar.

“Kami sekolah sama-sama, nenek. Satu kelas lagi. Kelas 1 Emerald.” Cerita Hanna dengan bangganya.

“Oh ya ka? Baguslah macam tu.” Jawab Salbiah sambil menggosok-gosok bahu Hanna.

“Assalamualaikum, ibu. Ini ada nasi beriyani kegemaran ibu. Harris singgah beli kat pekan jap tadi. Panas-panas lagi ni.” kata Harris menyapa ibunya. Dia meletakkan bungkusan-bungkusan nasi itu di atas meja dan menghulurkan salam kepada Salbiah. Dia memeluk ibunya dan mencium kedua-dua belah pipinya.

“Nasib baik ibu tak masak banyak-banyak. Kalau tidak, membazir saja.” Kata Salbiah.

“Ibu, inilah bakal menantu ibu. Fida, ini ibu saya, Puan Salbiah binti Rahman.” Harris memperkenalkan Fida kepada ibunya. Terus sahaja Fida menghulurkan salam dan mencium tangan wanita itu dengan hormat. Fida menghadiahkan senyuman paling manis kepada bakal mentuanya itu tetapi Salbiah masih bersikap sedikit dingin dengannya.

“Yang kecil comel ni…” kata Harris merujuk kepada Sufi. Dia tunduk dan mendukung Sufi dan dipersembahkan kepada Salbiah. “Yang ini nama dia Sufi. Salam nenek.” Kata Harris kepada Sufi. Sufi menghulurkan tangannya seperti yang disuruh. Dia tunduk mencium tangan Salbiah. “Pandai Sufi.”satu ciuman Harris singgah di pipi Sufi.
“Jom lah masuk ke dalam.” Pelawa Salbiah kepada mereka semua.

“Ayah mana, ibu?” soal Harris kepada Salbiah. Fida dapat perhatikan satu watak Harris yang agak berbeza daripada kebiasaannya. Harris begitu ramah bertanya itu dan ini dengan ibunya. Sedangkan yang dia perhatikan sebelum ini, Harris lebih banyak menjawab daripada bertanya.

“Ayah kamu tu, ibu pun tak tahu lah di pergi mana setiap hari. Ada saja urusannya di luar. Susah sungguh dia nak lekat di rumah.” Omel Salbiah. Sebab itulah dia asyik kebosanan sahaja di rumah. Hampir sepanjang masa dia ditinggalkan sendirian.

Fida mengangkat bungkusan-bungkusan nasi yang dibeli oleh Harris tadi. Mereka terus menujuk ke dapur.

“Saya hidangkan terus ya nasi ni?” soal Fida kepada Salbiah meminta izin.

“Ya. Dah memang waktu makan dah ni. Sekejap lagi pakcik balik, boleh kita makan terus.” Apabila mendengar nama ‘pakcik’ yang digunakan oleh Salbiah, Fida turut faham yang dia juga harus memanggil Salbiah dengan gelaran makcik.

“Baik, makcik.” Jawab Fida dengan sopan. Salbiah berlalu pergi meninggalkan Fida dan Harris di dapur.

“Harris, tolong ibu kejap!” tiba-tiba Salbiah memanggil Harris dari dalam biliknya. Harris hanya menurutkan sahaja.
“Ada apa, ibu?” Soal Harris. dia langsung tidak menyedari yang sebenarnya ibunya cuba memisahkan Harris sebentar daripada Fida. Dia ingin bercakap dengan Harris sendirian.

“Kamu tidur sini ya malam ni?” pinta ibunya.

“Eh, tak kot ibu. Fida segan nak bermalam di sini. Baru berjumpa sekali, takkan dah nak bermalam di rumah, katanya.” Jawab Harris dengan jujur.

“Tak boleh. Kamu tak boleh balik. Kamu mesti tidur sini malam ni. ibu nak tengok sejauh mana dia sanggup tahan hidup sebagai orang kampung. Ibu nak tengok dia benar-benar boleh terima kita atau tidak.” Kata Salbiah menceritakan niat hatinya.

“Ibu ni, sampai macam tu sekali?” soal Harris ingin membantah.

“Mestilah.” Jawab Salbiah dengan tegas.

“Dia dulu pun asalnya orang susah juga ibu.” Harris masih ingin membela Fida.

“Setakat nak cerita, semua orang boleh cerita. Ibu nak tengok sendiri dengan mata kepala ibu ni.” jawab Salbiah. Dia masih berkeras hati mahu menguji Fida. “Ibu nak kau tinggal di sini sampai Ahad.”

“Apa Harris nak bagi tahu kat Fida?” tanya Harris. buntu dia dibuatnya.

“Pandai lah ibu!” Salbiah sudah bertekad.
Elok sahaja Hashim sampai di rumah, mereka semua terus makan tengahari bersama. Mereka makan secara bersila di lantai. Sepanjang waktu, Salbiah memerhatikan sahaja sikap dan tingkah-laku Fida. Dia mahu benar-benar yakin yang Fida bukan jenis yang suka meninggi diri atau pun bongkak. Dia cukup bendi dengan orang yang berlagak kaya. Dia sudah cukup puas bersabar dengan menantunya sebelum ini, Tasya. Ada sahaja yang tak kena tentang rumah itu.

Tetapi setakat sekarang, tidak ada apa-apa lagi yang boleh dia keluhkan. Elok sahaja Fida makan bersimpuh sambil melayan anak-anaknya termasuk Hanna. Dia melihat betapa akrabnya Hanna dengan Fida. Semua benda dimerapkan pada Fida. Dan wajah Fida tidak sedikit pun menunjukkan riak benci ataupun jengkel. Sebagaimana dia melayan Sufi dan Sofia, begitulah juga dia melayan Hanna.

“Fida duduklah di sini lama sikit ya. Dah lama makcik tak jumpa Hanna. Rindu makcik nak main-main dulu dengan dia. Boleh kan, Fida? Fida tak ada kerja kot kan hujung-hujung minggu macam ni?” soal Salbiah membuka bicara tentang rancangannya. Fida mengangkat muka memandang Harris. Harris hanya tunduk mengadap pinggan nasinya.

“Memang tak ada apa-apa kerja pun waktu hujung minggu, tapi saya tak bawa apa-apa pakaian untuk bermalam.” Jawab Fida ringkas. Bukan untuk beralasan, tetapi itulah hakikatnya.

“Kalau Fida nak baju, baju makcik pun ada. Kamu pandai pakai kain batik tak? Kalau tak, baju Harlina pun ada.” kata Salbiah. Dia sudah menjangka alasan itu yang akan keluar.

“Kain batik pun boleh.” Jawab Fida sambil tersenyum. Tetapi di dalam kepalanya dia sudah menyediakan satu senarai barang yang dia perlukan jika benar dia perlu bermalam di situ. Bukan setakat barang dia sahaja malah barang Sufi dan Sofia juga.

“Haa… nanti makcik bagi ya. Makcik ni bukan apa, dah lama sangat rumah ni sunyi sepi. Sesekali Hanna balik kalau tak bermalam rasa tak puas nak bersembang.” Kata Salbiah memancing simpati.

“Boleh saja, makcik. Saya tak kisah.” Kata Fida seikhlasnya. Harris mengangkat kepala memandang Fida. Dia kagum dengan wanita itu. Kalau Tasya, sudah lama dia memberontak.

Selesai makan, Fida terus sahaja mengutip semua pinggan mangkuk dan mencucinya. Harris menawarkan diri untuk membantu tetapi ditolak baik oleh Fida.

“Tak per. You pergilah berborak dengan ibu ayah dulu. Bukan selalu you dapat balik. Sikit je lagi ni.” kata Fida sambil tersenyum. Harris hanya akur. Selesai mencuci pinggan, dia mengangkat semua mangkuk lauk-pauk yang masih bersisa, disusun kemas di atas meja dan ditutup rapi dengan tudung saji. Semasa Salbiah masuk semula ke dapur, Fida sedang menyapu nasi-nasi yang tumpah ke lantai. Salbiah terkejut apabila melihat keadaan dapurnya yang siap dikemas bersih oleh Fida. Dia kagum.

“Makcik, kalau saya nak minta izin keluar ke bandar sekejap boleh? Saya tak bawa cukup lampin untuk Sufi. Jadi nak kena beli jugak.” Pinta Fida dengan lembut.

“Okay. Ajak Harris nanti ya.” Salbiah mengizinkan. Dia tahu banyak juga benda yang perlu dibeli.

Semasa di dalam kereta, Harris meminta maaf kerana mereka terpaksa bermalam di situ.

“Fida, you okay tak ni nak bermalam kat kampung I?” soal Harris. Dia bimbang kalau-kalau Fida tak biasa dengan rumah ibu bapanya itu.

“Dah ibu yang suruh, tak apalah. I takut ibu pandang serong pulak kalau I bermalam kat situ. Tapi sekarang, dia yang ajak. I okay je.” Jawab Fida sambil tersenyum manis kepada Harris. Mereka hanya keluar bertiga bersama Sufi. Sofia dan Hanna tinggal di rumah bersama-sama nenek dan atok mereka.

Mereka terus ke pasaraya besar yang ada di situ. Banyak juga benda yang dia perlu beli. Selain daripada barangan asas sepeti pakaian, lampin pakai buang, berus gigi, sikat dan sebagainya, Fida juga perlu membeli pakaian dalam nya. Puas dia berfikir, macam mana dia dapat pergi ke bahagian wanita bersendirian tanpa Harris. Akhirnya, dia hanya berterus-terang.

“Harris, I nak masuk lady’s department kejap ya. You boleh tolong bawa Sufi jalan-jalan sekejap?” pinta Fida.

“Kenapa? Biarlah kami ikut sekali.” Kata Harris. Muka Fida sudah kemerahan.

“Alaa… bagi lah I masa nak beli barang personal I kejap. 15 minit jer. Please?” mohon Fida lagi.

“I tak boleh tengok ker?” usik Harris lagi. Selagi dia boleh melihat wajah kemerah-merahan Fida itu, selagi itulah dia suka menyakat Fida. Fida sedar Harris hanya menyakatnya. Dia terus berlalu menuju ke bahagian wanita. Selesai membeli, dia keluar ke ruang legar tempat dia terpisah daripada Harris sebentar tadi. Dia lihat Harris sedang leka melayan Sufi yang sedang berlari ke sana ke mari. Di wajah Harris terpancar kegembiraan dan kebahagiaan. Dia sedikit pun tidak menunjukkan lelah mengejar anak kecil itu berlari kesegenap ruang meneroka tempat yang baru baginya. Tiba-tiba, Sufi terpandang Fida.

“Mama!” Jerit Sufi dengan kuat. Dia berlari mendapatkan Fida. Elok dia berada di hadapan Fida, Sufi tiba-tiba memusingkan badannya dan berlari semula kepada Harris.

“Papa!” Jerit Sufi memanggil Harris pula. Gembira sungguh anak kecil itu.

Sepanjang 3 hari 2 malam Fida berada di rumah orang tua Harris, Salbiah memandang setiap gerak-geri wanita itu. Dia kagum apabila Fida kekal bertudung walaupun diwaktu tengahari di dalam rumah kampung seperti itu. Sekali pun dia tidak nampak Fida membuat memek muka atau pun mengeluh kepada Harris tentang rumahnya.

Tidur Fida hanya beralaskan tilam nipis dan kipas angin dinding. Bilik airnya pula terletak asing di bahagian dapur rumah. Sofia pula lebih selesa tidurnya. Dia tidur bersama-sama Hanna di bilik Harlina. Terdapat sebuah katil bersaiz queen dan juga penghawa dingin. Sengaja Salbiah tidak membenarkan Fida tidur di situ. Dia benar-benar mahu menguji Fida.
Setiap waktu Fida turut solat berjemaah bersama-sama Hashim, Salbiah dan Harris. Setiap waktu makan, Fida yang terlebih dahulu menunggu Salbiah di dapur. Adakala Salbiah sengaja mengarahkan itu dan ini kepada Fida. Dan Fida menurutkan sahaja tanpa membantah. Timbul pula rasa kasihan di benak Salbiah tetapi dikeraskan juga hatinya.

“Fida, macam mana bilik tu semalam? Okay? You boleh tidur tak?” soal Harris pada pagi Sabtu sebaik sahaja mereka selesai bersarapan.

“Okay, Cuma ada nyamuk je sikit. Kalau dapat malam nanti you belikan I spray nyamuk tu ya.” Pinta Fida kepada Harris.

“Okay, honey.” Jawab Harris dengan bersahaja. Fida memandang tepat ke wajah Harris. Hairan dengan panggilan baru yang diberi Harris kepadanya. “Kenapa pandang I macam tu?”

“Honey? Sejak bila?” soal Fida kepada Harris.

“Sejak hari ni.” jawab Harris sambil tersenyum manis kepada buah hati dihadapannya itu. Salbiah ternampak mereka berdua berborak-borak berdua, timbul rasa bahagia di hatinya. Dia senang hati melihat anaknya Harris dapat kembali hidup dengan bahagia. Hanna juga begitu ceria bermain bersama-sama Sufi dan Sofia. Meriah sekali rumahnya dengan gelak ketawa anak-anak kecil itu. Dia mahu menguji lagi Fida hari itu. Dia mahu lihat, apa reaksi Fida jika dia mengganggu perbualan mereka dan menyuruh Harris keluar tanpa Fida. Dia masih teringat bagaimana rupa kelat Tasya jika dia memanggil Harris semasa mereka tengah berbual berdua.
Tetapi rancangannya gagal. Sebaik sahaja Fida ternampak kelibatnya, dia yang terlebih dahulu memanggil wanita itu.

“Makcik, duduklah dulu. Biar Fida ambilkan air. Boleh kita sembang sekali.” Pantas sahaja Fida bangun menuju ke dapur. Salbiah yang sudah pun melabuhkan punggungnya di sebelah Harris memandang Fida sehingga dia hilang disebalik dinding. Kemas sungguh pemakaian Fida walaupun dia hanya memakai kain batik dan kemeja T milik Harlina.

“Cantikkan dia, ibu?” tanya Harris kepada Salbiah setelah dia melihat ibunya itu memandang Fida tak lepas-lepas.

“Iya, rupa dia tu memanglah cantik.” Kata Salbiah bersahaja.

“Perangai dia pun cantik jugak kan?” soal Harris kembali.

“Hurm… belum kahwin, memanglah.” Cakap ibunya. Harris hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Selepas seketika, Fida datang membawa sedulang air teh o panas. Dia duduk di kerusi bertentangan dengan Harris dan mula berbual dengan Salbiah. Fida bertanyakan tentang rutin harian Salbiah, tentang kaum keluarganya, tentang makanan kegemarannya, semuanya tentang Salbiah. Dia langsung tidak mempedulikan Harris di hadapannya. Salbiah rasa kehadirannya sangat dihargai saat itu.

Selepas selesai makan malam hari itu, Salbiah dan suaminya Hashim memanggil Harris dan Fida. Mereka terus bertanya tentang perancangan perkahwinan Harris dan Fida. Saat itu, Harris sedar yang kedua ibu dan ayahnya sudah pun merestui mereka berdua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience