Series
206
Di dapur, semerbak bau nasi ayam memenuhi ruang. Harumannya menusuk hingga ke ruang tamu, membuat suasana rumah terasa hangat dan nyaman.
Tuan Mazlan yang baru pulang dari membeli ubat untuk dirinya, berhenti sejenak apabila terlihat Elisyah terlelap di sofa. Wajah pucat anaknya terhidang di depan mata. Rasa sayu menyelinap ke dalam hati seorang ayah. Dia hanya mampu memandang lembut, seolah-olah mahu menyalurkan kekuatan melalui pandangan itu. Perlahan dia menghela nafas, sebelum melangkah menuju ke dapur.
Di sana, Melisyah baru sahaja selesai memasak. Dia segera menyalami tangan papanya dengan senyuman.
“Papa…” sapanya mesra.
Tuan Mazlan membalas senyuman, kemudian memandang ke arah anak bongsunya itu.
“Kak Sya kamu baru sampai ke?” soalnya.
Melisyah mengangguk kecil. “Dalam setengah jam jugak la, Pa. Papa cari Mama ke? Mama ada kat belakang dengan Abang Malik.” Dia perasan riak wajah papanya seakan sedang mencari seseorang, lalu menjawab sebelum ditanya lagi.
Tuan Mazlan tersenyum lembut, menepuk bahu anaknya perlahan, kemudian beralih langkah menuju ke laman belakang rumah. Melisyah pula meneruskan tugas menyediakan pinggan, sesekali menjeling ke arah kakaknya yang masih lena di sofa dengan rasa simpati.
Di halaman belakang, kelihatan Tengku Malik sedang rancak berbual bersama Puan Sarah. Udara petang yang redup menambahkan ketenangan perbualan mereka.
“Malik, Mama harap kamu banyakkan sabar ya dengan Sya tu. Dia jadi macam tu bukan saja-saja… dia ada sebabnya,” suara Puan Sarah kedengaran tenang, tetapi penuh makna.
Tengku Malik menoleh, dahinya sedikit berkerut. “Sebab apa, Mama?” tanyanya berhati-hati.
Puan Sarah menarik nafas perlahan, pandangannya dilempar jauh ke halaman. “Itu… biarlah Elisyah sendiri yang ceritakan. Mama tiada hak untuk buka kisah silam dia. Hanya dia yang berhak.” Ucapannya lembut, namun tegas.
Belum sempat Tengku Malik membalas, kelibat Tuan Mazlan muncul di hadapan sliding door. Wajahnya sedikit letih, namun terhias dengan senyuman nipis.
Tuan Mazlan menyertai isterinya dan menantunya di halaman. Dia menyalami tangan Puan Sarah, yang terus bertanya lembut,
“Abang dah makan? Kalau belum, nanti kita makan sekali ya.”
“Okay, sayang,” balas Tuan Mazlan penuh mesra sebelum duduk di sisi Tengku Malik.
Tengku Malik tersenyum nipis melihat kemesraan mereka berdua. Dalam hati kecilnya, dia berdoa agar rumah tangganya bersama Elisyah juga mampu berkekalan sampai ke usia tua, penuh kasih seperti itu.
Tuan Mazlan kemudian memandang menantunya dengan wajah serius. “Malik, papa nak cakap sikit… boleh?”
Tengku Malik menoleh, tersenyum, lalu mengangguk tenang. “Boleh, Papa.”
“Kamu tahu kan… papa ada kanser?” Suara Tuan Mazlan bergetar sedikit, seolah-olah tidak mudah untuk menyebutnya.
Tengku Malik mengangguk perlahan. Ya, dia memang sudah tahu. Malah sebelum dia dan Elisyah berkahwin lagi, hal ini sudah dibincangkan. Sekilas wajah Elisyah terbayang dalam fikirannya.
Elisyah, yang duduk tidak jauh dari situ, akhirnya bersuara perlahan. “Cuma… saya nak beritahu. Sebenarnya saya setuju kahwin dengan awak pun sebab papa yang minta. Kami semua baru tahu yang papa ada kanser jantung.” Suaranya serak, ada sendu yang ditahan.
Hati Tengku Malik terasa sayu mendengarnya. Dia hanya tekun menunggu Elisyah menghabiskan kata-katanya.
“Papa tak nak sambung rawatan kemoterapi selagi saya tak kahwin. Jadi… sebab tu saya setuju. Tapi Malik…” Elisyah menarik nafas dalam, matanya berkaca, “…lepas papa habis rawatan, saya nak awak ceraikan saya. Jangan risau, saya takkan tuntut apa-apa pun daripada awak.”
Bagaikan dihentak batu, luluh hati Tengku Malik mendengar perkataan cerai meniti di bibir bakal Isterinya itu. Dia menunduk, cuba menahan gejolak perasaan. Perlahan, dia bersuara,
“Kalau aku tak nak… macam mana?”
Elisyah mengeluh keras, jiwanya serabut. “Kalau awak tak nak… saya… saya…” Dia memejamkan mata, cuba mencari kata, tapi akhirnya melepaskan dengan nada marah bercampur kecewa, “Argh! Apa-apalah!”
Tengku Malik menarik nafas panjang, cuba menenangkan dirinya. Dia menoleh, renungannya tajam namun penuh tekad.
“Okay. Aku akan ceraikan kau. Tapi dengan satu syarat… kau kena bagi aku masa. Masa untuk buat kau jatuh cinta pada aku.”
Elisyah terpinga seketika, keningnya terangkat. “Berapa lama?”
“Berapa lama rawatan papa kau?” soal Tengku Malik kembali.
“Lima bulan…” jawab Elisyah perlahan, suaranya bergetar.
“Baik. Lima bulan tu, aku nak kau bagi peluang kat aku. Aku akan guna setiap hari untuk buat kau jatuh cinta. Kalau selepas lima bulan kau masih tak cinta aku…” Tengku Malik menelan liur, lidahnya terasa kelu untuk menyebut, “…aku akan lepaskan kau.”
Elisyah memandangnya lama, cuba mencari kejujuran di mata lelaki itu. “Kalau saya tetap tak jatuh cinta?” Dia cuba mencabar.
Tengku Malik menarik nafas dalam lagi, namun tekadnya tidak berganjak. “Kalau kau tetap tak jatuh cinta… aku akan ceraikan kau.”
Kesunyian seketika menyelubungi mereka. Elisyah akhirnya mengangkat ibu jari. “Okay. Deal.”
Tengku Malik mengangguk perlahan. Namun jauh di sudut hatinya, dia berjanji. Dia tidak akan biarkan wanita itu pergi dengan mudah.
Lamunannya terhenti apabila suara Tuan Mazlan kembali bergema.
“Malik tahu, papa. Elisyah dah bagitahu…” balas Tengku Malik perlahan. Tangannya terulur, menggenggam lembut tangan ayah mertuanya seolah mahu menyalurkan kekuatan.
Tuan Mazlan tersenyum nipis, namun wajahnya masih sayu. “Jadi… kalau papa dah tiada nanti, Malik gantikan tempat papa jadi CEO, ya? Papa hanya percayakan kamu saja.”
Puan Sarah yang duduk di sisi hanya diam, mendengar penuh khusyuk. Dia tidak mahu masuk campur, kerana dia tahu itu urusan besar antara suami dan menantu. Namun, hatinya sebak bila dengar kata-kata Tuan Mazlan seolah-olah sudah bersedia untuk pergi.
“Papa… jangan cakap macam tu.” Suara Tengku Malik bergetar, menahan sebak di dada. “Malik yakin papa akan sembuh. Jangan hilangkan harapan. Malik… Malik tak pernah ada kasih seorang ayah sebelum ni. Jadi janganlah buat Malik sedih dengan kata-kata macam tu. Lagi pula, Malik rasa Malik tak layak pegang jawatan tinggi macam tu…”
Namun Tuan Mazlan menggeleng tegas walau senyumannya lembut. “Tidak, Malik. Kamu lah orang yang paling layak. Papa nampak kesungguhan kamu. Papa percaya hanya kamu yang boleh bawa syarikat tu lebih jauh. Tolonglah, Malik… ini permintaan terakhir papa.”
Tengku Malik terkedu. Hatinya berkecamuk, rasa berat mahu menolak. Wajah ayah mertuanya yang penuh harapan itu membuat dia rasa bersalah. Perlahan-lahan, dia mengangguk.
“Baik, papa. Malik janji.”
Tuan Mazlan melepaskan nafas lega, seakan beban yang dipikulnya sedikit terangkat. Puan Sarah mengesat hujung matanya yang mula bergenang.
Ketika suasana hampir larut dengan emosi, kedengaran suara Melisyah dari dalam rumah, memanggil mereka ke meja makan. Suasana tegang itu pun perlahan-lahan reda, namun kata-kata Tuan Mazlan tadi masih berbekas kuat di hati Tengku Malik.
Hehehe
Share this novel