Series
206
Elisyah yang sedang lena diulit mimpi, tidak sedar wajahnya ditatap penuh kasih oleh Tengku Malik. Rambut halus yang jatuh menutupi pipinya dibetulkan lembut oleh tangan lelaki itu.
Elisyah terasa seperti ada sentuhan, lalu perlahan-lahan membuka mata. Dia tersentak bila melihat suaminya berada di sisi katil. Cepat-cepat dia bangun duduk.
“Macam mana awak boleh ada dalam bilik saya?” soalnya, nada separa marah tapi jelas ketakutan terselit di wajahnya.
Tengku Malik tergelak kecil. “Sayang ni, takut sangat. Sayang yang terlupa kunci pintu malam tadi. Tu yang abang masuk.”
Elisyah menepuk dahinya. Ya, betul… dia memang terlupa kunci selepas turun ambil air semalam. Hatinya mula berdebar, entah kerana rasa malu atau kerana renungan lembut lelaki itu. Dan nasib baik hairini dia uzur. Kalau tidak, confirm terlepas subuh.
“Sayang, jom makan? Abang ada goreng karipap untuk sayang. Abang ingat nak masak lebih, tapi takut sayang tak suka,” ujar Tengku Malik sambil matanya masih terpaku pada wajah isterinya.
Elisyah terdiam, serba salah. “Kenapa awak pula yang masak? Bukan sepatutnya saya…?”
Tengku Malik menggeleng tegas. “Sayang, biarlah abang yang buat semua tu. Itu memang tanggungjawab abang. Abang cuma nak pastikan sayang makan, sihat… dan ada di sisi abang.”
Tangannya sempat mengusap lembut pipi Elisyah. Degupan jantung wanita itu bertambah laju, membuatkan dia cepat-cepat mengalihkan wajah.
“Tak apalah… awak makanlah. Saya tak lapar.” Suaranya dingin, walaupun hatinya goyah.
Habislah aku. Lama-lama boleh jatuh cinta dengan dia kalau dia terlalu baik macam ni… bisik hatinya.
“Sayang… janganlah macam tu. Abang dah goreng karipap khas untuk sayang. Nanti sayang sebut je nak makan apa, abang masakkan.” Pujuk Malik, suaranya penuh kesungguhan.
Elisyah mula tersenyum nakal dalam hati. Dia mahu menguji. “Betul ni? Awak sanggup masak apa saja untuk saya?”
“Ya, betul.” Malik mengangguk tanpa ragu.
“Baiklah… kalau macam tu, saya nak nasi ayam Korea. Tomyam sekali. Kari sikit. Oh, hotdog pun satu.” Dia menyebut dengan selamba, walaupun jauh di dalam hati dia yakin lelaki itu akan mengelat.
Namun, jawapan Tengku Malik membuatkan matanya terbeliak. “Baik, abang masak.”
Elisyah hampir terlopong. Ya Allah… aku ingat dia nak mengelat. Macam mana kalau betul dia buat semua ni? Aku mana mampu habiskan!
Namun dia cepat-cepat menutup reaksi, buat muka bersahaja.
“Boleh… tapi syaratnya, sayang kena makan.”
Elisyah meneguk air liur. Perutnya bukannya besar mana pun. Tapi, tak mahu kalah, dia mengangguk. “Emm… boleh. Tapi biar saya mandi dulu.”
Dia segera menolak tubuh suaminya keluar dari bilik. Sebaik pintu ditutup rapat, tangannya menekan dada.
Kenapa wahai jantung… kenapa laju sangat degupan kau ni?
Setelah selesai mandi, Elisyah melangkah turun ke dapur. Bau ayam yang semerbak menusuk hidungnya, membuatkan perutnya yang tadi kosong tiba-tiba berbunyi perlahan.
Matanya segera tertumpu pada susuk lelaki yang sedang khusyuk memasak di dapur. Tengku Malik.
Dia menarik kerusi di meja makan, duduk membelakangi dapur. Tidak mahu ketahuan. Namun matanya tetap mencuri pandang, memerhati setiap gerak-geri suaminya. Sesekali bibirnya terukir senyum kecil. Gelagat lelaki itu nampak canggung, tapi bersungguh.
Macam budak baru belajar masak pun ada… tapi comel. Hatinya berbisik sendiri.
Belum sempat dia alihkan pandangan, Tengku Malik berpaling. Lelaki itu nampak terkejut seketika, sebelum senyum lebar terukir di wajahnya. Dia segera menghampiri isterinya.
“La… sayang ada kat sini rupanya. Kenapa tak panggil abang? Kesian sayang duduk sorang-sorang tunggu abang masak ya?” ujar Malik, lalu duduk di hadapannya.
Elisyah cepat-cepat menggeleng. “Ma… mana ada! Saya tak tengok awak masak pun.” Nada suaranya sedikit gugup, jelas cuba menafikan.
Malik tergelak kecil. “Kejap ya, sayang.” Dia bangun semula, lalu membawa semangkuk tomyam yang masih berasap, disusuli ayam Korea yang nampak menyelerakan. Hotdog pula baru diangkat dari kuali.
Elisyah terpaku. Matanya membesar melihat hidangan itu kini tersusun di depannya. Ya Allah… dia betul-betul masak semua ni?
Rasa kagum menjalar dalam dirinya. Hatinya yang keras tiba-tiba terusik. Perlahan, dia bersuara, “Awak… saya minta maaf sebab dah susahkan awak. Sepatutnya… sebagai isteri, saya yang masakkan untuk awak. Maafkan saya, ya?” Nada suaranya merendah, penuh rasa bersalah.
Malik segera mencapai tangannya, menggenggam lembut. Wajahnya serius, tapi penuh kasih. “Sayang, abang tak suka dengar sayang cakap macam tu. Sayang tak pernah sekalipun susahkan abang. Ingat ya… sayang ni tanggungjawab abang. Jadi jangan pernah minta maaf dengan abang.”
Elisyah menatap mata suaminya. Lama. Dalam renungan itu, dia nampak kejujuran yang membuatkan dadanya terasa sesak. Kenapa mata dia terlalu ikhlas? Kenapa hati aku mula goyah?
“Sayang nak makan?” suara Malik memecah lamunannya. Lelaki itu tersenyum lembut. “Biar abang suapkan, ya?”
Elisyah hanya mengangguk kecil. Bukan kerana lapar semata-mata, tapi kerana fikirannya ligat berperang dengan perasaan yang semakin sukar disangkal.
Tengku Malik mengambil sudu, bersedia menyuapkan suapan pertama kepada isterinya. Tiba-tiba Elisyah menolak tangan suaminya, mata menatap penuh tanya.
“Kenapa, sayang? Tak suka ke? Kalau tak suka, abang boleh masak lain…” soal Malik, suaranya lembut, mahu mencari jalan agar sayangnya selesa.
Sebelum dia sempat menghabiskan ayat, Elisyah memotong dengan suara yang bergetar sedikit. “Malik… betul ke awak cintakan saya? Awak takkan tinggalkan saya?” Mata Elisyah tidak berani menoleh; dia menatap tepat ke wajah lelaki itu, mencari kepastian.
Tengku Malik menunduk seketika, lalu mengangkat muka. Wajahnya dekat. Begitu dekat sehingga bisikannya seakan hanya untuk telinga Elisyah. “Sayang… walau seribu kali pun sayang tanya, abang akan jawab yang sama,” katanya perlahan. “Abang sayang sangat-sangat kat sayang. Abang takkan tinggalkan sayang, walau apa pun yang berlaku.”
Wajah Elisyah menjadi merah. Dia menunduk lalu menutup mata, menolak rasa yang tiba-tiba membuak. Hatinya sesak dan hangat serentak. Dengan suara yang nyaris pecah, dia menyuarakan kerisauan dan pengakuannya sendiri.
“Awak… kalau saya cakap saya mula jatuh cinta pada awak, awak masih beri saya peluang untuk saya mencintai awak sepenuhnya?” soalnya, nada malu bercampur harap.
Tengku Malik menahan senyum, lalu berkata penuh yakin, “Elisyah, pandang abang.” Perlahan dia angkat dagu isterinya supaya mata mereka bertemu. “Pernah ke abang kata yang sayang tak boleh cintakan abang? Kalau sayang cinta abang, abang akan cintakan sayang balik berkali-kali ganda.”
Dia tarik dagu Elisyah lembut, menatap mata itu seperti membaca seluruh jiwa. Air mata mula mengalir di pipi Elisyah, tapi bukan lagi air mata dendam , air mata penyesalan dan kelegaan.
“Maafkan saya,” bisik Elisyah, suaranya tersedu. “Selama ini saya layan awak kasar. Bila hati saya mula berkata saya jatuh cinta pada awak, saya asyik tolak perasaan itu jauh. Saya tak bagi ruang pada diri saya. Sekarang baru saya sedar betapa dalamnya cinta awak. Boleh tak… abang maafkan saya?”
Dia menggigit bibir menahan rasa bersalah, mata memohon, tangannya menggenggam sudu yang tiba-tiba terasa begitu berat. Tengku Malik menahan sebak, kemudian menarik Elisyah ke dalam pelukan perlahan, penuh kasih. Seolah mahu menampung semua luka dan penyesalan yang ditinggalkan.
Di situ, di meja kecil itu, dua hati yang dulu rapuh mula cuba menyambung kembali kepingan. Bukan sempurna, tetapi tulus.
Lama mereka berpelukan, seolah-olah dunia terhenti hanya untuk mereka berdua. Akhirnya, Tengku Malik melepaskan pelukan itu perlahan, lalu mengusap lembut air mata yang masih tersisa di pipi Elisyah.
“Dah, sayang... jangan nangis lagi. Abang tak suka bila bagaboo abang ni keluarkan air mata berharga ni,” usik Tengku Malik dengan suara manja.
Elisyah tergelak kecil, malu-malu. “Ish, abang ni! Janganlah panggil Sya bagaboo... malulah.”
Tengku Malik ketawa kecil, namun di hatinya jantung berdegup kencang melihat senyuman isterinya. Dia rasa macam nak pecah dada menahan rasa sayang yang melimpah.
“Sayang tahu tak bagaboo tu apa?” soal Tengku Malik lagi, sengaja mahu mengusik isterinya.
Elisyah mengangkat kening, memandang penuh ingin tahu.
“Bagaboo tu maksudnya burger yang boolat... macam pipi sayang ni,” jawabnya sambil mencubit pipi merah Elisyah.
“Abang ni! Jahatlah, kata Sya bulat,” rajuk Elisyah, bibirnya muncung panjang.
Tengku Malik ketawa lagi. “Laa, rupanya bagaboo abang ni manja orangnya. Ingatkan garang.”
Elisyah terus membulatkan matanya tanda protes. “Ouh, berani ya kutuk orang macam tu?”
Tanpa menunggu, dia terus hulur “tangan ketamnya” dan mencubit perut suaminya.
“Aduh! Sakit, sayang... cukup la! Ampun, ampun!” jerit Tengku Malik sambil ketawa berdekah-dekah.
Elisyah pun ikut tergelak sampai air matanya bertukar jadi tawa.
Di ruang makan yang sederhana itu, hanya tawa dan gurau senda mereka berdua memenuhi udara. Dan dalam hati, Elisyah diam-diam berdoa... semoga kebahagiaan yang baru bertunas ini kekal selamanya.
jangan lupa follow!
Share this novel