Series
206
Di ruang tamu itu, suasana penuh dengan gelak tawa pasangan sejoli itu. Masa berlalu tanpa disedari. Pejam celik, sudah dua bulan usia perkahwinan mereka. Tengku Malik yang tidak pernah jemu mengusik, mencapai sepotong buah mangga yang dipotong isterinya.
Elisyah yang sedang duduk di pangkuan suaminya tiba-tiba bersuara.
“Abang... masa kita mula-mula kahwin dulu, kita tak pergi honeymoon pun.”
Dia mengangkat kepalanya, menatap wajah suaminya dengan penuh makna.
Tengku Malik yang cepat menangkap maksud isterinya hanya tersenyum.
“Sebab tu lah abang dah beli tiket untuk kita pergi Korea,” balasnya penuh yakin.
Nasib baik dia sudah merancang awal sebelum pertanyaan itu muncul. Kalau tidak, pasti muncung isterinya sampai ke Korea.
Elisyah yang mendengar terus bangun dari pangkuan suaminya, menjerit kecil sambil melompat-lompat keseronokan. Wajahnya bercahaya, senyumannya merekah. Tengku Malik hanya duduk memerhati gelagat isterinya dengan penuh kasih. Setelah puas menari-nari, Elisyah kembali duduk, kali ini menatap serius ke arah suaminya.
“Tapikan abang, Sya nak tanya sikit boleh?” suaranya lembut, tapi jelas penuh rasa ingin tahu.
Tengku Malik membetulkan duduknya. Matanya lurus memandang wajah Elisyah. Itulah yang paling disukai isterinya, sikapnya yang sentiasa memberi sepenuh perhatian bila dia berbicara.
“Abang betul-betul cintakan Sya masa kita kahwin je ke... atau sebelum kahwin lagi?”
Soalan itu membuat Tengku Malik tergelak kecil. Hampir setiap hari pertanyaan itu keluar, namun dia tidak pernah penat menjawab.
“Masa abang jumpa sayang dekat rumah mama dulu, masa tulah abang jatuh cinta pandang pertama. Abang cuba tolak perasaan tu sebab abang baru lepas putus dengan Rayhana. Abang fikir tak mungkin abang boleh lupakan dia secepat tu. Tapi makin abang tolak, makin abang rasa jatuh cinta dengan sayang.”
Elisyah terdiam. Dia tahu tentang Rayhana, bekas kekasih suaminya. Walaupun sudah maklum, sesekali rasa cemburu itu tetap hadir.
“Abang... antara Sya dengan Rayhana, siapa lagi cantik?” soalnya, nada separuh manja separuh bimbang.
Tengku Malik mengangkat dagu isterinya perlahan, memaksa matanya menatap dirinya.
“Mestilah isteri abang sejuta kali lebih cantik daripada dia. Datanglah seribu wanita pun, yang abang nampak cuma sayang.”
Elisyah tersenyum, walaupun cuba menutupi debar hatinya.
“Eleh... lelaki memanglah pandai cakap ayat manis. Buatnya tak...” sindirnya manja.
Namun tiba-tiba fikirannya terimbas wajah Hashim, bekas tunang yang pernah menghancurkan hatinya. Tangan kecilnya tanpa sedar menyentuh rantai lama yang masih tersarung di leher.
Tengku Malik yang menyedari perubahan wajah isterinya terus menariknya ke dalam pelukan.
“Sayang? Sayang teringat Hashim, ya?” soalnya lembut.
Elisyah cepat-cepat menggeleng, tidak mahu suaminya salah faham. Dia melepaskan pelukan itu, lalu menggenggam erat tangan Tengku Malik.
“Abang... memang betul Sya teringat kat dia. Tapi bukan sebab Sya masih sayang. Cuma... Sya takut. Takut abang tinggalkan Sya macam dia tinggalkan dulu. Sya tak nak... Sya takut kehilangan abang. Sya sayang abang,” suaranya bergetar, matanya berkaca.
Tengku Malik mengusap lembut pipinya, cuba menenangkan.
“Sayang... abang takkan pernah tinggalkan sayang. Sayang tahu tu, kan?”
Namun ketakutan yang lama terpendam dalam hati Elisyah tiba-tiba meledak. Dia berdiri, menatap suaminya dengan mata yang merah menahan sebak.
“Itu jugalah yang ex Sya cakap dulu... janji manis macam abang. Tapi akhirnya, dia tinggalkan Sya jugak! Abang penipu!” jeritnya, sebelum berlari naik ke bilik.
Pintu dikunci rapat. Tangisan esak-esak kedengaran dari dalam.
Tengku Malik terpaku di ruang tamu, hatinya remuk. Tidak pernah dia melihat Elisyah segelisah dan seemosi ini. Rasa bersalah mula menyelinap dalam dirinya. Adakah dia gagal menghapuskan luka lama yang masih menghantui isterinya?
Tengku Malik berdiri kaku di ruang tamu, dada terasa bagai ditikam. Tangisan isterinya yang kedengaran dari balik pintu itu menikam hatinya lebih dalam daripada apa-apa luka. Dia melangkah perlahan naik ke tingkat atas, berhenti betul-betul di hadapan pintu bilik yang terkunci.
“Sayang... buka pintu ni, please. Abang janji, abang takkan tipu sayang. Jangan hukum abang dengan janji orang lain,” suaranya bergetar, menahan sebak.
Tiada sahutan. Hanya suara tangisan Elisyah yang semakin kuat.
Tengku Malik menyandarkan dahinya pada pintu itu.
“Sayang... abang tahu luka tu masih ada. Abang tahu sayang pernah kecewa, pernah ditinggalkan. Tapi, jangan samakan abang dengan dia. Abang sanggup buat apa saja asalkan sayang percaya abang. Please, buka pintu ni, jangan buat abang rasa macam abang hilang sayang...”
Air mata lelakinya akhirnya gugur tanpa sedar. Dia mengetuk pintu itu perlahan, tidak mahu menakutkan isterinya.
“Elisyah... abang cintakan sayang. Biar seluruh dunia tinggalkan abang, janganlah sayang pun tinggalkan abang. Abang tak mampu.”
Di dalam bilik, Elisyah masih menekup wajah dengan bantal. Air matanya tidak berhenti mengalir. Kata-kata suaminya menusuk hatinya, membuatkan dia serba salah. Antara percaya dan trauma lama, jiwanya bercelaru.
Namun, hatinya jelas berbisik. Lelaki di luar pintu itu benar-benar mencintainya.
Elisyah yang menangis akhirnya terlelap kerana terlalu letih. Saat dia membuka matanya, cahaya lampu dari luar masih terang. Dia menoleh ke arah jam di dinding.
“Ya Allah! Dah tiga jam aku tidur! Aku biar suami aku kat luar seorang-seorang!” hatinya menjerit panik.
Tanpa berfikir panjang, dia segera melompat turun dari katil dan berlari ke arah pintu. Saat pintu itu dibuka, matanya terus menangkap tubuh suaminya yang sedang lena di lantai, bersandar pada dinding, dengan tangan masih terlipat seolah-olah dia menunggu.
Air mata Elisyah kembali menitis. Apa yang aku dah buat? Kenapa aku terlalu sensitif sangat sampai sanggup biarkan dia macam ni?
Dengan hati penuh rasa bersalah, dia melutut dan menggoncang perlahan bahu Tengku Malik.
“Abang… abang, bangunlah.”
Tengku Malik membuka mata perlahan. Pandangannya kabur sebelum dia sedar wajah isterinya sedang memandang penuh rasa bersalah. Dia cepat-cepat duduk tegak.
“Sayang…” suaranya serak. Dia menggenggam tangan isterinya erat. “Abang minta maaf sebab buat sayang sedih tadi. Abang janji abang takkan buat sayang menangis lagi. Tolong jangan tinggalkan abang… abang takut kehilangan sayang.”
Tanpa disangka, lelaki itu terus memeluk kaki isterinya, wajahnya penuh dengan rasa bersalah yang mendalam.
Elisyah terkedu, hatinya benar-benar luluh melihat suaminya merendahkan diri begitu. Air matanya deras mengalir, dan dia segera tunduk memeluk tubuh suaminya erat.
“Abang, kenapa abang pula yang minta maaf? Sya yang salah… Sya tak tahu kenapa Sya terlalu emosi sangat. Maafkan Sya ya, bang?”
Tengku Malik membalas pelukan itu dengan lebih erat, seolah-olah tak mahu melepaskannya.
“Sayang tak pernah salah. Abang yang salah sebab tak pandai jaga hati sayang.”
Elisyah tersenyum kecil di celah esakannya, cuba menceriakan suasana.
“Okaylah… kalau macam tu, kita dua-dua salah. Kalau nak bertengkar siapa salah, sampai esok pun tak habis.”
Dia meleraikan pelukan perlahan, lalu menatap wajah suaminya. Tangannya naik mengusap lembut pipi Tengku Malik yang masih basah dengan sisa air mata.
“Kenapalah Sya tak perasan dari dulu yang suami Sya ni sebenarnya hemsem,” ucapnya dengan senyuman nakal.
Tengku Malik terus tersenyum lebar, menayangkan lesung pipitnya.
“Abang memang hemsem dari dulu lagi. Sayang je yang lambat sedar,” balasnya bersahaja.
Elisyah tergelak sambil mengelap sisa air matanya.
“Hm… bajet je lebih!” usiknya manja.
Beberapa saat mereka hanya berpandangan, seolah-olah dunia berhenti berputar. Kemudian Elisyah menarik nafas panjang, lalu berkata perlahan, “Abang… abang pernah tanya pasal rantai ni kan? Sya selalu elak daripada jawab. Sebenarnya… ini rantai yang Hashim bagi pada Sya dulu. Dia suruh Sya janji takkan buka rantai ni walau apa pun terjadi. Tapi abang jangan salah faham… ini bukan sebab Sya masih cintakan dia.”
Wajahnya nampak bersungguh, bimbang suaminya salah anggap.
“Sya cuma… benci sangat orang mungkir janji. Lepas dia mungkir janji dengan Sya, Sya nekad, Sya takkan ulang benda tu. Sebab tu bila papa minta Sya kahwin dengan abang, Sya ikut. Sya tak sanggup mungkir janji lagi.”
Tengku Malik mendengar penuh sabar, matanya tidak lepas dari memandang isterinya. Dia mengangguk perlahan, tanda dia faham.
Elisyah menggenggam tangan suaminya erat.
“Tapi abang izinkan kan… Sya terus pakai rantai ni? Kalau abang tak suka, Sya faham.”
Tengku Malik tersenyum lembut, lalu membelai pipi isterinya.
“Sayang… abang tak kisah. Apa pun yang buat sayang gembira, abang akan sokong. Abang cuma nak satu je, sayang bahagia dengan abang.”
Air mata Elisyah bergenang lagi, tapi kali ini kerana rasa syukur. Dia tersenyum lalu mengucup pipi suaminya penuh kasih.
“Terima kasih, abang. Jom kita solat, dah lewat ni.”
Mereka bangun bersama, hati yang tadi dilanda gelora kini terasa lebih tenang. Malam itu, mereka sujud di sejadah yang sama, memohon agar cinta yang sedang mekar itu terus dijaga hingga ke hujung nyawa.
Sayang korang!
Share this novel