Bab 12

Romance Series 206

“Mel tak setuju!!” Suara Melisyah bergema memenuhi ruang tamu, menggoncang suasana malam yang tegang.

“Tapi ini yang terbaik untuk kakak kamu!” balas Tuan Mazlan, nadanya keras.

“Terbaik apa kalau kahwinkan Kak Sya dengan orang yang dia tak kenal langsung?” Melisyah bersuara lantang, matanya berkilat menahan marah. Walau seribu kali dia bertikam lidah dengan kakaknya, kasihnya tetap tak tergugat. Dia tak sanggup lihat kakaknya dipaksa.

“Tak kenal apanya? Itu anak kawan papa juga! Bukan orang asing!” Suara Tuan Mazlan makin meninggi, urat di lehernya timbul menahan perasaan.

Puan Sarah yang sejak tadi hanya memandang, akhirnya menggeleng kepala, suaranya penuh letih, “Mel, sudah. Jangan terlalu keras.”

Namun Melisyah tidak berganjak. Dia berdiri tegak, dadanya naik turun. “Mel tak kisah! Mel tetap tak setuju dengan rancangan mengarut papa ni! Papa tak fikir perasaan Kak Sya langsung!” suaranya bergetar, antara marah dan pilu.

“Sudah!!” jerkah Tuan Mazlan, wajahnya merah menahan sabar. “Kamu berdua ni tak boleh ke berbincang elok-elok? Kita berkumpul untuk cari jalan keluar, bukan nak tambah masalah!”

Melisyah menghentak kakinya lalu menghumban tubuhnya ke sofa dengan kasar, air mata menitis tanpa dia sedar.

Puan Sarah akhirnya bersuara, lembut tetapi tegas, “Beginilah. Esok kita bincang dengan Kak Sya kamu. Kalau dia tak setuju, mama takkan paksa. Ini hidup dia, kita tak berhak tentukan jalan hidup Elisyah.”

Keheningan jatuh di ruang tamu, masing-masing larut dengan perasaan sendiri.

Sementara itu, di bilik, Elisyah hanya berbaring diam, mendengar sayup-sayup pertengkaran keluarganya. Dia sudah terlalu penat untuk masuk campur. Dunia seakan kosong baginya, hanya tingkap dan telefon yang menemani.

Tiba-tiba, satu notifikasi muncul di skrin. Jantungnya berdegup kencang. Perlahan dia capai telefon, dan matanya terbeliak melihat nama yang muncul. Hashim.

Tangan Elisyah terketar-ketar menekan notifikasi. Dan benar , Hashim telah unblock dia.

“Nanti pukul sepuluh malam, I call you. I akan terangkan segala-galanya. Ingat, sepuluh malam.” Itu sahaja mesej pendek dari Hashim.

Elisyah membacanya berulang kali. Nafasnya tercungap-cungap, matanya terus berkaca. Sekelip mata dia meloncat bangun, menari-nari kecil di bilik, menekup mulutnya sendiri menahan jeritan.

“See? Sya dah cakap Hash akan balik! Siapa yang tak percaya, tengoklah sekarang!” Air matanya jatuh. Tapi, kali ini bukan kerana kecewa. Harapannya kembali hidup.

Untuk pertama kali setelah setahun, senyuman ikhlas terukir di wajah Elisyah.

Elisyah keluar dari biliknya dengan wajah yang bercahaya. Langkahnya ringan, malah sempat melompat kecil, seolah-olah beban setahun di bahunya hilang begitu sahaja.

Di ruang tamu, ketiga-tiga mereka yang baru sahaja bertengkar. Tuan Mazlan, Puan Sarah, dan Melisyah  spontan berpandangan antara satu sama lain. Aneh. Pelik. Wajah yang selalu muram dan kosong itu kini dihiasi senyuman. Senyuman yang mereka semua sudah lama rindukan.

“Mama, Papa, Mel! Tengok ni!” suara Elisyah penuh teruja, hampir bergetar kerana menahan sebak. Dia mengangkat telefonnya, menunjukkan skrin kepada mereka. “Hash wasap Sya! Akak dah cakap Hash tu setia orangnya. Nanti malam, dia akan jelaskan semuanya. Mesti ada sebab dia buat macam ni!”

Air mata terus bergenang di kelopak mata Elisyah. Dia seakan tak percaya harapannya selama ini akhirnya berbalas.

Melisyah, yang sejak tadi menatap skrin itu, tiba-tiba meluru memeluk kakaknya erat. Air matanya tumpah tanpa dapat ditahan. “Kak Sya… Mel minta maaf. Mel patutnya percaya kakak. Mel… Mel tumpang gembira untuk kakak,” suaranya serak, tenggelam dalam tangisan.

Pelukan itu semakin erat, dua beradik itu menangis dalam dakapan masing-masing. Tangisan yang bercampur bahagia, lega, dan rasa bersalah.

Tuan Mazlan hanya mampu memeluk pinggang isterinya erat, matanya turut berkaca. Puan Sarah menggenggam tangan suaminya, bibirnya mengukir senyuman penuh syukur.

Untuk pertama kali setelah sekian lama, rumah itu kembali terisi dengan sinar - sinar yang datang dari senyuman anak sulung mereka yang akhirnya kembali.

Di dapur, suasana riuh dengan gelak tawa kecil.

“Sedapnya masakan mama! Tip top! Kalau mama buka restoran ni, confirm laku keras,” Elisyah bersuara ceria sambil menambah nasi untuk kali ketiga.

Puan Sarah tersenyum puas melihat anak sulungnya yang kembali berselera. “Alhamdulillah… anak mama dah kembali macam dulu.” Dia segera menuangkan air sirap ke dalam gelas Elisyah saat anaknya tersedak kerana makan terlalu gelojoh.

“Gelojoh sangat. Macam tak makan setahun,” Tuan Mazlan bersuara sambil menghulurkan tisu kepada anaknya. Namun di wajahnya, jelas terpancar rasa lega yang sukar disembunyikan.

“Alaa… dah lama Sya tak makan sama-sama macam ni. Mestilah kena makan banyak,” jawab Elisyah dengan mulut penuh, suaranya gopoh tapi penuh tawa.

“Makanlah banyak mana pun. Apa saja yang Sya minta, papa akan cuba bagi,” ujar Tuan Mazlan perlahan, tangannya mengusap lembut kepala anaknya. Hatinya benar-benar rindu dengan tingkah Elisyah yang ceria begini.

“Iya ke? Kalau macam tu, Sya nak pegang bulan boleh?” Elisyah mengelip-ngelipkan mata manja, membuatkan semua yang mendengar tergelak kecil.

“Ish, kamu ni. Jauh kot bulan tu. Kalau papa panjat bukit nak capai, patahlah pinggang papa nanti,” balas Tuan Mazlan sambil pura-pura merengus.

Puan Sarah menekup mulut menahan ketawa, terhibur melihat suami dan anaknya saling mengusik.

“Alaa, kata papa boleh bagi apa saja,” Elisyah mencebik comel, sengaja mahu menyakat lagi.

“Amboi kak, banyak cantik. Mel kat sini ni apa? Tunggul? Mel pun nak something jugak, boleh kan papa?” sahut Melisyah sambil menggedikkan badan, buat semua ketawa lagi.

“Mulalah dia tu…” Elisyah menjeling lembut ke arah adiknya.

“Okay, okay, semua dah… makan,” ujar Tuan Mazlan, pura-pura serius sebelum menyuap nasi semula.

Puan Sarah hanya memandang wajah mereka bertiga bergilir-gilir, matanya berkaca. Ya Allah, kalau boleh biarlah saat macam ni kekal selamanya. Bahagia sederhana ini lebih berharga daripada apa pun di dunia.

❤️❤️

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience