Bab 6

Romance Series 206

Elisyah terlentang di atas katil, merenung siling putih yang kosong. Kipas berputar perlahan di atas kepalanya, tapi bunyi "tik tik tik" pada kipas itu entah kenapa terasa lebih jelas daripada bunyi hatinya sendiri. Malam itu, lena tidak mahu menjenguknya walau mata sudah dipejam berkali-kali.

Sudah hampir dua jam dia berguling ke kiri dan ke kanan. Biasanya, lena datang sebaik sahaja pipi menyentuh bantal. Tapi malam ini, seakan ada sesuatu yang menghalang. Dia bangun perlahan, menyelak langsir - bulan kelihatan pucat, dikelilingi awan tipis. Sunyi.

Jam di dinding menunjukkan pukul 1:00 pagi. Nafasnya dihela panjang. "Tak boleh jadi ni," bisiknya.

Dia turun dari katil, kaki melangkah perlahan menuruni anak tangga menuju ke dapur. Peti ais dibuka. Lampu putih di dalamnya menyinari wajahnya yang letih. Pandangannya terhenti pada satu botol kecil di rak tengah.

"Alhamdulillah... ada lagi," getusnya sambil menghulurkan tangan. Pil tidur milik adiknya itu masih berbaki. Adiknya pernah bergelut dengan insomnia, tapi sejak kebelakangan ini jarang menggunakannya.

"Ambil satu je tak apa," pujuk hatinya. Dia tahu ubat itu bukan untuknya. Tapi ini bukan kali pertama dia menelan pil tersebut. Kali pertama adalah ketika neneknya meninggal dunia, malam penuh tangisan yang buat matanya enggan pejam. Dan malam ini... dia hanya mahu tidur, jauh daripada segala fikirannya.

Dia menelan sebiji pil dengan air Milo suam yang baru dibancuh. Rasa manis Milo itu cuba mengaburi rasa pahit ubat yang melekat di lidahnya. Dia kembali ke bilik, menarik selimut, dan membiarkan rasa berat itu mengambil alih.

Dalam masa dua puluh minit, matanya rapat tertutup. Dunia luar hilang.

Telefon di tepi bantal bergetar berkali-kali. Nada dering yang biasanya cukup untuk mengejutkannya, malam itu seperti dibungkam oleh kesan ubat tidur.

Dari bilik sebelah, Puan Sarah mengerutkan dahi. Bunyi telefon yang berulang kali berdering akhirnya memaksa dia bangun. "Siapa la call tengah-tengah malam ni..."

Dia menolak pintu bilik anaknya. "Elisyah! Bangun!" jeritnya. Tapi tiada respon. Dia melangkah masuk, cuba menggoncang bahu anaknya yang lena.

Dengan mata separuh terbuka, Elisyah tersedar.
"Ha, bangun pun. Payah betul nak kejut. Ada orang call kamu tu, cepat jawab! Lama dah dia call," bebel Puan Sarah sebelum kembali ke biliknya.

"Argh... kepala aku..." rungutnya perlahan. Dia tahu bangun sebelum kesan pil habis akan membuatkan kepala berdenyut.

Telefon dicapai. 32 panggilan tidak dijawab. Semua daripada satu nama, Hashim.

Jantungnya berdegup laju. Hashim jarang menelefon selepas pukul 11 malam. Kalau lebih daripada itu, pasti ada sesuatu yang serius.

Dia segera menekan nombor tunangnya.
"Sya! Kenapa you tak jawab call I? I call lebih 30 kali kot?!" suara Hashim kedengaran teresak-esak di hujung talian.

"Sorry... you kenapa ni? Nangis teruk sangat..." Elisyah mula resah.

"Tolong jumpa I kat Taman Rainbow sekarang. Nanti I explain."

"Tak boleh ke you explain sekarang?" suaranya bergetar.

"Tolong cepat... I tak banyak masa." Talian mati.

Jam menunjukkan 3:50 pagi. Jalan raya sepi, hanya bunyi enjin kereta menemani. Hatinya penuh tanda tanya, kepala masih berat.

Taman Rainbow kelihatan samar di bawah cahaya lampu jalan. Di situ, Hashim duduk di bangku kayu, membongkok dengan bahu terhinjut-hinjut.

"Hash!" panggilnya sambil berlari.

Lelaki itu mendongak. Matanya merah, wajahnya basah.
"Kakak I... doktor kata kanser dia dah merebak sampai ke jantung. Dia kena jalani pembedahan sekarang... risiko dia tinggi, Sya. Kalau lepas operation, mungkin dia akan..." suaranya terhenti, tertelan tangisan.

"Tapi doktor ada cakap tak peluang untuk dia hidup?" tanya Elisyah, suaranya halus.

"Ada... tapi sangat rendah." Hashim menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri. "Malam ni juga I kena terbang jumpa dia sebelum pembedahan. Sya... boleh tak kita tangguhkan perkahwinan kita? I janji, balik nanti kita terus kahwin."

Dada Elisyah terasa sesak. Kata-kata itu menusuk jauh.

"Dan... I minta izin satu perkara lagi. Boleh tak I guna duit kahwin kita? I terdesak sangat."

Dia tunduk, menahan air mata. "Tak apa... kalau itu yang terbaik, I izinkan."

Hashim menggenggam tangannya erat. "Terima kasih, sayang. I janji I akan ganti balik."

Tanpa sempat berbicara lebih lama, Hashim berlari ke keretanya. Elisyah hanya mampu memandang lampu belakang kereta itu hilang dalam gelap.

Dia masuk ke keretanya sendiri. Saat enjin dihidupkan, air mata yang ditahan akhirnya jatuh, membasahi pipi tanpa henti.

Sila komen

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience