Bab 27

Romance Series 206

Salji putih turun perlahan-lahan, menutupi bumi Korea yang dingin. Elisyah menadah tangannya, merasai dingin lembut itu hinggap di tapaknya. Sesekali, tangannya turun mengusap perutnya yang masih kempis, seakan berbicara dengan si kecil yang sedang membesar di dalam rahimnya. Senyum halus terukir di bibirnya. Esok, mereka akan kembali ke tanah air, tapi saat ini terasa terlalu indah untuk dilepaskan begitu saja.

Dari jauh, Tengku Malik memerhatikan tingkah isterinya yang termenung di gazebo. Langkahnya perlahan menghampiri, seolah takut mengganggu ketenangan yang sedang dirasai wanita itu. “Sayang?” panggilnya lembut sebelum duduk di sisi Elisyah. “Kenapa lama sangat tenung salji tu?”

Elisyah tidak memandangnya, matanya masih melekat pada butiran putih yang jatuh dari langit. “Saja… best tengok salji turun. Rasa tenang… rasa damai. Macam semua masalah hilang sekejap.”

Tengku Malik menguncungkan bibir, pura-pura merajuk. “Aik, syok sangat tengok salji sampai suami sendiri pun tak nak tengok? Kesian muka abang yang hensem ni diketepikan.”

Elisyah tergelak kecil, menoleh sebentar lalu mengusap perutnya. “Baby, tengok papa ni… asyik merajuk tak tentu pasal.”

“Eh mestilah papa merajuk,” balas Tengku Malik, tak mahu kalah. “Mama dah tak nak pandang muka papa. Kan sayang?” Dia menyandarkan kepala di bahu isterinya dengan gaya manja.

“Ish, abang ni! Baby, jangan ikut perangai papa tau… suka merajuk,” Elisyah ketawa lagi, tapi kali ini tawanya penuh kebahagiaan.

Sunyi seketika, hanya bunyi desir angin musim sejuk menemani mereka. Elisyah bersuara perlahan, “Abang… walaupun honeymoon kita kali ni banyak terperap dalam bilik je sebab Sya tak sihat, tapi Sya tetap rasa bahagia. Sebab ada abang… ada baby… cukup dah buat Sya rasa lengkap.” Tangannya mengusap lembut perutnya. “Kan bagaboo mama ni?”

Tengku Malik tersenyum, wajahnya sarat rasa kasih. Dia menggenggam jemari isterinya erat. “Abang pun rasa sama, sayang. Inilah percutian paling berharga dalam hidup abang. Tak kisahlah kita tak keluar jalan banyak pun… yang penting abang dapat jaga isteri abang, dapat temankan bagaboo mama dalam ni. Itu lebih bermakna daripada apa pun.”

Elisyah menoleh, matanya berkaca. Perlahan dia mengusap wajah suaminya. “Abang, tahu tak? Masa abang bagi nama manja Sya ‘bagaboo’ dulu, Sya dah buat keputusan… kalau ada anak nanti, Sya nak panggil dia bagaboo juga. Sebab nama tu penuh dengan cinta abang.”

Tengku Malik tergelak kecil, tapi ada rasa sebak juga. “Hmm, jadi abang kena kongsi nama manja tu dengan anak kita ya? Tak apa… abang rela. Lagipun, bagaboo tu memang hanya milik keluarga kita. Istimewa.”

Elisyah tersenyum manis, membalas dengan anggukan perlahan. Dia bersandar di bahu suaminya, menikmati detik itu sepuas hati. Tengku Malik merangkul bahu isterinya, mencium ubun-ubun wanita itu penuh syukur.

Salji terus turun tanpa henti, seolah-olah menjadi saksi bisu kepada cinta dua insan yang kini sedang menanti anugerah terindah dalam hidup mereka. Dan walaupun cuti mereka sederhana tanpa banyak jalan-jalan, bagi Tengku Malik , kebahagiaan sebenar adalah melihat senyuman Elisyah dan mendengar degupan kehidupan kecil di rahim isterinya.

Saat mereka menjejakkan kaki di Malaysia, rumah yang sudah lama menanti akhirnya kembali menjadi saksi kehidupan baru mereka. Elisyah yang melangkah masuk ke biliknya, langsung merebahkan tubuhnya ke atas katil empuk. Hampir tujuh jam perjalanan di dalam kapal terbang benar-benar menguji tenaganya, apatah lagi dengan keadaan dirinya yang kerap diserang morning sickness. Sepanjang penerbangan tadi, dia hampir tidak lepas daripada plastik di tangan.

Tengku Malik, yang sedari tadi setia menemani, tidak sekalipun mengeluh. Setiap kali Elisyah muntah, dia segera hulurkan plastik, lapkan wajah isterinya, dan bisikkan kata-kata menenangkan. Dia sendiri tahu, bukan mudah untuk Elisyah melalui semua ini. Usai meletakkan beg di lantai, Tengku Malik turut merebahkan dirinya di sisi isterinya.

"Abang… Sya nak tidur sekejap boleh?" suara Elisyah kedengaran sayu, matanya sudah separuh terpejam. Dia sendiri tidak pasti, sama ada ini jetlag atau tubuhnya yang terlalu penat, tetapi rasa mengantuk itu begitu kuat.

"Eh, tidurlah sayang. Tak apa… abang teman Sya tidur sekali, boleh kan?" bisik Tengku Malik lembut, sambil jarinya mengusap perlahan rambut isterinya. Elisyah hanya mengangguk lemah, lalu memejamkan matanya.

Tengku Malik tersenyum tipis. Tangannya beralih ke perut Elisyah yang masih kempis, diusap penuh kasih. "Bagaboo papa… jangan buat mama penat lagi ya. Kesian mama, dari tadi asyik muntah saja. Bagaboo, janji dengan papa jaga mama baik-baik…" tutur Tengku Malik dengan suara rendah, seolah-olah berbicara dengan anak yang sedang berteduh di rahim.

Dia kemudian merebahkan diri rapat ke sisi isterinya, membiarkan kehangatan tubuh mereka bertemu. Saat itu, dunia terasa sepi, hanya berbaki detik kecil penuh cinta yang membuatkan segala penat dan lelah hilang begitu saja.

“Bzz… Bzz…” Telefon milik Elisyah bergetar beberapa kali di atas meja sisi katil. Namun sejak tadi ia dalam mod senyap, jadi langsung tidak mengganggu lena mereka.

Elisyah akhirnya terjaga kerana terasa ingin ke tandas. Setelah selesai membersihkan diri dan mengambil wuduk, dia kembali ke bilik dengan langkah perlahan. Dilihatnya suaminya masih nyenyak di atas katil. Dia tersenyum kecil, lalu mendekati.

“Abang, bangun… dah masuk Asar. Jom solat sama-sama,” kejut Elisyah lembut, suaranya penuh kasih.

Tengku Malik mengerutkan kening dalam mamai. “Sayang? Sayang okay? Nak muntah lagi ke?” soalnya cemas, masih terbawa-bawa kebiasaan menjaga isterinya sehingga termimpi-mimpi.

Elisyah menepuk bahu suaminya perlahan dengan bantal kecil. “Abang ni… Sya dah okay sikitlah. Sya kejut ni ajak solat, bukan nak muntah.” Dia menggeleng sambil tersenyum manja.

Tersedar dari khayal, Tengku Malik bangun sambil menggosok matanya. Tangan lelakinya kemudian terbuka luas. “Nak peluk…” ucapnya manja.

Elisyah menahan tawa kecil. “Abang… Sya ada wuduk ni,” tolaknya lembut.

Tengku Malik ketawa perlahan. Dia hanya berniat mahu mengusik isterinya, tapi cepat-cepat menarik semula niat itu. Dia sedar, gurauan berlebihan mungkin buat Elisyah terasa, apatah lagi dalam keadaan dirinya yang masih lemah.

Mereka berdua menunaikan solat berjemaah dengan penuh tenang. Saat salam terakhir dilafazkan, hati mereka terasa lapang. Usai doa, Elisyah segera mencari-cari telefonnya.

“Abang, telefon Sya mana ya? Sya nak beritahu mama dengan papa yang kita dah sampai. Risau pula kalau mereka call,” katanya sambil memandang sekeliling.

Tengku Malik turut sama mencari. “Haah, betul jugak. Abang pun tak jumpa telefon abang. Tadi letak kat mana, ya?” Dahinya berkerut sebelum tiba-tiba teringat. “Oh, abang tahu! Kejap…”

Dia menuju ke sudut bilik, mengangkat beg yang tertindih antara beg lain. Di dalamnya, dia menemui kedua-dua telefon mereka. Dia menghulurkan telefon kepada Elisyah, sementara telefonnya sendiri terus disambungkan ke pengecas.

Belum sempat dia beredar, tiba-tiba Elisyah terjerit kecil. Tangannya yang memegang telefon bergetar, wajahnya pucat. “Abang…” suaranya serak, matanya berkaca.

Melihat keadaan itu, Tengku Malik segera meluru ke sisi isterinya. “Kenapa, sayang? Apa jadi?” tanyanya cemas, lututnya segera bertinggung di depan Elisyah.

Elisyah terduduk di birai katil, nafasnya tidak teratur. Tangannya masih menggigil memegang telefon. Tanpa berlengah, Tengku Malik mengambil telefon itu dari genggamannya. Matanya segera tertancap pada skrin, membaca satu per satu mesej panjang daripada Puan Sarah.

Wajahnya berubah serius. Tanpa sepatah kata, dia terus menarik Elisyah ke dalam pelukannya, merapatkan tubuh isterinya di dadanya seolah-olah mahu melindungi daripada apa sahaja yang bakal datang.

Sorry panjang sikit!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience