Series
206
Elisyah menangis teresak-esak di dalam kereta, dadanya terasa sesak. Kepalanya berdenyut-denyut, berat seakan batu menekan.
Kenapa sekarang? Kenapa bukan selepas kami kahwin? Kenapa…?
Soalan itu berulang kali berputar dalam kepalanya, bagaikan jarum yang menghiris hati tanpa henti.
Air matanya jatuh tanpa henti membasahi pipi. Setelah puas meluahkan segala tangisnya di dalam kereta, Elisyah menarik nafas panjang. Namun, nafas itu tetap terasa sempit. Dia menekan pedal minyak, memandu pulang dalam keadaan mata yang semakin kabur.
Sebaik sahaja tiba di hadapan rumah, dia menekan brek mengejut. Tanpa memikirkan apa-apa, dia keluar dari kereta, pintu dibiarkan terbuka luas.
Langkahnya longlai. Nafasnya pendek. Dia seperti hilang arah. Saat melangkah masuk ke kawasan pagar rumah, tangannya segera memegang kepala yang terasa semakin berat. Pandangannya berpinar-pinar.
Tubuhnya goyah. Dan sebelum dia sempat jatuh, satu pelukan hangat menyambutnya.
Tuan Mazlan, wajahnya pucat, memegang erat tubuh anak sulungnya itu.
“Sayang! Anak kita pengsan! Ambil kunci kereta sekarang! Kita bawa Sya pergi Hospital!”
Suaranya bergetar, separuh jeritan, separuh panik. Dia terus mengangkat tubuh Elisyah yang terasa ringan, terlalu ringan.
Puan Sarah terhenti seketika, jantungnya seakan diramas, sebelum berlari mendapatkan kunci kereta. Melisyah yang baru sahaja menuruni tangga rumah terpaku seketika melihat keadaan kakaknya, lalu berlari pantas ke arah kereta, membuka pintu belakang dengan tangan terketar-ketar.
---
Di hospital, Elisyah segera dibawa masuk ke unit kecemasan. Pintu bilik tertutup rapat, meninggalkan Tuan Mazlan, Puan Sarah, dan Melisyah di luar, hanya ditemani debaran dan doa yang tak henti-henti.
Puan Sarah duduk di bangku, wajahnya tertunduk, bahunya bergegar menahan tangis. Air mata jatuh ke lantai tanpa dia sedar. Tuan Mazlan duduk di sebelah, tangannya menggosok lembut belakang isterinya. Dia juga sedih dan hatinya koyak. Tetapi dia memaksa dirinya kuat demi mereka.
“Sayang… nak makan apa-apa tak? Dari malam tadi sayang tak jamah apa pun. Sayang tak lapar?” soalnya perlahan, penuh berhati-hati.
“Tak… Macam mana sayang nak makan kalau anak kita masih kat dalam tu?” suara Puan Sarah pecah di hujung kata.
“Sayang kena makan sikit… Kalau sayang tak makan, mana nak dapat tenaga nak jaga Elisyah nanti?” Dia terus memujuk walaupun tahu hatinya sendiri sedang rapuh.
Akhirnya Puan Sarah mengangguk lemah. “Abang belilah apa-apa… sayang makan saja…”
Melisyah yang duduk di sebelah ibunya memegang tangan mamanya erat.
“Mama, jangan risau. Kakak mesti okay. Kita doa sama-sama, banyak-banyak,” katanya dengan suara yang cuba kedengaran tabah walaupun matanya juga berkaca.
“Terima kasih, sayang mama…” Puan Sarah memeluk Melisyah erat, seakan mencari kekuatan daripada anak bongsunya itu.
---
Dua jam berlalu, setiap detik terasa panjang. Akhirnya pintu kecemasan terbuka, beberapa doktor keluar. Puan Sarah dan Melisyah segera bangun. Tuan Mazlan yang baru kembali dengan plastik makanan juga bergegas mendekat.
“Doktor… tak ada apa-apa masalah serius dengan anak saya, kan?” suara Puan Sarah hampir berbisik, namun sarat dengan harapan.
“Puan, Tuan… ikut saya ke bilik, ya. Saya akan terangkan,” jawab doktor dengan nada lembut.
Setibanya di bilik doktor, pintu ditutup oleh jururawat. Doktor itu memandang mereka dengan wajah tenang.
“Anak Puan dan Tuan tak ada masalah kesihatan yang serius… cuma tekanan darahnya tinggi. Ini berpunca daripada stres yang terlalu berat. Dia perlu berehat secukupnya, dan kami akan pantau keadaannya buat sementara waktu,” terang doktor itu.
---
Keluar dari bilik doktor, hati mereka masih berat. Melisyah yang menunggu di luar segera mendekati. Puan Sarah menceritakan segalanya, suaranya perlahan dan bergetar. Tuan Mazlan hanya diam, fikirannya ligat mencari cara membantu anaknya.
“Kita kena beri sokongan pada kakak. Walau apa pun masalah dia, kita kena ada untuk dia. Itu saja cara nak ringankan tekanan dia,” kata Tuan Mazlan akhirnya.
Puan Sarah dan Melisyah mengangguk, walaupun di dalam hati mereka masing-masing masih dihimpit rasa takut kehilangan.
Heheheheh
Share this novel