Bab 29

Romance Series 204

Dup dap… dup dap… Jantung Elisyah bagai mahu tercabut saat telinganya menangkap ayat itu.

“Awak dah gugur, awak dah gugur, AWAK DAH GUGUR!”

Kata-kata doktor bergema berkali-kali di kepalanya, menghentam jiwa yang sudah rapuh. Tubuhnya terketar. Nafasnya sesak. Elisyah menjerit di tepi bangunan hospital, jeritan yang lahir dari hati yang retak.

Pagi tadi, dia bangun tidur lalu melihat tompokan darah di cadarnya. Panik menguasai diri. Tanpa sempat menghubungi suaminya, dia terus memandu sendiri ke hospital dengan hati yang berdebar, penuh doa agar anak kecil dalam rahimnya selamat. Namun, jawapan yang diterima meragut semua harapannya. Dia… sudah keguguran.

Air matanya menderu laju tanpa mampu ditahan. Dengan suara terketar, dia bertanya, “Doktor, apa punca saya gugur?”

Doktor itu terdiam sejenak, menarik nafas panjang. Matanya sayu memandang Elisyah, seakan tidak sanggup melukai hati yang sedang retak seribu. Namun, dia tahu dia tidak boleh berbohong. “Sebenarnya, Puan… kandungan ini gugur kerana ibunya terlalu tertekan dan mengambil ubat melebihi dos. Saya sarankan Puan berhenti bergantung pada ubat berlebihan, cuba kawal stress Puan. InsyaAllah, Puan masih ada peluang untuk mengandung lagi.”

Kata-kata itu menampar jiwa Elisyah. Hatinya remuk, tubuhnya longlai. Dia melangkah keluar dari hospital dengan kaki yang terasa kaku, seolah bumi menolak tapaknya.

Dia masuk ke dalam kereta, menutup pintu rapat-rapat, dan akhirnya rebah di stereng. Tangannya perlahan mengusap perutnya yang kini terasa kosong.

“Bagaboo… anak mama… Mama minta maaf sebab mama tak dapat jadi mama yang terbaik untuk kamu. Maafkan mama, sayang…” suaranya pecah di antara tangisan. Walau baru dua bulan usianya, perutnya sudah mula menampakkan sedikit bentuk. Kini, yang tinggal hanyalah kenangan dan luka yang tidak akan sembuh.

Tangisannya bergema dalam ruang kereta. Sejam berlalu, matanya bengkak, namun hatinya masih pedih. Dalam tangisan itu, dia mula berbicara dengan dirinya sendiri.

“Macam mana aku nak bagitahu Malik? Tentu dia akan bencikan aku. Tentu dia akan salahkan aku. Tak apalah… apa pun nasib aku nanti, aku kena terima. Sebab semua ni salah aku.”

Dia ketawa kecil, namun ketawa itu penuh kepahitan, penuh ironi. “Gilakan mama ni, Bagaboo? Masa kamu ada, mama lalai. Tapi bila kamu dah pergi, baru mama nak sedar.”

Elisyah menggenggam erat stereng, seolah-olah mencari kekuatan daripada sesuatu yang tidak bernyawa. Dengan air mata yang masih bersisa, dia menghidupkan enjin kereta. Hatinya berat, tapi tekadnya sudah ada. Dia perlu pulang. Dia perlu berdepan dengan kenyataan ,walau pun pedih.

Kereta itu bergerak meninggalkan hospital. Tetapi dalam dirinya, luka itu tetap tinggal, bersama suara hatinya yang berulang kali berbisik, “Mama minta maaf, Bagaboo.”

Tengku Malik membuka pintu rumahnya dengan langkah letih setelah seharian bekerja. Namun, langkahnya terhenti serta-merta. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat Elisyah berdiri di hadapan pintu dengan senyuman manis yang sudah lama dia rindui. Senyuman itu bagaikan sinar matahari selepas hujan lebat.

“Assalamualaikum, abang…” Elisyah menghulurkan tangan untuk bersalam.

Tengku Malik terpaku, dadanya berdegup kencang. Hampir tidak percaya, dia teragak-agak sebelum akhirnya menyambut salam isterinya. Belum sempat dia berkata apa-apa, Elisyah terus memeluknya erat, seakan tidak mahu melepaskan.

Dia mendongakkan wajah, matanya tepat menusuk mata Tengku Malik. “Abang… lapar tak? Jom makan. Sya masak lauk banyak untuk abang,” ujarnya dengan senyuman yang cuba kelihatan tulus.

Tengku Malik mengusap lembut pipi isterinya. Rasa bahagia menyelinap ke hatinya. Sudah lama dia menunggu saat isterinya kembali seperti dahulu. Senyuman tenang terukir di wajahnya, namun di sudut hati… ada sesuatu yang terasa aneh.

Elisyah menarik tangan suaminya menuju meja makan. Dengan penuh semangat, dia mencedok nasi untuk suaminya, kemudian mengambil lauk. “Abang nak tahu tak… pagi tadi Sya tengok TikTok. Ada orang kena pukul dengan abang dia… kesian kan dia?” Dia ketawa kecil sambil menambah lauk ke dalam pinggan suaminya.

Tengku Malik mengangkat wajah, perasaan tidak enak mula menyelubungi. Memang dia mahu melihat Elisyah ceria semula, tetapi cara isterinya bercakap tanpa henti, cuba mengalih perhatian… membuatkan hatinya semakin resah.

“Lepas tu, Sya masak ni sebab Sya teringat abang suka makan tomyam,” katanya lagi, kemudian duduk berhadapan suaminya. “Abang tahu tak… tadi Sya nampak kucing lapar dekat luar… tapi Sya tak sempat nak tolong sebab…”

“Sayang.” Suara Tengku Malik memotong kata-katanya. Tangannya segera menangkap jemari isterinya. “Sayang betul-betul okay ke ni?”

Mata Elisyah mula bergenang. Dia menggigit bibir menahan tangis. Cepat-cepat dia menepis lembut tangan suaminya dan memalingkan wajah. Air matanya segera diseka, tidak mahu suaminya melihat. “Kejap ya abang? Abang nak air kan?” katanya, cuba menyembunyikan getar suara. Dia bangun, menuju ke penapis air, lalu menuang segelas sebelum meletakkan di hadapan suaminya.

“Abang, cuba rasa ni…” Elisyah tersenyum paksa, memujuk suaminya makan.

Namun, Tengku Malik hanya memandangnya tanpa menyentuh makanan. “Tak nak.”

Elisyah terdiam, senyumannya mati. “Kenapa abang?”

“Abang takkan makan…” nada suaminya tegas, “…selagi sayang tak cerita pada abang.”

“Cerita apa?” Elisyah cuba mengalih, berpura-pura tidak faham.

Tengku Malik menghela nafas panjang. Dia menunduk seketika, kemudian kembali memandang wajah isterinya dengan mata yang penuh kasih sayang. “Dengar sini, sayang. Abang bahagia bila nampak sayang tersenyum semula. Abang rindu dengan Elisyah abang yang dulu. Tapi… apa yang abang rasa sekarang… senyuman ini, cara sayang bercakap tanpa henti… itu bukan Sya yang abang kenal. Tolonglah, bagitahu abang apa sebenarnya yang sedang sayang tanggung. Jangan sorok sorang-sorang.”

Air mata Elisyah akhirnya jatuh juga. Dia cuba menahan, namun semakin dipujuk, semakin luluh hatinya.

Tengku Malik menariknya perlahan ke ruang tamu. Mereka duduk di sofa, dan lelaki itu mengusap lembut perut isterinya. Pandangannya penuh kasih, seakan berbicara dengan bayi yang sudah tiada.

“Bagaboo… papa pun kena pujuk mama tau? Jangan nakal buat mama sedih…” bisiknya dengan senyuman hambar, cuba menghidupkan suasana.

Elisyah segera mengalihkan pandangan, hatinya semakin sebak. Tangannya bergetar, dan perlahan dia menunduk.

Tiba-tiba, dengan mata yang penuh air mata, dia melutut di hadapan suaminya. Tangannya menggenggam lutut Tengku Malik erat, seolah-olah mencari kekuatan. Suaranya serak, bergetar menahan tangis.

“Abang… Sya ada benda nak bagitahu…”

Korang suka tak chemistry diorang? ke cringe?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience