Series
206
Di tepi katil Tuan Mazlan…
Elisyah berbaring di pangkuan mamanya. Puan Sarah mengusap lembut kepala anaknya, berulang kali, seakan mahu menyalurkan kekuatan. Di hujung kaki, Melisyah sudah tertidur lena di atas toto nipis di lantai.
“Sya…” panggil Puan Sarah perlahan.
“Hmm?” sahut Elisyah lemah, matanya masih tertumpu pada wajah papanya yang tidur tenang.
“Sya betul-betul nak kahwin dengan Tengku Malik? Dah fikir masak-masak?” soalan itu keluar lembut, tetapi berat.
Elisyah menoleh, memandang wajah mamanya dengan mata yang sayu.
“Apa pilihan yang Sya ada, mama? Selain kahwin dengan dia…”
Puan Sarah cuba tersenyum, walau hatinya perit.
“Sya… ini masa depan kamu, bukan masa depan mama. Kamu yang akan melaluinya, bukan orang lain. Mama cuma nak kamu fikirkan kebahagiaan kamu dulu. Pasal rawatan papa tu… biar mama pujuk. Itu tanggungjawab mama, bukan kamu.”
Mata mereka berdua kemudian sama-sama jatuh ke arah katil Tuan Mazlan. Lelaki itu masih nyenyak tidur, wajahnya tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Elisyah menarik nafas panjang.
“Tak apalah, mama… Sya redha. Mungkin ini memang takdir Sya. Berkahwin dengan orang yang Sya tak cinta. Jadi mama jangan risau pasal Sya. Pandailah Sya uruskan semua ni. Sya cuma minta satu je… mama jangan pernah jauh dari papa. Sentiasa ada di sisi dia.”
Dia mengangkat tangan mamanya lalu menciumnya dengan penuh kasih.
Puan Sarah menahan sebak. Air mata hampir gugur, tetapi dia ukir senyuman.
“Baiknya anak mama ni… sanggup korbankan kebahagiaan sendiri demi orang lain. Papa dengan mama memang selalu bangga dengan kamu, sayang…”
Puan Sarah memandang wajah Elisyah. Namun, anak sulungnya itu sudah pun terlelap, air mata masih membasahi pipi.
“Lah… rupanya dah tidur.” bisiknya perlahan.
Dengan hati-hati, Puan Sarah mengalihkan kepala anaknya ke atas bantal, lalu menyelimutkannya. Malam itu, Elisyah tidur di sofa kecil bilik wad, sementara Puan Sarah dan Melisyah berbaring bersama di lantai beralaskan toto, menemani Tuan Mazlan yang masih bertarung dengan sakitnya.
Di café yang sunyi itu…
Bunyi hentakan tapak kasut kedengaran jelas di ruang sepi itu. Elisyah melangkah masuk, jantungnya berdegup laju. Di hadapannya, seorang jejaka sudah pun menunggu. Lelaki yang dikatakan bakal suaminya.
Tengku Malik mengangkat wajah, senyum sinis terukir di bibirnya.
“Duduklah… Atau nak kita berbincang sambil berdiri?” usiknya.
Hati Elisyah menyumpah dalam diam. Geram benar dengan lelaki yang penuh selamba ni.
“Tahulah!” balasnya dingin sambil menarik kerusi dan duduk.
“Alaa, janganlah merajuk. Aku gurau je,” Malik cepat-cepat mengendurkan nada bila melihat wajah tajam Elisyah. Dia sendiri hampir kecut bila pandangan mata gadis itu menikam tepat ke arahnya.
Elisyah diam, tidak mahu melayan.
“Aku dah orderkan kau Milo ais. Harap okaylah,” katanya lagi, cuba mencairkan suasana sambil matanya sempat meneliti wajah cantik Elisyah.
Elisyah hanya mengangguk kecil. Dia tidak mahu berbual panjang. Dia mahu habiskan pertemuan ini secepat mungkin.
Beberapa detik sunyi berlalu sebelum Elisyah bersuara, terus ke tajuk utama.
“So… awak setuju tak nak kahwin dengan saya?” suaranya tegas, walau dalam hati dia menjerit.
Tolonglah… tolonglah cakap tidak.
Malik mengangkat kening, senyum separa nakal.
“Aku okay je.”
Bang! Dunia Elisyah terasa gelap. Seperti kepalanya dihentak tanah.
Cepat betul mamat ni setuju! Tak boleh jadi ni. Aku perlukan idea… cepatlah otak, tolonglah!
“Ermm…” Elisyah bersandar, cuba berlagak tenang. “Sebenarnya saya ni ada masalah mental tau. Awak betul sanggup nak kahwin dengan orang gila?”
Dia menanti jawapan dengan harapan tinggi.
Namun, Malik hanya tersengih.
“Alah, aku lagi gila dari kau, tahu?” balasnya tanpa ragu.
Ketika itu, pelayan datang membawa minuman mereka. Bunyi gelas diletakkan di meja kedengaran, seolah-olah mengesahkan jawapan yang Elisyah paling tak mahu dengar. Lelaki ini langsung tak goyah.
“Awak percaya tak perkahwinan tanpa cinta boleh bahagia?” soal Elisyah, matanya menancap pada wajah lelaki di hadapannya. Hatinya menunggu jawapan seperti menunggu hujan pada musim kemarau.
Tengku Malik mengendurkan bahu, tenang. “Cinta boleh dipupuk, kan?” jawabnya selamba, seolah itu perkara paling mudah di dunia. Perkataan itu bagai garam mencalit luka Elisyah jadi makin tidak senang.
“Okay, saya tanya sekali lagi, awak tak rasa terseksa kalau kahwin dengan orang yang awak tak cinta?” nada Elisyah berubah serius; ada getar yang cuba dia sembunyikan.
Malik tersenyum, membalas dengan soalan yang membuat darahnya mendidih. “Kau terseksa ke kalau kahwin dengan aku?”
Itulah yang paling dia benci. Jawapan berputar-belit yang mengelak dari soal terus. Nafas Elisyah dalam sejenak; tekaknya terasa kering ketika dia meneguk minumannya.
“Kalau kita kahwin, macam mana saya boleh tiba-tiba jatuh cinta dengan awak? Macam mana kalau saya takkan boleh cintakan awak sampai bila-bila?” suaranya rendah, penuh takut dan harapan yang dicampur-baur.
Tengku Malik menatapnya dengan mata yang langsung tak goyah, lalu mengeyitkan mata sambil senyum mudah. “Aku yakin kau akan jatuh cinta pada aku. Jadi jangan risau, Sya.”
Elisyah terpaku. Di dalam dadanya, sesuatu retak. Harapan bersilang dengan kegusaran. Jawapan itu tenang, yakin. Namun hatinya masih perlu diyakinkan oleh masa dan luka yang belum sembuh.
Done
Share this novel