Bab 21

Romance Series 206

Hampir tiga jam perjalanan berlalu, dan mereka hanya tinggal tiga puluh minit sahaja lagi sebelum sampai ke rumah keluarga Elisyah.

“Awak! Boleh berhenti lagi? Saya nak muntah…” suara Elisyah kedengaran lemah, hampir tersekat.

Tengku Malik pantas membrek dan berhenti di tepi jalan. Dia sudah biasa dengan permintaan itu sejak sejam yang lalu. Kali ini adalah kali keempat Elisyah muntah. Mukanya pucat, badannya longlai, dan hanya tinggal sisa air yang keluar kerana semua isi perutnya sudah habis.

Dia tunduk, cuba menahan perutnya yang semakin pedih. Nafasnya tercungap, dan tubuhnya menggigil halus. Malik cepat-cepat menepuk perlahan belakang isterinya, tangannya mengusap penuh hati-hati.

“Sayang okay tak? Kalau dah macam ni… abang risau. Abang tak nak benda serius jadi kat sayang,” suara Tengku Malik bergetar, jelas terlihat resah di wajahnya.

Elisyah hanya menggeleng perlahan. Dia sudah terlalu penat mahu mengeluarkan suara. Kelopak matanya berat, kepalanya pening. “Takpelah… saya boleh tahan lagi. Nanti sampai rumah mama… okay lah tu,” bisiknya lemah.

Melihat keadaan isterinya yang masih mahu keras kepala, Malik mengeluh perlahan. Saat dia cuba membuka pintu untuk menolong, tangan Elisyah cepat menahan.
“Takpe… saya boleh buka sendiri,” katanya, cuba tegas walaupun suaranya sudah hampir tenggelam.

Malik hanya diam. Dia tahu, lagi ditekan, lagi isterinya melawan. Dia mengangguk perlahan, menutup kembali pintu, dan masuk semula ke tempat pemandu. Namun dalam hatinya bergolak. Dia tak sanggup tengok Elisyah begini.

Beberapa minit kemudian, dia membelok masuk ke sebuah stesen minyak. Elisyah hanya terbaring di kerusi penumpang, malas mahu banyak bertanya. Dia terlalu letih untuk melawan.

“Sayang tunggu sini ya,” ujar Malik lembut sebelum keluar berlari kecil ke arah kedai serbaneka.

Beberapa minit kemudian, dia kembali dengan sebotol minyak angin kecil di tangan. Nafasnya sedikit tercungap kerana tergesa-gesa. Dia terus duduk di sebelah Elisyah, membuka penutup minyak itu lalu menghulurkan tangannya.

“Sayang… meh abang letakkan ubat ni. Abang urutkan kepala sayang sikit,” ujarnya perlahan.

Tanpa menunggu jawapan, dia menyapu minyak angin di pelipis isterinya, urutannya lembut dan penuh kasih sayang. Dia perhatikan wajah pucat itu dengan hati yang semakin dipagut rasa bersalah.

“Sayang… kalau lega sikit, baru abang sambung drive, ya? Abang tak kisah berhenti lama pun… yang penting sayang okay,” suaranya penuh harapan, seperti merayu.

Namun Elisyah perlahan menolak tangannya.
“Takpe… saya dah okay. Bawa je kereta tu. Saya nak tidur sekejap,” katanya, lalu memejamkan mata rapat.

Malik menghela nafas berat. Dia tidak mahu memaksa lagi. Saat kepalanya berpaling, dia sempat melihat wajah isterinya yang akhirnya lena kerana terlalu penat.

Dia mengusap pipi isterinya perlahan, hampir tak terdengar bisikannya.
“Sayang… kalau lah sayang tahu, betapa abang tak sanggup tengok sayang sakit macam ni.”

Hanya selepas itu, dia kembali ke tempat pemandu. Enjin dihidupkan semula, dan perjalanan disambung dengan hati yang berat. Berdoa agar isterinya benar-benar selamat di sisinya.

Sekitar tiga puluh minit kemudian, kereta mereka sudah menghampiri kawasan rumah keluarga Elisyah. Matahari tengah hari mula menyimbah panas, namun dalam kereta, suasana sunyi dan tenang.

Elisyah perlahan-lahan membuka matanya. Dia mengerling jam di papan pemuka, kemudian memandang keluar tingkap. Nafasnya terasa lebih lega walaupun tekaknya masih pahit kesan muntah tadi.

“Hmm… dah dekat sampai ke?” Suaranya serak, perlahan.

Tengku Malik segera menoleh, senyum kecil terukir di bibirnya. “Ya sayang, lagi sikit je. Alhamdulillah… sayang dah bangun. Rasa okay sikit?”

Elisyah mengangguk perlahan, lalu menegakkan duduknya. Dia perasan tisu basah di pangkuan, botol air mineral terbuka, dan minyak angin di tangan Malik. Lelaki itu kelihatan letih, tapi masih sempat menoleh padanya penuh risau.

“Elok je saya tidur… awak ni sibuk uruskan semua untuk saya ke?” Soal Elisyah, separuh berbisik, separuh menegur.

“Abang memang nak uruskan sayang. Dari awal tadi, abang doa je biar sayang tidur lena, biar hilang pening,” jawab Malik jujur, sambil memandu tenang.

Entah kenapa, dada Elisyah terasa sebak. Dia cepat-cepat memalingkan wajah ke luar tingkap, bimbang air matanya jatuh tanpa rela. Dalam hati, dia berbisik sendiri. Kenapa dia baik sangat dengan aku? Aku ni siapa je dalam hidup dia…

“Awak ni kan…” suara Elisyah akhirnya pecah, namun dia tahan agar tidak bergetar. “Kalau awak penat, awak cakap je. Saya tak suka tengok awak berkorban macam ni.”

Malik ketawa kecil, matanya tetap fokus di jalan. “Sayang… penat tu biasa. Tapi kalau untuk sayang, semua jadi ringan. Abang bahagia je.”

Ayat itu buat Elisyah terdiam. Jari-jemarinya mengetap perlahan hujung baju kurungnya. Dia tidak tahu harus balas apa. Dalam diam, dia mengintai wajah lelaki itu dari sisi. Garis keletihan jelas, tapi senyumannya masih sama seperti kali pertama mereka kenal.

Kereta akhirnya berhenti betul-betul di hadapan rumah mama Elisyah. Malik matikan enjin, lalu berpaling pada isterinya.

“Sebelum kita masuk… abang nak cakap satu je. Abang minta maaf kalau sepanjang jalan tadi abang terlalu risau, terlalu jaga lebih. Abang cuma takut apa-apa jadi pada sayang.”

Elisyah terkedu. Nafasnya tersekat, jantungnya berdegup laju. Dia tidak mampu menatap mata Malik lama-lama, jadi dia hanya tunduk.

“Terima kasih… Malik,” ucapnya perlahan, hampir berbisik. Itu pun sudah cukup membuatkan Malik tersenyum puas, seolah-olah ucapan ringkas itu hadiah besar untuknya.

Kelihatan Puan Sarah dan Melisyah sudah pun menunggu di hadapan rumah. Jelas terpancar wajah gembira mereka. Saat Elisyah melangkah keluar dari kereta, Puan Sarah dan Melisyah hampir serentak berlari mendapatkannya. Puan Sarah terus memeluk anak sulungnya erat-erat. Rindu yang lama dipendam seakan terlerai dalam dakapan itu. Walau baru dua tiga hari tidak bersua, kerinduan seorang ibu tetap terasa dalam-dalam.

Namun, hati tua itu cepat terusik melihat wajah pucat lesu anaknya. Dari raut wajah Elisyah sahaja, Puan Sarah sudah tahu dia mabuk kereta. Tanpa bertanya panjang, dia memimpin tangan anaknya masuk ke rumah dengan penuh hati-hati.

Sementara itu, Melisyah menuju ke bonet kereta, berniat mahu membantu Tengku Malik mengangkat beg. Baru tangannya mahu menyentuh, segera dihalang.
“Takpe, abang boleh buat sendiri,” ujar Tengku Malik lembut.
Melisyah sekadar mengangguk, lalu mengekori langkah mama dan kakaknya.

Sebaik masuk ke ruang tamu, Elisyah merebahkan tubuh di atas sofa, matanya terpejam keletihan. Puan Sarah segera bergegas ke bilik, mengambil bantal dan selimut untuk anaknya.

Melisyah menghampiri kakaknya, duduk di sisi sambil memandang penuh simpati.
“Kesian Kak Sya… Kak Sya dah makan ke?” soalnya perlahan.

Elisyah menggeleng lemah. “Belum lagi… tak boleh nak telan apa-apa,” balasnya dengan suara hampir tenggelam.

“Takpelah, Kak Sya tidur dulu ya. Nanti bila Kak Sya bangun, nak makan apa-apa, Mel boleh masakkan.” Melisyah mengusap perlahan tangan kakaknya, suaranya penuh prihatin.

Elisyah tersenyum kecil. “Kalau ada nasi ayam… Kak Sya nak. Ingat nasi ayam pun dah buat Kak Sya rasa lapar balik,” katanya sambil menghela nafas.

“Okay, Kak Sya. Rehat dulu. Mel masakkan nanti,” balas Melisyah, lalu bangkit menuju ke dapur.

Tengku Malik yang sejak tadi hanya memerhati dari sisi, tersenyum nipis melihat isterinya. “Sakit-sakit pun tetap comel,” bisik hatinya. Dia kemudian menghampiri, membelai kepala Elisyah penuh kasih.
“Sayang, tidur dulu ya. Abang kemas beg kita sekejap.”

Dia menunduk, mengucup dahi isterinya dengan lembut sebelum melangkah pergi.

Terima kasih sebab baca ❤️

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience