Bab 28

Romance Series 206

Langkah Elisyah laju, hampir terhuyung-hayang, air matanya sudah bercucuran sejak di dalam kereta lagi. Sebaik sampai di hadapan pintu rumah Puan Sarah, kakinya terhenti. Nafasnya seakan tersekat melihat mamanya terduduk di lantai ruang tamu, wajah penuh duka dan basah dengan air mata.

Tanpa fikir panjang, Elisyah segera berlari mendapatkan mamanya. "Mama..." suaranya bergetar, tangan cuba memeluk tubuh wanita itu. Namun pelukan itu ditolak kasar.

Di belakang, Tengku Malik cepat-cepat menutup pintu rumah demi keselamatan, sebelum pandangannya jatuh pada isterinya yang rebah di sisi ibunya.

Puan Sarah mendongak, matanya merah membengkak. "Kenapa kamu tak angkat call mama dengan Mel?! Dah lebih lima puluh kali mama call kamu! Keluarga ni dah tak penting lagi ke untuk kamu, Sya?!" suaranya pecah, penuh dengan luka dan kemarahan.

Elisyah tersentak, tangisannya makin deras. "Mama... bukan macam tu..." Dia cuba menenangkan keadaan, tapi lidahnya kelu. Air mata mengaburkan penglihatannya.

"Papa mana...?" soal Elisyah akhirnya, suaranya terketar-ketar, seolah-olah sudah tahu jawapan yang bakal melumat hatinya.

Langkah dari tangga menarik perhatian. Melisyah muncul dengan wajah penuh marah bercampur kecewa. "Kakak! Kenapa sekarang baru balik?! Kenapa kakak selalu ambil mudah semua benda?!"

Elisyah menelan air liurnya yang terasa pahit. "Pa... papa mana?" ulangnya lagi, kali ini suaranya hampir pecah.

"Papa dah selamat dikebumikan pagi tadi!" jawab Melisyah, tegas namun bergetar menahan sebak.

Bagaikan direntap, lutut Elisyah terkulai. Dia terduduk di lantai, tubuhnya menggeletar. "Ya Allah..." tangisnya pecah. "Sya terlambat... patutnya Sya alert dengan telefon Sya. Kalau Sya baca, kalau Sya tahu... mesti Sya sempat tengok papa buat kali terakhir..." Suaranya tersekat-sekat, penuh penyesalan.

"Tahu pun sekarang," balas Melisyah, namun wajahnya juga sarat dengan kesedihan. Dia sendiri tidak sampai hati melihat kakaknya begitu.

Tengku Malik yang sejak tadi menahan sabar akhirnya bangun. Pandangannya tajam, hatinya panas melihat semua orang menyalahkan isterinya yang sedang sarat dengan kehamilan. Dia mahu bersuara, mahu melindungi Elisyah. Namun, tangannya segera ditarik lembut.

Elisyah menggeleng, memberi isyarat. "Abang... jangan. Ini bukan masanya..." bisiknya serak.

Dengan nafas terputus-putus, Elisyah memandang adiknya. "Mel... boleh tak bawa kakak pergi kubur papa? Kakak nak minta maaf kat papa. Tolong ya..." suaranya begitu sayu, membuatkan Melisyah sendiri terdiam.

Adiknya menghela nafas panjang, akhirnya mengalah. "Kak... sehari sebelum papa meninggal... papa nak sangat jumpa kakak. Dia cakap nak tengok anak kesayangan dia. Tapi tak sempat..." suara Melisyah bergetar, sebelum dia mengeluarkan sesuatu dari poket bajunya. "Ni... surat dari arwah papa. Dia tulis untuk kakak... dengan abang Malik."

Tengku Malik menyambut surat itu perlahan, wajahnya serius. Dia menggenggam tangan isterinya erat-erat, memberi kekuatan.

Tanpa membuang masa, mereka bertiga menuju ke tanah perkuburan. Langkah Elisyah longlai, namun digagahi. Sampai sahaja di pusara, tubuhnya terus rebah mencium tanah, tangannya menggenggam batu nisan erat.

"Assalamualaikum papa... ini Sya, anak papa..." suaranya pecah diiringi esakan. "Sya minta maaf... sebab Sya tak sempat jumpa papa buat kali terakhir. Maafkan Sya, pa. Sya rindu papa... sangat rindu."

Tangisannya makin kuat, tubuhnya bergoncang. Tengku Malik cepat-cepat merangkul bahunya, menenangkan. "Sayang... sudah. Ini semua bukan salah sayang. Sayang kena percaya qada' dan qadar Allah. Setiap yang berlaku ada hikmah. Jangan siksa diri macam ni..."

Elisyah mengangguk kecil, namun air matanya tetap mengalir. "Sya tahu, bang... tapi rasa serba salah ni kuat sangat. Sya rasa Sya anak yang teruk. Papa... maafkan Sya..."

Hampir sejam dia di sisi pusara, air matanya tidak berhenti. Mata yang sembap, suara serak, namun hatinya tetap tidak mahu beranjak.

Akhirnya Tengku Malik mengangkat wajahnya. "Sayang, tak elok lama-lama meratap di kubur. Papa dah tenang di sana. Kalau sayang terus begini... bagaboo kita pun akan rasa sedih tengok mama dia menangis," bisiknya sambil mengusap pipi isterinya yang basah.

Elisyah memandang suaminya, dalam tangisnya dia akhirnya mengangguk lemah. "Baiklah... abang. Jom..."

Tengku Malik membantu isterinya bangun. Mereka berjalan perlahan meninggalkan pusara, dengan hati yang penuh luka tetapi juga dengan janji. Janji untuk menjaga kasih sayang dan amanah yang ditinggalkan arwah ayah.

Selepas menunaikan solat Isyak, suasana bilik itu sepi. Hanya bunyi kipas siling berputar perlahan menemani mereka. Elisyah duduk di hujung katil sambil menggenggam erat sepucuk surat yang diberikan oleh adiknya tadi. Air matanya sudah mula bergenang sebelum sempat dia membukanya.

Tengku Malik mengambil tempat di sisinya, lalu mengusap lembut bahu isterinya. “Sayang, kalau susah nak baca… abang boleh bacakan,” bisiknya penuh hati-hati. Namun Elisyah hanya menggeleng. Dengan tangan yang sedikit menggigil, dia membuka lipatan surat itu perlahan.

Tulisan tangan yang dikenali serta-merta menyentap hatinya.

---

“Assalamualaikum Sya,

Papa nak cakap yang papa sayang sangat-sangat anak papa ni. Papa masih ingat lagi masa Sya lahir dulu… kecil je, kulit putih merah, dan tak lama lepas tu Sya demam panas. Papa panik, tak tahu nak buat apa. Papa terus ketuk rumah jiran sebelah minta tolong.

Dan masa itulah papa jatuh cinta pada mama kamu. Masa tu mama tengah mengandungkan Mel. Disebabkan kamu, papa mula kenal, mula rapat… dan akhirnya jatuh cinta dengan mama kamu.

Terima kasih sayang sebab hadir dalam hidup papa. Kalau tak ada Sya, mungkin papa takkan jumpa cinta hidup papa. Hidup papa takkan pernah bermakna tanpa anak papa yang comel ni.

Eh, dah panjang sangat papa bebel ni. Satgi Sya rimas pula.

– Dari papa yang comel ”

---

Air mata Elisyah mengalir deras, jatuh membasahi helaian surat itu. Tangannya menutup mulut, cuba menahan esakan. “Papa… Sya tak pernah bosan dengar bebelan papa. Sya rindu suara papa…” bisiknya dalam hati, seolah-olah roh ayahnya sedang mendengar.

Dengan perasaan bercampur-baur, dia mengambil satu lagi surat yang berada di samping. Tertulis jelas nama suaminya di atasnya. Nafasnya berat. “Abang… ni untuk abang,” katanya perlahan, menyerahkan surat itu kepada Tengku Malik sebelum membaringkan diri di katil.

Matanya merah, tangannya sempat mencapai sebotol kecil ubat. Sejak berkahwin dengan Tengku Malik, serangan anxiety-nya makin jarang datang. Suaminya menjadi penawar, ketenangan. Tapi hari ini, rasa itu datang kembali menghantam dadanya. Nafasnya jadi sesak, fikirannya dipenuhi penyesalan. Dengan tangan terketar, dia menelan ubat itu sebelum menangis teresak-esak di atas katil, memeluk bantal seolah-olah ia boleh menggantikan pelukan ayahnya.

Tengku Malik hanya mampu memandang. Sudah puas dia memujuk isterinya, namun tiada hasil. Dia tidak mahu memaksa. Perlahan dia membuka surat yang ditujukan kepadanya.

---

“Hello bro,

Ni papa. Papa minta maaf kalau surat ni membebankan kamu. Tapi papa ada satu permintaan… jagalah Sya elok-elok. Dia anak yang baik, kadang nampak keras kepala, tapi hatinya lembut dan penuh kasih.

Masa papa lafaz akad nikah kamu dengan dia dulu, papa tekad lepaskan anak kesayangan papa ke tangan kamu. Jadi… tolong jangan kecewakan dia.

Satu lagi, ingat janji kamu? Papa nak kamu bersedia jadi CEO syarikat. Papa percaya kamu mampu. Bila kamu rasa masa dah sesuai, datanglah ke syarikat papa.

Terima kasih, bro, untuk segalanya.

– Dari bapak mertua kamu ”

---

Surat itu jatuh perlahan di pangkuannya. Tengku Malik mengesat air mata yang tidak lagi mampu ditahan. Ingatan demi ingatan bersama arwah bapa mertuanya datang bertalu-talu – senyumannya, nasihatnya, malah gurau kasarnya yang selalu membuatkan suasana jadi hangat.

Dia menggenggam erat surat itu. “Baik, papa… Malik janji. Malik takkan hampakan papa. Malik akan jaga Sya sampai nafas terakhir Malik… dan Malik akan teruskan perjuangan papa di syarikat.”

Dia menoleh pada isterinya yang masih teresak di katil. Perlahan dia menyelimutkan tubuh Elisyah, sebelum duduk di sisi. Dalam hati, dia berdoa agar Allah beri kekuatan untuk mereka berdua. Kerana amanah yang ditinggalkan bukan sahaja syarikat, tetapi hati seorang wanita yang kini menjadi pusat hidupnya.

Sudah seminggu Elisyah berkurung di dalam bilik. Selera makannya hilang, dan yang paling merisaukan, dia mula bergantung semula pada ubatnya. Tengku Malik berdiri seketika di hadapan pintu, menarik nafas panjang sebelum mengetuk perlahan.

Tok… tok…

“Sayang, abang nak pergi kerja dah ni. Sayang tak nak makan dulu ke? Abang boleh suapkan,” suara Tengku Malik kedengaran penuh harap. Dia melangkah masuk sambil membawa dulang berisi sarapan.

Matanya jatuh pada isterinya yang sedang duduk di tepi katil, termenung kosong memandang ke luar tingkap. Hatinya diremuk rasa. Dia letakkan dulang di meja sisi, lalu menghampiri katil dan duduk perlahan di sebelah Elisyah.

“Sayang, dengar tak apa abang cakap?” soalnya lembut, namun nada resah jelas kedengaran.

Elisyah tersentak seolah-olah baru tersedar daripada lamunan. “Ya, abang?” balasnya perlahan tanpa menoleh.

Tengku Malik mengusap lembut bahu isterinya, mencari ruang untuk masuk ke dalam duniannya yang kelihatan semakin jauh. “Sayang, abang risau sangat bila tengok sayang macam ni.”

Elisyah mengerutkan kening. “Macam ni apa?” tanyanya datar.

Dia mengeluh lagi, entah kali ke berapa. “Macam ni lah, sayang… asyik termenung, tak nak makan, kurang bercakap, berkurung aje dalam bilik. Abang rindu sayang yang dulu. Tolonglah kembali pada abang. Abang rasa macam orang yang duduk di depan abang ni… bukan lagi isteri abang.”

Air muka Elisyah tidak banyak berubah. Dia hanya tersenyum nipis, senyuman yang terasa jauh dari ikhlas. “Abang, abang nak pergi kerja dah kan? Pergilah. Nanti lambat.”

Tengku Malik mengetap bibir. Setiap kali dia cuba menyentuh soal hati, Elisyah akan alihkan topik. Dia tahu itu, tapi dia tetap tidak mahu berputus asa. “Sayang, sayang makan sikit, please? Abang rayu sangat.”

Elisyah menggeleng perlahan. “Sya dah kenyang, abang. Lagipun Sya rasa ngantuk nak tidur.” Dia berpura-pura menguap, cuba menutup kelemahan dirinya.

“Sayang…” Tengku Malik menggenggam jemari isterinya erat. “Kalau sayang tak nak jaga diri sayang untuk diri sendiri… jagalah demi abang. Demi bagaboo kita. Hmm?” suaranya bergetar, penuh doa dan harapan.

Namun, Elisyah hanya baring membelakangkan suaminya. Matanya mula panas, tetapi dia menahan. Tengku Malik mengusap lembut rambut isterinya, seolah-olah ingin menyalurkan kekuatan melalui sentuhan.

“Kalau sayang lapar nanti, janji dengan abang, makan ya?” Dia menunduk, mencium ubun-ubun Elisyah penuh kasih. “Abang pergi kerja dulu. Assalamualaikum.”

Pintu perlahan-lahan tertutup. Dan pada detik itu juga, Elisyah menjawab salam dalam suara yang pecah, sebelum air matanya tumpah lagi. Sunyi. Dia kembali sendirian, berteman dengan kesedihannya sendiri.

I love Blackpink

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience