Series
206
Sewaktu Puan Sarah sedang mengemas barang-barang Elisyah, tiba-tiba Elisyah teringat sesuatu.
“Mama! Mama ada nampak tak telefon Sya?” tanya Elisyah cemas. Dia baru teringat janji Hashim yang berbisik manja kepadanya, “Nanti, I sampai je sana, I terus call you, okay?” Itu adalah kata-kata terakhir Hashim kepadanya sebelum dia pengsan.
“Alamak, mama tak nampak la pulak, sayang. Masa mama kemas beg kamu tadi, memang takde. Mungkin ada dalam kereta kamu kot,” jawab Puan Sarah sambil meneruskan kerjanya.
Elisyah makin gelisah, dia kelam-kabut membantu mamanya mengemas. Lagi cepat siap, lagi cepat boleh keluar dari wad, desis hatinya.
---
“Alhamdulillah… akhirnya kita sampai juga rumah sendiri.” Puan Sarah melepaskan keluhan lega.
“Malam ni mama nak dengar semua cerita yang jadi dua hari lepas, ya. Jangan cuba elak, sayang,” katanya sambil membuka pintu rumah.
Tuan Mazlan pula sibuk mengangkat beg-beg ke dalam. Elisyah terus meluru ke keretanya. Dia mencari telefonnya, dan sebaik sahaja jumpa, tangannya laju membuka WhatsApp. Hampa. Tiada satu pun mesej atau panggilan dari Hashim.
Takkanlah you tak sampai lagi, Hash? getus hati kecil Elisyah, hatinya risau bercampur gundah.
“Ya Allah… permudahkanlah perjalanan bakal suamiku,” doanya dalam diam sebelum melangkah masuk ke rumah.
---
Di ruang tamu, bunyi televisyen memenuhi suasana. Melisyah leka menonton cerita Hindustan kegemarannya. Namun, hiruk-pikuk itu langsung tidak mampu menutup ketegangan yang dirasai Elisyah.
Puan Sarah dan Tuan Mazlan duduk berdepan dengannya di meja makan. Pandangan mereka menusuk, membuatkan Elisyah hanya mampu menunduk. Dia tahu, saat yang cuba dielakkan akhirnya tiba.
Tuan Mazlan menghela nafas panjang.
“Elisyah Natasha! Apa susah sangat kamu nak cerita pada papa apa yang jadi? Kamu anggap papa ni orang luar ke sampai sanggup simpan sorang-sorang? Kamu tahu tak hati papa sakit bila dengar kamu stress sampai macam tu?” suaranya mula meninggi.
Dia bukan marah dia kecewa. Tuan Mazlan terus bangun dari meja itu menuju ke bilik. Seumur hidup, Elisyah tak pernah dengar papanya menengkingnya sebegitu. Air mata mula bergenang.
---
Puan Sarah segera menggenggam tangan anaknya.
“Sayang anak mama… kamu tahu tak, masa kamu lahir dulu, orang pertama yang peluk dan cium kamu tu, papa kamu. Mama tak ada masa tu. Mama tak kisah kalau kamu tak nak cerita kat mama, tapi papa? Takkan kamu nak rahsiakan semuanya dari dia? Mama faham kamu perlukan masa… tapi kadang-kadang, ada perkara yang kita kena kongsi supaya beban tu jadi ringan sikit,” nasihat Puan Sarah lembut.
Elisyah terdiam, air matanya jatuh deras. “Tapi… papa marah Sya. Papa dah bencikan Sya ke?” soalnya, mengesat air mata dengan kasar.
“Sya, tak baik cakap macam tu. Papa tak pernah bencikan Sya. Dia cuma kecewa. Tapi tak apa, nanti mama pujuk papa, ya,” balas Puan Sarah, memujuk dengan suara yang menenangkan.
Melisyah masih di depan televisyen, berpura-pura fokus pada jalan cerita. Hakikatnya, dia sudah tahu segalanya sejak kakaknya bercerita padanya. Hubungan mereka lebih rapat daripada sekadar adik-beradik, bagaikan sahabat. Apa sahaja rahsia, pasti dikongsi.
---
“Adik kamu tu nampak tenang je. Biasanya kalau ada apa-apa, dia orang pertama nak tahu. Betul tak, Mel dah tahu cerita sebenarnya?” soal Puan Sarah sambil memandang ke arah anak bongsunya.
Melisyah hanya berpaling, tersenyum nakal tanpa menjawab.
“Kalau dengan adik kamu boleh pulak kamu cerita, dengan mama papa tak nak pula? Ingat kami ni tak sokong kamu ke?” Puan Sarah mengusap kepala Elisyah lembut.
“Takpe, sayang. Mama faham. Bila kamu dah bersedia, mama sentiasa ada masa untuk kamu. Jangan rasa sorang-sorang, ya.” Katanya lagi, cuba menceriakan suasana dengan mencuit hidung anaknya.
Ketika Puan Sarah bangun untuk ke dapur, Elisyah sempat menarik tangannya. Pegangan itu erat, seolah tidak mahu melepaskan mamanya pergi.
Puan Sarah memandang anaknya, lalu duduk semula di sisinya. Elisyah menarik nafas panjang sebelum mula menceritakan apa yang berlaku malam itu hingga membuatkan dia pengsan.
“Oh begitu ceritanya… kesian anak mama.” Nada suara Puan Sarah bergetar, hatinya sayu melihat Elisyah menangis di depannya. “Mama minta maaf sebab hanya mampu mendengar saja.”
Dia segera memeluk anak tirinya erat-erat.
“Elisyah, kamu kena kuat. Kalau Hashim tahu kamu menangis macam ni, tentu dia pun susah hati. Sya sayang dia, kan? Masih mahu menunggu dia untuk naik pelamin, kan?”
Pelukan itu dilepaskan perlahan. Puan Sarah menatap mata cantik anaknya yang basah dengan air mata.
“Ya mama… Elisyah sayang dia sangat-sangat. Sya tetap akan tunggu dia…” suara Elisyah tersekat-sekat, penuh esakan.
“Kalau macam tu, jagalah hati kamu baik-baik untuk Hashim. Mama akan sentiasa doakan, semoga satu hari nanti kamu dan dia akan bersatu juga.” Puan Sarah mengusap lembut pipi anaknya. Kesian anak mama, bisiknya dalam hati.
“Terima kasih mama sebab faham Sya… Sya sayanggg sangat-sangat dekat mama.” Elisyah kembali memeluk mamanya erat.
Tiba-tiba, satu suara kedengaran dari belakang.
“Ehem, ehem… kita ni tak sayang ke?”
Elisyah menoleh. Melisyah sedang berdiri sambil berpeluk tubuh dengan wajah pura-pura merajuk. Elisyah cepat-cepat menarik adiknya masuk ke dalam pelukannya.
“Sayanglahhh… takkan tak sayang.”
Puan Sarah ketawa kecil, cuba menceriakan suasana.
“Dah jangan sedih-sedih. Anak mama menangis tak comel tau,” usiknya sambil buat muka mengejek.
“Ish mama ni… jahat la ejek kita,” Elisyah mengesat air matanya, tapi kali ini diiringi tawa kecil.
Tanpa mereka sedar, Tuan Mazlan sebenarnya mendengar setiap patah kata dari awal hingga akhir. Matanya berkaca, hatinya sebak mengenang nasib anak yang disayanginya itu.
Kalau suka, komen dan follow!
Share this novel