Series
206
Tulisan EMERGENCY di papan tanda hospital dipandang Elisyah berkali-kali, seolah-olah setiap huruf itu menikam matanya. Sudah hampir sejam dia menunggu di kerusi luar, namun setiap minit terasa seperti satu tahun.
Sejak tiba tadi, Puan Sarah hanya sempat memberitahu bahawa Tuan Mazlan pengsan di pejabat. Hati Elisyah tidak pernah serenyap ini; dadanya bergoncang, nafasnya sekejap laju, sekejap tersekat. Dia dan Melisyah hanya mampu berpaut erat antara satu sama lain, menangis dalam diam.
Puan Sarah pula melangkah longlai ke tandas. Dia tidak mahu anak-anaknya melihat wajahnya yang penuh dengan air mata. “Kalau aku pun lemah, siapa lagi yang mereka ada untuk bersandar?” desis hatinya. Di hadapan cermin, dia melihat bayangan diri yang pucat dan rapuh, lalu menyeka air matanya. Dia cuba tersenyum walau bibirnya bergetar. “Aku kena kuat… demi mereka.”
Belum sempat tenang, pintu tandas ditolak. Saat dia keluar, doktor yang ditunggu-tunggu akhirnya muncul. Puan Sarah berlari mendapatkan doktor itu dengan dada yang berdebar.
“Puan…” doktor itu memandang serius, nadanya berhati-hati. “Suami puan tadi diserang sakit jantung. Keadaannya sangat kritikal… hampir-hampir nyawa dia terhenti. Tapi, alhamdulillah… dengan izin Allah, dia selamat.”
Lutut Puan Sarah terasa longgar, tubuhnya hampir rebah ke lantai. Nafasnya tersangkut di kerongkong.
Namun doktor itu menyambung lagi, “Cuma… selepas pemeriksaan lanjut, kami dapati suami puan menghidap kanser jantung tahap dua.”
Dunia Puan Sarah terasa gelap. Bunyi hiruk-pikuk hospital hilang, hanya suara doktor itu bergema di telinganya. Air matanya jatuh lagi tanpa mampu ditahan.
Elisyah dan Melisyah yang mendengar berita itu langsung menangis tersedu-sedu. Air mata mereka bercucuran, deras tanpa henti.
“Saya harap puan dan keluarga boleh berbincang untuk teruskan rawatan kimoterapi atau tidak,” kata doktor itu sebelum beredar, meninggalkan mereka dengan hati yang berkecai.
“Mama…” suara Melisyah bergetar, matanya merah dan bengkak. “Papa takkan tinggalkan kita kan?”
Elisyah terus menjerit, menggenggam tangan adiknya erat. “Tak! Papa takkan tinggalkan kita! Papa mesti sihat lepas rawatan kimoterapi tu!” Nada suaranya keras, tapi dalam hatinya… dia sendiri tidak mampu menerima kenyataan itu.
Puan Sarah mengesat air matanya, cuba menenangkan kedua-dua anaknya. “Jom… kita masuk tengok papa,” suaranya serak, namun penuh tekad.
Dengan langkah perlahan, mereka berjalan menuju ke bilik rawatan. Hati masing-masing penuh doa dan ketakutan. Takut kehilangan insan yang paling mereka cintai.
Langkah demi langkah, kaki mereka terasa berat. Bau ubat-ubatan menusuk hidung, bunyi mesin hospital yang berbip perlahan-lahan menambahkan debar di dada. Setiap detik semakin menghimpit jiwa.
Saat pintu bilik ditolak, pandangan mereka tertancap pada tubuh Tuan Mazlan yang terbaring lemah di atas katil. Wajahnya pucat, oksigen terpasang di hidung, wayar berselirat di lengan dan dada. Bunyi mesin di sisi katil kedengaran teratur, beep… beep… beep… seakan menjadi pengingat bahawa nyawa insan itu masih bertahan.
“Pa…” suara Puan Sarah pecah. Dia menggenggam tangan suaminya erat, seakan takut lelaki itu pergi meninggalkannya bila-bila masa. “Abang, bangunlah… anak-anak perlukan abang. Saya pun perlukan abang…”
Air matanya jatuh tanpa henti, membasahi tangan suaminya.
Elisyah pula berdiri kaku di hujung katil. Melihat papa yang selama ini gagah dan penuh ketegasan, kini terbaring lemah seperti itu… hatinya bagai diramas. “Tak… ini bukan papa aku. Papa aku kuat… papa aku tak mungkin jatuh begini,” bisik hatinya. Namun realiti di depan mata menamparnya berkali-kali.
Melisyah sudah tidak mampu menahan sebak. Dia merangkak ke sisi katil, meletakkan kepalanya di dada papanya yang lemah. “Papa… jangan tinggalkan Mel. Mel janji akan jadi anak baik, Mel janji takkan degil lagi. Tolong jangan pergi…” tangisnya teresak-esak.
Elisyah akhirnya melangkah perlahan, duduk di sebelah adiknya. Dia menggenggam tangan papanya dengan kedua belah tangannya, erat seolah-olah mahu memindahkan sedikit kekuatannya. “Papa… Sya sanggup jadi CEO, Sya sanggup kerja siang malam, asalkan papa jangan pergi tinggalkan kami. Papa kena lawan penyakit ni. Please pa…”
Suasana bilik dipenuhi esakan dan doa. Puan Sarah cuba kuat, namun tubuhnya menggigil. Dia menatap wajah suaminya yang tenang, seolah sedang tidur. “Ya Allah… jangan ambil dia daripada kami sekarang. Masih terlalu awal… anak-anak kami masih perlukan seorang ayah.”
Mesin masih berbunyi, memberi sedikit harapan. Walaupun hati mereka hancur, mereka tetap percaya. Selagi bunyi itu masih ada, selagi itu mereka belum kalah untuk berjuang.
Keesokan harinya...
Tangisan syukur bergema di bilik hospital itu. Puan Sarah dan anak-anak tidak henti-henti mengusap tangan Tuan Mazlan. Lelaki yang mereka sayang itu akhirnya membuka mata, tersenyum walaupun wajahnya pucat. Oksigen sudah ditanggalkan, namun tubuhnya masih lemah. Hakikatnya, kanser itu tetap ada.
“Sayang… Sya… Mel… papa minta maaf susahkan kamu semua. Jangan risau tentang papa lagi ya,” suara Tuan Mazlan serak, penuh kelembutan.
“Abang, jangan cakap macam tu. Abang tak pernah susahkan kami. Abanglah kekuatan kami,” balas Puan Sarah sambil mengusap rambut suaminya, cuba menahan sebak.
Air mata Elisyah sudah jatuh tanpa henti. Dia menggenggam tangan papanya erat. “Papa… macam mana Sya tak risau? Papa masih tak nak buat rawatan kimoterapi tu?” suaranya bergetar, penuh harap.
Tuan Mazlan menarik nafas panjang. “Untuk apa papa nak buat semua tu? Papa redha dengan takdir papa.” Tangannya mengusap jari anak sulungnya, seolah mahu menenangkan.
“Tapi pa… sekurang-kurangnya kita usaha. Usaha tu kan tanda kita belum kalah?” sampuk Melisyah dari sudut bilik sambil menuang air milo panas ke dalam cawan. Wajahnya jelas menahan tangis.
Namun jawapan papanya tetap tegas. “Papa tak nak, Mel. Papa tak sanggup…”
Elisyah menahan dada yang terasa sesak. Dengan suara bergetar, dia berkata, “Okay… kalau macam tu, cakaplah apa saja papa nak Sya buat. Sya akan buat. Asalkan papa jalani rawatan tu. Sya janji.”
Mata Tuan Mazlan merenung tajam ke wajah anak sulungnya. Dia tahu, sekali Elisyah berjanji, dia tidak akan berpaling. Perlahan-lahan, bibirnya mengukir senyuman kecil. “Betul ni, Sya?”
“Betul pa. Sya janji,” balas Elisyah yakin, walaupun jiwanya berperang hebat di dalam.
Dan saat itu, kata-kata Tuan Mazlan terluah, bagaikan panah yang menikam dada anaknya.
“Papa nak kamu kahwin dengan Tengku Malik… anak kawan mama. Boleh?”
Seakan terhenti nafas Elisyah. Tangannya yang menggenggam tangan papanya tadi terlepas serta-merta. Air matanya jatuh lagi, kali ini lebih deras. Kahwin? Dengan orang yang dia tak kenal? Hatinya menjerit, tetapi dia sudah berjanji.
“Papa! Janganlah paksa kakak buat benda mengarut macam tu!” Melisyah membantah, meletakkan segelas milo ke tangan mamanya. Wajahnya merah menahan marah dan kasihan pada kakaknya.
Elisyah menunduk, dada terasa seperti dihempap batu. Peritnya tidak terkata, tetapi demi papa… dia sanggup menelan racun sekalipun. “Baiklah, Sya akan buat. Tapi dengan satu syarat…” Dia berhenti seketika, menahan sebak. “Kalau Tengku Malik tak setuju, papa tetap kena janji akan buat rawatan tu.”
“Kakak… takkan kakak sanggup terima semua ni?” Melisyah merintih, matanya berkaca.
Puan Sarah segera memberi isyarat senyap kepada anak bongsunya itu. Dia faham, ini bukan mudah untuk Elisyah.
Dengan suara perlahan tetapi tegas, Elisyah menatap semua orang. “Kalau itu yang boleh bahagiakan papa, Kakak sanggup.” Dia bangun perlahan, cuba menutup wajahnya yang sarat luka.
“Baiklah… terima kasih, Sya. Papa gembira kamu setuju. Jangan risau, papa yakin Tengku Malik akan setuju. Dan papa pecaya Tengku Malik adalah lelaki yang terbaik buat kamu” Senyuman puas terukir di wajah Tuan Mazlan.
Namun, jauh di dalam hati Elisyah, hanya ada satu tekad. Kalau itu syaratnya… Sya kena pastikan Tengku Malik membenci Sya. Supaya dia sendiri yang menolak perkahwinan ni.
Maafkan saya kalau cerita ni terlalu berderet atau terlalu bosan. Kalau tersalah bahasa atau apa - apa, bagitahu ya. Terima kasih sebab baca cerita saya sampai habis Love you
Love you all ?
Share this novel